Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, August 30, 2016

TAK SEMPURNA PUN CINTA



"Tak bercantum oleh takdir,
tak bersatu dalam kasih,
tak berdua pada jodoh,
Cukup seketika di raub tadah doá,
Itu juga CINTA."
(Date : 10.07.2016)






"Dalam dada
Ada kuntuman doa
Semoga suatu masa
Hijabmu terbuka...,
menyerapi sehelai makna,
dari perca setulus cinta,
telangkup di ufuk rahsia."
(Date: 11.07.2016)




"Aku pernah ingin mengaku,
kebekuan hatiku yg mencair,
antara redha dan terpaksa,
ku cari jawapan,
dengan mencurah air mata,
mengharap impianku terang semula.


Patah,
kerana rapuhku belas,
biar impianmu bermula,
yang terpinggir itu kiranya aku,
tak mengapa..."
(09.07.2016)

Monday, July 4, 2016

Hari Raya ♥

Untuk Rujukkan saya dan kita... Semoga bermanfaat. Semoga guru saya yang telah menyampaikan ilmu ini mendapat keafiatan dan keberkatan Allah atas segala usahanya mendidik. Allahumma Solliala Sayyidina Muhammad.

Ada berapa hari raya yang disyariatkan di dalam Islam?
Ada dua sahaja iaitu hari raya fitrah (عيد الفطر) pada 1 Syawal dan hari raya korban (يومَ الأضحْى) pada 10 Dzul-Hijjah. Dalilnya ialah hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka;

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh)

Kenapa hari raya dinamakan ‘Id (العيد) dalam bahasa Arab?

Al-‘Id (العِيْد) adalah pecahan dari kalimah al-‘aud (العَوْد) yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya dengan nama demikian kerana ia kembali (yakni berulang-ulang) pada setiap tahun atau kerana kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.

Apa yang sunat dilakukan pada malam hari raya?

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;

مَنْ أَحْيَا لَيْلَةَ الْفِطْرِ وَلَيْلَةَ الأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبُ
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Yang dimaksudkan mati hati ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”. (Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426, al-Majmu’, 5/47).

Adakah harus berpuasa pada hari raya?

Diharamkan berpuasa pada hari raya sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban. Ini kerana hari raya adalah hari menikmati makanan dan minuman. Terdapat hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-: نَهَىَ عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَىَ وَيَوْمِ الْفِطْرِ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegah dari berpuasa pada dua hari; hari raya korban dan hari raya fitrah” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari raya?

1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah

Pada hari raya kita digalakkan bersungguh-sungguh membesarkan Allah dengan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih. Sabda Nabi s.a.w.;

زَيِّنُوْا الْعَيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ وَالتَّكْبِيْرِ وَالتَّحْمِيْدِ وَالتَّقْدِيْسِ
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.)

Ini menjadi petanda kepada kita bahawa hari raya di dalam Islam adalah hari untuk mengagungkan Tuhan dan menzahirkan syiar agama, bukan hari untuk berseronok dan bersuka-ria semata-mata.

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

a) Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

b) Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja.

Kedua-dua jenis takbir ini akan kita huraikan di hujung nanti di bawah tajuk khusus.

2. Mandi sunat

Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

أَنَّّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَاْنَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’. Menurut Imam Nawawi; atsar ini adalah soheh)

Begitu juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat. Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat. Menurut Imam Ibnu Rusyd; sunat mandi hari raya adalah ijma’ ulamak. (Lihat; Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 283).

Bilakah masanya untuk mandi?

Masuknya waktu disunatkan mandi ialah apabila tiba tengah malam. Berkata Imam al-Muzani; “Aku menyukai agar mandi hari raya itu dilakukan selepas terbit fajar” (al-Majmu’, 5/10).

3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.

Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a. –cucu Rasulullah- yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Nabi s.a.w. memakai untuk dua hari raya pakaian baginda yang paling cantik. Baginda mempunyai jubah khusus yang dipakai baginda untuk dua hari raya dan juga hari jumaat”.

Adakah berwangian dan berbaju baru itu hanya disunatkan untuk orang yang ingin keluar mengerjakan solat hari raya sahaja?

Tidak. Ia disunatkan kepada semua orang termasuk yang tinggal di rumah kerana hari raya adalah hari perhiasan (يوم الزينة). Bagi yang memiliki hanya satu pakaian, ia disunatkan membasuh pakaian itu untuk hari raya sebagaimana juga hari jumaat.

4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya

Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita (sama ada tua atau muda, yang berkahwin atau belum berkahwin, yang suci atau dalam haid) untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah dan berdoa. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;

“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

Di mana ditempatkan wanita yang dalam haid?
Wanita yang kedatangan haid, mereka hendaklah ditempatkan di bahagian belakang orang ramai dan dipisahkan dari tempat sembahyang atau masjid. Menurut Imam Nawawi; kedudukan mereka hanya setakat pintu masjid sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Adapun wanita-wanita yang haid, maka mereka hanya turut sama menghadiri perhimpunan kaum muslimin dan doa mereka dan mereka duduk terpisah dari tempat sembahyang orang ramai”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ummu ‘Athiyyah r.a.)

Dalam riwayat yang lain; “Dan wanita-wanita haid hendaklah berada di belakang orang ramai di mana mereka bertakbir bersama mereka” (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Ummu ‘Athiyyah r.a.).

Adakah harus wanita keluar dengan bersolek?

Tidak harus kaum wanita keluar dengan bersolek, bertabarruj dan berwangian. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Janganlah kamu menegah hamba-hamba Allah yang perempuan (yakni kaum muslimat) dari mendatangi rumah-rumah Allah. Namun hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak berwangian”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Adakah harus keluar jika dikhuatiri mendatangkan fitnah? Bagaimana dengan wanita yang dalam eddah kematian suami?

