Salam kasih Kerana Allah
Friday, October 28, 2011
"Pelaris"
Kita perlu berhati-hati.
Cara mudahnya nak tahu kedai makan itu ada pelaris (Khadam jin), baca Ayat Qursi 3kali di luar dari kedai. Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7x ke arah kedai. Tak perlulah tiup macam bomoh pooh kiri pooh kanan.he..he.. Tiup perlahan-lahan sampai habis nafas(mcm ustaz Ismail Kamus ajar)
Sekiranya ada pelaris di kedai tersebut, “khadam” tu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam tu, eloklah kita jangan makan dikedai tersebut.
Beberapa cara di bawah bolehlah diamalkan untuk mengelak sihir :-
1) Al-Fatihah.
2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.
Ia berdasarkan hadith :
قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : إقراء قل هو الله أحد , والمعوذتين , حين تمسي و حين تصبح , ثلاث مرات تكفيك من كل شيء ( رواه أبو داود والترمذي )
Ertinya : Baginda S.A.W telah berkata kepadaku : “Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad” (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu.( At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ) At-Tirmidzi : Hasan Sohih, An-Nawawi : Sohih.
Dialog Luka Wanita: Misteri Hati
Malam indah berhiaskan bayu segar sambil melayan irama ombak yang menghempas pantai.
Raz memandang langit hitam yang berkerdipan dek jutaan bintang. Nafas Raz disedut dan dihembus tenang perlahan. Jantung berdegup sekata dan senada. Termenung menyaksikan alam-Nya. Tersenyum kecil. Mengamati cantiknya serakan bintang.
"Hai, Kak Raz? Senyum kat langit? Mesti ternampak sesapa kat situ kan?"
Raz menoleh pada susuk tubuh kurus yang memerhatikan Raz sejak lama. Raz hadiahkan dia senyum geli hati. Melirik mata Raz membaca telatahnya.
"Su, nak tahu apa yang kak Raz nampak?"
"Eh-eh.. mestilah!"
Dia tersenyum dan Raz juga tersenyum. Kami sama-sama mendongak ke langit. Raz memerhatikan Su yang sedang mengamati suasana langit yang indah.
"Jangan buka mulut,Su.. Takut nanti tertelan tahi burung. Ha!Ha!Ha!" Gurau Raz.
Dia ketawa berdekah sambil mencubit lengan Raz. Kami sama-sama ketawa.
"Tak ada apalah Su, Kak Raz sekadar mengkagumi corak langit yang dipenuhi bintang-bintang yang cantik. Itu sajalah."
"Iyalah tu.. kan?" Su mengenyit sebelah matanya.
Sebenarnya tekaan Su benar. Ada sesuatu yang Raz nampak di langit malam secara mata batin ini. Raz nampak kehidupan Raz yang silam. Kenangan semenjak dari zaman kanak-kanak sehingga di usia sekarang. Ada yang samar-samar kelihatan dan ada yang masih jelas dan segar.
Raz nampak diri Raz di langit yang kelam. Seorang ibu telah melahirkan Raz di dalam keadaan serba kedhaifan. Kisah yang dikhabarkan ibu tentang masa kecil Raz masih terngiang-ngiang. Bagaimana ayah ibu membesarkan Raz dengan bersandarkan hidup yang serba kekurangan.
Kata ibu, melahirkan Raz adalah perkara yang amat payah kerana Raz adalah bayi yang paling besar di sebuah hospital semasa tahun kelahiran Raz dan membesarkan Raz juga banyak di lalui dengan kepayahan. Ayah ibu pernah memberitahu Raz yang mereka pernah mengikat perut untuk Raz. Mereka pernah hanya meminum air bubur nasi semata-mata ingin memberikan Raz isi nasinya untuk sekian lama juga. Demi untuk membesarkan Raz. Demi Tuhan, jasa mereka pada Raz dan seisi keluarga yang lain tidak dapat Raz balas sekalipun jika Raz ada mempunyai segunung intan.
"Kak Raz? Ke mana tu? Jauhnya pergi.."
Tersentak dari lamunan silam itu dan Raz toleh ke arah Su yang sudah berada hampir dengan Raz. Raz ketawa.
"Su tak ada cerita baru ka?" Raz mengubah kisah Raz. Menjauhkan diri dari mengenang kisah silam yang telah berlalu.
"Tidak ada yang menarik la Kak Raz. Hidup Su macam biasa. Sekejab baik, sekejab tak baik."
"Tak apalah Su, memang rencah hidup kita begitu, kan? Kak Raz pun samalah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang pula lemah yang tersangat."
"Yalah Kak.. kadang-kadang tak terlarat nak lalui macam-macam beban, kan?"
"Hemm.. betul tu Su. Kita tak ada pilihan melainkan meneruskan kehidupan sebagaimana yang telah diberi Allah. Lagipun, Allah kan ada kata yang Dia tidak akan membebankan hamba-Nya dengan bebanan yang tidak mampu ditanggung. Maksudnya, apa yang kita sedang lalui ini, memang Dia tahu yang kita mampu menghadapinya. InsyaAllah."
