Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, December 23, 2017

Subhanallah❤


بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bila saja kau datang kepadaku,
tidak pupus rasa cinta,
kepadaNya.
Begitulah yang aku lakukan,
memabukkan diriku,
dengan rinduku kepadaNya jua.
Memanggil namaNya,
dengan syahdu dan berharap,
ku meminta-minta,
RahmahNya, BelasNya, CintaNya.
Kusertakan namamu dengan solawat,
Ummul kitab menjadi sedekahku.
Begitulah aku selalu,
mendepani hatiku, mendakapi doaku,
dari jarak yang menolak jauh,
di ruang hati yang tulus bercahaya,
berpagarkan runtuhan air mata...

Subhanallah.
Dialah Yang Maha Kuasa.
Menyalurkan sakti di dalam jiwa.
Tiada di mata, ada di hati.
Tak henti.
Ilahi Robbi....





Wednesday, December 20, 2017

Rupa



Kita lihat orang yang nampak berada, kita suka, kita nak dekat nak jadi kawan. Malah, kalau pasangan impian, itulah yang menjadi rebutan. Mengejar rupa yang berbentuk kemewahan. 
Kepastian yang tidak pernah jelas. 

Walhal, entahkan keberkatan Allah tiada di dalam keindahan yang kita rasa indah tersebut. Kita tak tahu tetapi Allah tahu.

Kita dekat dengan orang buruk rupa, miskin dan kotor, kita rasa tidak ada kelas, jijik, menjengkelkan. Lebih buruk kita letakkan keburukkan yang kita nampak itu adalah lambang hina dan kejatuhan.

Walhal, entahkan kemuliaan Allah yang melimpah ada menghimpit dicelah-celah yang nampak tak lawa tersebut. Kita tak tahu tapi Allah tahu.

Asal kita manusia daripada tanah yang busuk. Sama macam rama-rama. Kemudian dari janin yang nampak hodoh, terlahirlah manusia. Pun, kekadangnya kita dah terlupa bahagian kita yang dari tanah dan air mani yang kotor itu.

Kerana itu Subhanallah, kecantikan yang Allah pilih itu adalah hati.  Allahurobbi.... 
Semoga kita sentiasa sedar diri.

Monday, December 18, 2017

Seadanya Bahagia.❤

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Garam dan gula sama warna. Rasanya tak sama. Kedua-duanya berguna. Cuma, jangan berlebihan. Begitulah hati. Sama warna dan tak sama 'feels'

Jadi persoalan rasa yg tak serupa ni, kita kena sabar banyak².
Satu, sebab sunatullah yang mempertemukan dgn pelbagai rasa yg tak sama.
Dua, asbab dari tak sama itulah kita belajar pelbagai perkara. Begitulah dengan sikap kita yang tak sama. Ada yg mungkin terdapat pada org lain, mungkin tak ada pada kita. Kemudian, kita belajar mengenali. Kita belajar kuat tabah untuk hadap dengan ketidaksamaan tersebut. Kita belajar memaafkan yang terkurang dan terlebih. Kita belajar mendalami yang pelik dan yang tak pelik. Malah, kita belajar bahagia dengan apa adanya.
Semua itu indah dan istimewa.

Adakala hanya perlu berbincang dan mengimbangkannya dgn suasana. Tak perlu dijadikan punca bertengkar dan bersengketa. Tukarkan sebagai ticket kepada senyum mesra. Tukarkan kepada bertolak-ansur dan berbaik sangka. Tukarkan kepada saling menghormati rasa 'garam dan gula'. 
Tukarkan marah kepada cinta.

Cubalah, menjadi adil terhadap diri sendiri dan sekeliling kita. Insha-Allah, kita akan menjadi sebaya dengan usia yang Allah kurniakan. Dewasa. Tenang.

Dengan itu, kita bukan sahaja disayangi makhluk, malahan dicintai Allah jua.


Friday, December 15, 2017

Apa yang kau fikir, itulah dirimu.

Hari ini Jumaat. Alhamdulillah.
Senyum..😊💕
Solawat serta salam kepada Rasulullah SAW. Allahumma solli'alasayyidina Muhammad. Insha-Allah, jaga niat hati kita, Allah akan 'reward'kan dengan pahalaNya. Amin...

Sejauh mana kita mampu bersangka baik dengan apa yang kita lihat di ruang-ruang mata kasar kita?
Perangai kita yang perlu dijaga terlebih dahulu. Terutamanya hati kita. Kadang-kadang, hati kita ni, nauzubillah, tak baik. (Moga Allah ampuni kita) Mata kita sekadar melihat tetapi hati kita yang pandai-pandai mengolah-olah apa yang kita lihat dengan emosi dan logik akal. Kita lihat perkara yang sepatutnya baik pada tujuan orang lain, namun kerana hati kita lagha, busuk dek cemburu, apa yang baik kita tafsirkan menjadi tidak baik. Begitulah selalunya kita.

