Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, June 20, 2020

Mendoakan💖


Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.
Sudah tentu dalam hidup ini, kita punyai hasrat dan rasa hati. Keinginan yang diimpikan diharapkan menjadi realiti. Tidak semua cita-cita Allah izinkan kita mendapatkannya itu menjadi nyata sekalipun kita telah berusaha. Namun, jangan putus rasa percaya kepada urusan yang Allah susun untuk kita. Sesungguhnya, DIA maha Mengetahui. Yang terbaik itu adalah milikNya.

Doa
Adalah penggantungan diri. Hihi, bukan gantung kat pokok tau. Itu bunuh diri!
Penggantungan diri kepada Yang Menciptakan kita. Yang telah menghidupkan kita di dunia atas kehendakNya. Tuhan yang mempunyai alasanNya yang mewujudkan kita. Yang Memberitahu bahawa Dia Berkuasa.

Dalam hidup kita, sudah tentu Allah sertakan di sekeliling kita orang-orang yang Dia takdirkan untuk hadir menjadi jalan cerita hidup kita. Kerana itu, doa adalah laluan yang indah untuk kita berikan kepada semua orang. Apatah lagi orang yang kita kasih dan cinta. Sementara kita masih ada roh dan nyawa, seharusnya kemanisan berdoa itu usah kita sia-siakan. Doakan siapa sahaja. Kerana semua makhluk memerlukannya.

Kepada setiap orang yang aku sayang, sudah tentu aku sentiasa menjadikan kamu hadir di dalam tadahan doa-doaku yang manis-manis dan indah-indah belaka. Aku tidak mengharapkan kamu memahami aku atau mempercayai apakah aku ikhlas mendoakanmu. Itu bukan urusanku. Yang penting, terlafaz segala doa apabila seorang hamba diam berdepan dengan TuhanNya, itu antara dia dan TuhanNya. Titik!
Semoga doa-doaku adalah pautan kasih Allah tanpa hijab yang Allah sedia makbulkan. Amin.

Friday, June 19, 2020

Kelu Tanpa Rela😢

Tak boleh nak cakap.
Kelu.
Mengiyakan tanpa rela.

Saat yang sukar adalah saat yang aku tak mampu nak suarakan apa yang terbuku di dalam hati. Saat ingin menasihati, menyatakan atau berpesan sedangkan perkara yang aku nak cakap itu telahpun diketahui tetapi sengaja diabaikan dan dibuat tidak tahu. 

Bila disuarakan akan menjadi salah tanggapan dan masalah dalam silaturahim. Mengelak rasa sakit. Meneruskan rasa bersalah.
Hanya berserah kepada takdir, menunggu ia berakhir...


Sunday, June 14, 2020

Rendah hati Mulia Jiwa



Sesetengah orang, kadang-kadang layan kita macam sampah. 
Seolah kita ini tidak layak berada di kalangan yang baik.
Terhegeh-hegeh kita jaga hati dan mendahulukan kemaafan demi keharmonian perhubungan. Kita tidak diberikan keadilan sewajarnya semata-mata kerana mungkin kita pernah berlaku salah. 

Astaghfirullah. Sudah tentu hati akan sedih dengan keadaan tersebut. Terus kita akan rasa 'down' dan lemah tidak bersemangat. Malah, ada saatnya kita rasa malu dan bagai memperbodohkan diri.

Bagaimana untuk melalui perasaan lemah semangat ini?
Berhenti melayani minda yang terlalu jauh berfikir.  Pandang dengan pandangan mata Allah yang menciptakan persoalan dan jawapan.
Ada persoalan yang tidak dapat di jawap oleh manusia kerana jawapannya hanya di dalam pengetahuan Allah.

Bilamana orang lain melayani kita macam sampah, jangan kita marah, bertenanglah...., sila angkat semula diri kita sebagai makhluk Allah yang tetap ada bahagian istimewa di sisiNya. Semuanya ada di dalam hati dan fikiran kita. Kita ciptakan pandangan yang optimis tentang diri sendiri. Kita tidak harus melayan kekeliruan kita terhadap apa pun yang berlaku kerana hidup ini adalah dalam perancangan Allah. Demikian jika Allah mahu menjadikan segala sesuatu baik untuk kita, tidak terlepas kita daripada pandanganNya. Sungguh, kita perlu segarkan nurani kita dengan menerima semuanya sebagai latihan untuk kesabaran diri. Ujian Allah untuk orang-orang yang dikasihiNya.

Terus asingkan perasaan tidak berdaya kita itu kepada Allah. Terus percaya bahawa tidak ada yang terpaling baik melainkan memandang sesuatu itu dengan mendahulukan Allah.