"Tapi kan kak.. kenapa kita selalu sangat rasa macam tak mampu saja ya?"
"Mungkin kita belum kuat hati. Mungkin kita belum mempersediakan diri sebaiknya, Su. Mungkin kita masih belum menghayati dengan keimanan. Kenipisan iman kita itu yang membuatkan kita tidak yakin terhadap diri sendiri atau terhadap kepercayaan kita pada Allah. Kak Raz pun selalu lalui rasa yang sama. Rasa acuh tak acuh dengan kemampuan diri, malah tidak tepati apa yang Allah mahu kita lakukan."
"Betul kak, terlalu nipis iman kita. Kadang-kadang tu, solat pun macam tak solat aja. Main patuk-patuk tapi hati dan akal tidak pada-Nya."
"Hemm.. Hati kita, Su. Hati kita ini selalu sahaja berbolak-balik dengan keadaan. Kita membiarkan keadaan mengawal kita. Kita tidak mempertahankan diri untuk mengawal keadaan. Kita tidak memenuhkan hati kita ini sebenar-benar dengan Nama-Nya. Kita ringankan kepentingan DIA kepada kita. Kita beratkan kepentingan keadaan sekeliling di dalam hati kita."
"Agaknya hati kita tak bersih." Kata Su memuncungkan bibirnya dengan wajah yang kesal.
"Hati kita pernah bersih, Su. Tapi kita sendiri yang menghitamkannya."
Kami terdiam seketika. Menghirup bayu yang menyentuh. Mendongak lagi ke langit. Mengira bintang yang tidak mampu dikira. Malam, biarpun hitam dan kelam, masih indah kerana ia ciptaan Allah. Subhanallah. Sebentar kemudian, Raz memerhatikan Su dengan soalan yang ingin Raz ketahui. Tentang hatinya kini. Namun, Raz tidak sampai hati untuk membuka kisah yang mungkin mengembalikan carik luka silamnya. Jadi Raz batalkan niat Raz untuk membuka kata.
"Kak Raz, Su nak tanya sikit boleh?" Tiba-tiba Su mengejutkan Raz.
"Erm,tanyalah." Raz tersenyum. Dia nampak acuh tidak acuh untuk meneruskan soalannya kepada Raz.
"Kak Raz pernah rasa sunyi?" Terpana dengan soalan yang menghairankan hati Raz, tetapi Raz tenangkan debar di dada. Raz carikan keikhlasan di dalam jiwa Raz sendiri.
"Sudah tentu Su. Kadang-kadang walaupun kita dikelilingi ramai manusia macam di tapak pasar malam sekalipun, kita tetap ada perasaan itu."
"Ha!Ha! Kak Raz ni kan, kalau jawab soalan orang ada saja madahnya. Tapi, betul tu kak, Su pun kadang-kadang macam tu jugak. Kadang-kadang tengah bersembang dengan kawan-kawan ramai pun, tiba-tiba terasa sunyi. Pelik betullah."
"Misteri hati. Hati kita ini Su, nampak saja seperti penuh dengan segalanya.Padat dengan rasa-rasa kehidupan yang kita lalui hari-hari, tetapi masih ada seluas ruang kosong yang masih boleh diisikan dengan sesuatu,Su."
"Macam ada sesuatu yang tidak cukup saja, kan kak?"
"Ya,Su. Ruangnya akan terus terenggang menyediakan tempat untuk sesuatu.Terpulang pada apa cara yang kita rasa wajar kita isikan ruang yang masih kosong di hati itu."
"Contohnya, kak Raz?"
Raz tersenyum lagi. Bagaimana mungkin Raz menyatakan sesuatu yang perlu diisikan di ruang kosong hati Su sedangkan dia sendirilah yang paling mengetahui apa yang perlu dan mahu dipenuhkan di dalam hatinya itu.
"Salah satu contoh yang paling baik dan tepat adalah dengan mengisikan ruang-ruang itu dengan nama Allah dan sentuhan kasih-Nya melalui amalan-amalan yang tertentu. Kak Raz rasa itu semua Su dah tahu. Selebihnya kak Raz tidak tahu kerana Su sendiri yang tahu apa yang perlu di hati Su, InsyaAllah."
Su tersenyum sipu. Raz juga tersenyum. Biarkan persoalan tentang itu tetap menjadi "Misteri di hati."
Salam kasih kerana Allah. Jagalah hati kita sebaik mungkin.
Raz.R
Senyum selalu
DIA - Selamanya di sisi
Hai,selamat pagi!
Wahai Bidadari!
Sembah salam bersama senyum ku beri
Dengan hela nafas segar,lega sekali
Masih mampu melihat matahari
Berseri.. walau mendung kelmarin
Menyelaput diri tebal sekali
Bersyukur aku pada apa yang diberi
Segalanya itu HAK-NYA yang hakiki
Wahai Bidadari..
Kesuma hati..
Lambang indahnya Kuasa Ilahi..
Kembangkan sayapmu
Terbanglah ke mana mahumu
Penuhkan hatimu..