"Apa yang kita fikir, itulah diri kita."
Belajarlah menghargai apa sahaja. Terutama menghargai akal dan hati yang Allah beri dengan kebaikan-kebaikan  yang kita sepatutnya cipta di dalam jiwa. Jika kita cipta keliru dan hasad maka itulah diri kita yang sebenar.

Selalulah bermuhasabah.
Jika orang, mempamerkan kegembiraannya, jangan kita menekap dengan buruk sangka. "Nak menunjuk la tu. Nak tagih pujian la tu"... Padahal, dia mungkin punya 1000 alasan yang baik untuk apa yang dilakukannya. Kita tahu kah apa yang terselit di dalam dada manusia? Takk!!! Allah saja yang tahu. So, kenapa kita nak jadi Tuhan?

Ya, kita selalu cuba menjadi Tuhan. Kita tak sedar. Itulah bisikan syaitan.

Cubalah kita ubah persepsi kita tentang sesuatu. Bukannya hanya bersangka baik, tetapi ikhlaskan hati dengan sangkaan baik kita.

Kalau orang senyum, kita turut senyum.
Kalau orang gembira, kita gembirakan hati kita untuknya.
Kalau orang sedih, kita berikan semangat untuknya.
Kalau orang senang, jangan kita dengki dengan kesenangannya.
Kalau orang lalui masalah-masalah yang menampakkan keburukkannya, doakanlah agar kita tidak berkata buruk kepadanya. Diam, tabayyun dan tafakkur dengan semua itu.

Demikianlah, "kalau-kalau" yang baik yang perlu kita  sedarkan diri kita.

Anyway, kita manusia biasa. Kadang-kadang terlarut dalam masalah jiwa kita sendiri. Sabarlah. Jangan melulu dan terburu nafsu. Sebutlah "Astaghfirullah" selalu. Minta Allah lindungi hati kita daripada melantunkan karat hati menjadi kata-kata yang 'kotor'.

Hati-hati dengan hati kita sendiri.

Biarlah, jika Fazura nak rindu Fatah Amin walau berenggang seminit ke tandas pun, itu perasaannya yang gembira. Kalau kita menyampah, sebenarnya kita cemburu. Cemburu itu mainan syaitan... ... KIKIKI....😉

Sekian, tulisan Jumaat untuk diri sendiri dan sesiapa yang terasa pedas... Larikk....! Hahaha..



Wednesday, December 13, 2017

Cahaya Rindu




Begitu selalu, rindu itu menjadi indah dalam senyapku
bagai angin bertiup simpang-siur tak berarah
dingin membalut harapan
ingin rindu berbalas rindu
menyimpannya kemas di kotak kalbu
kerana rindu hatiku bercahaya
memintal-mintal benang air mata
kepada Yang Maha Kuasa
terbisik perlahan di celah himpunan doa
Biarlah rinduku menjadi hidayah
bersujud-sujud merayu kepada Allah.

La haw la wala quwwata illa billah.
dengan kalimah Basmallah
hatiku berserah.

Raz.R
(Sengaja bertinta rindu cahaya-Nya bertitis cerah di kalbu)



Thursday, December 7, 2017

Nyenyak Kasih

Bila dihimpun setiap kenangan,
buruk baik kehidupan,
baiknya banyak,
pun buruk menjadi pedoman,
satu kesalahan menjadi pemadam,
hilang cantik, muncul keburukkan.

Jangan,
biarlah kita berbeza,
melihat yang biasa di kaca luar biasa.
pada orang, itu mimpi ngeri,
pada kita, itu nyenyak kasih.
Kita tenggelam dalam alam hati,
yang nyenyak tanpa peduli,
apapun konspirasi,
walau dunia berheboh-hebah,
kita masih memandang segalanya indah.
kerana semuanya dari Allah kepada Allah...


~Raz.R❤~
(Memandang dari kaca mata hati)


Wednesday, December 6, 2017

Inspirasi Hati ❤

Hati manusia selalu diduduki dengan perkara-perkara  melekat dengan pelbagai rasa.
kerana itu Rasulullah SAW pesan agar kita sentiasa jaga hati kita.
Tiada satu ciptaan pun yang boleh menyamai segumpal hati yang kecil tetapi memuatkan banyak rencah batin manusia.
Allahu. Allahuakhbar.

...dan setiap orang hatinya menjadi hidup, kadang-kadang kerana inspirasi yang bergabung dengan akal lalu di hati terlukis dan tertulis citrawarna kehidupan. Cerita yang tak habis bermain difikiran yang menjadi sumber kepada hati samada mahu lumpuh ataupun mahu kekal teguh.

Subhanallah.
Sesungguhnya hati itu sahaja sudah cukup membuktikan bahawa Kuasa Allah adalah tiada tara.