Cipta kemuliaan jati diri sendiri. Bangun bahagiakan hati dengan meyakini bahawa tiada sezarah urusan kehidupan ini adalah dalam kudrat kita yang lemah melainkan semuanya adalah percaturan Allah.

Mungkin, kita salah meneka. Mungkin kita menurut rasa. Barangkali kita terlajak sangka.
Lepaskan jauh semua kemungkinan tersebut.
Jadilah diri kita yang tetap baik dan bertindak baik di dalam segala hal. "Be a better person.
Cari kecantikan jiwa yang kita sembunyikan lalu keluarkanlah ia. 
Jangan patah semangat. Sentiasa ingatkan diri tentang adanya Allah dan semua yang berlaku tiadak sezarahpun dalam kebolehan kita sendiri. Semuanya Allah punya.

Saturday, June 13, 2020

Tak tinggi, tapi tetap terbang


Rama-rama🦋

Alhamdulillah.  Berkesempatan merakam rama-rama di halaman. Kagum. Aku bersyukur dengan mata yang Allah izinkan dapat melihat. Allahu. Tak mungkin terbayar kasih-sayang Allah ini.

Lemah-lembut sahaja. Ku telitikan ketika ia singgah di setiap satu bunga. Tidak langsung merosakkan bunga. Sopan terbangnya. Mendarat di dahan-dahan pun tidak berderap. Senyap. Terus terbang.

Hidup yang bermula dengan ulat yang nampak menggelikan, kemudian bertukar menjadi makluk ringan yang terbang dengan penuh kecantikan.  Allah ajarkan sesuatu.

Terbang tak tinggi, namun tetap terbang.  
Hidup yang berakhir dengan indah. Hanya hinggap pada bunga-bunga.

Aku sepatutnya macam rama-rama.
Bersemangat untuk terbang walau tak tinggi namum destinasinya indah.

Berlembut, tiada apa yang perlu dimarahkan dalam hidup ini. Cantikkan diri dengan hati yang cantik.  Mungkin hidup kita hanya sebentar seperti rama-rama namun kita wajar terus hinggap dengan memperindahkan perjalanan hidup kita seadanya. 

Do something amazing to yourself.




Wednesday, June 10, 2020

Kita Hanya Berusaha Untuk Tenang💖




Tenang.
Semua orang ingin tenang selalu. Ingin bahagia dengan tenang. Ingin tak ada masalah, walaupun saat itu dia sedang ada masalah. Ingin rasa yang damai yang di sisinya tiada benci, tiada khianat, tiada marah, tiada cemburu, tiada ragu, tiada dendam, tiada iri sakit hati, tiada sangkaan buruk atau tiada yang mazmumah. Kalau boleh kita nak dalam hati kita ini hanyalah perasaan yang cuma ada yang baik-baik semata, tak ada yang tidak baik langsung. Semua kita nak macam tu, kan?

Tenang itu juga makhluk ciptaan Allah.
Allah resepikan untuk hati manusia. Ia untuk memberitahu kita bahawa nanti di sisiNya, kita akan lebih mendapat ketenangan hakiki, yang kekal, yang tidak berakhir, yang selama-lamanya. Allah hadirkan sedikit untuk kita di dunia yang sementara ini. Kekadang tenang, kekadang tidak. Tenang itulah nikmat yang kita hanya boleh sebut, boleh rasa tetapi untuk menggambarkannya adalah abstrak.
Kelak, jika diizinkan Allah di syurga , semua hambaNya akan menikmati tenang selama-lamanya. Masing-masing penghuni syurga akan bahagia dengan ketenangan yang abadi. Beruntunglah bagi mereka yang Allah pilih untuk bersama di sisiNya dengan saujana tenang yang tidak tergambar dek akal. MashaAllah. 
Di dunia ini, rasa tenang itu berbeza. Ia hanya cetusan kecil pantulan daripada syurga Allah. Kita kena berusaha untuk mencari ketenangan. Kita kena berdoa kepada Allah, mengingati, merasai Allah, memandang Dia, dan memahamkan akal hati kita tentang Dia jika mahu ketenangan, seperti dalam firmanNya,
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” ( QS Ar Ra’d : 28 )

Bukan mudah untuk kita sentiasa berada dalam ketenangan memandangkan selagi bernyawa, kehidupan kita akan tetap bergelora dengan ujian. Hidup kita di dunia sudah ditulis untuk berletih-letih. Bagi menggapai segalanya yang baik dalam dunia ini, jarang sangat ada jalan yang mudah bagi orang-orang Islam. Kita perlu melalui tahap-tahap kesabaran menghadapi baik buruk aturan Allah sebelum kita mengecap sedikit rasa tenang. Itu pun mungkin dalam jangkamasa yang sebentar cuma. Rasa tenang sama macam rasa gembira. Seolah ia singgah sekejab sahaja berbanding dengan rasa sakit, derita atau sengsara. Datang bagai taufan, pergi meninggal kesan yang mencengkam.

