Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, November 30, 2011

Siapalah Aku



Siapalah aku
Untuk berganding
Di istana kukuh berbatu
Ku hanya miliki
Istana pasir bakal runtuh
Dikocak usikkan laut

Siapalah aku
Untuk memeluk mesra
Saujana indah impian
Ku hanya hamba
Yang terdampar di pasiran

Siapalah aku
Untuk mendongak
Megah kegirangan
Ku hanya sebutir kaca
tanpa kilau bergemerlapan

Siapalah aku
Ku miliki seluas kekurangan..



Raz.R
30.11.2011
Di suam malam
namun masih dengan senyuman

Tuesday, November 29, 2011

Kalah Jangan di pilih, Menang Jangan di tagih


Lembah ujian itu amat besar
Acapkali,
Tidak kita mampu berenang
Kelemasan dan tenggelam
Hampir sahaja diragut
Ajal hati yang kerdil rapuh
Sekelumit kita di sudut tindihannya
Kalah, jangan dipilih..
Menang, jangan ditagih..
Berdirilah di kemanisan pertengahan
Dengan satu kepercayaan
Allah memiliki hamba-Nya
Hamba-Nya terlinkung di bawah kalam-Nya

"Oleh sebab itu, maka tetaplah kepercayaanmu
bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai
kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
[Surah al-Insyirah 94:5-6]

Bermula dari hati
Sebersih subuh bertitis embun
Bingkaikan peribadi tinggi
Penuh sabar menyelami, menghayati dan menanti
Kuntum harum anugerah Ilahi
Senyumkan diri, walau payah menghiris diri

"Kecuali orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh,
maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar."
[Surah Hud 11:11]

Tidaklah perlu
Memenangi dunia yang hina berpura
Tidaklah perlu
Dikalahi nawaitu berjuta sendanya
Biarkan Ilahi membuka dakapan-Nya

Kita peluk mesra cinta-Nya selagi bernyawa..

"Dan baikilah dengan sebaik-baiknya segala usaha
perbuatan kamu, sesungguhnya Allah mengasihi
orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
[Surah al-Baqarah 2:195]


Pagi yang bersinar dengan senyuman
dari Raz.R
29.11.2011
Hamba yang kecil, insan yang kerdil
"Ya Allah! Perbaiki imanku, ampuni dosaku, peliharakan akhlakku. Amin.."

Sunday, November 27, 2011

Rindu Tidak Terkata


Lena semalam
Membawa rindu kedinginan
Menggigil bangun sekujur diri
Menggamit keresahan
Dahaga memeluk erat
Ketika mata terbuka
Sangsuria menyebut nama
Dia yang tidak terlekang di jiwa
Rindu tidak terkata



Tiada bahasa
menjelaskan kata

saat rindu melabuhkan sayapnya
~Raz.R~


Doa Penerang Hati untuk Ilmu

Salam kasih kerana Allah..
Sekecil bingkisan untuk saling mengingatkan.
Mungkin kita pernah dulu mengamalkannya, tetapi kita terlupa. Apakata kita ingatkan lidah dan hati semula.. Bacalah ayat ini untuk memudahkan kita menerima ilmu di dada.

SURAH THAAHAA (Hai Manusia) Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan dan akan tercapai segala maksudnya. Barang siapa membaca ayat-ayat 25 hingga 28 sebanyak 21 kali, tiap-tiap hari selepas sembahyang subuh nescaya otaknya akan cerdas dan akalnya akan sempurna.





Raz.R
Salam Maal Hijrah 1433


Semoga sentiasa dilindungi dan dikasihi Allah. Amin.



Cinta Kasih Sejenis


Lama benar Raz ingin menulis tentang fenomena ini. Namun tidak terpapar di maya. Mungkin Allah tidak mengizinkannya. Isu ini sebenarnya amat sensitif bagi kita yang tidak memahami dan suka berwasangka.

Izinkan Raz mulakan tulisan Raz dengan jutaan ampun dan maaf andaikata ia menyentuh peribadi mana-mana pihak dan mencetuskan rasa tersinggung. Hati Raz ini tidak terlintas berhasrat untuk menyakiti mana-mana pihak. Sekadar membuahkan senipis pengalaman untuk perkongsian bersama secara rawak semata.

Hidup kita sekarang ditakutkan dengan pelbagai sosialisasi songsang. Dunia kita semakin uzur dan sakit. Tanda-tanda kesakitan dunia makin hari makin merebak. Salah satu penyakit yang dilalui dunia sekarang adalah kegiatan yang dilarang Allah, yakni mengubah fitrah yang diberikan Allah dengan mencintai sesama jenis berlandaskan nafsu berahi. Kita sering mengutuk kejadian, tetapi pernahkah kita tanyakan kenapa ia terjadi?

"Sesungguhnya, dunia ini rosak kerana tangan-tangan manusialah yang merosakkannya."

