Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, December 21, 2018

Cuba-cuba Faham

Ta'awudz dan Basmallah.

Ujian, 
akan tetap datang dalam pelbagai situasi. Kadang-kadang dalam situasi yang kita tidak sangka, dalam cara yang tidak kita duga. Baik-buruk ia tetap ujian. Yang baik selalu menggembirakan tetapi ia menguji kita sejauh mana kita benar-benar bersyukur. Yang buruklah selalu kita tidak inginkan, sebab ia sangat-sangat menguji ketabahan dan ketenangan kita. Ujian yang buruk inilah yang  banyak mendekatkan kita samada kepada Allah atau kepada syaitan.

Selalunya, detik awal kita menerima ujian, hati, iman dan emosi kita akan berkumpul di dalam ruang yang menggegarkan dada. Di situlah dapat kita ukur, sejauh mana asal diri kita yang sebenarnya. Bolehkah kita bertahan? Bolehkah kita melaluinya dengan 'steady' dan tenang. Banyak jawapan adalah SULIT dan SUKAR. Jarang ada yang dapat bertenang melainkan hati kita telah berada di maqam iman yang Allah sudah lindung dan pelihara kerana kekukuhan ikhlas kita kepadaNya. Orang awam macam kita ini, sering gagal menuntun jiwa oleh kerana nafsu dan dosa yang tebal. 

Kita sentiasa perlu menyeleraskan akal dan hati kita untuk cuba-cuba faham kenapa Allah beri ujian. Cuba-cuba faham, dan kenal pasti asal punca ujian tersebut berlaku ke atas diri kita. Cuba-cuba faham hikmah yang Allah bawa di sebalik apa yang kita tafsirkan daripada ujian tersebut. Kesimpulan akhirnya, sebahagian besar adalah atas kedhaifan khilaf kita sendiri. Ya, salah kita. Namun, Allah jugalah yang datangkannya. Contohnya, andaikata kita bersangka-buruk atas suatu perkara. Dari mana asal sangkaan itu? Kenapa ia berlaku dan apakah kita dapat mengawalnya? Atau apakah kita dapat meleraikan sangkaan buruk itu berakhir dengan kebaikan selepasnya?  Itulah cabang-cabang hikmah yang Allah hidayahkan kepada kita agar kita cuba fahamkan. Apabila kita dapat melepasi ruang sulit dan sukar dengan memahami tersusunnya aturan Allah tersebut, kita akan faham, sangkaan itu bukanlah sangkaan. Boleh jadi selembar kasih-sayang. Boleh jadi juga senaskah kejujuran dan keikhlasan. Makanya, sangkaan buruk itu juga automatiknya bertukar menjadi hikmahNya. 
Itupun, jika kita cuba-cuba faham.

Sekiranya kita terus hentikan meneliti hikmah yang Allah aturkan tersebut, sudah tentulah sangkaan buruk tetap menjadi buruk. Tiada penghujung yang baik melainkan rasa sakit, marah dan berkeluh-kesah dengan pengakhiran yang kita bawa ke teratak syaitan. Semoga kita dilindungi Allah.

Wallahu'alam.
(Terkhusus untuk diri sendiri)
Raz.R
Juma'ah Mubarakh. 
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.




Thursday, December 20, 2018

Kita Akan Selalu Rindu

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang tak putus memperingatkan kita tentang Allah.  Rindu kita akan menjadi rindu yang segar dengan perasaan positif terhadap orang yang sedia berkongsi sesuatu tentang Allah.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sedia berlapang dada dengan apa sahaja situasi jiwa kita. Tidak ada rasa takut berkongsi pendapat, masalah atau suatu nasihat.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sering membuatkan kita ketawa dengan gurau-gurau bersahaja. Walau biasa-biasa cuma, tapi ada manisnya.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang sentiasa basah memberi kasih-sayang dan perhatian. Tidak kering mengambil berat. Tidak jemu meluangkan masa seadanya menghargai kita dan menjadikan kita penting dalam kehidupannya.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang memberi tanpa meminta. Mencurahkan rasa ikhlas hatinya tanpa pura-pura, kerana apa yang datang dan pergi tanpa keikhlasan akan terhenti apabila hati dipaut jemu dan keletihan. Usahanya akan berhenti di tengah jalan.

Kita akan selalu rindu,
kepada orang yang kata-katanya menjamah hati memberikan ketenangan. Berbicara dengannya membuatkan kita percaya. Dia sering menterjemahkan kata-katanya penuh keyakinan. Berada di sisinya melahirkan rasa selesa.

Demikianlah, kita yang bernama insan.
Tidak ada manusia yang tidak dilanda rindu. Bahkan si gila pun merindukan majnunnya!
Rindu itu juga pemberian Tuhan. Cuma, sentiasalah kita perhiaskan jalan-jalan rindu dengan iman yang teguh kepada Allah yang memberikan rasa itu.

