Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, March 7, 2011

Senyum dong! Jangan Malas-malas...



Arghhh...

Malas benar untuk ke pejabat hari ini. Terasa ingin memutarkan masa mengembalikan kelmarin yang indah. Rehat.. Rehat dan rehat... Astaghfirullahalazim.. begitulah ketika jiwa tidak menjiwai pekerjaan yang dimiliki agaknya. Kadang-kadang Raz tertanya-tanya juga kenapa ya Allah letakkan Raz di situ? Kesesuaiannya kurang sekali, namun Raz tetap harus menelan segala duri dan memikul bebanan yang besar.

Ishhh.. betapa negatif dan ceteknya akal Raz.. Sesungguhnya setiap perubahan hidup yang berganjak untuk diri kita adalah yang lebih baik dari yang terdahulu. Allah Maha Tahu apa yang diperlukan hamba-Nya.. Terimalah dengan penuh redha dan bersyukurlah!

Jom..
Nak bersolek, dan nak pergi kerja dengan senyuman yang paling indah dan dengan doa yang paling gagah. Yeah!

Moga kita semua memperolehi yang paling baik dan dirahmati-Nya sepanjang kita dengan usaha kita untuk segalanya yang baik. Amin..

Selirik senyuman manis untukmu...
Raz.R

Sunday, March 6, 2011

Hujan yang dirindu



Hujan yang dirindu..

Setelah berbahang panas yang sengalnya seperti mambakar kulit, tiba-tiba mencurah tangisan sejuk dari langit. Alhamdulillah, syukur ! Allah masih kasihkan kita. Tumbuh-tumbuhan dan makhluk-makhluk Allah yang lain telah lama ternanti-nanti, terindu-rindu. Maha Adil Yang Esa, sungguh Engkau tersangat baik terhadap hamba-Mu.

Raz juga rindukan hujan yang telah lama tidak bertandang. Hujan, sering memberikan Raz rasa rehat segar. Terutama dihari Ahad, hari beristirehat. Sudah lama Raz tidak berkesempatan merasai ruang waktu bersendiri sambil menikmati titis- titis hujan yang membasahi bumi.
Ahhhaahhh!!! Seronok sekali!

Terima kasih Wahai Tuhanku.

Setenang Cinta


Cinta..

Ramai yang mabuk dengan rasa cinta. Banyak juga falsafah mengenai cinta. Tidak pernah putus ditelan masa. Cintalah yang sering dikejar-kejar kita. Malah, ada yang gila kerana cinta. Ada yang berusaha membeli cinta. Namun sejauh manakah cinta yang kita kumpulkan itu telah memberikan "rasa sebenar" ketenangan cinta?

Hanya yang mengalami pengalaman cinta itu sahaja yang mampu menjawab didaksi cinta yang telah dilalui mereka. Hati yang mampu menjawabnya.

Seluas mana pun jawapan kita tentang kehebatan cinta yang kita miliki...

Yang tetap menjadikan cinta itu ULUNG, TENANG dan AGONG tetap ALLAH SWT.
Menjadikan diri kita lebih mencintai Allah dan mengabdikan diri sebagai kekasih-Nya, itulah jalan UTAMA CINTA yang mendatangkan ketenangan yang saujana luasnya. Kita yang paling BAHAGIA adalah kita yang menjadikan kemuncak dan matlamat PERTAMA kita itu dengan mencintai ALLAH..

Setelah itu yakinlah segala cinta yang kita cari akan tetap hadir. Kali ini, cinta itu akan menjadi yang terbaik di antara yang paling baik.

Raz mendoakan agar kita semua dapat berusaha menggamit cinta yang sebenar sehingga alam dan seluruh ciptaan-Nya juga turut menjayakan cinta yang setenang dan semurninya. Amin..

Selamat Bercinta dengan rahmat dan kasih sayang Allah.

Salam sayang sentiasa, selamanya...