Tidak patut rasanya jika kita menyalahkan individu semata. Bila kita tanyakan golongan yang melalui pengalaman ini, mereka akan berkata,"Kami tidak minta diri kami jadi begini." Sedangkan soalan itu harus dijawab dengan "Tidak sepatutnya kami membiarkan diri kami begini." Kita yang bernama masyarakat, pemimpin, cendiakawan, ulamak dan ibu-bapa juga juga patut berkata, "Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka begitu."

Terlalu banyak dari kita yang percaya kepada Allah tetapi tidak percaya dan lemas kepada hukum-hukum-Nya. Terlalu sedikit dari kita ini mengutamakan keredhaan Ilahi. Dunia ini terlalu kurang akan insan-insan yang perihatin terhadap agama dan ikatan sesama penganutnya. Oleh kerana kekurangan tersebut, kita terbabas dari berjaya mengawal sesuatu keburukan itu terjadi. Terlalu luas ilmu dunia yang kita kejar dan terlalu banyak juga ilmu ketuhanan yang kita cicirkan. Apabila kudis menjalar besar,barulah kita sedar ubatnya sangat sedikit. Tidak lagi berkesempatan mengubati semua mereka yang dihidapi penyakit tersebut. Kita lebih takut kehilangan apa yang dimiliki di dunia daripada takut kehilangan apa yang kita patut miliki untuk akhirat. Itulah punca sebenar yang menjadikan dunia semakin sarat dengan kesakitan. Malang sekali kita abaikan diri untuk memegang kesedaran tentang hal ini sekaligus menjadikan perkara mazmumah sebagai 'biasa' di dalam kehidupan kita. Apabila manusia menjadikan perkara mungkar itu biasa, maka dunia dan manusianya semakin hari semakin luar biasa rosaknya.

Kewujudan kelompok "LGBT" (Lesbian, Gay,Bisexual And Transgender) adalah dari ketandusan memahami sistem yang Allah kurniakan. Keingkaran mematuhi fitrah yang telah ditakdirkan kepada manusia itu sendiri. Allah berfirman yang bermaksud :

"Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Surah al-Rum :30:30]

"Dan tidaklah wajar bagi lelaki dan wanita yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada baginya pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata." [Surah al-Ahzab 33:36]

Maksud dari kata-kata Allah ini memberitahu bahawa jika kita dilahirkan sebagai lelaki, maka sewajarlah kita menjadi lelaki dan jika kita ditakdirkan sebagai perempuan maka sewajarlah kita mengakui dan rela menerima kejadian diri kita itu. Kejadian kita adalah kehendak-Nya yang berhak ke atas segala ciptaan-Nya. Lalu, di atas kuasa apakah yang membuatkan kita menidakkan hak Allah tersebut? Tidak lain tidak bukan, kita telah menderhaka kepada-Nya dengan kesombongan yang nyata. Kesombongan kita itu membuatkan kita terjerumus mensyirikkan Allah. Kita seolah sedang membina kuasa lain, selain dari kuasa Allah. Kita lalu membiarkan diri kita di dalam keadaan dosa yang tidak berkeringan. Sedihlah jika keadaan itu yang kita pilih kerana kita sedang menganiaya diri kita sendiri.

Memang benar bahawa hidup kita teruji dengan pelbagai kecelakaan yang tidak kita ingini, menjerumuskan kita oleh perasaan benci, sengsara, hampa, kecewa, derita, rengsa dan sebagainya. Apatahkan lagi iman kita yang terlalu nipis dan ilmu kita yang terlalu kontang sering sahaja menyurutkan semangat dan keyakinan kita untuk meneruskan usaha dan menerima kejadian diri seadanya tetapi itu tidak bermakna kita berhak membangkang kekuasaan Ilahi yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana atas segalanya. DIA jadikan kita sebagai kita yang original adalah kerana DIA Maha Arif tentang apa yang telah diciptakan-Nya. Apa pula kuasa yang kita ada sehingga mahu mengatasi dan mengubah apa yang diberi-Nya kepada kita. Tidakkah kita sedang dibodohkan dengan kezaliman kita sendiri?

Firman Allah yang bermaksud: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 135)

Apabila kita melanggar fitrah yang ditetapkan Ilahi maka apa yang kita pilih itu akan menjadi sejenis penyakit. Mungkin kita tidak merasakan ia penyakit kerana kita sedang asyik melayan alam itu, tetapi apabila kita amati dengan mata hati, kita sendiri akan tahu bahawa kita sedang sakit. Perasaan cinta sejenis ini adalah satu jenis penyakit jiwa yang perlu mendapat rawatan. Lagipun, sejarah tentang penyakit ini telah dibuktikan oleh Allah dalam Kitab-Nya melalui peristiwa kaum Luth yang telah Allah murkai dan dihapuskan oleh-Nya dari dunia ini. Cuba renungkan, apakah kita sedang mengembalikan zaman yang dibenci Allah itu? Tahukah bahawa kita sedang mengagongkan zaman jahiliah? Rasulullah telah bekalkan kita ilmu Allah yang sempurna sekali iaitu Al-Quran dan hadis, lalu kenapa kita masih memilih sejarah yang telah Allah padamkan?