Terang cahaya Ilahi Abadi
Hancurkan rasa dunia memusuhi
Hidupmu,ajalmu,rezekimu
juga ujianmu
Apa jua milikmu
Maha Agong yang beri
Perlu apa kau sangsi?
Terus lagi senyum berseri
Walau sejuta kencang ombak membidas
Gugur ia tersentuh kulitmu
Bagai juta permata kemilau sinarnya
Warna-warni lebih cantik dari pelangi
Tumbuh seluas lapang sebuah ladang
persis hebat seri kayangan
Wahai Bidadari
Apa jua terjadi
Bungakan hati dengan kasih Ilahi
DIA.. selamanya di sisi
Senyum lagi
Tanpa gundah melapah
"DIA.. selamanya di sisi"
Salam kasih dengan senyuman
Moga dirahmati Tuhan Sekelian Alam..
Raz.R
28.10.2011
[Jika Itu Pilihanmu]
Wahai Teman..
Sahabatku sayang..
Saudaraku tercinta..
Jika engkau telah memilih
Untuk berpisah
Dan menjauhkan dirimu
Walau tebal pujukkanku
Engkau masih mahu begitu
Aku.. hanya mampu mendoakanmu
Di kejauhan untuk pilihanmu
Dan mungkin jika engkau sedia lagi
Kembali mengikat talian ukhwah kita
Aku depangkan dada
Bukakan hatiku dengan rela
Penuh rasa gembira di jiwa
Kerana cinta Allah Taala..
Selamat pergi .. dan selamatlah kembali
Aku masih di sini
Dengan sisa usia menanti
Penuh rasa kasih di hati
Tiada sekelumitpun sangsi
Dengan langit jiwa luas sekali..
Raz.R
6.11.2011
Salam sayang dengan senyuman
Tuesday, October 25, 2011
Emosi
Terkubur dalam emosi
Merasuk kegilaan sangsi
Separuh jiwa diragut lesi
Gersangnya letih setiap sisi
Haruskah ia terlarut begitu sekali?
[PESALAH]
Ketika dilihat selaku pesalah
Dipintanya usah sekali mengalah
Dalam sendu diusik rasa bersalah
Dikuatkan jiwa untuk tidak menyerah
Saat terjerut lemah dan kalah
Dihulurnya tangan memimpin dan memapah
Sungguh Ar-Rahim itu Maha Pemurah
Diselimutkan hamba-Nya cinta dan tuah
Bilamana kepada-Nya keyakinan diserah
Daya yang terjatuh kembali gagah
Ya Hayyum.. Ya Qayyum.. Ya Allah!
01.11.11
[CINTA ITU DIMANA]
Ada yang bertanya
Cinta itu di mana?
Kataku, cinta itu
Di titik mula.
Titik mula itu di mana?
Pada asal titik Maha
Maha Pencipta Cinta
Setitik yang dititik-Nya ke jiwa
Dengan setitik cuma
Lautan tenang dikocak gelora
Sahara kontang dipenuhi bunga
Titik itu dari-Nya
Tidak muncul sesuka rasa
Di titik pada hati hamba-Nya
Mengikut gerak naluriah
Dua jasad satu getaran
Ditanya lagi,
Dimana cinta sejati?
Kataku, dalam ingatan hati tulus
Pada-Nya tetap dijulang tertinggi!
Ditanya lagi,
mampukah kita begitu?
Kataku, jika itu yang dimahu..
31.10.2011
Sunday, October 23, 2011
Sekadar Puisi : Langkah Itu
Langkah itu
setapak..
menjejak dekat setapak
sopan, tenang dan tunduk
Lembut
langkah itu
setapak lagi
membaca haluan bersimpang siur
agar tidak tersesat
Jejak itu diturut
Langkah itu diikut
bulat pada azam
terus melangkah
bertongkatkan iman
Perlahan dan perlahan..
menapak jiwa nan lapang
derap di laluan hati yang damai..
Salam kasih
penuh senyuman
Raz.R
23.10.2011
Aib Diri
Kedhaifan diri yang sering kita terlepas pandang. Raz pesankan untuk diri Raz sendiri yang sememangnya dhaif dengan serba-serbi khilaf sebagai manusia biasa.
Janganlah hanya kerana satu aib yang tersembunyi atau dosa kecil yang boleh ditutupi dengan kebaikannya yang lebih banyak, kita menjadi jauh dari seseorang yang pernah kita puji latar belakangnya, malah kita pernah terima cara hidupnya, kita terima kemuliaannya dan kita ketahui kemampuan berfikirnya.
Kita pasti tidak akan mendapat seorang pun yang sempurna tanpa aib dan dosa. Cubalah letakkan diri kita ini pada tempatnya, tidakkah kita terpaksa melihatnya dengan redha dan tidak menilainya dengan pandangan hawa nafsu semata?
Sebenarnya kita terlalu lemah untuk sedar bahawa apabila kita meletakkan diri kita pada tempatnya dan menilai dari persepsi yang dilaluinya akan ada sesuatu yang boleh membantu kita mendapatkan apa yang kita inginkan dan mendekatkan diri kita kepada orang yang telah kita nilai sebagai pendosa itu.