Saturday, March 5, 2011

TIDAK KESAL


Bersua kita kembali dengan kesejahteraan yang diberikan Allah SWT, dengan lafaz Alhamdulillah dan Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Lama benar Raz.R sunyi meninggalkan ruang ini sepi seolah rumah tanpa penghuni. Entahkan ada yang mengunjungi, entahkan ada yang telah melupakan Raz.R yang bukan sesiapa. Namun tak mengapa, Raz.R sendiri pun insan biasa yang sering melupakan banyak perkara. Astaghfirullahalazim... Ampunkan aku Ya Allah, dan maafkan Raz, sahabat.

Banyak sungguh ujian. Banyak sungguh dugaan. Itu yang Raz rasa semenjak kebelakangan ini. Atau mungkin tidak sebanyak dugaan yang orang lain terima, namun kelemahan Raz yang kadang-kadang sejurus sebagai insan yang tidak berdaya mencetuskan dugaan itu sebagai bebanan yang tidak terpikul beratnya.

Hingga saat ini Raz melalui tahun yang makin berganjak dan usia yang terus berubah, semakin terasa begitu tipis iman Raz. Masih ada harapan untuk menebalkan iman yang kandas setiap hari, masih pula menimbun lapisan dosa yang mengusik hidup. Hahh.. itulah manusia..! Selagi hidup, tetap meniti segalanya ibarat bahtera yang terumbang ambing dipukul alun laut yang ada waktunya kencang, dan setengah waktu lagi tenang.

Bukanlah Raz ingin bangkitkan riak di dalam diri dalam menulis dan meletakkan jumlah penilaian di mata pembaca yang membaca penulisan Raz yang tidak seberapa ini. Namun, penulisanlah yang sering membangkitkan kekuatan hati pada Raz untuk lebih kental dalam bara semangat. Agar Raz muhasabah, bangun dan teruskan hidup ini. Mengingatkan diri. Menasihati diri. Mudah-mudahan, jika Raz mampu bangkit dan menapak lagi, yang lain akan turut memperolehi aura kebangkitan itu. Lalu, kita sama-sama bangkit menghadapi apa sahaja keperitan hidup ini demi dunia yang menjadi cabang ke mana pintu yang akan Allah letakkan nanti untuk kita di akhirat kelak.

Raz tidak ingin takut dengan kesilapan masa silam.
Raz tidak sekali mahu menyesali atas kegagalan terdahulu.
Raz tidak ingin goyah dengan keaiban yang meruntunkan kejatuhan harga diri.
Raz tidak ingin mengungkit-ungkit impian yang gagal Raz kecapi.

Yang Raz inginkan ialah...KEKUATAN, KESABARAN dan KETAHANAN bagi melepasi setiap pengalaman compang hidup yang lalu dengan MEMBINA perubahan ke arah kebaikan hidup yang berterusan bagi dunia dan akhirat. Kalaupun Raz masih lagi akan menerima kejatuhan..., moga kekuatan doa untuk diberi masa dan nyawa bagi sebuah peluang dari Allah SWT itu sentiasa tercipta untuk Raz sehingga Raz menjadi Raz yang dikehendaki oleh Allah.

Sungguh, Raz tidak ingin kesal menjadi diri Raz yang sebenar. Dan, Raz mendoakan bagi sahabat-sahabat yang membaca coretan Raz juga tidak akan pernah menyesal untuk menghijrahkan diri ke arah Allah sentiasa. Hingga akhir hayat hendaknya. Amin..

Sehina dan seburuk mana pun kita.. kita ini hamba-Nya dan DIA maha memahami apa yang telah dicipta-Nya.

Jangan putus asa, Raz!

Moga dikasihi Allah semuanya. Amin.