Kita hanya berusaha.
Berusaha untuk menjaga iman agar Allah menghadirkan suluhan NurNya ke dalam jiwa sehingga tenang itu tiba. Sekalipun ia tidaklah setiap masa, ada jatuh bangun dan pasang-surutnya, kita perlu berusaha untuk tidak sekali-kali berputus-asa. Terus mencari cara menggapai tenang. Yang penting dengan izin Tuhan. Dialah yang sebenarnya mendatangkan segala sumber ketenangan melalui pelbagai saluran pilihan.

Pilihan apa yang kita ada?
Ada orang tenang dengan beristighfar, bersolawat dan berzikir.Teruskanlah.
Ada pula suka bangun malam, sujud dan bersendirian dengan Allah. Teruskanlah
Ada ketenangan lain bersumberkan tadabbur Al-Quran. Membaca dan memahami kalimah Ilahi. Silakan.
Ada orang dengan bersedekah, dia rasa tenang bahagia. Alhamdulillah.
Ada juga yang menjadikan ketenangannya dengan menyaksikan keindahan ciptaan Allah.
Pendekkata pelbagai pilihan yang kita ada.
Malah syurga tidak dikhususkan hanya untuk satu pilihan. Ia adalah rahmat Allah yang ditakdirkan oleh belas cinta Allah Taala. Dengan usaha penuh keikhlasan, dengan ibadah yang telus, Insha-Allah ketenangan akan di'reward'kan kepada kita dengan izinNya melalui rahmatNya.

Demikianlah, kita hanya mampu berusaha untuk tenang. 
Ketenangan itu tidak akan datang dari sumber-sumber yang tidak baik. Itu janji Allah. Carilah dengan usaha-usaha yang baik. Pertahankanlah kebaikan sebagai makanan roh  kita.

Mudah-mudahan, apa sahaja yang kita lalui, dapat kita terima dengan baik dan kita akan tenang. Amin.
Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad.💖





Tuesday, June 9, 2020

Bukan Mudah!



Bukan mudah.
Kita minta jiwa kita selalu stabil, okay, rileks, macam boleh 'carry everything smoothly', tidak tergugat dengan kancah cuaca 'nafs' yang silih berganti.

Kita cakap senang. Nak istiqamah dengan Allah. Walau apa sahaja pun halangan , kita nak teguh di jalan yang tidak terpesong daripada tuntutan Tuhan. Bukan mudah!

Bukan mudah untuk membendung hati supaya tidak terkesan dengan arus yang mencabar, pertukaran emosi dan dugaan jiwa yang kadang-kadang sabar, kadang pula resah, kadang marah menggila dengan benci, ego, dendam dan gelojak rasa yang ingin menyakiti dan mengkhianati.

Mudahkah untuk berdiam diri tidak membalas, jika sudah hadir terlalu banyak tekanan dan seruan beracun yang singgah ke telinga tanpa rela? 

Adakah mampu ujub, riyak, megah kita sekat daripada melintas di ruang dada bilamana pujian melingkar bagaikan pewangi dan bunga-bunga? Siapa tidak suka pada bisik yang sedap di telinga. Bukan mudah untuk menidakkannya, kan?

Selalu ada jalan jikapun gelora yang kita lalui itu tidak mudah kita elakkan. Seharusnya kita bersimpati dengan diri kita. Sudah tentu ada sebab mengapa sesuatu itu menjadi tidak mudah kita hadapi. 

IMAN. 
Ya! Iman kita yang kita lekakan tanpa diasah dan ditanam dengan akar kesabaran yang kukuh.
Kita gagal mendidik diri dengan iman yang menjadi pencetus akhlak yang benar terhadap roh kita.
Kita lalai dengan keduniaan yang penuh pengharapan yang palsu. Kita jatuhkan iman kita di gaung yang mengotorkan hati dan menambahkan hukuman terhadap diri sendiri. Kita tidak berjaya membentuk iman kita dengan cahaya yang kita dahagakan yakni ilmu yang tidak sepatutnya jemu dicari. Kita degil. Degil untuk tetap duduk di dalam dunia khayalan yang kita sangka akan kekal selamanya.

Mungkin...
Kita masih dibaluti hari kelmarin yang telah berakhir hingga memadamkan rohani kita bahawasanya hari ini dicipta untuk kita perbaiki iman kita. Manakala kelmarin adalah kelmarin yang tiada lagi.  Demikian juga hari esok yang Insha-Allah jika diizinkan kita bangkit lagi.