Kita dengan megahnya berani mengundang kemurkaan Allah dan menidakkan kebencian Allah terhadap keputusan yang kita buat sedangkan Ibnu Abbas ra berkata, bahwa Nabi saw telah bersabda "Allah melaknati orang yang menyembelih binatang dengan menyebut nama selain nama Allah melaknati orang yang menguasai sesuatu yang bukan dalam kekuasaanya, dan melaknati orang yang berbuat seperti kaum Luth (homoseks)" (HR Ibni Hibban dalam kitab sahih nya, dan Baihaqi)

Ketika Raz diusia belasan tahun, Raz pernah bermimipi untuk tidak menjadi diri Raz. Raz lebih kagum pada kelebihan lelaki. Mereka mudah di dalam serba-serbi urusan. Menjadi diri Raz sebagai perempuan, terasa amat merimaskan. Tiada kebebasan. Hidup dikongkong dengan tatasusila. Ke mana-mana Raz ingin pergi dan apa sahaja yang Raz ingin lakukan akan terbantut dengan pandangan masyarakat melihat Raz sebagai perempuan. Raz dihantui dengan "Segalanya Tidak Boleh!". Apatah lagi bila Raz memiliki trauma kisah silam. Raz pernah membenci kepada diri Raz sendiri. Raz pernah menjadi fobia dengan keadaan diri Raz. Raz telah mengubah diri Raz dengan meniru ciri-ciri lelaki. Minat Raz untuk menjadi perempuan yang bercirikan keperempuanan sejati terhakis kerana kisah hidup yang menyayat hati. Pengalaman, mempengaruhi minda Raz untuk melindungi diri daripada terlihat sebagai wanita. Raz kecewa dengan diri Raz yang sering sahaja diperbodoh dan dipermainkan kerana menjadi perempuan yang lemah. Dalam diam, Raz membenci lelaki dan pada masa yang sama Raz jijik menjadi wanita juga. Hidup Raz dalam kekeliruan yang hitam warna. Wajah yang di lihat di luar diri, nampak seperti sama, tiada apa-apa yang mencurigakan, namun jiwa berkecamuk dengan dendam dan keinginan pada kebebasan total!

Namun, semua itu tidak berlamaan. Alhamdulillah, Allah menyelamatkan perasaan Raz dari jauh hanyut. Raz telah disedarkan oleh 'asbab'cinta monyet. Agak melucukan bila dikenangkan kembali. Apabila kita jatuh cinta, kita berusaha mengubah segalanya dalam hidup kita. Raz dibimbing oleh seorang guru bergelar ustaz yang melihat Raz sebagai insan yang sangat istimewa. Raz dihargai sebagai insan yang wajar dihormati. Walaupun rasa itu muncul di usia jagung muda, namun ia membekaskan pengalaman yang indah. Pengalaman yang berlangsung sebentar sahaja tapi memberi kesan sehingga kini. Tujuannya ikhlas, walaupun Raz tidaklah seikhlas mana kerana dalam diam Raz mengukir cinta (Sedang tersenyum). Pujiannya, dorongannya, kelembutannya yang sesejuk air di kali. Dia menyuntik Raz dengan kalimah "Allah suka hamba-Nya yang suka kepada diri sendiri." Apabila kita menyukai kejadian diri, bermakna kita menghargai Allah SWT. Apabila kita menghargai Allah, InsyaAllah lambat laun Allah menghargai kita dengan petunjuk-Nya yang bercahaya.

Pengalaman manusia tidak sama. Namun, dari pengalamanlah yang mengajarkan kita bagaimana kedewasaan itu bermula. Tragis atau tidaknya pengalaman, ia tetap memberi ilham ke atas hidup yang perlu diteruskan. Pengalaman Raz memberitahu bahawa, golongan seperti ini perlu didorongi tanpa jemu. Mereka tidak boleh dibiarkan terus khayal di dalam 'dunia' yang tidak benar yang mereka anggap benar. Penyuntik semangat ke arah kebenaran perlu diperbanyakkan. "Daya Tarik" yang terbaik bagi perubahan diri adalah dengan mengenali Allah, dan rasa yang terbaik di dalam diri adalah rasa ingin dicintai Allah. Agama adalah tunjang segala perubahan hidup! Malang sekali, kerana dunia kita sekarang tidak meletakkan agama sebagai tunjang tetapi hanya sebagai pancang pada nama semata tanpa dihayati sepenuhnya.