Wednesday, June 30, 2010

SURAUKU




Assalamulaikum wahai semua sahabat Raz yang sudi-sudi merajinkan diri membaca luahan yang tidak seberapanya ini. Terlebih dahulu Raz mohon ampun dan maaf jika ada yang tertulis di ruangan Raz akan atau mungkin memberikan kesan kecewa, terguris dan sebagainya. Sesungguhnya Raz ini hanya hamba-Nya yang kerdil, lemah dan tak bisa bertegak sedikitpun tanpa kuasa-Nya.

Maaf juga sekali lagi, kerana melengah-lengahkan ruangan yang dibuka untuk diisi dengan sesuatu tetapi tiba-tiba seolah beku. Kelemahan Raz yang ada waktu tidak mampu diperbaiki. Terbengkok dengan sendiri kerana ujian-ujian yang terasa berat mahu digalas dan membuatkan segalanya terbatas.

Ini sedikit suara dari Raz, sebuah luahan ikhlas:-

Surau..
Waktu zohor..26 June 2010.
Mungkin hari ini hari terakhir aku bersolat di surau yg sudah bertahun-tahun menjadi sahabat peneman sepi. Sahabat yang sama-sama mendengar aku bertafakkur dan merintih. Sahabat yang mendengar dan menjadi saksi ketika aku menangisi kealpaanku dan kebodohanku. Surau yang menjadi teman ketika aku mahu berseorangan. Surau itu seolah mengerti sayunya hati. Surau itu seolah tahu aku akan pergi.

Aku berbual dengan surauku, sahabatku.. "Terima kasih, wahai surauku. Kamu telah menjadi sahabatku yang paling baik selama ini. Mendengar aku dengan bisu. Mengerti setiap luahan hatiku. Kamu menjadi penemanku tika aku bersama Yang Khalik. Moga Allah membalas segalanya yang kau kongsi bersamaku."

Surau kecil itu tidak pernah letih menanti kehadiranku. Tidak pernah jemu melihat karenah dan gelagatku. Setia menyimpan segala halimunan rahsiaku yang tertulis di situ. Sedih meninggalkanmu. Pilu berjauhan denganmu. Apa pun hakikatnya, tujuan kita sama. Pada Allah SWT sahaja kita meletakkan diri di mana saja kita berdiri.

Terima kasihku pada Tuan yg telah membinakan surau itu. Kali ini Tuan itu telah mengalih milik surau itu untuk dipegang yang lain. Tidak lagi aku menjadi temanmu. Namun, InsyaAllah kamu akan sentiasa bertemankan mereka-mereka yang mengingati Allah, wahai surauku. Aku doakan, sekalipun mereka yang memegangmu bukan lagi seperjuangan denganku, kamu akan dilindungi Allah. Kamu tetap di situ menanti setiap rakanmu yang lain bersahabat denganmu. Amin.
Untukmu Tuan, terima kasih kerana mengizinkan aku beteleku di surau binaanmu sepanjang perjalananku di sini. Moga pilihan Tuan menjadi pilihan yang terbaik.

Sampai waktu, andai usia masih terhulur panjang, kita bertemu lagi jika diizinkan Allah. Kamu tetap "sahabatku istimewaku" yang paling baik. Doakan aku sentiasa mengingati dan menyangimu, hingga akhir hayatku, hingga zaman menyinggah ke akhirat, surauku.

Wednesday, March 31, 2010

Untukmu Sahabat Sejatiku (Najah) Dengan Rahmat Dari Allah Selamanya



Aku Berlindung dengan nama-Mu Ya Allah daripada permainan syaitan yang direjam dan Bismillahirrahmanirrahim.. dengan Nama-Mu Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Assalamualaikum, wahai teman-teman Raz yang dikasihi dan dilindungi Allah SWT hingga hari ini. Hingga saat ini. Saat nafas belum terhenti. Semoga Allah masih akan dan terus melindungi kita sekeliannya di sini hingga ke akhirat nanti. Amin.