Seringkali rindu memakan diri apakala rentaknya kita ikut dan campurkan dengan emosi yang bercambah dengan nafsu-nafsi yang jatuh dari batas-batasnya syariat Ilahi.




Tuesday, December 11, 2018

Kenapa Nak Patah Semangat?

Patah semangat?
Kenapa nak patah semangat?
Siapa yang beri kita patah semangat?
Orang?
Haiwan? Hihi.. Tak mungkin haiwan memberikan kita patah semangat. Syaitan, mungkin.

Apa yang kita dapat daripada semangat yang patah?  
Selalunya hati merundum, murung dan kadang-kadang macam orang sewel saja kan? Hati pun jadi gelabah tidak keruan, tenaga pun macam tak ada bateri, malas dan leka. Itu sahaja yang kita dapat daripada patah semangat. Jadi kenapa nak patah? Perlukah kita patah? Sukakah kita pada perasaan yang patah tersebut? Sedih memanjang. Senak jiwa mengganggu aktiviti. 

Kita tidak dapat apa-apa yang elok daripada keadaan patah semangat. Nama pun patah. Satu tiang yang patah, sebuah rumah jadi senget dan makin roboh. Untuk apa?

Jangan patah semangat lagi.
Allah beri kita nyawa. Hargai. Orang yang mematahkan semangat kitakah yang memberikan nyawa kepada kita?  Tidak kan? Kalau kita patah semangat, orang lain akan beri kita rezekikah? Tidak kan?

Carilah jalan untuk tumbuh kembali setelah patah seketika. Menghijaulah. Suburkan kembali segala rasa. Ikut rasa, mati. Ikut hati, binasa. "Do something and create your happiness."

Satu lagi..,
Jika orang cakap kita tak baik dan itu mematahkan semangat kita untuk meneruskan hidup, kita SILAP. Silap kerana membiarkan dia menyekat apa yang kita mahu buat. Menyekat kita menjadi diri kita sendiri. Menyekat apa yang kita suka. Selagi apa yang kita lakukan tidak melanggar syariat Allah dan kita rasa baik dan tidak memudaratkan sesiapa,  teruskan. Kenapa nak biarkan orang lain mematahkan diri kita yang sebenar. Kita istimewa kerana itu saja yang membuatkan kita istimewa. Orang lain nak rosakkan,  kenapa kita nak biarkan dia?

Bersemangatlah. 
Bangkit semula.
Gantikan rasa patah itu untuk tumbuh semula.
"The best way is, your prayer to Allah". Minta Allah kuatkan hati. Doakan selalu. Sujud! "Ignore the bad feeling which trying to concur your inner strength"

Jangan lupa, kita kuat dan Allah berkuasa membuatkan kita kuat!



Monday, December 10, 2018

Ibadah dan Iman seperti Minyak dan Air

"Orang baik, ada jahatnya.
Orang jahat, ada baiknya."

...dan kadang-kadang, orang baik sentiasa baik. Manakala yang jahat tersangat jahat.

Itulah manusia biasa.

Sebaik-baik manusia, ada lemahnya tetapi jangan kita gabungkan ia dengan ibadahnya. Andai kata dia pakai tudung, tetapi dia buat maksiat atau dia solat tetapi dia tetap berzina, jangan kita terus dakwa, "Buat apa pakai tudung atau solat tapi perangai masih jahat?".

Solat dan tudung adalah perintah Allah, manakala sifat dan perangai kita yang tiada kaitan langsung dengan apa yang Allah syari'atkan. Sifat-sifat yang ada pada diri kita itu adalah fitrah (Nafsu-nafsi)yang setiap orang ada. Ia menunjukkan kita makhluk yang tiada daya upaya melainkan dengan kehendak Allah semuanya. Tugas kita adalah berusaha mengubahnya mengikut ikhtiar dan izinNya.

Ibadah setiap orang itu adalah hak Allah. Tidak ada 'join venture' antara ibadah dan sikap (iman) manusia. Ibarat minyak dan air, walapun rapat tapi tidak bersambung. Ibadah ialah syariat Allah yang kita kena ikut samada kita ini makhluk jahat ataupun baik. Manakala sifat dan sikap kita adalah pilihan kita. Jika kita masih beribadah tanpa memandang Allah zahir dan batin, kekadang ibadah tersebut tidak menjadi jalan untuk kita berbuat baik. Malahan ada yang beribadah, tetapi masih rakus mengikut syaitan kerana imannya terlalu tumpul kepada keduniaan. Manusia yang beribadah tetapi masih berlaku maksiat, dia dipanggil munafiq. Yakni orang yang berpura-pura atau menipu Allah. Allah jualah yang layak menghukumnya di atas perlakuan demikian. Munafiq ini bukanlah perintah Allah tetapi sikap yang kita pilih sedangkan Allah Maha Lembut mengajarkan kita segala hal haruslah dipilih yang Dia redha dan yang baik untuk sekelian makhlukNya.