Raz mengenali ramai sahabat dari kalangan mereka ini. Mereka manusia biasa. Insan yang dipengaruhi kelemahan yang nampak di mata semua. Fizikal dan tingkah yang menjadikan mereka kelainan. Pun begitu, ia tidak bermakna mereka ini golongan yang 'jahat'. Malah, kelompok ini dikagumi Raz kerana mereka hidup di dalam berkumpulan. Sering membantu sesama yang lain di antara mereka. Ini mungkin kerana pihak yang menyangka diri itu 'normal' tidak menghiraukan mereka. Mungkin juga kerana mereka sering dituduh dan dicemuh kerana keanehan mereka. Mohon, jangan disalah fahamkan kata-kata Raz ini. Ia tidak bermaksud bahawa Raz sedang menyokong cara hidup mereka. Perkara batil, tetap batil. Perkara yang salah di sisi Allah, tetap Raz pertegaskan. Cuma, Raz ingin memberitahu bahawa golongan ini berupaya berubah sekiranya menemui jalan yang membuka perubahan tersebut. Sedang kita yang menyangka diri kita ini 'normal' mempunyai kelemahan yang terselindung. Tidak mustahil juga kelemahan kita lebih bercambah daripada mereka. Kadang-kadang, kita tidak nampak kelemahan kita sendiri. Kita tetap memerlukan orang lain sebagai cermin bagi menyuluh dan memperbetulkan kelemahan kita.

Sebagai sahabat, Raz tidak pernah membenci kejadian. Mereka adalah ciptaan Allah sebagaimana diri Raz juga. Raz sekadar tidak menggemari pilihan mereka. Adakalanya sahabat-sahabat Raz dari kalangan itu agak 'malu' untuk rapat dengan Raz kerana personaliti Raz yang mereka 'sangka' alim. Itulah sangka-sangka manusia. Benarlah juga, apa yang kita pakai di tubuh memainkan peranan besar untuk mata kasar menilai. Tetapi, kita masih perlu hati-hati, yang bertudung, berjubah atau bertauliah, belum tentu menerima keredhaan Allah secara putih dan pukal. Keampunan Allah itu terbuka luas kepada mana-mana hamba-Nya yang mahu ke arah-Nya.

Sebagai sahabat, tugas kita adalah memberitahu apabila kita mengetahui walaupun kesudian mereka mengakuinya sekecil hama. Sekalipun dibenci, mengalah jangan sekali. Usah pula kita dipengaruhi dan memper'semangat'kan atau membenarkan kemungkaran. Itu namanya bersubahat. Bila kita bersubahat, bermakna kita menjadi sebahagian dari penerima kemurkaan Allah. Apatah lagi bagi mereka yang sudah benar-benar terlanjur sehingga dinaungi zina. Kita akan berhadapan dengan bala dari kesakitan jiwa yang sangat dahsyat.

Sahabat Ibnu Abbas ra berkata, bahwa Rasulullah saw telah bersabda "Allah tidak akan melihat orang yang bersetubuh dengan sesama jenis (homoseks atau lesbian), atau mengumpuli isterinya dari liang dubur" (HR Timndzi, Nasai, dan Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya)

Mahukah kita jika Allah tidak mahu melihat kita? Bukankah kita ini hanya musaffir di bumi-Nya. Jika Allah tidak mahu memandang kita, dunia mana yang kita boleh singgah dan hidup? Nauzubillahiminzalik. Moga Allah sentiasa mendorongi kita ke jalan yang sebenar. Amin.

Sesekali cuba kita bawakan kepada hujung jalan hidup kita. Lihat masa hadapan kita. Tanyakan diri, lama mana kita mampu bertahan dengan pilihan yang sudah kita tahu salah? Bolehkah kita bawa urusan yang kita pilih ini ke arah kebahagiaan hakiki? Apabila usia mencecah ke hujungnya, apa yang kita miliki sewaktu muda, akan susut. Semakin hari daya upaya kita semakin luntur. Apakah pilihan kita itu akan menyelamatkan hidup kita? Mampukah kita bertahan dengan dunia 'fatamorgana' kita?

Sehebat mana pun kita mengubah kejadian diri, ia tidak akan sama dengan apa yang dijadikan Allah secara asalnya. Contohnya wanita yang berpesonaliti lelaki. Sebagaimana sempurna pun mereka merubah diri mereka menjadi lelaki, percayalah masih ada saki-baki yang tersisa yang mampu 'menggiurkan' mata dan rasa. Jangan kita sangka, watak kita begitu maka tidak ada yang memandang ghairah kepada kita. Pepatah kata, "Lain padang, lain belalang - Lain mata, lain pandang." Bila kita ditakdirkan menjadi wanita, Allah telah bekalkan keistimewaan yang menjadi auratnya. Ia tetap akan muncul juga. Jadi, jangan kita ingat kita sedang berada di zon 'selamat'.