Lama benar rasanya Raz tidak mengemaskinikan cetusan pengalaman Raz disini ya?
Hemmm.. Kelalaian diri sendiri dan situasi sekeliling membuat akal Raz diseka oleh emosi dan kelam kabut kesibukkan dugaan dunia. Nauzubillah..
Tiba-tiba hari ini Raz rasa perasaan hiba ini tidak mampu terluah dengan suara. Tidak juga mampu dikongsi secara nada dengan mereka yang selalu di sisi Raz. Bukan sombong, bukan angkuh, bukan kuat.. cuma sekadar tidak ingin membebani mereka yang menyayangi Raz. Namun, Alhamdulillah, kias-kiasnya terlekat dipendengaran ibu dan ayah Raz dan mereka faham sekalipun Raz mendiamkan diri. Raz kagum MasyaAllah dengan kehebatan mereka mendalami bisikan yang tercetus disebalik riak, mimik wajah Raz.

Tarikh ini 31hb Mac 2010 (Rabu).. semenjak 21 tahun yang lalu Raz mengenali seorang sahabat dunia akhirat yang pada Raz cukup hebat hati nalurinya kepada persahabatan kami. Sebagai manusia zaman ini pada hati Raz ,beliau cukup mulia dan ikhlas dengan persahabatan kami. Jiwanya dan lidahnya sebati dengan nama Allah dan Rasulnya. Sekalipun kami berjauhan dalam dunia meterialisasi ini dan lokasi kami tidak bersentuhan, namun nilai persahabatan yang ada di antara kami tersentuh dengan kemurniaan yang tidak langsung terconteng hitam. Raz menyayanginya tidak sedikit pun kerana apa yang ada di dunia, tetapi kerana Ilahi semata. Dia saudara terdekat Raz selain keluarga sendiri. Keluarganya telah Raz anggap sebagai sebahagian dari diri Raz dan juga keluarga Raz.

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau hadirkan dia sebagai sahabatku seolah aku mendapat permata dari syurga-Mu. Terima kasih Tuhanku. Tiadalah dapat kutandingkan sekelumitpun kurniaan-Mu dengan apa sahaja yang termaktub di dunia. Engkau Maha Pemberi Kurnia. Kurniaan-Mu amat Indah!!!!! Alhamdulillah.

Tarikh ini juga, dilingkungan Isya yang masih muda, Raz menerima panggilan telefon dari sahabat ini memberitahu yang dia kehilangan bonda tercinta. Bonda Raz juga. Innalillahiwainnailaihirajiun.. Sesungguhnya dari-Nya kita datang, kepada-Nya juga kita dikembalikan. Arwah bonda angkat Raz ini seorang yang berhati luhur. Hutang budi keluarga bonda sahabat Raz ini, biar tujuh lautan emas tergadai, tidak akan sama seperti nilai kebaikan bonda sahabat Raz.
Berita ini memeranjatkan Raz sekali gus membuatkan Raz tidak ada secuit kata-kata pun yang terlintas di akal untuk diberikan kepada sahabat Raz sebagai tanda Raz juga merasai apa yang dirasai. Tidak terhambur dan tidak terluah. Jika selalunya Raz akan pegang suatu kata-kata yang boleh membuatkan dia teguh dan kuat menghadapi ujian hariannya.., malam ini.. Raz seolah membujur mati. Tidak ada bahasa yang terukir dilentok lidah ini lagi. Seperti masa terhenti. Degup jantung pantas berlari.
Dikejauhan ini Raz amat mengharapkan, amat menagih pertolongan Allah untuk sahabat Raz agar jangan goyah, jangan takut, jangan cemas.. sedangkan Raz sendiri berada di dalam rasa yang teramat-amat cemas, amat takut. Allah! Allah! Allah! Allahuakhbar!
Bersimpang siur persoalan yang muncul di benak fikiran ini. Bagaimana begitu? Kenapa begitu? Sungguh banyak ujian yang dilaluinya Tuhanku, kenapa perlu ada ujian yang besar lagi? Kehilangan insan yang dikasihi?... Tidak!!! Aku tidak sanggup melaluinya Tuhanku. Aku tidak sanggup melihatnya di dalam keadaan itu.