Sangat bahaya bila kita selalu gandingkan manusia dengan ibadahnya sebagai panduan hidup. Nampak tak betapa halusnya syaitan mempersonakan kita?
"Alahai, buat apa sembahyang, berzikir, jika perangai masih macam syaitan?" Itulah bisikan-bisikannya yang kita selalu dengar.

Ibadah dan iman itu ibarat minyak dan air. Dipersatukan tetapi tidak bersatu.  Namun kiranya kita mencintai Allah, mentaatiNya maka ibadah dan iman akan menjadi pewangi yang mengharumkan kehidupan kita dunia akhirat. Insha-Allah. Mudah-mudahan.

Berilah ruang orang yang mahu belajar, terus belajar. Berilah sokongan kepada orang yang sentiasa beribadah memperbaiki imannya. Kita tidak pernah menjadi malaikat dan kita bukan juga syaitan.
Kita manusia yang selalu Allah kasih yang sentiasa Allah berikan peluang untuk bertaubat selagi ada nafas di jasad.

Allhua'lam bissowab. Moga Allah bantu kita semua. Amin.
Lahawlawalaquwwata illa billahilaliyyiladziem.
Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.






Friday, December 7, 2018

Jangan Susah Fikir

Banyak benda dalam hidup, kita terlajak fikir. Terlajak fikir inilah yang sering buat kita dirasuk hantu kebimbangan, kegelisahan dan kerunsingan jiwa. Semua itu mengalirkan rasa gemuruh dan tidak tenang kepada emosi hati dan mengganggu kewarasan akal kita.

Kadang-kadang ia tidak sengaja berlaku. Kita tidak boleh nak cuba jauhkan kerana ia datang dengan 'spontan' dan melulu. Kadang-kadang ia menjadi kata hati. Kadang-kadang ia menjadi usikkan helah syaitan. Kadang-kadang ia menjadi firasat. Namun, tidak semua yang kita fikir itu firasat. Kebanyakannya cuma mainan perasaan.

Banyak orang melalui tekanan perasaan dan sakit jiwa apabila terlajak fikir. Ada sebab dan puncanya situasi demikian berlaku. Selalunya kerana pengalaman hidup yang 'extreme' dengan kehampaan dan kekecewaan. Kesakitan fizikal dan mental yang mendera emosi seseorang sehinggakan ia menjadi trauma yang menggerunkan.

Banyak Astaghfar.
Sejenak kita diganggu fikiran-fikiran yang membuatkan emosi kita patah, teruslah menyebut astaghfirullah. Minta ampun kepada Allah. Kita ini manusia yang hari-hari berdosa. Bila Allah sayang, DIA akan uji kita dengan hal-hal yang ringan atau berat untuk menghapuskan dosa. Salah satunya, DIA beri rasa gelisah dan akal kita fikir yang 'macam-macam'. 
Jadi, apa sahaja yang terlintas di akal yang tiba-tiba menjentik emosi kita menjadi terganggu, mintalah ampun kepada Allah. Beristghfar. Astaghfirullahaladziem. Sesali dosa-dosa kita dengan ikhlas, "Ya Allah! Jika aku ada dosa hari ini ampunkanlah aku, Ya Allah. Tenangkanlah hatiku."

Balas kata-kata hati yang buruk dengan kata-kata kebaikan.
Hati kekadang nakal sikit. Suka menggoda akal dengan sangkaan-sangkaan negatif.  Bila ada yang tercetus yang mengganggu fikiran, balaslah dengan kata-kata nasihat kepada diri. Contoh, "Haish! Fikir apalah macam tu? Aku kena doa yang baik-baik. Allah susun dah elok dah."

Jangan susah fikir sangat.
Ringankan fikiran dengan berserah kepada Allah.
Kita tidak pernah jadi Tuhan. Kita cuma manusia yang apa-apapun tetap bergantung kepada kehendak dan aturanNya. Kadang-kadang, apa yang kita susun, kita rancang, kita jaga, kita mahu, semuanya tidak seperti apa yang Allah telah aturkan.

Cara yang terbaik, begitulah.  JANGAN SUSAH FIKIR. Jika tidak, kita akan disusahkan dengan apa yang kita fikir sehingga kita jauh berfikir membatasi kemampuan diri yang sememangnya, tiada kuasa apa-apa.

Okay.
Done! Hehehe... Clear your mind. Senyum. Jumaah Mubarakh. 
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.