Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, February 23, 2018

Orang tanya " Kenapa Tak Nikah-nikah Lagi?"

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ.
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ




Orang tanya, kenapa tak kahwin-kahwin lagi?
Aku senyum.
Sudah terbiasa dengan soalan itu.
Malah, aku selalu dikutuk, dituduh memilih, disangka meterialistik. Paling teruk dilebelkan tidak laku dan difitnah berlaku sumbang sehingga tiada siapa yang mahu mengambilku menjadi isterinya. Malah, kata orang aku tidak berusaha. Tahu apa mereka dengan usahaku? Aku ketawa sinis sahaja.

Dulu, aku marah. Bila soal jodoh dipersoalkan, aku akan berkecil hati.
Sakit!
Sakit kerana kedua orang tuaku terpaksa malu. Sakit kerana dihirit penghinaan yang tidak sepatutnya. Sakit kerana merasakan akulah manusia yang paling hodoh di dunia. Sakit kerana permainan manusia.

Lelaki, hanya pilih yang cantik. Pantang wanita cantik melintas di depan mata, tersiul-siul macam mawas nak mengawan. Dulu aku menyampah. Sekarang, aku faham. Fitrah yang Allah cipta. Sedangkan Allah sukakan kecantikkan. Sudah tentu kita semua begitu. Apa pun yang kita beli samada pakaian, kereta atau rumah, sudah tentu kita pilih yang cantik. 

Selepas badai melanda hati, aku mula menyedari, aku pun cantik. Setiap manusia itu cantik dengan perbezaan dirinya oleh Allah. Bukan aku memuji diriku. Semua itu aku berikan kepada Allah. Tak layak untukku. Cantik itu ada dalam pandangan hati. Jika hati itu hodoh, maka apa yang dipandang sipemiliknya akan menjadi hodoh. Aku, kamu, engkau, dia, cantik atau tak cantik tetap cantik kerana Allah yang menciptakan kita semua.

Tersentap hati dengan Allah pun, aku pernah. Yang peliknya, aku masih berdoa walaupun dalam doa-doaku bertanya kenapa aku bagaikan tidak sempurna? Kenapa aku dipersalahkan. Kenapa aku tidak seperti hamba-Nya yang lain, mendapat fitrah mereka. Setiap makhluk ada pasangan masing-masing, kenapa aku tak punya pasangan?

Sekarang, aku faham. Masih aku panjatkan syukur kerana Allah tetap menggerakkan zahir dan batinku untuk bersolat dan berdoa. Tetap ingat kepadaNya. Apa yang lebih baik daripada itu? Bagaimana kiranya Allah lumpuhkan imanku dan jadikan aku di kalangan hamba-hamba yang sesat?
Allahu, mohon Allah jauhi aku daripada terpedaya dengan hasratku yang tidak seberapa sedangkan Allah lebih utama.

Takdir Allah itu baik.
Sentiasa baik walaupun aku seperti kabur dalam persoalan-persoalan mendahagakan jawapan yang memenangkan rasa hatiku.
Pengalaman membuatkan aku kenal bahawa hidupku tetap indah seadanya. Apabila di dalam penjagaanNya tiap detik. Allah Maha Pemberi. Diberi segalanya mencukupi. Diberi rasa hati yang selalu tenang. Diberi keluarga yang begitu penyayang. Rezekipun belum pernah terputus. Masih boleh meneguk air putih yang enak. Disekelilingku terpilih hanya yang baik-baik. Masih boleh sujud bersolat. Allah tak pernah zalim. Aku yang menzalimi diriku sendiri.  Apa yang tidak ditakdirkan untukku tak bermakna aku ini tidak layak, namun urusanNya lebih bijak. Dialah yang mencipta diriku dan Dialah juga yang mengerti dimana tempat yang terbaik untukku. Wajar apa aku mengeluh dengan persoalan jodoh ini? Walhal jodohku dengan apa yang Allah takdirkan dalam kehidupanku kini walaupun sederhana, sudah mencukupi segalanya. ALHAMDULILLAH. Mahu apa lagi aku?!  
"Nikmat apa yang engkau dustakan?" Firman Allah dari surah Ar-Rahman berkali-kali.