Firman Allah SWT di dalam surah-Nya dari surah An-Najm : 94..
"Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (Bahawa kamu suci bersih dari dosa) Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa."
Biasakan diri kita menghisab diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita menghukum keaiban yang lain kerana kita ini adalah manusia yang mempunyai begitu banyak kelemahan. Kadang-kadang kelemahan kita itu lebih diketahui orang lain daripada kita mengetahuinya. Kita ini adalah manusia yang sering lupa dengan apa yang kita sering nampak benar menjangkaui pandangan kecil ilmu yang ada pada diri kita sedang ilmu yang berada di sekeliling kita amat luas sehingga ia dapat meneka kelemahan-kelemahan yang tidak terfikir untuk kita menyedarinya.
Wallua'lam
Moga Allah sentiasa menyuluh nurani kita dengan hidayah-Nya agar tidak kita alpa mengenali kelemahan diri kita sendiri dan bersedia berhijrah dari dunia yang samar ke dunia yang lebih cerah dengan hikmah-Nya. Amin..
Raz.R
23 Oct 2011
Usah Terlalu Lekas
Kita Memalingkan Muka
Thursday, October 20, 2011
Wednesday, October 19, 2011
Sedih Itu Kuat
Kadang-kadang kita ditimpa sedih-syahdan sekali. Sengaja Raz membahasakan "sedih-syahdan" bagi memberitahu rasa sedih yang sesedihnya. Maksudnya, sedih disaat tiada siapa yang menduga dalam sesekali kita tersenyum seolah ria, namun ada tersembunyi duka tidak terkata. Berlindung disebalik senyuman.
Hanya mereka yang melaluinya akan dapat merasakan bagaimana sengkak perasaan sakit disebalik senyuman yang pedih. Raz percaya, ramai yang melaluinya. Ia tidak dapat diluah atau diceritakan dengan mudah tetapi gelodak laranya bergemerincing bagai serpihan kaca pecah di dalam hati. Tidak berdarah, tetapi darah halimunannya mengalir deras sekali.
Teringat Raz pada sepotong pepatah :
"Rumput yang paling kuat, tumbuhnya di atas tanah yang paling keras."
Mungkin rumput itu tempatnya di bawah. Tarafnya rendah. Sentiasa ia dipijak-pijak oleh pelbagai kaki yang melalui. Bila ia tumbuh di tanah yang keras, ia akan kuat dan sukar dicabut.
Samalah kita manusia ini, jika kita biasakan diri berada di zon yang sukar dan payah yang selalu sahaja membuat hati kita sedih, kesedihan itu akan mengeluarkan tunas-tunas kekuatan yang cukup kukuh. Mungkin kita tidak merasai kekuatan itu di waktu sekarang ketika kita hanyut dalam kesedihan tapi pasti di masa hadapan, kita akan menyedari di situlah benih kekuatan yang telah kita tumbuhkan.
Jadi, jika sedih menyapa, bersabarlah kita. Jangan kita terlalu menginginkan semua perkara berlangsung seperti yang kita harapkan tetapi sabarlah dengan segala kejadian yang terjadi sebagai apa yang sudah berlangsung sehingga kita tetap memilih tenang dan tenteram. Laluilah segala kesedihan dengan ketabahan kerana hanya dengan melaluinya sahajalah kita lambat laun akan dapat tahu bagaimana caranya kita mengatasi kesedihan tersebut.
Simpan di dalam hati dan senyuman kita.. "Ya!Sedih itu, kuat!"
Salam kasih
dengan tulus senyuman
Raz.R
19.10.2010
Sunday, October 16, 2011
Menangislah dan kenalilah tangisanmu
Wahai kita manusia yang percaya adanya Allah Subhanahuwataala,
ingin aku sampaikan kepadamu tentang tangisan.Sesungguhnya tangisan itu adalah kehidupan.Bukankah hidup dimulakan dengan tangisan,dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan?
Seorang bayi dilahirkan dengan tangisan,dewasanya dengan pelbagai ujian yang dipenuhi oleh tangisan,dan kelak dia akan mati dan dihantar dengan tangisan.Air mata adakalanya penyubur hati,penawar duka.Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan,menyesak kehidupan.
Airmata putus asa kerana cintakan dunia harganya persis setitis air kotor di pelimbahan.Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH umpama permata yang indah gemerlapan.
Penghuni syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia.Dan sentiasa bimbang apakah kiranya nasibnya di akhirat, apakah tempatnya nanti di syurga atau neraka...Pencinta dunia menangis kerana dunia nya hilang.Perindu akhirat menangis kerana dunia yang akan datang
"Alangkah sempitnmya kubur ku nanti", keluh seorang abid.
Lalu dia menambah amal bakti dengan ikhlas dan sabar agar kuburnya nanti luas melebar
"Alangkah sedikitnya harta ku kini."kesal si hartawan..
Lalu dia semakin tamak menimbun harta tanpa kira halal dan haram. Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus,mengalirlah airmata kecewa kegagalan.Dari mata yang redup merenung akhirat yang dirasakan dekat,mengalirlah airmata keinsafan mengharap keampunan...