Telah banyak ku tulis tentangmu
Sematan yang kemas, terjahit rapat
seolah lembaran itu cuma tentangmu
Di celahan apa pun masam, manis, pahitnya,
dirimu tetap berharga 
kurniaan-Nya yang menjadi kamus istimewa,
setiap helaiannya tak dapat ku luah kepada sesiapa,
namun hatiku tak luntur menelaah ilmu-Nya
bagaimana hadirmu menjadi inspirasi hati 
hingga kini..., pasti.



Monday, December 4, 2017

Tidak Seharusnya Mengalah



Saban hari, cinta itu kusimpan dalam hati.

Aku memupuknya dengan setia walau apa cara.
Ketika terluka, aku pujuk sahaja dengan air mata.
Ketika rindu, aku rujuk kepada DIA yang memberikan rasa itu.
Ketika aku ditinggalkan, aku gigihkan doa mengakui kehendakNya.
Akukah yang mementingkan rasaku atau
mungkin tidak selayaknya aku berdiri diantara hati dan hidupmu?
Sesekali aku terasa hina.


Sungguh Allah mengatur segalanya.

Aku ingin redha dalam kepayahanku menghuraikan niat
Aku ingin pasrah diantara hasrat dan impian
Aku ingin SABAR sehingga sabarku menjadi iman yang kuat.
Benar, semua itu payah.
Namun, tidak seharusnya aku mengalah.



-Raz.R
(Sekadar tulisan: Jangan disalahkan Tuhan, kerana kita tetap insan terbukti dengan kelemahan)
































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































































Wednesday, November 29, 2017

SUSAH, tetapi Boleh Saja. Insha-Allah😍

Selama hidup,
sekian hari, sekian minit di usia kita, apa yang kita telah harungi. Ada masa bahagia. Ada masa cukup tersiksa. Ada masa marah menjala jiwa. Ada masa, sakit hati tidak terkata. 

Bahagia▬ tak apa. Itu semua orang mahu meredahnya, kerana ada senyum, ketawa dan ada indah yang manis-manis belaka.

Susah▬ Siapa pun tak mahu. Kerana di situ jatuh air mata yang berat. Batin akan terkoyak. Ringan pada sebut, berat di galas jiwa.

Percaya tak?
Semua itu telah pun kita lalui.
Kita jalani walaupun hati tak mahu.
Susah..., perit..., tapi boleh saja akhirnya.
Nah! Itu maknanya di setiap kesulitan ada ketenangan dan kemudahan. 

Seperti mana janji Allah dapal firman-Nya :-

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (QS. Alam Nasyroh: 5)

dan diulang lagi setelah itu.

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (QS. Alam Nasyroh: 6)

Semoga Allah selalu memberikan kita kekuatan jiwa dan iman untuk menemuiNya nanti bersama kalangan hamba-hamba yang di kasihi-Nya. Amin. 

Lahawlawalaquwwata illa billah.
La tataharraqu zahratan illa bi iznillah. 







Tuesday, November 28, 2017

Belajar dan Mempelajari. (Mutiara Kata Raz.R)

Semoga ketenangan dan keampunan Allah memayungi jiwa kita. Amin. Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.
Menghitung perjalanan hidup, kita perlu sentiasa memerhati dengan mata hati apa yang Allah perlihatkan secara kasar selalu disembunyikan hal-hal yang halus yang jarang sangat kita endahkan.

Hidup ini adalah tentang belajar dan mempelajari. Kemudian, mengamalkan segala yang kita pelajari.
Sesuatu yang buruk yang kita anggap buruk itu malah kadang-kadang memberikan kita kesan yang baik hingga akhir hayat hidup. Insha-Allah.

Selalulah menggunakan hati yang bersih dalam segala urusan kita. Lebih utama itu, di dalam segala ibadah. Iqra'. Allah beri surah itu  mendalam sekali maknanya. Bukan sekadar membaca dengan mata, namun membaca dengan jiwa. Subhanallah. Baca tentang alam semesta. Baca tentang manusia, kejadiannya dan kemanusiaan. Sebab itu Rasulullah SAW, yang tidak dapat membaca, dipesan Allah tetap membaca. Segala yang ada pada alam ini, pada fana kehidupan ini adalah lakaran, tulisan yang boleh dibaca walaupun untuk sesiapa yang tidak tahu membaca. Subhanallah.

Sekadar mutiara kata dari Raz.R di petang hari.
Sambil tersenyum, perenggan kata-kata ini diketik. 😊
Semuanya dengan izin Allah. 

A special note to someone : "Don't Worry, I am truly fine."


Monday, November 13, 2017

Esak, Sebak dan Rabak

Sepertinya deraian hujan menyampaikan harapan,
yang basah tetapi kontang.
Sepoi angin ligat memusar rindu,
membawanya bertaufan dari kalbu kepada kalbu.

Tergumam menanti ciuman mewangi,
madah-madah indah bertatap megah,
di hati ia singgah,
di ingatan tak pernah musnah.

Sungguh mimpi itu berlalu,
meninggalkan setia yang hanya dipelupuk mata,
berguguran tanpa upaya.
Esak dan sebak!
Rabak!