Ilmu yang Allah turunkan di dada, kekadang tidak berguna sedikitpun, jika kita tidak mengambilnya menjadi amalan diri. Yakin kepada Allah, tetapi diri tak yakin. Cakap sabar, Allah ada.., tapi tak percaya kepada Yang Maha Sabar. Astgahfirullahaladziem.

Yang pasti, jodohku sudah ada. 
Jikapun tidak dengan manusia. Aku sudah berjodoh dengan kehidupan. Susunan cerita hidupku, itulah jodohku. Orang bilang, kalau tidak berjodoh dengan manusia, tidak bersunnah. Begitu banyak manusia dimomokkan dengan penerapan ulasan yang salah. Bukan tujuanku untuk membenarkan apa yang kutulis, sekadar mengembalikan pemahaman sesama kita. Dan aku, ingin membangkitkan mereka yang pernah berfikiran sepertiku dulu. Jangan ingat golongan sepertiku ini tidak diterima Rasulullah alaihisalam.  Rasulullah saw menyampaikan pesan itu dalam konteks yang luas. Baginda melaknat orang yang bermaksiat, mampu berjodoh tetapi menolaknya kerana ingin hidup bersumberkan kebebasan mengengkari syariat yang benar. Itu yang benar! Tidak diterima sebagai umatnya. Tafsiran yang salah menjadi menyebab kepada keyakinan yang patah. Golongan kecil seperti aku yang ilmu tidak tinggi, akal pun pendek akan menjatuhkan maruah sendiri dengan memandang dirinya tidak berharga di sisi Allah dan Rasulullah alaihiwasallam. Orang muslim sejati, tidak menjatuhkan! Malah menghulurkan tangan dan hati memperkasakan yang lain. Islam itu nasihat. Pun begitu, berapa ramai yang mampu menasihat dengan bijaksana?

Cukup sekadar ingat, wahai yang melambakkan fikiran yang singkat dan hati yang runtuh. Ingat Rabiatul Adawiyah yang dicintai Allah! Jika tidak tahu dia siapa, cari dan baca! Nanti hatimu akan lebih lunak menerima damai. Insha-Allah. Sejarah daripada kisah-kisah terdahulu banyak menyampaikan kecantikan agama. Hanya kita sahaja yang rakus memilih khianat.

Walhal, segalanya adalah urusan Allah. 
Urusan jodoh adalah secebis kisah kecil yang tak sepatutnya dijadikan simbolik yang jijik. Lebih banyak yang luas yang perlu kita ajar kepada kita yang masih kurang ajar. 

Hidup ini penuh segenapnya dengan ilmu. Ilmu Allah!
Usia dan masa, jangan terbengkalai sia-sia menunding kepada hal-hal yang kita sendiri belum arif tentangnya. Sebelum tegakkan rasa kita yang kita rasa benar, baiklah kita benar-benar mengkaji segala nikmat yang Allah beri. Pastinya ada suratan yang tertulis baik untuk kita. Mudah-mudahan, Insha-Allah. Amin.

Semoga kita dikalangan orang-orang yang saling mencintai kerana Allah.

Amin ya Allahumma Amin.
Allamumma solli'ala sayyidina Muhamad.





Thursday, February 15, 2018

Bacalah Al-Quran


Seorang muslim yang tidak pernah membaca Al-Quran tak ubah seperti tubuh yang sedang berbogel, sungguh sangat memalukan dan tidak perlu ditiru kerana Allah SWT tidak akan menyukainya.

Sesuai dengan hadis yang pernah diriwayatkan oleh Muslim yang dinyatakan oleh Abi ummah ra :

“ Baginda Rasullulah berkata bacalah olehmu Al-Quran kerana sesungguhnya akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat nanti untuk siapa saja yang membacanya.”

Subhanallah, insaf.
Astaghfirullahaladziem.