Tangis itu adalah basahan hidup.Manusia sentiasa dalam dua tangisan.Sama ada membawa untung atau merugikan.
Sabda Rasulullah SAW:
"Ada dua titisan yang Allah cintai.Pertama titisan darah para syuhada dan titisan airmata yang takutkan Allah."
Orang yang hampir dengan Allah pernah berkata,"Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali."
Mereka tegaskan seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik dari ahli ibadah yang berangan-angan tentang syurga mana kelak dia akan bertakhta. Kejahatan yang diiringi rasa sedih,lebih Allah sukai dariada satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Kejahatan kita mungkin diampuni jika kita taubat dengan hati yang merendah diri.Kebaikan kita mungkin tertolak bila rasa takbur menguasai hati.
Oleh itu berhai-hatilah dengan tangisan kerana ada tangisan yang mengakibatkan kita menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya.
Ketahuilah oleh mu bahawa ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan.Ketawa keterlaluan seorang ulama,hilang ilmu,hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil,semakin keraslah hati perasaannya.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda,: "Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."
Seorang hukama pernah bersyair:
"Aku hairan dan aku pelik melihat orang ketawa,kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan lebih banyak daripada perkara yang menyenangkannya."
Justeru,para salafus soleh menangis walaupun telah banyak beramal takut-takut amal itu tidak diterima,sedangkan kita ketawa walaupun kita sedar diri masih kosong dari amalan.Lupakah kita bahawa Nabi pernah bersabda :
"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa,akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."
Wahai kita yang mempercayai Allah..
Menangislah,agar senyuman mu banyak di kemudian hari.Kerana engkau belum tahu nasib mu di puak kanan atau di puak kiri.Di sana lembaran sejarah mu akan dibuka satu persatu,menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya sehinggalah datang syafaat Rasulluah SAW yang agung itu.Kenangilah sungai-sungai yang mengalir di dunia ini umpama banjir air mata Nabi Adam yang menangis kerana taubatnya,maka subur dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat bapa sekalian manusia.Tanyaikan kepada orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur?
Nescaya mereka akan menjawab :
"BAGAIMANA HENDAK BERHIBUR SEDANGKAN MATI ITU DI BELAKANG KAMI,KUBUR DI HADAPAN,KIAMAT ITU JANJIAN KAMI,NERAKA ITU MEMBURU KAMI DAN PERHENTIAN KAMI IALAH ALLAH TAALA"
"SEORANG YANG MENGERTI AL-QURAN DIKENALI WAKTU MALAM KETIKA ORANG LAIN TIDUR DAN WAKTU SIANGNYA KETIKA ORANG LAIN TIDAK BERPUASA.SEDIHNYA KETIKA ORANG LAIN SEDANG GEMBIRA DAN TANGISNYA DI WAKTU ORANG LAIN TERTAWA.DIAMNYA DI WAKTU ORANG LAIN BERBICARA,KHUSYUK DI WAKTU ORANG LAIN BERBANGGA.SEHARUSNYA ORANG YANG MENGERTI AL-QURAN ITU TENANG ,LUNAK DAN TIDAK BOLEH MENJADI SEORANG YANG KERAS,KEJAM,LALAI,BERSUARA KERAS DAN MARAH...."
Raz petik petikan di atas ini untuk hati Raz dan Raz kongsikan untuk ingatan kita bersama. Mudah-mudahan ia membawa manfaat kepada kita untuk saling memperingat.
Semoga hati kita tidak tumpul dan memudahkan alpa dan lupa kepada suruhan-Nya. Astghfirullah..
"Hati yg bersih tidak akan pernah kenyang dengan ingatan diri kepada Firman Allah SWT.. manakala Hati yang kotor sentiasa mendesak untuk menolak hidangan Ayat Al-Quran."
[Uthman Bin Affan]
Raz.R
Senyum dan Salam kasih
16.10.2011
Rindu Menyala
Rindu,
Menyisir helai inginku
Berdampil menemani rindumu
Meranduk sepimu
Berganding menimbang sulit senangmu
Menghidangkan girang di hatimu
Bergadik hidupku dan hidupmu
Dengan seluruh restu
Rindu-Nya yang mencantumkan
Rindu hamba-Nya..
Maafkan aku
Rindu ini sangat menyala
Hingga berserakan rasa
Terpahat di dada maya.
Raz.R
16.10.2011
Insan biasa
yang punya rasa
Ketika Kita Berfikir
Salam penuh kasih sayang kerana Allah di pagi Ahad yang indah. Doa Raz semoga kita berada di jalan-jalan yang dipilih Allah sentiasa. Amin.