Raz.R
13.11.2017
(Layu longlai)


Tuesday, October 31, 2017

Rindu Yang Memecah

Begitulah dikatakan hati.

Bila rindu menggamit,
Sayu menyiat pedih.
ada kalanya sendu merintih-rintih.


Seharusnya engkau tahu bersyukur,
kerana rindumu singgah kepada apa yg engkau miliki.
Sesiapa yang engkau rindu selalu hadir di depan matamu.


Ada, yang merindu 
Rindunya ibarat bayang²,
ada dalam tiada.


Engkau bahagia dgn rindumu,
Dia,hanya mengepil rindunya disudut
kalimah sebaknya di perenggan doa...
Pada saat rindunya mengetuk, kalbunya pecah!

Monday, October 30, 2017

Bagus Juga Bila Hati Terluka



Bagus juga bila terluka.

Kita mula kenal siapa diri kita di mata orang, di mata sendiri dan di pandangan Ilahi.
Aku tidak marahkan Allah, bila takdirku tidak seperti yang aku angan-angankan. Namun aku sangat marahkan manusia bila ada yang mensia-siakan kurniaan Allah sewenang-wenangnya. Takdir Allahkah itu? Allah berikan kita akal untuk memilih jalan takdir mereka sebelum menerima takdir sepenuhnya. Malangnya manusia mempergunakan Allah dan takdir untuk kepentingannya.

Apa nak buat. Nama pun manusia. Kekadang manusia boleh jadi malaikat atau lebih baik daripada malaikat dan kekadang juga boleh sahaja jadi iblis malah lebih jahat daripada iblis.

Hatiku menangis sebenarnya.
Cukup menangis kerana cuba memahami hakikat sifat manusia. Malah sikapku sendiri juga, seringkali aku hairankan. Allahu. Allah.

Subhanallah. 30.10.2017. Sengaja kucatatkan tarikh ini agar aku tidak lupa bahawa penghujung Oktober adalah saat dimana aku telah tamatkan semua rasa.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”(Al-Ra'd: 11)


Apa yang kita faham tentang takdir? Terus, cuba kita fahami firman yang Allah sebutkan di atas.




~Raz.R~
30.10.2017
(Sekadar cacatan senja yang tidak ada makna bagimu)



Wednesday, October 25, 2017

JUJUR itu indah❤

بسم الله الر حمن الر حيم

Bila berkata jujur, percayalah orang yang nak marah pun, tak jadi marahnya. Berbeza dengan sering berbohong. Makin kita berbohong, makin orang marah dan benci.


Kata mak, "Kalau nak kahwin, eloklah pastikan suami kita nanti bukan jenis yang suka "Auta". Kaki pembelit, kaki berbohong, kaki penipu. Bimbang kita tak boleh jadi isteri yang membahagiakan suami. Tak ada sakinah, mawaddah, rahmah dalam rumah-tangga. Sebab, kita akan selalu bersangka-sangka buruk terhadap suami kita. Orang perempuan, bila mula sedih dan pilu, berkemungkinan sampai hujung nyawa si suami pun, dia tetap mengungkit-ungkit. "

Benar juga seperti pesanan. Semuanya bermula daripada sikap pemimpin rumah-tangga. Bila kepala sudah senget, macamanalah badan nak betul. Jangan salahkan sesiapa nanti bila rumah-tangga tidak bahagia. Memaafkan itu mudah, tetapi untuk kembali percaya 100% setelah tertipu, bukan mudah. Kita kena hadap dan telan kata-kata sinis yang melukakan hati kita sendiri nanti.

Firman Allah SWT :

يـاَيـُّهَا الَّذِيـْنَ امَنُوا اتَّـقُوا اللهَ وَ قُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيـْدًا. يُصْلِحْ لَكُمْ اَعْمَالَكُمْ وَ يَغْفِرْلَكُمْ ذُنـُوْبَكُمْ، وَ مَنْ يُّـطِعِ اللهَ وَ رَسُوْلَه فَـقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا. الاحزاب:70-71

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. [Al-Ahzab : 70 – 71]

Perintah Allah ini juga melambangkan betapa beratnya tanggung-jawab kita melatih diri menjadi jujur. Kalau jujur ini bukan suatu kebaikan yang membawa keindahan dalam hidup dan peribadi kita, masakan Allah menyebutnya. Kita sahaja yang degil, yang merasakan jujur itu bukanlah keperluan. 

Teringat setiap kali saya kena marah dengan Boss, saya selalu cakap jujur bila saya terlupa. Mula-mula memang dia panas, tapi, panasnya tak lama. Dia akan terdiam bila saya cakap yang benar. Saya manusia biasa. Dari situ saya mula belajar walau macam mana keadaan pun, beranilah untuk jujur. Ikut kata yang Allah beri. Yakin kepada Allah. Insha-Allah, Allah bantu. Sama-samalah kita mengamalkannya ya. Tak guna baca Al-Qur'an hari-hari tetapi kandungannya kita abaikan.
Saya ingatkan diri saya terlebih dahulu dalam hal ini.