Apabila Allah ingin memberi pengajaran kepada hamba-Nya, tiada siapa pun yang 'berkuasa' mampu menongkah kuasa-Nya. Apabila Allah sudah murka dan melaknati hamba-Nya, tidak ada juga yang mampu mengikis kemurkaan-Nya. Justeru, sebelum Allah menutup pintu cinta-Nya kepada kita, seeloknya cuba-cubalah kita berjinak-jinak mengenali tujuan-Nya menciptakan kita di dunia.

Raz yakin, ramai yang sedang berusaha untuk membuat perubahan di dalam hidup mereka dan mungkin banyak halangan yang diterima, tetapi usahlah berputus asa. Mungkin, itulah ujian Allah kepada kita. Setiap manusia akan dititikan pelbagai ujian yang berbeza tetapi tetap akan mampu dilaluinya andai kesungguhan dibarakan dan dinyalakan seterangnya. Apakah kemenangan yang paling indah selain dari usaha yang sangat-sangat payah lalu kita berjaya mengubahnya sehingga menjadi mudah? MasyaAllah. Seluruh ciptaan-Nya akan kagum dan tunduk pada usaha tersebut dengan bertasbih mendoakan kita diredhai-Nya nanti.

Kepada kita yang mengakui diri kita ini tidak tercela, yang kononnya sempurna, bersyukurlah kerana kita tidak diduga sekian beratnya seperti golongan ini. Doakanlah mereka dan sokonglah andai ada yang ingin menetapkan diri ke arah Allah. Usah kita pandang hina. Kehinaan itu akan berpaling kepada kita nanti. Ciptakan peluang untuk melihat usaha ke atas perubahan yang baik dan berikanlah peluang yang terbaik. InsyaAllah usaha-usaha baik akan tertegak dengan baik. Amin.
Wallahua'lam.



Salam kasih kerana Allah.
Semoga beroleh keberkatan-Nya sepanjang masa.

Tuesday, November 22, 2011

Kuntum Sahara



Diammu jauh di padang tandus
Walau gersang dan kontang
Hangat kekeringan
Tenagamu tersimpan di dalam
Tidak pernah berkurang
Hayatmu berterusan tenang
Tidak goncang dek pasir dan taufan

Tidak tertanding rupamu dengan si mawar
Menjadi teman pelbagai pengubah
Berduri, tidak sanggup dimiliki
Tidak ramai yang sudi
Tidak dipuja semua
Berlindung dengan rahsia
Yang amat istimewa
Tentulah pemilikmu nanti
Ajaib sentuhannya

Teruslah terpelihara
Wahai Kuntum Sahara

Salam kasih dengan senyuman
Raz.R
22.11.2011

Wednesday, November 16, 2011

Musibah dari Lidah. Bersabarlah!

Calarnya hati
Dihiris lidah
Lembut berbunyi
Menyembur pedih
Luka bergaris
Tersiat rintih
Sayatnya mencarik
Terdiam serik!

Pedang pahlwan
Lidah insan
Tajamnya menghiris
Seriau terguris
Luka pedang sembuh
Luka lidah tersinggung
Parahnya tanpa hujung
Sematkanlah kemaafan
Ikhlas yang terlindung
Walau rebah tersadung!




Hari ini tergegar diri Raz dengan sedikit musibah kerana gulungan lidah. Raz rasa sangat payah membendung rasa marah. Harga diri Raz seolah ditindas hingga ke bawah tanah. Hanya kerana panahan kata dari lidah manusia yang sama lemah dengan Raz. Namun, tidak mengapalah.. eloklah Raz balik kepada hakikat asal hidup kita. Iaitu "Musibah itu adalah kehendak Allah terhadap hamba-Nya bagi mempertingkatkan darjat keimanan kita kepada-Nya. Dengan menerima penuh rela, ikhlas dan redha, InsyaAllah lambat laun hikmah-Nya akan terbit seperti matahari yang bangun di waktu pagi. Penyeri akan luas alam-Nya ini." Raz mahu menutup diari Raz hari ini dengan kemaafan agar esok tidaklah Raz bangun dengan dendam dan dada yang kusam.

Bukankah kita ini orang Muslim. Orang Muslim perlu kuat menahan musibah. Teringat Raz pesan seorang ulamak bernama Hasan Basri. Katanya...

"Sebahagian tanda-tanda orang Muslim ialah kuat dalam memegang Agama, keras hati tetapi disertai dengan sifat lemah-lembut, beriman dengan menggunakan keyakinan, pengetahuan yang ada disertai penuh kesabaran, berfikir panjang dengan kasih sayang. Malahan dia memberikan mana yang menjadi hak orang dan tetap mengikut jalan yang benar, berlaku sederhana walaupun kaya, menunjukkan kecukupan dengan bersyukur walaupun dalam serba kekurangan, berbuat baik selagi masih sanggup untuk melakukannya, menanggung segala penderitaan dengan berusaha untuk menghilangkannya, selalu bersabar dalam kesukaran dan tidak dikalahkan oleh kemarahan. Orang Mukmin suka menolong terhadap orang yang teraniaya, mempunyai belas terhadap orang yang lemah, tidak bakhil dan tidak juga boros, tidak berlebih-lebihan dan tidak keterlaluan dalam menggenggam hartanya dan suka mengampuni apabila dia dizalimi."

