Salam kasih Kerana Allah
Tuesday, November 19, 2024
Ragam
Thursday, November 14, 2024
Fasa Tenang Elak Fitnah
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Suatu waktu, sudah malas nak berjimba-jimba, bersuka-suki di keramaian, pesta atau apa-apa yang melibatkan suasana padat dengan kumpulan-kumpulan tertentu. Majlis perjumpaan kawan-kawan, "Re-united" misalnya. Selama mana ia melibatkan bercerita tentang orang lain yang menggalakkan fitnah, lebih baik kita diam-diam habiskan waktu yang tersisa di rumah dengan keluarga.
Kan?
Fasa diri kita sekarang adalah mendambakan ketenangan, hati lapang, jiwa damai.
Bukanlah bermaksud menidakkan hidup bermasyarakat, namun perlu lihat kepada kepentingannya. Jika sekadar mahu bergossip, bercerita tentang orang lain, lebih baik tak payah. Bila kita mendengar, nak bercakap. Bila bercakap nak terus bertanya macam-macam. Bila cakap macam-macam, kebarangkalian peratus untuk buat salah dalam percakapan sangat banyak. Nanti kita akan terlebih hanyut untuk lebih tahu dan terlajak menfitnah atau membuka aib orang lain mahupun diri sendiri.
Cukuplah kita hadiri majlis-majlis jemputan kenduri atau kematian. Yang mana penting kita utamakan. Yang mana tidak memberi manfaat, lebih baik diamkan diri sahaja.
Tuesday, October 29, 2024
Sudah Tua
Sudah makin terasa.
Usia sudahpun banyak.
Hati mula cepat bersangka-sangka. Sensitiviti makin hari kian mudah singgah. Tersinggung walaupun dengan sedikit ayat yang mengguriskan atau kadang-kadang gurauan semata namun hati tetap terluka. Apatah lagi bila orang-orang muda melemparkan kiasan atau sindiran. Apalagi, menyirap darah tua.
Kita sudah biasa dengan kehidupan dulu. Pengalaman mengajar kita banyak perkara dan bila orang-orang muda tidak menghormati pengalaman kita dan pahit-maung yang kita lalui, perasaan kecil hati cukup senang menerpa.
Persoalannya, adakah akhlak muda-mudi sekarang ini sudah tidak lagi seperti orang dahulu atau kita sahaja yang terlalu peduli apa kata orang?
Begitulah orang tua kita rasa kan? Bila suruh dibangkang, tidak mahu buat. Bila tegur mendengus, berlagak pandai. Bila bercakap, bermegah-megah seolah orang tua-tua tidak tahu apa-apa tentang zaman idealogi masa kini dengan semua kemodenan yang disangkakan kehidupan sejati.
Hakikatnya hidup generasi baru bermula dengan generasi lama. Sekalipun ada perkara yang nampak ketinggalan, namun budi-bahasa, adab-sopan semuanya bermula daripada ilmu orang-orang tua.
Ingat! "Orang tua pernah muda. Orang muda belum tentu akan sampai ke tua."
Tuesday, July 9, 2024
Bukan Milik Kita
Pernahkah kita hargai orang lain sebanyak mana yang kita harapkan diri kita mendapat penghargaan yang baik. Atau, kita hanya mahu dihargai namun tidak pandai menghargai? Persoalannya kita bertimbang-timbang tentang orang lain tetapi tidak menimbang diri sendiri. Apakah kita sudahpun berbuat banyak? Atau kita sedang melakukan yang sedikit tetapi berharap imbuhan yang banyak. Hidup ini terlalu banyak 'tetapi'. Keikhlasan kita tersekat dengan tetapi ini tetapi itu.
Monday, July 8, 2024
Jauh di sudut hati❤️
Kelembutan air menjadi penyejuk. Sekalipun ia kadang-kala keruh namun akhirnya tetap menjernih. Sepertimana kita tidak pernah akan dapat lari dari orang-orang yang menyikapi diri kita dengan sangkaan yang sentiasa buruk dan negatif. Kita terus sahaja mengalir selari dengan arus yang membawa kita ke haluan kita. Asalkan haluan kita itu satu. Haluan ke laut yang luas. Laut yang menjadi simbol keluasan rezeki Ilahi Robbul Jalil,Rabbul Razzaq.
Jauh di sudut hati, sudah pasti pada takdirNya, kita ditambat kesedihan yang teramat, namun itu bukanlah tiket untuk kita putus asa, menyalahkan semua yang terjadi dengan mudah kerana kekuatan kita kepada Allah adalah segala sesuatu tetap perlu kita pegang seutuhnya. Kerana baik buruk sesuatu tetaplah tidak berganjak dari perancangan Allah Yang Maha Bijaksana. Kita lemah.Lemah selemahnya. Namun kita diangerahkan iman untuk mengenal Allah. Mengetahui bahawa Allah punya perancangan yang tidak pernah tidak tepat. Untuk semua orang yang sedang mengusung hati yang berat di dalam diam, bertabahlah, banyakkan solawat. Pada akhirnya akan tiba suatu masa, yang mana semuanya akan baik-baik sahaja. Insha-Allah. Allahumma Solli'ala sayyidina Muhammad. Wa'ala ali sayyidina Muhammad. Akan tiba saatnya nanti airmatamu jatuh bukan dasarnya mengintai ujian namun doa-doamu dimakbulkan dengan kebahagiaan.Wednesday, May 15, 2024
BUANG ORANG TOKSID
Sunday, March 31, 2024
Naskah Ramadhan 2024 (1445)♥
Ini laut October 2023 |
Lama tidak bercerita di sini. Sibuk dengan urusan harian. Entah apa yang menggugat masa. Malas nak menulis kata, tapi rindu menulis itu ada, tidak terkata.
Saat aku tulis naskah pendek ini, adalah hari ke-20 Ramadhan. Cuaca sangat terik berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Alhamdulillah hi'ala kullihalin. Hujan cuma sedikit-sedikit. Itu pun tak semua tempat yang dibasahi. Tak mengapalah, merungut buat apa kan? Hak Allah. Kita mahu maka kita berdoalah. Syukur sahaja kerana ada banyak doa-doa yang Allah telah makbulkan.
Aku menulis hari ini sebab nak simpan kenangan Ramadhan tahun ni. Pertama kali aku sakit agak lama. Kena pula buat pembedahan kecil. Dalam usia begini, baru aku lalui pengalaman yang Allah beri. Macammana takutnya masuk hospital dan menjalani saat pembedahan bilamana di kelilingi oleh banyak doktor dan jururawat. Subhanallah, di saat itu aku tak tahu berapa banyak aku bersolawat dan berdoa kepada Allah. Doa pun jadi berterabur sebab keyakinan yang rapuh kepada Allah. Itulah dia aku yang sangat lemah yang memerlukan Allah setiap masa.
Alhamdulillah, kesihatan semakin pulih. Aku sangat berterima kasih dan bersyukur kepada ibu dan adik-adik teruatamanya yang tidak pernah jauh dariku. Sentiasa bersama. Susah-payah mereka temankan aku walaupaun mereka sendiri lalui banyak rintangan tapi mereka tidak membiarkan aku berseorangan.
Tidak ramai yang tahu. Hanya segelintir.
Apapun, mendapat sokongan daripada orang-orang yang sangat penting dalam hidup kita saat kita sakit sangat diperlukan. Boleh jadi doa-doa merekalah yang membuatkan Allah membuka seluas rahmatNya kepada kita. Keajaiban kasih-sayang ikhlas! Allah selalu balas!