Sekian, 😊 tetiba mood untuk menulis datang. Hihihi...

Semoga Allah rahmati hidup kita sekelian dengan barokah cinta-Nya dan semoga Rasulullah SAW sebut nama kita untuk bersama baginda di alam sana nanti. 

Amin.

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.

Tuesday, October 24, 2017

Akhirnya... begitulah tempatku.

Aku sudah letih mengheret tanggapan.
Amat berat kau tinggalkan.
Fitnah dan ancaman kutelan,
engkau tidak datang menggendongkan beban.
Semuanya kuhadap sendirian.
Dengan nafas yang Tuhan berikan,
sesekali timbul, adakalanya tenggelam.

Akhirnya... begitulah tempatku.
Jauh darimu.
Ingin atau tidak, begitulah aku, begitulah kamu.
Kau pedulikan aku?.... Tidak!
Kau kisahkan kesakitanku?.... Juga tidak!

Akhirnya..., begitulah tempatku.
Tempat yang tidak kau pentingkan.
Aku bukan tanggung-jawabmu.
Benarkah begitu?
Tanyalah hatimu.

Aku ketawa besar dengan setia.
Aku tatang kesetiaan bagai harta.
Kutakwilkan setiaku untuk apa.
Semakin lemah aku mendukungnya.
Sumbing sungguh hatiku.
Sudah tentu... begitulah tempatku.

Tempat yang engkau tidak pernah tahu.



(Raz.R)
24.10.2017
Sekadar mewarnakan kata, di dada usang laman usia.

Monday, October 23, 2017

Nasihat ku kepada hatiku sendiri



Bissmillahirrahmanirrohim..
Kita, jangan beri harapan indah. Bimbang nanti ada hati akan menderita musnah.
Kita, jangan terlajak melayan rasa, tak akan lama segala perkara di dalam dunia.
Kita, jangan cepat menghulur hati, kerana hati itu mahal sekali. Bila hati terluka, cukup sukar mengubatinya.

Begitulah... pengalaman membuatkan banyak perkara perlu kita perhalusi dengan hati-hati. Memang husnuzon itu perlu. Jangan bersangka buruk atas sesuatu yang kita tidak tahu. Namun tetap, berhati-hati itu perlu. Bersangka baik terhadap pencuri, maka kita yang akan rugi. Habis semua milik kita akan dicuri, termasuklah hati. Yang tinggal pada kita nanti hanya jasad yang mati.

Kita, sangsi rasa, biarlah sederhana sahaja. Hidup orang lain, jangan kita korek, jangan kita teka. Bukan kita yang menguruskan hidup orang lain tetapi Allah. Tidak percaya kepada Allah, bermakna kita mensyirikkan Allah. Jangan, itu dosa besar. 

Kita, jagalah hati sendiri. Itu dituntut Ilahi. Jangan hati itu dibuai kegilaan hasrat kita. Turutilah takdir Allah jua. Niat hati juga perlu dijaga, jangan kita membuta rasa. Bimbang, terlajak rasa, fitnah jadinya. 

Berusaha memang perlu, berdoa wajib selalu.
Bersabar itu sakit, namun pada akhirnya sabar itulah yang menjadi perawat kalbu.

Kita, mahukan Allah memberikan syurga tetapi malang sekali tindakkan kita selalu menyimpang ke gaung neraka. 

Tafakkurlah, fikirkan salah silap diri. Jangan kita hidup dengan menjahati sikap sendiri. Berusahalah memperbaiki apa yang belum putih di hati sendiri. Kuatlah hati ke arah yang Allah suka.

Semoga Allah golongkan kita di kalangan orang-orang yang benar-benar menjaga iman dan diredhai Allah. Amin.
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.

Sekian,
He He He... Nasihat hatiku sendiri.


Saturday, August 19, 2017

Biasan sukma

Saatku menyatakan rindu,
jawapanmu bisu.
ku ucap selalu di hatiku,
kuberikan kepadamu tanpa silu,
engkau masih membatu,
takdirkah itu?

Tuhan getarkan rasa,
aku teruskan doa,
kuhidangkan masa dan usaha,
tidak kau jamah dengan bahagia,
Entahkan kau mengerti biasan sukma,
Entahkan kau faham belahan jiwa.

Kejauhan itu,
merampas ketabahanku,
begitu banyak tangisanku menderu,
Lantas, kupejalkan ia membeku,
kujejaki caramu,
bila itu kemahuanmu,
tiada lagi dayaku.

Aku hanya akur,
keputusanmu ku ukur,
bagai diperintah, aku berundur.

Taufan sayu memukul,
pecah berkecai tak sempat ku rangkul!