Tidak harus mereka keluar jika dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah. Begitu juga, tidak harus keluar wanita yang masih berada dalam iddah kematian suaminya.

Adakah kanak-kanak juga sunat dibawa bersama?

Ya, sunat membawa bersama kanak-kanak yang telah mumayyiz.

5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)

Disunatkan hadir ke masjid atau tempat solat awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan.

Imam disunatkan hadir lebih awal –untuk memimpin solat- pada hari raya korban supaya solat dapat dilakukan lebih awal dan dengan itu dapat memanjangkan waktu untuk melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih selepas imama selesai dari solat hari raya). Adapun pada hari raya fitrah, imam disunatkan melewatkan sedikit hadir untuk memimpin solat bagi memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).

6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)

Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar ke masjid atau tanah lapang bagi menunaikan solat. Sebaik-baiknya memakan buah tamar dan dengan bilangan yang ganjil. Adapun pada hari raya korban disunatkan menahan diri dari makan sehinggalah pulang dari menunaikan solat hari raya.

Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya r.a. (seorang sahabat) yang menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan at-Tirmizi. Hadis ini adalah hasan menurut Imam Nawawi)

Anas r.a. juga menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil’”. (Riwayat Imam Bukhari)

7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang

Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.; “Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”. Dari Ibnu ‘Umar r.a.; “Sesungguhnya Rasulullah pada hari raya melalui satu jalan (ketika keluar menunaikan solat hari raya), kemudian baginda pulang dengan melalui jalan yang lain”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim)

Antara hikmahnya menurut ulamak ialah; supaya kedua-dua jalan serta penduduk sekitarnya dari kalangan manusia dan jin menjadi saksi kepada baginda dan juga untuk menzahirkan syiar Islam.

8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.

Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya dikerjakan. Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Mengeluarkan zakat fitrah selepas selesai solat hukumnya adalah makruh di sisi imam mazhab empat. Malah ada pandangan menyatakan; haram.

9. Menyembelih korban (bagi hari raya korban)

Digalakkan menyembelih korban pada hari raya korban dengan seekor kambing atau sebagainya bagi orang-orang yang mampu.

Barra’ bin ‘Azib r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari raya korban di mana baginda bersabda; “Sesungguhnya perkara pertama untuk kita memulakan hari kita ini ialah dengan kita menunaikan solat (yakni solat hari raya), kemudian kita pulang dan berikutnya kita menyembelih korban….”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

10. Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman

Digalakkan pada hari raya mengucapkan tahniah sempena kedatangan hari raya, melahirkan rasa gembira dan seronok dan bersalam-salaman sesama kaum muslimin. Mengucapkan tahniah bersempena kedatangan hari raya adalah amalan para sahabat, oleh itu ia disyari’atkan. Al-Hafidz ibnu Hajar berkata; kami meriwayatkan dengan sanad yang baik (hasan) dari Jubair bin Nufair yang menceritakan; “Adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila saling bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain; ‘Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu’”. (Fathul-Bari ‘ala Soheh al-Bukhari)

Adapun galakan bersalam-salaman adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda; “Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh menurut Imam Nawawi)

Mengenai galakan menzahirkan kegembiraan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan; “Senyumanmu di hadapan wajah saudara kamu adalah sedekah bagimu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zarr r.a.)

Adakah harus mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas menunaikan solat hari raya?

1. Bagi imam, dimakruhkan melakukan sebarang solat sunat sebelum dan selepas mengerjakan solat hari raya kerana berlawanan dengan sunnah Nabi s.a.w.. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. keluar pada hari raya korban dan hari raya fitrah, lalu baginda menunaikan solat sunat hari raya dua rakaat. Baginda tidak mengerjakan sebarang solat sebelumnya dan begitu juga selepasnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malah apabila ia sampai di masjid tidak perlu ia menunaikan solat tahiyyatal-masjid, akan tetapi terus memimpin solat hari raya. Solat tahiyyatal-masjid dengan sendirinya terhasil bersama solat hari raya itu.

2. Adapun selain dari imam, tidaklah dimakruhkan mengerjakan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya. Ini kerana waktu tersebut bukanlah waktu yang ditegah mengerjakan solat. Selain itu, terdapat riwayat dari Abu Barzah yang menceritakan bahawa Anas r.a., al-Hasan r.a. dan Jabir bin Zaid r.a. mengerjakan solat pada hari raya sebelum keluarnya imam.

Adakah harus bergembira pada hari raya?

Harus, malah disunatkan, akan tetapi hendaklah tidak membabitkan perkara-perkara yang haram. Di dalam hadis Anas r.a. tadi diceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka; “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh).

Di kitab Subulus-Salam, Imam As-Son’ani menyimpulkan berdasarkan hadis di atas; hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syari’at Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w.. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan. (Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solatul-Idaian).

Adakah harus mendengar nyanyian dan berhibur pada hari raya?

Ya, harus dengan syarat nyanyian dan hiburan yang bersih dari maksiat dan munkar. Syeikh Ali as-Shobuni berkata; “Oleh kerana har-hari raya adalah hari keseronokan dan kegembiraan bagi kanak-kanak dan orang dewasa, lelaki dan juga wanita, maka Syarak telah mengharuskan hiburan yang bersih dan permainan yang tidak ada sebarang unsur maksiat padanya, bertujuan untuk menimbulkan kegembiraan dalam hati sekelian manusia, supaya mereka merasai kebesaran hari raya dan keindahannya”.