Malam ini, di perantaraan yang jauh ini sahabatku yang ku kasihi..Sangat- sangat ku kasihi.. jika kamu membaca apa yang terluah di sini, tolong ketahui yang aku amat mendoakanmu. Mungkin kita tidak bersama, tetapi sahabatku, ingatlah aku sentiasa mendoakanmu. Kamu adalah dikalangan mereka yang terbaik, oleh itu Allah memberikanmu ujian itu. Sama-samalah kita usah takut terhadap apa yang Allah telah tentukan untuk kita wahai sahabat. Hilang tidak bererti bonda benar-benar hilang. Kita.. Kamu, sebagai anak yang solehah, sudah itu tanggungjawabmu. Doakanlah kesejahteraannya di sisi Ilahi di sana. Doakan agar dia sempurna disambut dengan penuh rahmat, zat dan kasih-Nya. Doakan dia di kalangan mereka yang dikurniakan keuntungan para solehin.

Sahabatku,
Sesungguhnya aku tahu kamu mampu melaluinya dan aku mungkin tidak akan terbentuk sehebat ketabahanmu. Jadi kamu, sahabatku sayang bersyukurlah, redhakanlah menerima kehendak Allah, Maha Pencipta, Maha Mengetahui, Maha Perkasa dalam segalanya.

Malam ini, mungkin adalah malam dukacita bagimu. Tidak mustahil dan sudah tentu tidak mustahil akan hadir giliranku pula, sahabatku. Aku ingin kamu mendoakanku setabah dan setega kamu melalui waktu-waktu seumpamamu.
Cekal dan bersabarlah sahabatku… sesungguhnya segala yang kita miliki tidak pernah pun kita miliki. Allah telah berjanji dan DIA ADALAH YANG MAHA DALAM MENEPATI JANJI-NYA.
Hanya Hak Milik Yang Hak semata-mata.


Berikan dia segala kebaikan-Mu, Ya Rabbi. Sungguh Ya Allah.. dia sahabatku yang baik. Amin.


Salam sayang wahai sahabat. Aku sentiasa bersamamu. Al-fatihah untuk bondamu. Moga dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Amin, Ya Robbal Alamin.
Wallahua’lam.

Friday, December 4, 2009

Hari-Hari Cinta



Assalamualaikum dan salam jumaat yang penuh rahmah wahai hamba Allah yang sentiasa diberi cinta oleh-Nya...

Jatuh cinta setiap hari?
Wah?.. Ada ka lagu tu na?.. Boleh ka? Syoknya, kan? Amboi, Raz! Banyaknya soalan.
Hari ini saya berborak-borak dengan seorang teman. Sekadar suka-suka mencari pendapat seorang lelaki. Alhamdulillah, seronok sungguh bersembang dengan sahabat ini. Akal lelaki memang logik dan bijak. Saya sungguh kagum dengan ciptaan Allah s.w.t ini.

Patutlah Allah ciptakan Nabi Adam kaya dengan ilmu dan kebijaksanaan. Hinggakan para malaikat yang taat setia, tanpa dosa kepada Allah pun sanggup sujud kepada Adam, kecuali iblis yang ego kerana dirinya disangka lebih mulia dari Adam. Hanya kerana dia dijadikan dari cahaya berbanding Adam yang diukir dari tanah cuma. Walhal, iblis itu lupa yang Allahlah yang menjadikan dia, dan Allah Maha Tahu Segala yang dicipta-Nya.
Bodoh dan angkuh sungguh Sang Iblis. Tetapi, sebodoh iblis yang angkuh ini, sungguh dia rajin. Bukan rajin yang baik tau. Rajin berusaha untuk memperbodohkan manusia-manusia mengikut jejaknya. Apa nak buat,kan? dah itu sumpah iblis. Kita manusia pun kenalah juga rajin menangkis dan menepis usaha iblis untuk menjurumuskan kita masuk ke dalam “geng”nya. Gunakanlah akal, hati, jiwa, amal dan kebijaksanaan serta kesejatian iman dengan secerdas mungkin. Agar kita tidak lekas hanyut dek godaan ‘geng’ itu. Memang payah, tapi jika syaitan itu rajin berusaha menjatuhkan kita tanpa jemu, apa salahnya kita yang hebat dari keturunan Adam yang bijaksana ini juga jadi rajin membangunkan diri dengan kemuliaan tanpa jemu juga, kan?