Raz.R 
(19.08.2017)
"Sekadar puisi mengimbau perginya emosi"😊







Tuesday, July 4, 2017

Kenapa hadir, kemudian pergi?

Gugup segenap hati,
membaca makna diri sendiri.

Ketika ia menggenggam ujian,
aku sendiri menikam duri di hati.
Sesekali ingin manusia kusalahi,
"Kenapa hadir, kemudian pergi."

Burukkah diri?
Layakkah diri?

Begitu teruji hati.
Redha itu sakit sekali.
Iman,
ketika surutnya membawa mati.
Mati akal, mati nurani.


Astaghfirullahaladziem.
Lahawlawala quwwata illa billahi a'liyyiladziem.
La ila ha ilallah, muhammadurrasulullah.



😢 an unspeakable sad day. 



Thursday, June 29, 2017

TOLONG JAGAKAN HATI❤

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tak ada manusia pun, mahukan hatinya terluka.
Baik buruk peribadi dirinya, dia tetap mahu hatinya dijaga. Bagi hati yang baik, dia tidak mungkin juga berharap dirinya melukakan hati sesiapa.

Ketika seseorang telah memberikan kepercayaan kepada kita, itu bermakna, dia mahu kita menjaga hatinya.
Namun, hati ini sifatnya pelik. Ada saatnya, tiada sesiapa yang terniat melukakan hati kita tetapi kita pula sendiri yang sengaja merobek rasa di dalamnya. Menghirisnya dengan syak dan sangkaan yang kadang-kadang tidak hadir pada nyata.

Hati, jika kita perhatikan pada bentuk fizikalnya, ia bukanlah seperti seketul daging yang biasa. Ia adalah segumpal darah pejal yang lembut, yangmana jika kita pijak-pijakkan ia, mudah sahaja ia hancur.

Pun, begitu, Allah beri kelebihan kepada hati. Ia dapat menerima kesakitan walaupun sakit secara batin. Dalam pada masa yang sama, ia dapat memperkuatkannya dengan kesakitan tersebut. Itu kuasa Allah.
Namun, Allah tetap mewasiatkan kita agar menjaga hati kita. Rasulullah SAW pun pesan demikian jua. Jaga hati. Hati tempat pandangan Allah. Hati tempat tumbuh segala yang baik dan yang buruk. Hati tempat lahir kasih, sayang dan cinta. Begitu juga sebaliknya dengan hasad, dengki, cemburu, dan haloba. Hati tempat yang syaitan suka goda.
Pendek kata, hati itu amanah.
Amanah Allah yang perlu kita sendiri jaga, dan orang lain juga perlu jaga. Samada hati kita atau hati orang lain, seadilnya kita kena sama-sama jaga.

Seandainya, seseorang telah memberikan hatinya untuk dijaga, maka berusahalah menjaganya dengan baik seadanya. Jangan dipersenda. Jangan dipermainkan. Jangan juga dikecewakan. Jangan diabaikan. Jangan dilukai.

Kita manusia biasa. Benar. Kadang-kadang kita alpa. Tak sedar, ada hati yang sensitif. Sebab, apa yang terbentuk pada hati orang lain adalah ghaib. Urusan Allah. Hanya diketahui olehNya. Jadi jalannya untuk tidak melukakan sesiapa, banyakkan berdoa agar Allah jaga hati kita terlebih dahulu supaya kita dapat teguh dan menjaga hati orang lain juga.
Kadang-kadang, kita tersalah, tersilap yang tidak dapat diterima hati yang lain, makanya mohonlah maaf. Itu ubatnya. Jika dia masih terluka seperti tidak memaafkan dengan mudah, teruskanlah minta Allah berikan taufik kepada hati yang terluka tersebut, kerana setiap hati dipegang oleh Allah sekalipun ia diuruskan oleh manusia. Allah berkuasa melembutkannya. Insha-Allah.

Uruskanlah hati kita sebaik mungkin dan jangan kita bergurau soal hati. Kita tak pernah tahu berapa kali hati itu pernah hancur dan cuba untuk hidup. Berikanlah ia kepercayaan, keyakinan dan ketulusan.

Jika sayang, katakan sayang.
Andai cinta, uruskan cinta itu sebaik-baiknya. Urus ke jalan yang Allah cinta. Itu yang betul.
Jika sekadar suka, sederhanakan jangan terlalu beri signal yang menjurus ke arah kasih.
Kalau tidak suka, biasa-biasakan sahaja, usah terlalu terbawa dengan kebenciannya.

Selalulah ingat, apa sahaja yang kita buat ; Allah mencatat dan akan membalasnya.


Sekian, tulisan hatisaya, Raz, di Aidilfitri ke-5.
Jika saya pernah melukakan, bagi sesiapa yang mengenali, mohon dimaafkan. Saya mengerti betapa pahitnya hati apabila dilukai. Mungkin kesilapan yang terjadi adalah daripada kelemahan diri saya sendiri yang Allah uji. Astaghfirulah. Moga Allah ampunkan saya juga. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Taqobballah minna min kum. Moga Allah rahmati sekelian muslimin dan muslimat. Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad. Amin..