MasyaAllah, kalaulah Raz dan kita semua yang bernama Muslim boleh melaksanakan sikap kemusliman yang sebegitu indah, pasti hidup kita akan sentiasa indah, kan?

Andaikata kita tersinggung dengan kata-kata lidah manusia lain terhadap kita, sama-samalah kita ingatkan diri agar kita kembali mengenali siapa diri kita dan di arah manakah kita sedang berdiri. Bersabarlah dengan musibah kerana darjat kita di sisi Allah akan terangkat apabila kita berjaya melaluinya dengan setabah daya. InsyaAllah, Allah tidak akan menghampakan kita.

Wallhua'lam.

Raz.R
16.11.2011
Pandanglah segala keburukan musibah yang kita lalui itu
dengan mata hati agar kita tidak dicemari hawa nafsu yang sungguh merugi.
Senyum lagi.

Tuesday, November 15, 2011

Kita dan Cinta





Cinta
Genggamkan ia kuat, ketat!
Perkasa dengan satu Nama Hebat
Nama Yang Maha Atas Segala Cinta
Yang Maha Melindungi Hamba-Nya

Cinta
Kalaupun ujian itu membidas, dahsyat!
Merebahkan semangat hingga lumat
Jangan lemah luntur dan berkarat
Gagahkan seluruh hati jua kudrat
Tentanglah semesta niat jahat
Berpadulah dengan teguh liat
Biarlah cahaya itu berkilat
Bersama kesetiaan penuh rahmat

Kita dan cinta
Semikanlah doa tulus sentiasa
Agar bersatu murni balutan mesra
Tidak disurutkan jemu di jiwa
Kekal berbunga sepanjang masa
Suci telus bersama kasih-Nya
Harmonikan cinta selamanya


Raz.R
15.11.2011
Salam cinta dengan senyum yang membara manisnya
Moga dicintai Allah dengan cinta-Nya

Sunday, November 13, 2011

Daya Menepis



Di perdu sekeping hati nipis
Menitis sayu titis jernih tangis
Kasihan sungguh, dia terhiris
Walau sekuat daya ditepis
Sendu itu gagal terhakis
Ada kisah nan berlapis-lapis
Rentak gaya sang penulis
AllahuAkhbar..!
Kembali dia pada Yang Benar
Kepada-Nyalah dia terus bersandar


Raz.R
13.11.2011

Rindu Sangat!


Rindu sangat!
Andai masih kau ingat
Indahnya ikatan yang terikat
Serasa engkau masih di sini
Dekat di hati berkongsi
Walau jarak menjauhi
Walau masa mencemburui
Kita masih sejati
Serasi dalam sanubari
Tidak ada yang mencemari
Ukhwah kita kerana Ilahi

Rindu sangat-sangat!
Ungkapan kata mutiara
Susunan doa-doa permata
Bercahaya tidak kusam dek masa
Tidak luput di kejauhan rasa
Cerita kita, cerita biasa
Cantiknya, luar biasa

Rindu tersangat!
Allah yang menjadi pengubat
Kita selalu ingat memperingat
Tiap ayat sentiasa berhemat
Kasih yang tersirat pekat
Sayang yang beralir jernih hebat
Cinta-Nya berpadu di dahan lebat
Kita tetap dekat dan terus rapat

Rindu yang teramat!
Walau di mana langkahku
Ada nama-Nya dan namamu
Memperelokkan kehidupanku
Mengindahkan kesejatianmu
Hingga akhir waktu

Amin.. Ya Robbana
Kami bersyukur seadanya
Engkaulah Pencipta segala nikmat yang ada.




Raz.R
13.11.2011
Untuk sahabat sukma
yang tidak terlekang namanya di jiwa.

Apa Perlu Susah?



Apa perlu susah
Kalau kita sedang susah
Menangislah, sesungguh hati
Namun tangis itu
Usah berlebihan rabaknya
Berkadar kesederhanaan
Membuang penasaran
Memberi kesegaran
Pulangkan diri kembali
di kendiri yang sejati
Kepada Ilahi Yang Menguji
Kita pasrahkan nurani
Tabah lagi, cekal lagi
Usah peduli walau derita
Mengundang bertubi-tubi
Sungguh Allah itu Memberi
Yang pahit; yang perit; yang sakit
Bukan untuk terus menyakiti
Tetapi untuk memperbaiki
Dari darjat yang di tapak kaki
Hingga darjat ke langit kemuliaan-Nya
Yang Maha Tinggi
Mari, lapangkanlah hati
Mungkin janji manusia dimungkiri
Janji Allah Tepat sekali
Apa perlu susah?
Bertenanglah...