Pengalaman daripada orang-orang yang sering menjadikan Al-Quran sahabatnya sangat banyak. maka kerana itulah Al-Quran itu mukjizat dan setiap huruf-hurufnya, makhrajnya, tajwidnya, lantunannya membawa ganjaran kepada pembaca di sisi Allah.

Orang yang sering dekat dan membaca Al-Quran, kita dapati berbeza wajahnya daripada orang yang tidak. Jika tidak percaya, cuba buat kajian. Mereka ini selalu diberi Allah ketenangan ketika semua orang sedang terkinja-kinja mencari dimana ketenangan. Akan sentiasa ada jalan daripada Allah kepada mereka untuk tidak gelisah sekalipun dirundung pelbagai masalah. Akan selalu muncul keyakinan dan ketetapan hati ke atas apa sahaja yang ingin mereka lakukan, kerana kepercayaan mereka terhadap kalam-kalamNya. Allah selalu bantu mereka. Insha-Allah.

Ada juga orang yang membaca Al-Quran wajahnya tidak membiaskan 'nur'. Masing-masing terletak pada dalaman nurani kita. Samada kita ikhlas atau tidak. Namun, ikhlas itu tidak akan bermula jika kita tidak bertindak apa-apa. Ikhlas hanya terjadi dengan kemahuan, usaha dan latihan terhadap diri sendiri. Lama kelamaan ia akan jadi istiqamah atau "consistent". Bila istiqamah, selalu buat, selalu tunjuk rasa mahu, maka akan timbul sayang bila dibiarkan. Di situlah bermulanya ikhlas kemudian sayang terus kepada cinta. InshAllah.

Begitu pernah sabdaan baginda Rasullulah SAW:
“Sebaik baiknya manusia adalah yang membaca dan mempelajari Al-Quran serta mengajarkannya pada orang lain.” (HR.Bukhari)

Allah Azza wa Jalla berfirman:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Orang-orang yang telah kami beri (turunkan) al-kitab (al-Qur’an) kepada mereka, mereka mentilawah (membaca)nya dengan tilawah yang sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi (dunia dan akhirat) [Al-Baqarah/2:121]


Sungguh, membaca Al-Quran itu sangat liat bagi yang tidak menghalusi kehadiran Al-Quran tersebut dalam hidup. Sungguh juga hidayah Allah Subhanahuwataala tidak akan disentuh tanpa izin-Nya. Maka patutlah kita sebagai manusia hamba-Nya selalu bermohon supaya hati kita dilembutkan dan diberi peluang olehNya untuk menerima ilmu Al-Quran.

Sangat rugi bagi hati kita jika jauh daripada Al-Quran. Ia boleh menjadi sahabat yang terbaik kita. Ia tidak sekali-kali menipu. Ia juga penuh dengan kisah-kisah yang melahirkan rasa cinta kita kepada segalanya terutama kepada Allah dan Rasul-Nya.

"Barang siapa yang menyibukkan diri dengan Al Quran dan berdzikir kepadaKu, (sehingga lupa)tidak meminta kepadaKu, maka akan Aku berikan yang lebih baik dari yang akan Aku berikan kepada orang-orang yang meminta". Keutamaan kalam Allah dibandingkan dengan yang lainnya, laksana keutamaan Allah di bandingkan dengan para mahluk-Nya".(Hadits Riwayat Tirmidzi).

Mudah-mudahan kita sama-sama ambil iktibar selagi nyawa dibadan, selagi akal boleh berfikir dan selagi hati tersisa titik-titik yang masih belum mati. Ikhtiarkanlah untuk menyentuh, membaca, mendalami, mempelajari dan memahami rahsia Al-Quran.

Sehari sepotong ayat, makin hari maka ia akan semakin hebat. Insya-Allah. Amin.
Setiap kali dirundung serabut, ambillah wuduk, pandanglah Al-Quran, bacalah dengan hati. Mudah-mudahan kita mengerti dimana kesulitan itu boleh kita selesaikan.

Salam sayang,
RazZie RaZZmatazz.