Saidatina Aisyah r.a. menceritakan; “Abu Bakar masuk kepadaku sedang bersamaku dua orang budak perempuan Ansar yang sedang menyanyi dengan syair/ungkapan yang saling diucapkan (antara dua puak) Ansar (yakni ‘Aus dan Khazraj) dalam peperangan Bu’ats. Aisyah menerangkan; mereka berdua bukanlah penyanyi. (Melihat hal tersebut), Abu Bakar lantas berkata; “Apakah serunai-serunai syaitan di rumah Rasulullah?”. Hari itu adalah hari raya. Maka Rasulullah s.a.w. berkata; “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Takbir pada hari raya

Apakah dalil disunatkan bertakbir pada hari raya?

Diantara dalilnya ialah riwayat dari Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menceritakan; “Kami (para wanita) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”. (Riwayat Imam Bukhari)

Siapakah yang disunatkan bertakbir?

Disunatkan bertakbir pada hari raya bagi lelaki dan perempuan, kanak-kanak (yang mumayyiz) dan orang dewasa, orang dalam negeri atau sedang bermusafir. Termasuklah wanita-wanita yang haid atau lelaki-lelaki yang berjunub. (al-Majmu’, 5/42).

Ketika bertakbir, adakah disunatkan meninggikan suara?

Ketika mengucapkan takbir disunatkan dengan suara yang tinggi untuk menzahirkan syi’ar agama. Diriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

كان ابن عمر يكبر يوم العيد في الأضحى والفطر ويكبر ويرفع صوته
“Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan meninggikan suaranya”. (Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi)

Namun dikecualikan kaum wanita; mereka hendaklah bertakbir dengan suara perlahan. Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya menjelaskan; “Disunatkan mengangkat suara dengan takbir bagi para lelaki sahaja, tidak bagi perempuan”. (Lihat halaman 151)
Berapa jenis takbir hari raya?

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

1. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

2. Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja (sama ada solat fardhu, jenazah atau solat-solat sunat).

Bilakah bermulanya takbir mursal dan bila pula berakhir?

Takbir mursal atau muthlaq bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat hari raya. Firman Allah;

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (al-Baqarah: 185)

Berkata para ulamak; ayat di atas menjadi dalil disunatkan melaungkan takbir pada hari raya fitrah dan dikiaskan kepadanya hari raya korban.

Bilakah bermulanya takbir muqayyad dan bila berakhir?

a) Bagi hari raya korban, takbir muqayyad bermula bermula dari solat subuh hari ‘Arafah (iaitu tanggal 9 Dzulhijjah) hinggalah selepas solat asar pada hari Tasyrik terakhir (yakni hari raya ke empat).

Diriwayatkan dari ‘Ali dan ‘Ammar r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula dari hari ‘Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar hari terakhir Tasyriq”. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)

b) Bagi hari raya fitrah, bermula dari solat maghrib pada malam hari raya dan berakhir selepas solat subuh pada pagi hari raya.

Adakah takbir hari raya dilaungkan selepas zikir solat atau sebelumnya?

Melaungkan takbir didahulukan dari membaca zikir-zikir selepas sembahyang bagi takbir muqayyad. Adapun takbir mursal, membaca zikir-zikir selepas solat didahulukan dari melaungkannya. (Lihat; al-Kifayah Li Zawil-‘Inayah, hlm. 85)

Apakah lafaz takbir yang sunat dilaungkan?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama (Imam Ahmad); Lafaznya ialah;

الله أكبر، الله أكبر، لا إله إلا الله، والله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد

Iaitu lafaz takbir (الله أكبر) hanya disebut dua kali sahaja. Lafaz ini berdalilkan riwayat dari Ibnu ‘Umar r.a. dan Ibnu Mas’ud r.a.. Imam Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Abi al-Aswad yang menceritakan; “Adalah Abdullah bin Mas’ud r.a. bertakbir bermula dari solat subuh hari ‘Arafah hingga ke solat Asar hari an-Nahr (yakni hari raya korban) dengan melafazkan;
الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد
(Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaudh dan Syeikh ‘Abdul-Qadier al-Arnaudh; para perawi hadis ini adalah tsiqah. Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1, hlm. 449, fasl Hadyihi s.a.w. fil-‘Idain).

Pandangan kedua (mazhab Syafi’ie); lafaznya ialah;

الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد
“Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar. Allah maha besar. Milik Allah lah segala puji-pujian”.

Iaitu lafaz takbir (الله أكبر) disebut tiga kali. Mengucapkan takbir tiga-tiga kali menurut Imam Abi Ishaq as-Syirazi adalah berdalilkan riwayat dari Ibnu Abbas r.a. (al-Muhazzab, bab at-Takbir). Berkata Imam Ibnu Hajar; “Sesungguhnya Ibnu ‘Abbas dan Jabir bertakbir tiga-tiga kali sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam ad-Daruqutni dengan sanad yang dhaif. Dan telah berkata Imam Ibnu ‘Abdil-Barr; “Terdapat riwayat yang sahih dari Umar, Ali dan Ibnu Mas’ud bahawa mereka melaungkan takbir tiga-tiga kali iaitu (الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر). (Lihat; tahqiq/ulasan Dr. Mahmud Matraji terhadap kitab al-Majmu’, bab at-Takbir, 5/36. Lihat juga; Nailul-Authar, 3/315).