Berfikir tentang fikiran. Fikiran kita kadang-kadang membuatkan kita cukup keletihan. Raz sendiri mengakui kelemahan ini. Fikiran kita ini tidak boleh berdiam kecuali ketika kita tidur, InsyaAllah. Pelbagai perkara yang datang dan kadang-kadang kita memikirkan banyak sangat perkara di dalam satu masa. Sedang kita berfikir soal kerja, tiba-tiba didatangi soal keluarga dan kadang-kadang diselit pula dengan soal kawan-kawan, malahan di celah-celah memikirkan banyak perkara itu terbit pula soal masa hadapan dan sebagainya. Tidak henti fikiran kita memainkan peranannya. Pelbagai dan pelbagai.
Itulah tandanya fikiran kita sihat. Masih molek dan masih berfungsi dengan baik.
Alhamdulillah. Namun, untuk menjadikan fikiran kita ini lebih sihat, kita perlu sentiasa mengawalnya dengan hati nurani yang diperbanyakkan dengan ilmu dan iman. Maka ia akan mencegah fikiran kita daripada songsang pertimbangan. Kita perlu berusaha menyatukan 'kebersihan' diantara akal dan hati. Hati kita pula mudah sangat berbolak-balik. Di situ kita perlu berusaha membersihkannya selalu. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Kalau tidak kedua-dua bilik hati dan fikiran kita ini nanti akan dipenuhi debu-debu dan sesawang yang menutup kebersihan dan tidak mencantikkan.
"Berikanlah diri sendiri fikiran yang baik, InsyaAllah kita akan menjadi insan baik dan dunia juga akan memberikan fikiran yang baik kepada kita."
"Fikiran kitalah yang membuatkan kita ini sakit ataupun sihat, menjadi baik ataupun jahat, mencari sengsara atau bahagia, malah menjadi miskin ataupun kaya."
Wallhua'lam
Salam kasih
Rehatkanlah minda
fikirlah kita akan kebaikan.
Apabila kita berniat untuk buat kebaikan,Allah permudahkan kita kepada kebaikan,
bila kita sudah membuat satu kebaikan,Allah buka ruang kepada kebaikan-kebaikan lain yang berterusan. InsyaAllah..
Raz.R
dengan semanis senyuman
16.10.2011
Saturday, October 8, 2011
TEMAN YANG KAU PILIH
Teman....
Apabila kau ingin berteman, Janganlah kerana kelebihannya,
Kerana mungkin dengan satu kelemahan, Kau mungkin akan menjauhinya....
Andai kau ingin berteman, Janganlah kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan satu keburukan, Kau akan membencinya....
Andai kau inginkan sahabat yang satu, Janganlah kerana ilmunya,
Kerana apabila dia buntu, Kau mungkin akan memfitnahnya....
Andai kau inginkan seorang teman, Janganlah kerana sifat cerianya,
Kerana andai dia tidak pandai menceriakan,
Kau mungkin akan menyalahkannya....
Andai kau ingin bersahabat, Terimalah dia seadanya,
Kerana dia seorang sahabat, Yang hanya manusia biasa....
Jangan diharapkan sempurna, Kerana kau juga tidak sempurna,
Tiada siapa yang sempurna.. Tapi bersahabatlah kerana Allah...
"Barangsiapa beramal untuk akhiratnya, maka Allah akan mencukupi urusan dunianya. Barangsiapa memperbaiki hati nuraninya maka Allah akan memperbaiki lahirnya.Barangsiapa yang memperbaiki apa yang ada diantara dia dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki apa yang ada di antara dia dan manusia"
Salam kasih dengan senyuman.
Moga ukhwah dan kasih terus berkekalan
Raz.R
08.10.2011
Friday, October 7, 2011
Doamu
Dalam Dirimu Ada Kebesaran Tuhan
Salam kasih.
Raz ingin kongsi sedikit ilmu yang sangat indah untuk pengetahuan kita. Semoga kita selalu menghargai apa yang telah Allah SWT kurniakan kepada diri kita dan belajar mensyukuri kebaikan Allah Ta'ala.
Doktor memulakan syarahannya dengan membawa para hadirin memikirkan sejenak dengan hadith yang maknanya sedikit sebanyak "Dalam diri-diri kamu ada tanda-tanda kebesaran Tuhan".
Doktor menyuruh kita melihat kedua tapak tangan dan perhatikan garis-garis di tapak tangan kita. Garisan- garisan di tangan kiri menunjukkan angka 8 dan 1 dalam Bahasa Arab dan tangan kanan 1 dan 8 dan membawa ke jumlah 81 + 18 =99 iaitu bilangan nama Allah.
Berikut adalah antara intipati syarahannya secara ringkas:-
1. Cara makan, kenapa kita gunakan tangan?
Mengikut cara Rasulullah s.a.w,beliau akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar, lalu Rasullah saw akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya (yg last tu),lalu Rasullah saw akan menghisap garam itu.
Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya. Mengapa?
Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim,tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri.
Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion.
Mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.Kenapa garam?
Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr, dihospital-hospital , the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM.
Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia.
2. Cara Rasulullah mengunyah -
Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproseskan makanan itu.
3. Membaca Bismilllah -(Bismillahirrahma Nirrahim).
Membaca Bismillah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.
4. Cara Rasulullah minum.
Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan jangan bernafas sedang kita minum.Kerana apabila kita minum dari bekas yg besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita.
Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgn air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic.
Jangan meniup air yg panas, sebabnya sama diatas. Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.
Mengapa Islam menyuruh di sebat 100 kali orang belum berkahwin yang berzina, dan merejam sehingga mati org yg sudah berkahwin yang berzina? Badan manusia akan mengeluarkan sel-sel darah putih atau antibiotik yg dapat melawan penyakit.
Dan sel-sel ini terdapat di daerah tulang belakang, berdekatan dengan sum-sum tulang manusia. Lelaki yang belum berkahwin dia akan dapat mengeluarkan beribu-ribu sel ini, manakala lelaki yang sudah berkahwin hanya dapat menghasilkan 10 unit sel ini sehari, kerana antara sebabnya ialah kerana sel-sel lain akan hilang kerana perhubungan suami isteri.
Jadi apabila lelaki yang belum berkahwin didapati salah kerana zina hendaklah disebat 100 kali. Ini adalah kerana apabila dia disebat di belakangnya, suatu amaran tentang kesakitan itu akan membuatkan penghasilan beribu sel antibiotik yang dapat melawan virus HIV jika ia ada di badannya, dengan itu dapatlah antibodi melawan virus HIV itu.
Tetapi jika lelaki itu sudah berkahwin,walaupun disebat 100 kali ia akan tetap menghasilkan 10 unit antibodi sahaja, jadi dengan itu hukumannya direjam hingga mati agar dia tidak dapat merebakkan virus HIV itu. Itulah sedikit sebanyak inti syarahan yg disampaikan oleh Dr Jamnul Azhar.
Harap ia akan memberi manfaat pada anda sekalian, dan sedikit informasi yang diberikan oleh Mudaris(guru) ana, Mudaris Iskandar mengenai Ka'bah.
Mengapa ia terletak di Mekah al-Mukarramah dan mengapa ia empat persegi (cube). Ia terletak di posisinya sekarang kerana setelah dibuat kajian oleh para cendikiawan dari Pakistan dan Arab, didapati, tempat terletaknya Ka'bah sekarang itu, adalah betul-betul di tengah bumi.
Mengapa ia empat persegi, ia melambangkan perpaduan ummah yang bergerak maju bersama, equality and unity, tidak seperti bentuk pyramid, dimana ia diumpamakan, seperti hanya seorang pemenang yg berada diatas setelah ia memijak-mijak yang lain.
Dan antara lagi sebab mengapa 4 persegi melambangkan 4 imam besar, Maliki, Hambali, Hanafi dan Syafi'i, melambangkan kebenaran keempat-empat Imam tersebut.
Sekian buat renungan bersama, Fi amanillah Jazakallah
" Berbudi selagi perlu, ber-Ukhuwah selagi mampu"
Salam kasih kerana Allah
Raz.R
07.10.2011
Thursday, October 6, 2011
Andai Aku Pergi Dulu
Sekiranya aku dijemput-Nya 'pergi'
dan tiada lagi jemari yang gemertih di lamanku nanti
apa yang kutinggalkan utk tatapanmu di sini?
Adakah perlu ku tinggal keji dan nestapa?
atau kata yang kosong tiada makna
atau warna-warna hidup yg tak luput dosa
atau sebidang halaman yang tetap sejuk kau tatap padanya
sekalipun nanti aku tiada.. kau tahu, di situ masih ada..sedikit ilmu-Nya
walau tidak seberapa, tetap telahku berusaha ke jalan-Nya semata
Tidak ku mahu diriku dipuji, apatah lagi tertinggal keji
biar dunia ini mencerca, aku tetap terus mahu
"perginya" aku .. bersama keampunan-Nya .. Amin Ya Robbana.
~Hati ini tidak pernah meminta sengkata walau teruji atau di duga.
Redha aku dengan apa adanya~
Salam kasih semua..
Sekecil kata bersama nafas yang ada.
dan jika ia tiada nanti
berikan aku senyum bersama doamu selalu.
Raz.R
06.10.2011
Wednesday, October 5, 2011
Aku Takut
Aku takut..
Bukan takut kerana marahmu
membingit panas melulu
habanya membahangkan taman
yang lama engkau taman
berjenis-jenis bungaan
membara merah lalu menjadi arang
Aku takut..
Marahmu itu menjengah fitnah
yang engkau sendiri tidak tahu
lalu kau salahkan dirimu
dan menunding saudaramu
atau mungkin merebak
menyalahkan Tuhanmu
membawa gamitan murka-Nya
dan iman yang selama ini
kau pegang dengan sempurna
terkikis dengan mudahnya
seolah keliru akan takdir-Nya
Aku takut..
Marahmu berjalan dengan buta
memanggil seluruh maya
tunduk dan akur pada musuh-Nya
yang sudah biasa dan bersedia
dengan jolok dan hasutannya
berenang engkau terpedaya
dengan gelojak yang sia-sia
Aku takut..
Marahmu ditawan angkuh
membunuh tiap luhur budimu
terbit subur hina dan aibmu
sumbing hormat taulan sekelilingmu
lelah kesal seluruh sesalmu
tidak lagi berpaut pada ilmu
yang lengkap tersedia Tuhanmu
terusir jauh lapang tenangmu
bagai pasir di hembus bayu
Perlukah engkau begitu?
