Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, February 20, 2026

Orang Akan Lupa Kita



Bismillah. Solli ‘ala Muhammad.

Hari kedua Ramadan 2026.
Alhamdulillahi ‘ala kulli hal. Rajin pula hati ini mahu menulis.

Tiba-tiba terlintas di fikiran untuk bercerita tentang siapa diri kita di mata orang lain dalam hidup ini. Mungkin keluarga tidak akan melupakan kita. Namun apabila hayat sudah tiada, ingatan mereka juga akan semakin samar, dihujani kesibukan dan kejaran hidup masing-masing. Kita barangkali hanya tinggal kenangan yang sesekali sahaja menjengah ingatan.

Apatah lagi bagi orang lain.

Ini kenanganku. Ramai yang pernah menjadi sangat rapat denganku, kini perlahan-lahan meletakkan aku sebagai orang terakhir untuk mereka ingat — ketika aku masih hidup, ketika aku masih ada. Mula-mula berjarak, kemudian menjauh. Ada yang melupakan dengan sebab tertentu, dan ada juga tanpa sebab yang jelas. Namun tetap aku dilupakan.

Begitulah kehidupan. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Manusia memang diciptakan dengan sifat lupa — itu tidak dapat disangkal. Bahkan kadang-kadang kita juga lupa akan diri sendiri.

Percayalah, dalam aturan hidup ini kita dikelilingi hakikat bahawa yang rapat hari ini belum tentu akan kekal selamanya. Semuanya dengan izin Allah. Dalam baik, dalam sayang yang seluas langit sekalipun, sampai masanya kita boleh sahaja dilupakan manusia.

Kita perlu belajar untuk tidak bersedih apabila dilupakan. Pandanglah dari sudut yang lebih positif — pasti ada hikmah dan kebaikan daripada Allah dalam setiap yang berlaku. Jangan marah apabila orang yang kita harapkan tidak melupakan kita, tiba-tiba lupa seolah-olah kita tidak pernah hadir dalam hidup mereka. Redha.

Mari tetapkan hati untuk sentiasa berdoa agar kita sendiri tidak lupa daratan dalam menjalani kehidupan ini. Itu sudah memadai.

Sebab itulah kita perlu hidup kerana Allah. Jalani hidup dengan menyerahkan segalanya kepada-Nya. Dalam kelemahan sebagai manusia, hanya kepada Allah tempat bergantung agar kita tidak merasa kecewa. Allah tidak pernah melupakan hamba-Nya walau sesaat pun.

Dalam apa jua keadaan, semaikanlah cinta yang menghijau kepada Allah Taala.

Insya-Allah, bahagia akan menyirami jiwa. 🌿