Imam as-Syafi’ie dalam kitabnya al-Umm menyukai agar ditambah kepada takbir di atas selepas tiga kali mengucapkannya;

اللّه أكْبَرُ كَبيراً،والحَمْدُ لِلَّهِ كَثيراً، وَسُبْحانَ اللَّهِ بُكْرَةً وأصِيلاً، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَلا نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدينَ وَلَوْ كَرِهَ الكافِرُون، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ، لا إِلهَ إِلاَّ اللّه واللَّهُ أكْبَرُ
“Allah maha besar dengan sebesar-besarnya. Segala puji-pijian milik Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Kami tidak menyembah melainkanNya sahaja dalam keadaan kami mengikhlaskan agama untukNya, sekalipun orang-orang kafir membenci. Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Dia telah mengotakan janjiNya dan telah menolong hambaNya serta mengalahkan tentera-tentera bersekutu (dengan kekuasaanNya) semata-mata. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar”.

Tambahan ini menurut Imam Abu Ishaq as-Syirazi dalam al-Muhazzab, di ambil dari zikir Nabi s.a.w. ketika Sa’i di atas bukit Safa. (al-Majmu’, 5/36).

Wallahu a’lam.


Wednesday, June 29, 2016

Suami Isteri Saling Melengkapi

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Saya kutip dan tempelkan ulasan-ulasan ini untuk tatapan diri saya dan kita bersama. Baik suami atau isteri masing-masing punya tanggung-jawabnya. Suami adalah pemimpin kepada keluarga yang menakhodai bahtera rumah-tangganya. Jika kepimpinannya tidak dilayar dengan betul maka bahtera tersebut mungkin karam, bercerai-berai atau tidak bahagia. 

Bukan juga tanggung-jawab tersebut diletakkan di bahu suami semata-mata tetapi kedua-dua suami isteri memikul tugas mengikut kemampuan diri untuk mencapai redha Allah Taala. 
Bahagia tidak akan dapat dikecap, jika tidak ada sepakat. Pernikahan tidak juga untuk kenikmatan dunia semata-mata. Akhirat perlu diambil kira sebagai keutamaan.

Jelasnya sekalipun tanggung-jawab itu diibaratkan berat kepada pihak suami, namun kerukunan rumah-tangga perlu dididik dengan memahami nilai-nilai kekeluargaan dengan sebenar-benarnya. Ia perlu diteroka dengan menggunakan sudut yang luas antara manusia dengan manusia disamping mentaati syari'at Allah Taala. Antara suami dan isteri perlu mempunyai kepahaman yang jelas tentang ini.

Zahir yang wajar dijaga.
Batin yang dipenuhi iman bagi melaksanakan amanah dengan sempurna.
Bagi saya, perkahwinan itu persahabatan yang sangat dikasihi Allah. Persahabatan yang telus yang tidak ada dalam mana-mana organisasi atau sosial hidup. Hanya melalui rumah- tangga yang penuh dengan mawaddah, rahmah dan sakinah maka persahabatan yang terjalin di antara sesama keluarga menjadi sangat indah.



Allah Taala berfirman, yang ertinya:
“Dan gaulilah mereka (isteri-isterimu) dengan cara sebaik-baiknya.” (An Nisa 19)
Dan Allah berfirman lagi:
‘Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajiban menurut cara yang baik akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan atas isterinya.”
(Al Baqarah : 228)


Diceritakan dari Nabi SAW bahwa baginda bersabda pada waktu haji wada (perpisahan) setelah baginda memuji Allah dan menyanjung-Nya serta menasihati para hadirin yang ertinya :
‘Ingatlah (hai kaumku), terimalah pesanku untuk berbuat baik kepada para isteri, isteri-isteri itu hanyalah dapat diumpamakan kawanmu yang berada di sampingmu, kamu tidak dapat memiliki apa-apa dari mereka selain berbuat baik, kecuali kalau isteri-isteri itu melakukan perbuatan yang keji yang jelas (membangkang atau tidak taat) maka tinggalkanlah mereka sendirian di tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Kalau isteri isteri itu taat kepadamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka.
Ingatlah! Sesungguhnya kamu mempunyai kewajiban terhadap isteri-isterimu dan sesungguhnya isteri-isterimu itu mempunyai kewajiban-kewajiban terhadap dinmu Kemudian kewajiban isteri isteri terhadap dirimu ialah mereka tidak boleh mengizinkan masuk ke rumahmu orang yang kamu benci.
Ingatlah! Kewajiban terhadap mereka ialah bahwa kamu melayani mereka dengan baik dalam soal pakaian dan makanan mereka.
(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya :
“Kewajiban seorang suami terhadap isterinya ialah suami harus memberi makan kepadanya jika ia makan dan memberi pakaian kepadanya jika ia berpakaian dan tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolokkan dia dan juga tidak boleh meninggalkannya kecuali dalam tempat tidur (ketika isteri membangkang).”
(Riwayat Abu Daud)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa saja seorang laki-laki yang menikahi perempuan dengat mas kawin sedikit atau banyak sedangkan dalam hatinya ia berniat untuk tidak memberikan hak perempuan tersebut (mas kawinnya) kepadanya. maka ia telah menipunya, kernudian jika ia meninggal dunia, sedang ia belum memberi hak perempuan tadi kepadanya maka ia akan menjumpai Allah pada hari Kiamat nanti dalam keadaan berzina.”

Nabi SAW bersabda yang bermaksud
“Sesungguhnya yang termasuk golongan mukmin yang paling sempuma imannya ialah mereka yang baik budi pekertinya dan mereka yang lebih halus dalam mempergauli keluarganya (isteri anak-anak dan kaum kerabatnya)."


Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Orang-orang yang terbaik dari kamu sekalian ialah mereka yang lebih baik dalam mempergauli keluarganya dan saya adalah orang yang terbaik dan kamu sekalian dalam mempergauli keluargaku.”
(Riwayat lbnu Asakir)


Diceritakan dari Nabi SAW bahwa baginda bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang sabar alas budi pekerti isterinya yang buruk, maka Allah memberinya pahala sama dengan pahala yang diberikan kepada Nabi Ayub a.s kerana sabar atas ujian-Nya.”
Dugaan ke alas Nabi Ayub ada empat hal:
Habis harta bendanya.
Meninggal dunia semua anaknya.
Hancur badannya.
Dijauhi oleh manusia kecuali isterinya bernama Rahmah

Dan seorang isteri yang sabar atas budi pekerti suaminya yang buruk akan diberi oleh Allah pahala sama dengan pahala Asiah isteri Firaun.

Al Habib Abdullah Al Haddad berkata:
“Seorang lelaki yang sempurna adalah dia yang mempermudah dalam kewajiban-kewajiban kepadanya dan tidak mempermudah dalam kewajiban-kewajibannya kepada Allah. Dan seorang lelaki yang kurang ialah dia yang bersifat sebaliknya.”

Maksud dan penjelasan ini ialah seorang suami yang bersikap sudi memaafkan jika isterinya tidak menghias dirinya dan tidak melayaninya dengan sempurna dan lain-lain tetapi ia bersikap tegas jika isterinya tidak melakukan solat atau puasa dan lain-lain, itulah suami yang sempurna. Dan seorang suami yang bersikap keras jika isterinya tidak menghias dirinya atau tidak melayaninya dengan sempurna dan lain-lain tetapi bersikap acuh tak acuh (dingin) jika isteri meninggalkan kewajiban-kewajiban kepada Allah seperti solat, puasa dan lain-lain, dia seorang suami yang kurang.

Dianjurkan bagi seorang suami memperhatikan isterinya (mengingatkannya dengan nada yang lembut/halus) dan menafkahinya sesuai kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajamya hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya seperti bersuci, haid dan ibadah-ibadah yang wajib atau yang sunat.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:
‘Hai orang-orang yang beriman! Jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api Neraka.”
(At Tahnm : 6)
Ibnu Abbas berkata:
“Berilah pengetahuan agama kepada mereka dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka.” 

Dan Ibnu Umar dari Nabi SAW bahwa baginda bersabda: "Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas yang dipimpinnya. Seorang imam yang memimpin manusia adalah pemimpin dan ia bertanggung jawab atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dalam mengurusi ahli keluarganya la bertanggung jawab atas yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggung jawab atas keluarganya. Seorang hamba adalah pemimpin dalam mengurus harta tuannya, ia bertanggung jawab atas peliharaannya. Seorang lelaki itu adalah pemimpin dalam mengurusi harta ayahnya, la bertanggung jawab atas peliharaannya. Jadi setiap kamu sekalian adalah pemimpin dan setiap kamu harus bertanggung jawab atas yang dipimpinnya.” (Muttallaq ‘alaih).


Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ‘Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu , kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada disampingmu, barangsiapa tidak memerintahkan solat kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya.”
Allah Taala berfirman yang ertinya :
“Perintahkanlah keluargamu agar melakukan solat.” (Thaha:132)’


Diceritakan dan Nabi SAW bahwa baginda bersabda yang ertinya : “Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah Swt dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang tidak sanggup mendidik keluarganya.”



Semoga kita beroleh rahmat Allah serta diberikan hidayah untuk memahami segala ilmu-Nya. 
Allahumma Solli'ala Saiyyidina Muhammad. Ameen.

Wallahu'alam.

Wednesday, May 25, 2016

Kalau Tak Suka

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Adat hati kita, kalau kita tak suka kita suka mendengus dan marah. Bila perangai orang lain agak tidak 'masuk' dalam kehendak kita, mulalah kita memerli dan buat orang tersebut sakit hati. Apa sahaja yang dibuat oleh orang yang tidak kita suka itu semuanya serba tak kena, walaupun tindakkannya baik. Yang lebih jelik, kita ajak pula serombongan kawan-kawan kita untuk membenci orang yang tidak kita suka. Walhal, mungkin salahnya cuma sedikit, tetapi kita lihat dengan hati kita yang benci, maka semuanya jadi buruk dan silap!


Benarlah ada kalimat bijak menasihatkan : "Menegur atas dasar kebencian,ada saja salahnya.. natijahnya lebih memburukkan.Menegur atas dasar cinta, kesannya lama kadang berkekalan hingga ke sana."


Maksudnya, kalau sudah hati kita tak suka, kita mungkin menegurnya tetapi ikhlasnya tiada. Teguran kita membuatkan orang yang kita benci itu terluka, sebab kita nak puaskan rasa hati kita. Ia lebih memudharatkan perhubungan kita. Nak pulak sesama muslim.


Rasul kesayangan kita, (Allahumma solliala Sayyidina Muhammad), tak pernah pun ajar kita macam tu. Sekalipun ada perkara yang tidak kita suka, setiap manusia ada kelebihan masing-masing yang menjadi pelengkap kepada kita berganding di dalam kehidupan.


"Sederhana Itu Indah"
"Memaafkan itu Sangat Mulia."
"Kalau tak suka, Jangan Menghina"


Eloklah kita ingat bahawa, jika ada manusia lain yang berdosa, kita juga pernah berdosa. Boleh jadi dosa kita lebih hina daripada orang yang kita hina.


Jangan kita permainkan hati orang lain, sekalipun dalam gurauan. Jika orang lain suka, Insha-Allah tak mengapa. Jika orang lain marah dengan gurauan kita, sebaiknya kita tekan brek dan hentikan sahaja.