P/s: ... dan jika saya berikan hati saya, tolong jagakan sebaik-baiknya kerana Allah ya? Hehehe... 😜🙈

Monday, May 22, 2017

Tenang²selalu,jangan stress😊

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kekangan hidup, pancoroba yang pelbagai, dugaan yang bertimpa-timpa dan dalam keadaan tiada manusia yang sanggup menolong, bersendirian dan kadang-kadang takut dan buntu akal, di sana hanya ada satu jawapan bagi meleraikan semuanya.

: ALLAH.

Mungkin senang berkata-kata. Siapa pun boleh cakap dan nasihat, ingat Allah berkali-kali, namun bagaimana hati kita menanganinya ketika segala urusan seolah hampa? Senak di dada kan? 
Insha-Allah, jangan kita peduli nasihat sesiapa pada waktu itu. Sebab memang telinga kita tak lagi ingin mendengar. KITA! NASIHATKAN DIRI KITA SENDIRI.

 Ya! Inilah waktunya kita nasihatkan diri kita sendiri. Kerana bersama diri kita ini ada roh. Kita juga ada hati yang di dalamnya pula ada nurani. Nurani inilah yang suka mendengar dan menuruti hal-hal yang baik. Nuranilah yang selalu memujuk kita, "Aish, jangan buat macam tu, tak baik". Nurani inilah yang selalu menyejukkan jiwa kita, "Sabar, Sabar, Sabar, Allah ada. Tawakkal!"

Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung, behenti untuk beberapa detik (10-11 detik bilangan), kemudian, hembuskan nafas yang kita sekat untuk detik itu melalui mulut perlahan-lahan dengan detik 15 bilangan. Ulangi sebanyak 3 kali. Sertakan dalam nafas kita yang dihembus, "Lahawla wala quwwatailla billah, Subhanallah, Alhamdulillah, La ila ha ilaAllah, Allahuakhbar" di dalam bisikkan hati.

Kembalikan diri kepada Allah Maha Berkuasa. Biarkan degup jantung kita berdetak dengan nama Allah. Rasa dengan hati detak² degup jantung kita. Zahirkan rasa sayu di jiwa dengan membawa diri kita masuk ke dalam doa kita kepadaNya.

Insha-Allah, kita akan okay semula.
Insha-Allah, apa sahaja dalam hidup ini tidak bergerak tanpa urusannya adalah daripada Allah. Tenang-tenanglah denganNya. Jangan stress. Bawalah mata hati untuk hidup semula. Banyakkan berastaghfar.
"Astaghfirullahaladziem."


Mudah-mudahan Allah datangkan pertolonganNYa. 
Bukankah kita ini hamba-Nya? Dia yang mencipta kita.

Senyap Sabar Solat Senyum

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad. 
Semoga bermanfaat.
Amin.


Saturday, May 20, 2017

CUKUP²LAH! JANGAN ANGGAP DIRI TIDAK BERDOSA

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

❤❤❤

Sering sahaja kita lupa, kita melihat kesalahan orang lain sebagai dosa seolah tidak terampun selayaknya. Kita hina dan sindir dia. Malah kita canang-canangkan kepada seluruh mata, agar menjadi cerita sensasi dan kita bangga. 

Lumrah manusia, yang buruk begitu sedap kita lahap. Bijaknya syaitan. Ia ajak kita akan kederhakaan dan kita ikut dengan senang hati. Maka bersenang hatilah kita bersama syaitan di neraka. Bukan salah syaitan, tetapi salah kita yang melanggar kesucian iman kita . Kita yang pilih. Sudah diketahui akhirat nanti syaitan tidak akan tolong kita pun.

Ini kata-kata syaitan dalam firman Nya:

"Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu". Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih (QS: Ibrahim: 22)

Semoga kita sempat bertaubat dan diampuni Allah.
Semoga kita ingat, kita bukanlah sesiapa nak sombong, ego, belagak dan bongkak dengan diri sendiri yang "kosong", yang tak punya apa-apa.
Merendah dirilah, kawal marah dan berlemah-lembutlah. Allah suka. Jaga hati kita baik-baik. 

Apabila kita rasa diri kita tidak berdosa, kenang-kenangkanlah masa silam kita. Kita pernah jahil. Kita mungkin pernah melalui hal-hal yang dosanya lebih besar daripada apa yang kita jangka.
Sebab itu, kenangan silam itu penting untuk kehidupan kita. Daripada situlah kita belajar banyak perkara tentang diri, tentang orang lain dan tentang masa hadapan yang akan cuba kita usahakan. Masya-Allah! Bijaknya Allah mengatur ini semua. Namun Allah telah berkata di dalam kalamNya, sedikit sangat dari kita yang tahu bersyukur.

"Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur".  (QS: Al-A'raf:10)

Tafakkurlah sejenak. Fikirkanlah....



