Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, January 24, 2018

Aku Redha; Aku Yakin▬ Allah Membalas Segala


بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ.
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Memang benar kesedihan itu menyakitkan batin namun, jangan disedihkan dengan pengalaman yang sedih. Kerana yang menyakitkan batin itulah seringkali mendekatkan kita kepada Allah dan merasakan tangis dan sujud yang indah dengan keikhlasan. 
Di situlah kita mengerti budi baik yang Allah beri, berharga tidak terperi. EhsanNya Yang Maha Pengasih!

Jangan tanyakan Allah, keperitan apakah ini?
Sabarlah dengan melazimi hati " Ya Allah, aku redha, aku yakin". Bahawa sesuatu yang ditimpakan itu ada ubat rohaniahnya. Kita tidak mampu melanggar fitrah sebab itu adalah pemberian Allah yang wajib kita imbangkan penggunaannya. Fitrah yang tidak bersalahan dan tidak terlanjur mensyirikkanNya. Itulah keimanan yang bijak. 

Kebaikan yang datang kita syukuri. Keburukan yang menjelma kita harungi jua dengan menyelam ke dasar hikmahNya. Jangan kerana taksub kepada takut, kita menjadi lemah dan meluruhkan keyakinan kita kepada keindahan jalan bahasa cinta-Nya. Cinta itu fitrah. Selagi ia tidak melanggar batas-batas syariat, ia akan selamat. Insha-Allah. Masha-Allah. Kecewa juga fitrah. Batasnya adalah menyederhanakan kecewa dengan sabar, tawakkal dan berdoa. Kita akan selamat. Insha-Allah.

Memberi itu lebih menceriakan daripada menerima. Justeru, tidaklah salah kiranya engkau memberikan kasih dan cintamu sebagai tanda engkau memberinya disebabkan datangnya cinta itu daripada Allah. Jikapun tiada pembalasan dunniawi, sekian kalinya nanti rasa indah itu akan tetap timbul di dada. Apabila engkau melakukannya dengan saduran cinta Allah, bagaimana ada atau tiada apa sekalipun, engkau akan tetap akan merasakan dzatNya, nikmatNya serta bahagia daripadaNya!
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakhbar.

Pernah dengar atau baca kisah wanita wali, Rabiatul Adawiyah?
Begitulah jiwa-jiwa yang mencintai Allah didatangkan rahmatNya.
Cukup juga bila kita mengenang sejarah Rasulullah sollallhualaihiwassam, subhanallah kita akan faham, betapa saujana damainya kasih-sayang Allah itu.


"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka dibayangi-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)."
[Surah al-A'raf, ayat 201]

Tidak semua orang akan faham bagaimana perjalanan perasaan kita kepada Allah, kepada manusia, kepada alam atau kepada sesiapa pun. Jangan disedihkan dengan mereka yang tidak faham. Kefahaman itu adalah hidayah Allah. Tugas kita hanya menaruh harapan penuh kepada Allah dan meneruskan langkah-langkah yang Allah beri ini seadanya, teruskanlah. 
Berikan semangat kepada diri sendiri dengan menyerahkan segala usaha kita ini zahir dan batinnya kepada Ilahi.
Semoga DIAlah yang akan memberikan kefahaman tersebut kepada sesiapa sahaja yang dizinkanNya.

Sesekali jadilah pendengar yang terbaik kepada hati sendiri.
Di situlah terpanah cahaya ilham Ilahi.


24.01.2018
05:21:00PM
"Aku Redha Dan Aku Yakin"