Wallahu'alam.


♥ Jaga peribadi, ikut nabi.





Friday, May 20, 2016

Ku Suka.

Teringat puisi lama. Masha-Allah, sedap juga bunyinya.. Hihihi! Maaf, perasan sikit jer...
Raz tulis ni pada tahun 2010. Entah ditujukan kepada siapa. Dah lupa.  Namun, bila membacanya masih terasa itu tulisan jiwa. Semuanya dari Allah. Alhamdulillah. Yang penting Raz masih berdoa. Itu yang mahal, kan?

Allah. Semoga kebaikan bersama kita muslimin dan muslimat semuanya. Ameen, Ya Robbal Alamin.


Ku suka,
Saat kamu lafazkan rasa gembira,
berbau sayang, mewangikan cinta.

Ku suka,
kala kamu jujur berbicara,
bersadur yakin, menyelimut mesra.

Ku suka,
tika kamu menghormati jiwa,
mendengar setia.

Ku suka,
cemburumu bersahaja,
rindumu bergulung makna,
rajukmu layangan cuma.

Ku suka,
Segala tentangmu membuatkan aku
senantiasa berdoa.


Thursday, May 19, 2016

Secebis Pesanan Pagi Untuk Hati

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selamat pagi.
Semoga semua muslimin dan muslimat sentiasa berada di dalam jagaan Allah yang terbaik.  Ameen.
Alhamdulillah untuk sehari lagi yang Allah beri untuk kita nikmati dan untuk kita berbuat baik sehingga keampunan-Nya diberikan kepada kita. Mudah-mudahan.

Selalulah pesan kepada diri, nafas hari ini kita gunakan untuk mengAgongkan kebesaran Tuhan dan memberikan perhatian kepada ibadah dan berkasih-sayang. Kerana apa?
Kerana kasih sayang Allah melebihi kemurkaan-Nya.

Sama- sama kita belajar untuk terus merasa bahagia walaupun tidak difahami. Terus ceria atas buruk sangka manusia untuk apa yang tidak kita lakukan, dan terus kita tersenyum mencari nafas cinta yang baru setelah kejujuran dipersiakan.

Kita hargai apa yang ada.
Kita kasihi yang masih setia.
Kita doakan cinta-Nya dipakaikan di dalam jiwa kita hingga bertemu dengan-Nya.

Syukur Alhamdulillah...kerana Tuhan masih sudi  mendidik kita agar terus teguh kukuh walaupun disimbah kesulitan yang berterusan.

Bissmillahi tawakkal tu alallah. La hawla wala quwwata illabillah.


Wednesday, May 18, 2016

Kita Hanya Mampu Berusaha

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Bertahanlah dgn sabar di dalam sabar. Bila kita melakukan kesalahan dan apabila kita ingin menebusnya, banyak pengorbanan yg perlu kita buat.


Masa akan menentukan segalanya. Mungkin itu adalah sebahagian dari kifarah terhadap kesalahan kita. Ikhlaskan hati. Berdoa agar hatinya terbuka untuk memaafkan. Serahkan kepada Allah. Dia Penentu segalanya. Jika masih juga tidak berubah. Tiada hak kita utk memaksa. Kita hanya boleh berusaha.


Sesekali pandanglah kepada kasih-sayang yg tidak pernah bersyarat. Kerana hati yang memiliki kasih sayang seperti itu sedang mencontohi kasih Maha Pengasih Allah.


Kehidupan kita ini mempertemukan kita dengan pelbagai manusia-manusia yang pelbagai karenahnya. Jagalah hati kita dengan jagaan yang terbaik agar tidak kita terjebak di dalam daya penarik syaitan.


Apalah sangat lubang-lubang luka yg masih berparut, andai dibandingkan dgn balasan cinta Allah yg Maha Indah dek kerana sifat memaafkan. Syurga adalah jawapan.

Mudah²an Allah berikan hikmah. Ameen.
Wallahua'lam ♥
heart emotico

Tuesday, May 17, 2016

Rahsia Allah.



بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

"Rahsia Allah."

Sedikit kesedihan yang kita lalui atau kegembiraan yang kita miliki. Itu rahsia Allah. Berat dan ringan sesuatu hal yang kita tempuhi di dalam hidup ini juga terpanggil sebagai rahsia Allah. Kita tidak mungkin terlepas jauh daripada rahsia-Nya yang Maha luas.

Rezeki, roh, nafas, bertemu, berpisah atau maut juga adalah rahsia Allah. Cinta dan jodoh juga adalah rahsia Allah.

Sesungguhnya hidup orang Islam ini penuh misteri. Misteri dengan rahsia Allah. Segala sudut tentang kita dan alam, adalah rahsia Allah.

Kecantikan rahsia Allah ini hanya dapat difahami oleh satu kelompok kecil iaitu golongan-golongan yang menjalani hidupnya dengan sepenuh KESABARAN. Sabar untuk mencapai satu KEPERCAYAAN dan KEYAKINAN bahawa segala rahsia Allah ini penuh dengan nikmat jarang tercapai dek akal untuk menilai.

SUBHANALLAH.
ALHAMDULILLAH.
LAILA HA ILLALLAH.
ALLAHUAKHBAR.

Semoga setiap muslimin dan muslimat dijaga sepenuhnya oleh Allah Subhanahuwataala. Ameen.


Monday, April 4, 2016

Kalau Sayang, Kamu Doakan.. ♥

Sebuah kisah yang saya kutip dari halaman seorang sahabat sebagai pedoman untuk diri saya sendiri dan juga untuk sama-sama kita bermuhasabah. Moga yang menyampaikan mendapat rahmah dan keberkatan daripada Allah. Ameen. Kita ambil iktibar.