Hari ini, kita bangun. Doakanlah diri sendiri. Jangan lupa. Mintakan Allah menolong iman kita berpaut kepadaNya dengan kuat dan untuh!

Allahumma solliala sayyidina Muhammad. Wa'ala alisayyidina Muhammad♥♥♥ Amin...

Hanya Manusia Hamba




Ketika bahagia datang dalam memperdiamkan diri sehingga engkau merasa lemah dan hina, bersimpuh dengan harapan Rabb-Mu memandangmu, engkau mengakui akan dosa-dosamu. Engkau teliti betapa angkuhnya dirimu di kalangan makhluk yang tidak layak engkau sombongkan. Engkau tunduk memandang sekujur dirimu dengan menjadi kepunyaan Dia. Sehingga jauh-jauh-jauh ke dalam sukmamu merasakan dirimu hanyalah bayangan yang tiada bayang. Saat itulah, tandanya engkau sedang kalah kepada TuhanMu sebagai hamba-Nya. Tiada yang lain lagi melainkan hamba semata.

Saturday, June 6, 2020

Pentingkah kita?




Allahuma solli'ala sayyidina Muhammad. 

Sejauh mana pentingnya diri kita di dalam kehidupan orang lain, sekadar itulah harga kehadiran kita.  

Bila kita penting, orang akan cari, akan tawarkan kita dengan pelbagai halwa telinga.  Bila kita sudah tidak lagi disukai, macam-macam helah dan alasan dicipta agar kita dapat hilang daripada kehidupan mereka.

Tak kisahlah samada penting atau tidak diri kita dalam naskah harian orang lain. Yang penting, kita tetap terus menghargai sesiapa sahaja sebagai hal yang penting dan bernilai dalam hidup kita.

Allah tidak menciptakan sesiapapun dengan tujuan sia-sia. Justeru jangan kita sia-siakan sesiapa.

Manusia boleh berjanji, berkata manis, namun janji itu belum boleh diguna-pakai selagi tidak ada jalinan dengan janji daripada ketetapan Allah. Hari ini orang boleh sahaja cakap sayangkan kita, esok lusa, kita tak akan tahu adakah rasa itu masih sama atau hanya tinggal ungkapan tanpa rasa?

Tak apalah. Jangan diberatkan sangat fikir tentang manusia ini. Fikir sahaja tentang diri kita yang setiap hari harus dikoreksi. Perbetulkan apa yang tidak baik, berubah menjadi baik dengan usaha dan doa kepada Allah yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Ini pengalamanku→ Jujur walaupun sakit, lebih membuatkan aku bahagia hati. Kalau aku tak jujur, aku selalu simpan banyak perkara yang menjadi rahsia yang tak elok di hati. Bila aku nak tutup rahsia itu, aku terpaksa berlakon dan berbohong. Lama-lama ia membuatkan hidupku rasa selalu tak kena kerana terbeban dengan pembohongan. Allahuakhbar. Astaghfirullah.

"Stay lovingly loving"
❤❤❤




 

Belajar Bersyukur Seadanya⚘🌷🌼



Alhamdulillah... ♡ Mensyukuri apa sahaja. Kurang lebih, dengan syukur tanpa iri kepada sesiapa, hati akan dipulihkan ketika sedih melanda. Belajar dari dunia yang dipenuhi pelbagai. Allah telah atur segala hal mengikut kebijaksanaanNya. Ketika ada, jangan terlalu hanyut. Ketika tiada, jangan terlalu kecewa.
Jangan patah semangat dan jangan juga mematahkan semangat orang lain. 
Setiap makhluk, telah Allah tetapkan kecukupan baginya. Yakin sahaja kepadaNya.

Thursday, June 4, 2020

Moga Menjadi Sahabat Syurga♥♥♥



Waktu berlalu. Digamit memori yang silih berganti. Yang diingat. Yang dilupa. Manis kenangan  menggetarkan bayangan akal. Perlahan tersenyum melihat sosok-sosok jasad di gapaian masa yang berlalu. Paling indah adalah ilmu yang tidak pernah lokek dikongsi. Rasa dan emosi. Tawa, tangis, rajuk, suka dan duka terisi dengan aturanNya yang nyata. Aku kenali ikhlas yang melembar murni. Dibingkai kasih-sayang yang jelas tulus sekali. Dengan Al-Quran kita bertemu. Semoga dengan Al-Quran juga nanti kita menyapa di syurga hendaknya. 

Sahabat syurga. Moga tertulis nama dan kita bertemu dengan senyum mesra di sana. Amin.
Dalam sujudku, aku bingkaikan salinan nama kalian. Semoga Allah redha kepada kita semuanya.
Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.

Terima kasih Allah untuk waktu yang kami harungi.