Mohon Allah melindungimu selalu
kerana aku tetap menyayangimu
selagi kamu masih saudaraku
di dalam naungan Agama-Nya
yang benar dan satu..
aku masih bersatu denganmu
dengan kasih terbaik Tuhanmu.. Tuhanku.
"Dan apabila dikatakan (kepada kamu): ` Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ', kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya '." [Al-Jaathiyah :32]
Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!
Dan dikatakan (kepada mereka): "Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
[Al-Jaathiyah :34-35]
Raz.R
05.10.2011
Salam kasih kerana Allah dengan senyum yang melimpah.
MMuahks!
Tuesday, October 4, 2011
Diam
Sesetengah orang, memang banyak melebihkan diam dari berkata-kata. Banyak juga dari kita memang sifatnya demikian rupa kerana tidak semua perkara di dalam hidup kita ini boleh dibicarakan dengan semberononya.
Apabila seseorang itu berdiam, tidaklah ia wajar diadili dengan menerima hukuman bahawa dia sedang mendustakan sesuatu atau menyelewengkan kejujuran hati. Sebab terkadang mendiamkan diri itu lebih banyak kebaikannya daripada membuka pekong di dada, sekaligus mempamerkan kelemahan-kelemahan yang membuatkan kita merosakkan sesuatu situasi atau menganiaya diri sendiri.
Allah sendiri berpesan agar kita sentiasa menutup hal-hal yang tertentu di dalam hidup yang Allah sendiri telah tutupkan. Rasulullah SAW juga banyak memberi contoh kepada kita tentang kebaikan-kebaikan diam yang terselindung.
Maksudnya jika kita berbicara dan menyebabkan kerugian sebesar sebongkah emas, maka diam adalah emas.Diam yang bernilai emas adalah diam yang diletakkan pada saat yang tepat.
Tetapi jika kita seharusnya berbicara yang bernilai emas, yang mencegah terjadinya kerugian besar, maka diam adalah pengingkaran tugas, yang merugikan. Diam yang seperti itu adalah penelantaran tanggung-jawab. Contohnya saat kita perlu menegakkan diri dari dirantai kezaliman atau menyampaikan ilmu-ilmu yang perlu diketahui kehidupan, terutama ilmu Allah dan Rasul-Nya.
"Kata-kata bila sudah diudarakan, perlu diselaraskan dengan tindakkan. Melaksanakan sesuatu tindakkan pula, tidak semudah kata-kata"
Wallhua'lam.
Salam kasih dengan senyuman yang berterusan
Raz.R
04.10.2011
"If silence had a voice
it would unravel all your secrets
but not tell them to a soul
for it knows you
and when you don't say anything
there's a reason
and to breech such a trust
would be the harshest of treason."
Monday, October 3, 2011
Kertas Putih
Bissmillahirrahmanirrahim...
Sehelai kertas putih kita terima, untuk menulis atau melukis cerita hidup kita mengikut gerak rasa kita, sebagaimana yang kita rasa selesa dan suka. Seiring dengan jalan dan rahmat yang telah di tunjukkan oleh Rasulullah SAW dan Allah Taa'la di dalam Hadis dan Kitab-Nya.
Perjalanan hidup kita ini ditentukan oleh kita sendiri. Memang benar kehadiran orang lain itu menjadi penyeri dan pelengkap kegembiraan dan membina taman ukhwah yang membina dunia bermasyarakat yang indah, namun kita harus sedar bahawa kebahagiaan itu dapat dirasa di dalam diri kita sendiri. Sekalipun kita mungkin ditabur pelbagai keindahan luar, kebahagiaan itu tidak akan kunjung datang jika keindahan yang di dalam diri kita sendiri tidak muncul. Bolehkah kita bahagia dengan sebenar-benarnya jika kita menerima sehelai kertas putih tetapi kita dipaksa menulis tentang apa perlu untuk orang lain?
Hidup ini akan menjadi lebih indah bilamana kita menulis seluruh isinya mengikut kehendak Allah dan yang lain membingkaikannya dengan doa-doa dan harapan yang baik tanpa menelan kegamatan hasutan dari bisikan syaitan yang nyata sentiasa datang mahu menyesatkan.
Diamlah seketika.. renung sejenak dan tanyalah diri, apa yang kita mahu dan jalan manakah yang kita ingin pilih? Tulislah dan lakarkanlah ia sebagaimana yang kita mahukan namun sertakan dengan kebijaksanaan Tuhan sekelian alam. Jangan melakar benci, tulislah lagu-lagu bistari. InsyaAllah, semuanya akan menjadi tenteram dalam rasa redha yang dalam. Subhanallah. Berlindunglah kita di bawah payung-Nya yang Maha Luas.
Amin Ya Robbana..Wallahua'lam.
Salam kasih kerana Allah SWT
Senyumlah dan teruskanlah hidup dengan seadanya.
Raz.R
03.10.2011