Salam kasih seikhlas hati
dari Raz.R di sini
dengan senyuman lagi

13.11.2011

Friday, November 11, 2011

Manisnya Diam


Manisnya diammu..
Mengawal dusta
Mengelak sengketa
Menyimpan rahsia
Menjauhi umpat cela
Mengumpul bijaksana
Menjaga rohani dan jiwa
Memuliakan rahmat Yang Maha Kuasa


Lidah yang berbicara perlu ada disiplinnya.
•Kurangi ucapan yang mendendam, perbanyak ucapan yang mengasihi.
•Kurangi kata-kata yang mengejek, perbanyak kata-kata yang menghargai.
•Kurangi kata-kata yang melemahkan, perbanyak kata-kata yang mendorong.
•Kurangi perkataan yang menolak, perbanyak perkataan yang memperhatikan.
•Kurangi kata-kata kritik, perbanyak perkataan yang membangun.
•Kurangi kata-kata yang sia-sia, perbanyak kata-kata yang mendatangkan inspirasi.
•Kurangi kata-kata yang kasar, perbanyak kata-kata yang lemah lembut

Andaikata kita merasakan lidah kita tidak mampu membicarakan hal-hal yang menambahkan kebaikan, eloklah kita belajar berdiam. Berdiam diri adalah salah satu cara meditasi dan muhasabah yang baik untuk memperbaiki kelemahan kita sebagai hamba Allah yang sering terlanjur melakukan kesalahan melalui hirisan tajam dari lidah.

Antara hikmah berdiam diri yang terlindung adalah:

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua Malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.


Sebuah Mutiara kata ada menyebut, "Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik daripada orang bodoh yang banyak cakap".

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang banyak perkataannya (bercakap), nescaya banyaklah silapnya. Barang siapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barang siapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya." (Hadis riwayat Abu Naim) dan sebuah lagi menyebut,"Barang siapa diam maka dia terlepas dari bahaya." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Wallhua'lam.


Raz.R
11.11.11
~Salam Jumaat dengan penuh kasih Allah yang melimpah. Semoga hari ini bermula kurniaan hidayah-Nya yang perpanjangan hingga akhir masa.Amin. Assalamulaikum wbt.~





Thursday, November 10, 2011

Sekadar Puisi : Terluah

Bismillahirrahmanirrahim...




Ku terhidu wangian kata
Di hujung kuala hati
Bagai irama terindah
Bersenikata cantik murni
Merumpun hijau sepohon hikayat
Berceritera tanpa penamat
Kisah yang mencurah-curah
Subhanallah
Selaut kasih yang terluah
Beralun sentosa tenang
Dengan cinta-Nya yang melimpah

Raz.R
10.11.2011
~Semoga dikasihi Allah~

Wednesday, November 9, 2011

Wahai Sesiapa


Wahai sesiapa
Jika engkau ingin mengenali aku
Sebagai manusia baik
Maaflah, mungkin engkau tersilap
Aku hanya manusia kerdil
Yang tidak sentiasa baik
Tapi hanya sekuat daya berusaha
Ya, mahu menjadi baik

Wahai sesiapa
Jika terdetik di rasa lemahmu
Aku ini manusia maksum
Maaflah, engkau sangat tersilap
Aku hanya manusia pincang
Punyai khilafiah yang tidak terbilang
Tapi hanya mengumpul ikhtiar
Ya, mahu menyuci noda, mahu nirwana

Wahai sesiapa
Jika tersimpul rasa kecilmu menyangka
Aku ini manusia mewah segala
Maaflah, engkau sangat tersilap
Aku ini manusia melarat
Membonceng di hujung alam
Tapi, hanya menerima rela
Sedikit rezeki dipinjamkan DIA

Wahai sesiapa
Jika tergerak wahammu mengagak
Aku ini manusia buruk lakunya
Maaflah, ajarkan aku usah tersilap
Aku ini mungkin sedang tersesat
Terlupa atau tidak teringat
Namaku manusia bukan malaikat
Perlu aku ini didoa malah diperingat

Wahai sesiapa
Aku ini sepertimu jua
Kekadang ada istimewa
Kekadang tiada setiadanya
Meniti laluan senja
Yang semakin kelam gelita
Terimalah aku seadanya



Raz.R
9.11.2011
~Insan ~
Salam kasih dengan senyuman, semoga Allah memberi kerahmatan. Amin.

Ingin



Ingin..
Ingin sekali
Ingin kukhabarkan pada dunia sekarang juga
Ingin ku laung dengan kuat rasa di dada
Dengung kencang yang aneh terasa
Namun.. biarlah kudiamkan saja
Kerana aku cuma hamba
dan ketentuanku,
Milik-Nya

Raz.R
09.11.2011
~Corak Hati~

Tuesday, November 8, 2011

Tidak Terlihat Oleh Musuh

Assalamualaikum wbt. Didoakan semoga sentiasa di bawah perlindungan dan kerahmatan Allah sentiasa.