SIAPAKAH SAHABAT SEBENARMU?

Pada zaman Rasulullahﷺ ,   ada dua orang sahabat baik yang bekerja sebagai pengembala kambing. Pada suatu hari, sahabatnya yang pertama bertanya kepada sahabatnya yang kedua..

"Apakah benar engkau sahabatku yang sebenar benar sahabat??
maka sahabatnya yang kedua menjawab "Bukankah kita telah bersama semenjak masih kecil, dan membesar bersama-sama? Aku tidak pernah mengkhianati dirimu, apa lagi yang mampu aku jadikan bukti bahawa aku benar-benar sahabat mu??


Sahabat yang pertama tadi membentak "Sesungguhnya kamu lah manusia paling pendusta"
Sahabatnya kedua tadi kehairanan dan bertanya apakah kesalahannya sehingga sahabatnya itu melayannya seperti itu.

Sahabat pertama tadi menjawab."Pulanglah kau ke rumah, carilah jawapannya, dan esok datanglah kau berjumpa aku."

Seharian sahabat kedua tadi mencari punca dia dimarahi oleh sahabatnya. Sedangkan sahabatnya itu tidak pernah berkelakuan seperti itu sebelum ini.. Keesokan harinya, pergilah dia bertemu dengan sahabatnya itu.

"Wahai sahabat, puas sudah aku mencari jawapan untuk soalan mu...,tapi tidak juga kutemui.." katanya sambil menangis."Katakanlah wahai sahabat..apa kesalahanku??
Sahabat yang pertama merenung wajah sahabat kedua.

"Pernahkah kau mengingatkan aku supaya mengucapkan dua kalimah syahadah, atau berselawat keatas junjungan ketika kita berehat dari lelah bekerja dan bersembang kosong??" Sahabatnya tunduk, jujur menggeleng.

"Pernahkah kau mengingatkan aku supaya segera solat dan kebaikan segera bersolat setiap kali azan dikumandangkan??


Sahabatnya menggelengkan kepala. "Pernahkah kau menasihatkan aku supaya berpuasa setiap hari pada bulan ramadhan??

Sahabatnya menggeleng lagi.
"Pernah juga kah kau mengingatkan aku mengenai tanggungjawab ku supaya berzakat??
sahabatnya menggeleng lagi seraya menangis. Namun sahabat pertama tadi meneruskan soalannya.

"Dan soalan ku yang terakhir, "Pernahkah kau mengajak aku menunaikan haji setiap kali kita dikurniakan lebihan rezeki?

Sahabat kedua mendiamkan diri sambil menengis teresak esak.
"Tidak pernah bukan?? Maka tidak layaklah engkau bergelar sahabat padaku.engkau tidak pernah membantu aku melarikan diri dari neraka jahanam. pergilah kau...mulai hari ini kita bukan lagi sahabat.

Melalui kisah di atas, sama-samalah kita renungi kembali diri kita. Adakah kita layak digelar sebagai seorang sahabat walaupun mempunyai akidah yang sama?Walaupun kita sentiasa bersama-sama? walaupun kita katakan kita faham segala sikap dan tingkah laku sahabat kita?

Doakan agar kita menjadi antara sahabat-sahabat yang boleh sama-sama berganding menuju ke syurga. 

Astaghfirullahal'adziem... Ya Allah.


Thursday, March 24, 2016

Kesayangan Hati♥ Kakak.


Masa kecil, 

Kita selalu guna pensel.
Silap sikit, kita padam.
Bila dewasa,
Kita mula guna pen.
Di situ kita belajar, bahawa ada perkara yg susah dipadam.
Kadang² tu, makin cuba dipadam, semakin koyak.

Tapi...
Lama², ada caranya juga.
Tukar kertas baru. Pilih kertas warna.
Tulis semula cantik².

Yg penting, 
Jangan putus asa.

Sayang...
Ketika engkau berusaha untuk berbaik dgn semua orang, belum tentu kebaikanmu dibalas dgn kebaikan.
Boleh jadi ia mungkin dibalas dgn ejekkan. Lebih teruk kdg² fitnah, sinis, kerana mereka cemburu dgnmu atau mereka sendiri mempunyai sakit yg payah dibuang kecuali taubat. Yakni sakit hati yg dipenuhi hasad. Atau mereka hanya jahil sebelum kenal.
Sabarlah. 

Ingat Allah. Bukan mereka, tapi Allah sedang menguji hatimu. Teruslah tabah, jangan mengalah.
Percaya, bahawa suatu masa, Allah akan pulihkan segalanya.


Sayang..,
Untuk capai titik mudah dalam hidup, ia tidak akan berjalan lancar tanpa susah payah. Kualiti diri, iman dan semangat kendiri kita harus diasah. Kalau kita selalu kalah, rebah.., semuanya itu hanya utk menjadikan kita insan dewasa yg hebat.


Semua itu juga dari Allah, sayang. Percayalah kepada~Nya sepenuh jiwa.
Innalillahi wainna ilaihirojiun. Dari Allah kita datang kpd Allah kita kembali. Cuba fahami ayat itu. Tidak ada sesuatu pun yg berlaku tanpa pengetahuan Allah atau tanpa Dia mengaturnya.

Sayang..,
Hidup ini, memang sebahagian besarnya penderitaan. Susah payah itu sebenarnya ada ganjaran. Cuma, kita perlu terus bertahan. Jangan terlalu diberatkan, cubalah lapangkan perasaan, serahkan segala ikhtiar kepada Tuhan dan yakinlah kepadaNya.