Saya memuji kaum Adam kerana benar mereka diberikan banyak kelebihan. Sebagai khalifah di bumi Allah. Pemimpin kaum Hawa. Khalifah keluarga dan kehidupan juga. Cukup canggih tugas mereka. Awal-awal lagi Allah sudah beri pangkat. Mereka ini juga punya kekuatan mental dan fizikal yang banyak. Bersyukurlah wahai lelaki. Gunakanlah sebaik mungkin kehebatan itu. Tapi jangan angkuh, jangan ego dan jangan lupa seperti iblis. Ingat-ingatlah selalu yang kita itu “dibuat atau direka” oleh Allah. Dialah Tuan kita dan kitalah hamba-Nya.

Eh, eh? Nak borak pasal jatuh cinta setiap hari, terkona ke lain pulak. Maaf na..

Kalau iya pun, sabarlah..

Bukankah cinta itu perlu ada dua spesis iaitu spesis Adam dan Hawa?. Ha!Ha!Ha! Bukankah cinta antara insan itu mula terdaftar setelah wujudnya Hawa? Kalau tidak kerana lahirnya Adam, tidak juga akan hadirnya Hawa. Jika tidak kerana Hawa juga, maka tidak akan ada juga deretan keturunan manusia penyambung cinta sehingga sekarang ini. HEBAT sungguh Allah s.w.t. Adil sungguh Allah. Keturunan ini tidak akan terantai panjang dengan spesis lain tau? Tidak dengan cinta spesis Adam dengan Adam atau Hawa dengan Hawa. Jangan! Itu melanggar kehendak Allah namanya. Itu serangan dari spesis lain iaitu iblis dan syaitan. Cinta yang sebegitu tidak diberkati Ilahi.

Hawa tercipta dengan banyak kelemahan tetapi penuh keistimewaan. Dia pelengkap Adam. Ibarat seperti mata kapak tanpa hulunya, masakan terpotong kayu api. Atau seumpama lilin tanpa api, masakan timbul cahaya terang. Amboiihh!! Sangat indah ciptaan Allah. Dia Maha Bijaksana.

“Kita saling perlu. Kita saling berganding. Kita saling mahu. Kita saling mengharap. Kita saling lengkap melengkapi. Lantas kenapa ya kita perlu berantakkan? Kenapa perlu kita pilih kebencian?. Itu kan usikkan iblis dan syaitan?” Itu, kata sahabat saya. Saya terdiam. Di dalam benak, saya ‘gerrrrammm’ sangat pada spesis syaitan dan iblis ini. Kerana merekalah ikatan sesama manusia terlerai dan seringkali tergadah masuk kedalam kebuntuan. Merekalah yang menutup hati kita dan membuatkan kita terlupa pada tugas kita sebagai manusia sebenar.

Kenapa tidak kita serang balas balik terhadap iblis dan syaitan ini. Kita bina cinta sesama kita setiap hari. Cinta sesama suami isteri, keluarga, saudara, sahabat. Namun, pencarian itu perlu bermula dengan rasa cinta kepada Pencipta kita pertama-tamanya. Mulakan dengan Agama. Dari situ kita akan dapat menyemai ikatan-ikatan yang lain dengan tertib, teratur dan indah, InsyaAllah.