Gambar dan tulisan tiada kaitan dengan sesiapa. Sekadar inspirasi Raz.R sahaja. Terima kasih kepada pemilik gambar. Moga Allah selalu menjaga dia dengan baik, dunia akhirat. Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad. Amin.

Tuesday, March 7, 2017

"SERIOUSLY"

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Mengharap pada yang sudi.
Menerima daripada yang memberi.

Sesiapa pun begitulah. Sama saja dengan persoalan ini. Namun yang menjadi keutamaan dalam harapan, memberi dan menerima adalah keikhlasan. Bilamana serius dalam keikhlasannya akan digaulkan dengan kejituan usahanya.

Apa-apa pun soal serius atau tidak, ini hanya persepsi dan anggaran kita mengikut suasana yang kita lalui dalam hidup. Kita tidak perlu memanjat dengan tinggi di pokok harapan, bimbang jatuh patah renyuk dan tidak lagi boleh bangun. Jika tak sampai buah bahagia yang kita suka, gunakan lain cara. Boleh jadi ada tangga-tangga doa yang dapat membuatkan kita memetik buah yang lebih ranum penuh kebaikan daripada Allah Ta'ala.

'Seriously', jangan terlalu menekan diri. Balik kepada asal diri kita. Tidak semua hal tercipta untuk kita di dunia. Pulihkan sahaja iman. Terima sahaja qada dan qadar Allah. Sebahagian dari usaha kita adalah kemampuan kita, selebihnya adalah Pengetahuan Allah Yang Maha Alim .

Subhanallah
Alhamdulillah.
La ila ha illaAllah.
Allahukahbar.

*Note: Sekadar ulasan daripada kata-kata pada gambar di bawah.

Salam kasih kerana Allah.

"Don't get yourself seriously injured by un-serious person."





Monday, March 6, 2017

Di sebalik helaian hati, ada mukasurat tersembunyi. Takyahlah nak tipu!

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kadang-kadang hati terasa taknak tengok media sosial, taknak baca di layar maya, taknak ambil tahu tentang 'wassap', atau apa-apa gadget di telefon bimbit. 

Ada hari kemalasan yang teramat untuk hal-hal duniawi. Tentang orang-orang sekeliling yang tak berkaitan dengan keluarga.  Nak jauh dari hiruk-pikuk dunia yang penuh pura-pura, mampat dengan 'selfishness'. Sesekali tersenyum dengan wajah-wajah yang memberi senyum kepada kita tetapi ternyata senyuman yang ditimbulkan hanyalah senyuman yang dibuat-buat.

Manusia, begitulah. Termasuk diri sendiri terutamanya. Mulut berkata, 

"Aish.., tak ada apa-apalah, kitaorang okay jer. Positif selalu. Tader negatif-negatif ni. Tak mainlah."

Walhal, disebalik kiasan-kiasan itu semua, kita banyak merungut dan 'complain' serba-serbi, di sebalik helaian hati, kan? Ingat, Allah Tahu. Takyahlah nak menipu.

Kalau nak dilayan semua rungutan yang kita terima daripada orang lain, kita akan jadi terbeban. Kita akan jadi berserabut. Memang benar, hidup biarlah bermanfaat kepada manusia lain. Namun, manfaat itu perlu diatur agar ia seimbang, sama manfaatnya kepada diri sendiri juga. Agar kita tidak terasa terlalu letih dan bercelaru dengan hidup sendiri.

Jadi, ambillah hak kita untuk berehat dari semua itu seketika. 
Ya! 'Re-charging' diri. Rehatkan minda. Lepaskan diri daripada telefon, komputer dan orang-orang yang menganggap hidup mereka perlu diperbetulkan oleh kita atau mereka yang mahu memperbetulkan kita. 

Jangan lupa, kita manusia yang Allah cipta hanya akan kuat daripada kekuatan-Nya. La hawlawala quwwatailla billah. Kita tak pernah jadi malaikat. Kita juga tak jahat seperti iblis. Auzubillahiminzalik. 

Kita nak jadi diri kita sendiri.

Okay, semoga Allah selalu bersama mendorong niat dalam hati kita. Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad. Amin.



~"Kita seharusnya tabah, dengan sikap orang dan dengan sikap kita sendiri terutamanya. 
Banyak hal tentang sikap kita yg mungkin menjadi ujian kepada orang lain yang kita tak ambil berat sangat."~

Rilex, turn off everything and be with your own heart. Listen to Allah.


Friday, February 17, 2017

SUBHANALLAH - RINDU

“Ku kuncikan bibir
Mengisi hatiku dengan warna-warna yang hadir
Mata yang kupejam
tiada kegelapan
namun cahaya senyummu
terpancar digeluk jiwa
ibarat pelangi membingkaikan indahnya
di sudut minda, diruang rindu yang bergelora.
Duhai.., siapakah dia?”



17.02.2017
Subhanallah.
(Raz.R)