Waktu ini, alhamdulillah solliÁlaMuhammad, terluang untuk meluahkan kata hati sedikit. Masa sendirian, ada masanya indah. Ada kalanya gundah. Kita manusia biasa.
Lemah.
Pada erti kata makhluk, yang segalanya adalah dengan izin Allah itulah kita. Tiada daya upaya sedikit pun melainkan Allah-lah semuanya.
Air mata.
Sebagai tanda mula kelahiran kita manusia. Dunia melihat kelahiran dan tangisan awal bayi sebagai nikmat. Bagi bayi yang lahir, tanda dan makna tersedia bagi orang yang sentiasa memikirkan kenapa bayi tidak dilahirkan dengan ketawa tetapi menangis?
Ada rahsia Allah.
Barangkali, bayi menangis meninggalkan syurga kerana terpilih ke dunia untuk menghadapi ujian-ujian Allah. Boleh jadi bayi merasa takut perjalanan akhirnya meniti dewasa akan berakhir dimana?
Syurga bukan lagi bonus untuknya tapi satu perjuangan. Wallahua'lam.
Tanda lemah.
Adalah kenyataan kepada hakikat di sebalik tangisan.
Namun, tangisan dan lemah itu bukanlah kekalahan diri.
Sebaliknya itulah jua kekuatan manusia.
Bukti kuat adalah, bilamana saat airmata mengalir kerana usaha dan beban telahpun diganti dengan rasa bahagia. Nikmat tangisan yang dikecapi itu membalikkan rasa lega yang tiada tara. Dengan tangisan jugalah ia menjadi sangat bermakna.
Berteleku, sayu dengan airmata apakala bersendirian menangisi dosa dan kepincangan diri mendampingi dunia yang kian karut dengan pura-pura dan sia-sia. Itulah panggilan rasa daripada Allah yang lebih indah daripada segala makna.
Airmata kesedihan yang berharga.
Airmata keinsafan yang sebenarnya dari taufiq dan hidayah Allah.
Kesedihan, hiba kerana jiwa yang dihimpit rasa kembangnya mahu memenuhi ruang harian dengan taubat. Memang sakit, kerana kita bertanggung-jawab mengharungi sekaligus mengimbangi diantara pilihan yang kita langkah ke dalamnya. Antara memenuhi aturan dunia yang meletihkan dan menyediakan waktu untuk mendekati Allah dengan keikhlasan dan kesungguhan.
Bukan senang.
Cuma, jangan putus asa.
Kerana apa jua yang lemah itulah yang membasuh jiwa kita untuk bangkit semula.
Akhirnya kepayahan itu adalah asbab untuk kita pertemukan diri dengan Allah total seratus peratus menyembah.
Dialah Allah.
YANG MAHA BESAR DAN BERKUASA
🤍