Bahasa-bahasa cinta itu amat manis, lunak, enak dan amat mengenyangkan dan tak lapuk dek masa. Kenapa ya kita tidak boleh gunakan ia setiap hari? Kenapa ya kita tidak dapat menggaulnya diperiuk jiwa dan hidangkannya dipinggan hati setiap manusia? Kenapa tidak kita cinta kepada apa saja nikmat yang baik (yang diizinkan Allah) yang hadir di hadapan mata? Bukankah cinta juga boleh dititipkan dalam kerja, hobi, minat dan sebagainya. Sudah tentu cinta juga boleh ditiupkan dengan mudah ke dalam perasaan juga. InsyaAllah.


Sesetengah orang berpendapat “ Mengharapkan cinta semata, tidakkan dapat menyambung nyawa atau tidakkan terisi perut yang lapar.”
Benar tu, untuk cinta juga kita perlu makan dan keperluan lain yang sudah menjadi fitrah nafsu nafsi manusia. Itu kita panggil tanggungjawab hidup. Selalunya bila kita ada cinta sebagai kepala, maka secara automatisnya tanggungjawab akan muncul sebagai ekornya. Kita mahu berusaha untuk yang tercinta. Tak gitu?
Masalah kita sekarang, mungkin kerana kita sedang diganggu iblis yang sedang menukarkan tanggungjawab sebagai kepala dan cinta sebagai ekornya. Haaa.. itu yang sesekali menjadikan segala usaha hidup kita menjadi sekadar-kadar sahaja. Pernah dengar tak dialog begini, “Ahhh!! Cukuplah tu, asal aku dah buat tanggungjawab aku.” Padahal diwaktu itu mungkin ada yang perlukan lebih daripada apa yang “kita rasa” cukup. Mungkin ada yang kepingin benar kita menghulurkan tanggug jawab itu dengan rasa cinta yang telah lama kita lupa. InsyaAllah, apabila kita hulurkan tanggungjawab didahulukan dengan rasa cinta nan ikhlas dan murni sejati, maka yang tidak cukup pun akan terasa amat cukup.

Sebab itu cuba kita ambil contoh kehidupan mereka yang serba serbi tidak cukup tetapi pada wajah mereka dan keluarga terpancar sinar yang memberitahu hidup mereka cukup dengan cahaya cinta dari Allah dan cinta dari mereka yang dinaungi dan disayangi. Begitulah ajaibnya cinta Allah kepada mereka yang mencintai-Nya dan mencintai apa yang dipertanggugjawabkan oleh Allah di dalam bentuk yang lain, terutamanya insan.
Tiap dari kita mempunyai banyak kelemahan. Terlalu banyak kekurangan dalam sikap sehingga ada yang bosan asyik menerima kelemahan itu. Sebenarnya, itulah yang syaitan mahu. Mahu kita bosan dan lemah.Adakalanya kita tidak terlarat untuk melalui kelemahan-kelemahan itu. Kita putus asa. Makin hari makin hilang cinta. Makin hari makin juga kita tidak berdoa. Semakin hari semakin kita rasa, yang benar hanyalah kita. Pendapat yang lain tidak benar. Lama kelamaan semakin kita rasa cinta itu tidak ada kepentingannya. Tawar! Basi!

Dicelah tanggapan kita itu sebenarnya kita sedang memandang kelemahan luar. Kekurangan yang datang dari luar. Bagaimana pula yang ada pada diri kita? Benarkah kita ini telah sebenar-benarnya berusaha untuk cinta? Yang mana dalam cinta insani, kita perlu menimbang kekurangan itu bersama. Menjiwai dan mendampinginya bersama. Agar timbang itu menjadi sama berat atau ringannya. Kenapa ya kita tidak boleh begitu?
Kenapa ya kita tidak mahu menurunkan sedikit graf angkuh dan ego kita demi sepalit cinta? Alahai, setakat manalah ego kita itu jika nak dibandingkan ego Allah? Usahlah berlebih-lebihan. Yang lebih itu hak Allah Yang Maha Berkuasa. Ego Allah itu Maha Tulin sebab Dia boleh cipta segala-galanya. Ego kita? Seekor lalat pun, tidak boleh kita berikan nyawa.

