Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, September 26, 2022

Semuanya Allah!

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

 Ada hari, ada waktu, Allah hadirkan ujian yang kita sendiri tidak tertahan untuk melaluinya sekalipun kita sedar bahawa Allah tidak akan membebani kita tanpa mengetahui kadar kemampuan kita. Hanya akan dikurniakan ujian mengikut kemampuan kita.

Cuma..., kita selalu terbawa dengan rasa tidak yakin bahawa kita dapat melaluinya lantaran terdapat terlalu banyak usikkan yang mengganggu harapan kita terhadap sesuatu. Kita terasa amat lemah. Kita hanyut di bawah keadaan ketabahan yang kurang. Kita tidak dapat menyeimbangkan kekuatan Allah di dalam diri kita. Kita tidak terdaya. Itulah kelemahan kita sebagai manusia yang nyatanya tiada daya upaya.

Masih, kita berharap agar ada makhluk (manusia) yang hadir memberikan semangat untuk kita memapah diri kita ini. Mengharap kepada insan-insan yang mengakui menyayangi kita, mahu sentiasa bersama-sama kita ketika senang atau derita. 

Ternyata, adakalanya tiada. Tiada siapa! Melainkan Allah Ta'ala sahaja.

Itulah, kelemahan kita. Mengharap kepada manusia,  pengakhirannya hanya kekecewaaan. 

Astaghfirullah.

Betapa saat ini kita menadah kepada Allah, agar kita merasai kekuatan yang Allah salurkan ke dalam diri. Agar diri mendapat kekuatan iman daripada Allah sepenuhnya. Agar dapat diri merasai kenikmatan hanya bergantung kepada Allah semata. 

Betapa hati mendambakan jati jiwa yang sepenuhnya dilingkari cinta kasih Allah semata. Rindu akan rasa mesra yang membara sepenuhnya terus daripada Allah. Ingin memahami bahawa tiada apa-apa pada jasad, roh sendiri ini melainkan semuanya rentak Allah, tajali Allah, asbab dan af''al Allah. Semuanya Allah!