Raz terpikat untuk menyampaikan satu petikan cerita dari pengalaman junjungan kita Rasulullah SAW untuk dikongsi dan dijadikan amalan kita bersama. Ia sangat baik untuk digunakan sebagai penampan keselamatan diri dari musuh terutamanya golongan wanita. InsyaAllah.

Suatu hari, Ummu Jamil telah keluar ke khalayak ramai berhampiran dengan kaabah sambil menjerit-jerit.

"Muhammad telah mengutuk moyang kita dan agama kita, juga suruhannya itu mengkhianati kita!"

Di tangan Ummu Jamil dipegangnya seketul batu. Ketika itu Rasulullah sedang duduk berhampiran kaabah bersama Abu Bakar. Apabila Abu Bakar melihat Ummu Jamil semakin hampir kepada mereka, dia berkata,

"Wahai Rasulullah, dia datang ke sini dan aku bimbang dia akan nampak engkau!"

Kata baginda, "Sesungguhnya dia tidak akan dapat melihat aku." Lalu Baginda membaca ayat Al-Quran dari firman Allah SWT melalui surah Al-Isra' ayat 45 yang membawa maksud,

"Dan apabila kamu membaca ayat Al-Quran nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, suatu dinding yang tertutup."

Apabila Ummu Jamil tiba di hadapan Abu Bakar, dia langsung tidak melihat Rasulullah sedangkan baginda berada di sebelah Abu Bakar. Dia berkata kepada Abu Bakar, "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya aku telah dimaklumkan bahawa kawan kamu itu (Muhammad) telah mengucapkan syair yang buruk mengenai aku."

"Tidak! Demi Tuhan rumah ini (Kaabah), baginda tidak berbuat begitu padamu." Jawab Abu Bakar.

Lalu Ummu Jamil dengan bercekak pinggang bertawaf mengelilingi kaabah sambil berkata, "Sumpahan akan terkena pada orang yang berkata buruk!"

Mudah-mudahan, cerita ini dapat memberikan manfaat untuk kita bersama dan terpelihara hingga akhir masa. Wallahua'lam. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah dan Pesuruh-Nya.

Selawat dan salam untuk Baginda Rasullullah SAW dan para keluarga serta para sahabatnya yang telah berjuang memberikan kita kelapangan mengenali Agama Allah sehingga kini. Amin.





Raz.R

8.11.2011

Senyum Selalu
Indahkan hatiku dan hatimu.



Monday, November 7, 2011

WARNA-WARNIMU






Duhai adikku sayang
Jika dunia memandangmu manusia aneh
Membiarkan kamu jauh tersisih
Mencari celamu yang disangka sempurna tiada
Nyata sekali...sayang
Dunia sedang buta warna

Duhai adikku sayang
Telah ku lihat warna-warni indah
Pada senyum tawamu
Pada pelat bicara lidahmu
Pada telatah lucu manismu
Pada tulus ikhlas wajahmu
Pada indah warna hatimu

Duhai adikku sayang
Warna-warna telah kau lukis
Pada lembaran kanvas hidupku dahulu
Masih terang indah ceria selalu
Biarpun telah lama ia berlalu
Masih ia terbingkai dalam rinduku
Terlalu segar di dadaku
Menawan segala perasaan kasihku
Padamu luntur tiada.. ada sentiasa

Duhai adikku sayang
Warna-warnamu memenuhi sedarku
Ku kenali kepincangan diri
Walau lengkap tiap sudut diri
Kerdil dan cacatku melebihi kamu
Hatimu dan hatiku lain sekali
Wanginya hatimu mengharum
Terus ke firdausi Ilahi
Hatiku.. ke mana nanti?
Warna-warnamu lebih mekar
Dari jaluran semburan pelangi..


Warna-warnimu.. duhai adikku sayang
Memagariku hingga kini
Membangunkan aku
Untuk tidak angkuh akan warna-warnaku
Yang tidak segemerlap warna-warnamu
Istimewa yang tiada tara..
"Al-Fatihah... "



Raz.R di Aidiladha 2011
Warna air mataku kelabu tertahan sebakku
Tika aku dan nafasku merindukanmu
07.11.2011
"Jika kita memandang cacat seseorang manusia itu hina, nescaya kitalah manusia yang banyak cacat dan hinanya."

Wednesday, November 2, 2011

Semakin Hari Semakin Dikembalikan

Menjamah mata di dada cermin
Menatap pantulan wajah yang lesi
Tiada cantik, makin kurang berseri
Hayat di jasad kian menyusut
Kudrat pancaindera bertambah lesu
Apakah bakti wajah ini?
Ataukah jasa budi di beri?
Jalan mana yang di lalui?
Tiada istimewanya diri
Hanya pinjaman
Semakin hari,
semakin dikembalikan.