Untuk hari-hari cinta, tidakkah kita rasa perlu setiap hari meluahkan pada alam agar alam memantulkannya kepada kita juga? Bukanlah maksud saya untuk membandingkan manusia dengan barang yang berhabuk tetapi andaian hidup selalunya ada perkaitan untuk difikirkan. Ada pertalian. Untuk apa Allah SWT itu memberi kenikmatan rasa cinta itu jika kita tidak sama-sama menggilapnya? Untuk apa Allah memperlihatkan kita segalanya yang baik itu? Adakah untuk hanya dipandang sahaja, tanpa sama-sama langsung menilainya? Bukankah kita selalu disuruh berfikir, berusaha dan bersabar?

Cinta, bukanlah perkataan yang hanya satu nama dan satu makna. Cinta adalah satu gabungan yang perlu dihadapi bersama. Cinta mempunyai banyak resepinya. Antaranya semangkuk rasa simpati, sekati sayang, secawan rasa perihatin, sepinggan pengorbanan, sesudu kasih, secubit adil, dan sebagainya.Untuk mendapatkan cinta yang “marvelous” dan “delicious” memerlukan banyak perkara. Dalam cinta, resepi utamanya adalah sabar yang amat kukuh. Sabar yang bertalikan kekuatan Allah. Bukan sebelah pihak sahaja yang perlu melakukan ini tetapi dua. Dua insan satu cinta yang isinya membuahkan harmoni dan rukun.

Semua ini tidak semudah kata, benarlah itu. Pun begitu apalah salahnya meluangkan masa untuk berusaha dan menjadikan ia kebiasaan yang selaras, InsyaAllah di akhir cerita usia yang lanjut, hidup dalam cinta begini akan saling pengaruh mempengaruhi dan faham memahami. Saat itu, cinta ibarat kembar. Sama-sama bersandar. Sama berpaut. Cinta seperti ini harus patuh pada pertimbangan perasaan dan akal, bukan muncul kerana tarikan dan pesona semata. Pesona mata tidak akan kekal lama. Pesona hati membawa ke mati. Eloklah kita memupuk pesona hati setiap hari.

Ingatlah wahai kita yang dianugerahi rasa cinta dari Ilahi. Baik cinta kita kepada Allah atau cinta kita kepada sesama insan wajib ada gilapan. Pupuk setiap hari walaupun adakalanya terasa benci dan letih. Benci dan letih itu sekadar sulaman syaitan. Selingan yang juga memberi ujian. Bajai dengan keikhlasan yang sejati. Sirami dengan sejuk air doa. Lihat bagaimana Allah menyuruh kita memelihara cinta kita kepada-Nya melalui tanggugjawab solat. Setiap hari, malah setiap lima kali sehari kita wajib bersujud memberikan cinta kita kepada Allah. Begitulah sewajarnya kita ambil pelajaran dari pengajaran yang Maha Pencinta Ilahi sampaikan.

Ya, Allah!
Izinkan aku menghargai Cinta yang diberikan oleh-Mu, Tuhanku.
Amin.

Hanya sekadar pendapat kecil. Sungguh, yang baik dan elok itu hanya dari Allah SWT semata. Yang lemah itu dari kesilapan manusia. Saya juga manusia itu. Wallhua’lam.

“JIKA KAMU MAHUKAN CINTA; DIA JUGA BEGITU.
BERGABUNGLAH DAN CORAKKAN CINTAMU
SEBAGAIMANA YANG KAMU DAN DIA MAHU
SEIMBANGKANLAH PULA MENGIKUT TURUTAN YANG ALLAH MAHU.”

~Raz.R~