Sayang..,
Cuba ingat, saat kita dilahirkan. Allah sudah sertakan kita pasangan yg kita tak nampak melalui zahir tapi batinnya, Allah sudah tetapkan rahsia disebalik urusan² hidup kita iaitu 'rezeki' yg tak putus hingga akhir hayat. 

Percayalah kepada Allah. Dia tidak lahirkan mu dgn sengaja utk diperdaya. Tapi utk menjadikan dirimu kekasih-Nya.

Insha-Allah. Ameen..
Jaga dirimu, kesayangan hatiku.

Thursday, March 17, 2016

Di hujung Keputusan Ilahi...♥



Sebagaimana manisnya kenangan yang ku galas,
sesekali tandus diulit semilir rindu yang sayu.
Kudus mata melarik tona jernih basah dengan gelora.
Antara sedar aku siapa,
dan tidak luput dayungan resah yang bernadi,
di hujung keputusan Ilahi,
di situ aku rebahkan diri.

Tak terkendong berat menunjal ingin,
menyapa merpati yang membawa khabarmu,
namun lidahku putus sendiri, 
bisu menelan rekahan jiwa.
Tak mengapa,
Takdirku hanya dirembis di halaman doa.
Mengharap Yang Esa,
Dialah Allah, penggerak kudrat semesta.

Insha-Allah,
semoga semua hal baik-baik belaka.
Ameen... 


17.03.2016
[Raz.R]
Sayang setulus hati ♥

Wednesday, February 17, 2016

Wanita Sejuk.

"Biarlah aku belajar
membuatkan hatiku tunduk
walaupun ia seringkali remuk.

Hati yang tunduk tidak terjerat oleh nafsu.
Tidak kan terbuai oleh angan-angan.
Tidak juga akan terhasut dek dunia yang kian parah.

Biarlah aku menjadi wanita sejuk.
Sejuk dipandang ibu dan ayah.
Sejuk dirahmati Allah.
Sejuk disyafaatkan Rasulullah.
Sejuk dikasihi pemimpinku, suatu ketika nanti.

Meski...
Miskinku dunia.
biarlah akhiratku kaya."

Semoga Allah menyelamatkan setiap wanita muslimah agar menjadi wanita sakinah.
Ameen, Ya Allah.


Friday, January 29, 2016

Aku Lebih Memilih Sayang



بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
29hb Januari 2016

Kita hidup dengan manusia. Sudah tentu apa yang ada pada sikap kita, ada juga pada sikap manusia lain juga. Marah, sayang, letih, benci, suka atau tak suka, sudah tentu semua itu ada pada setiap manusia. 

Yang menjadikan kita kelompok yang berbeza, apabila kita tahu mengimbangi dan mengawal sikap kita itu agar tidak menjadi yang membawa keburukan kepada orang lain malahan yang lebih penting terhadap diri kita sendiri.

Selama pengalaman ini, secara peribadinya, aku berdoa agar di dalam kehidupanku ini tidak ku simpan rasa membenci dan iri kepada sesiapa, agar aku dapat meraih kasih-sayang Allah yang terhimpun banyak. Semoga Allah kabulkan doa ini. Ameen.

Semoga Allah jagakan semua orang yang ku kasihi dengan sebaik-baik jagaan. Untuk setiap mereka yang sering mendoakanku samada jauh ataupun dekat, Alhamdulillah, itulah sentuhan Maha Pengasih Allah yang terbaik dan aku ingin memberikan kalian doa-doaku yang sama. 

Untuk mereka yang pernah mengenaliku, Subhanallah, setinggi syukurku untuk kehadiranmu dahulu dan selagi Allah memberikan kenangan-kenanganku tentangmu di hati bermakna Allah masih mahu aku mendoakanmu selalu. Semoga sejahtera kehidupanmu dan semoga tabah engkau mengecap iman serta meraih  cahaya suci Ilahi di hati lalu mempermudahkan Allah memberikan hidayah-Nya kepada kita bersama. Ameen.

Aku tidak memilih benci, sebaliknya, sayang sentiasa di hati. 

Okay, awal tadi macam nak tulis banyak. Idea macam membuak. Tiba-tiba, keletihan meragut akal. Maaf. Perlu berehat. (Senyum, dan kenyit mata)

Jaga diri dan ingat Allah selalu.





Monday, January 25, 2016

Hanya Kerana Hati

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kadang-kadang saya tak sangka pun bahawa saya sedang menulis. Saya tak tahupun tulisan saya dibaca atau tidak, dan saya tak kisah pun kalau tiada yang datang menjengah dan berminat untuk membacanya. Siapalah saya untuk itu semua. Lagipun, saya memang bukan seorang penulis. Sekadar mengisi apa yang terlintas hati. Bukan kerana polariti, nama dan tiada apa-apa pun yang saya dapat dari sini.

Sekadarnya, ada waktu-waktu yang saya mahu meluangkan masa bercerita dan berkata-kata, saya masukkan sahaja, spontan. Tak ada apa yang indah pun. Hehehe..

Walaupun kisah-kisah yang saya tulis tak berkaitan dengan sesiapa, ianya untuk saya sendiri. Saya cuma percaya bahawa apa yang saya buat jika kerana Allah, ia akan memotivasikan diri bila kita kembali membaca apa yang sendiri kita tulis, dan...saya sekadar berkongsi, mudah-mudahan ada yang membacanya turut mendapat sesuatu yang membuatnya berfikir. 

Itu sahaja!

Senyum Sikit. 






Saturday, January 23, 2016

AKU JUGA PUNYA RASA CINTA


Aku masih memasang di hatiku CINTA,

Jikapun padaku ia tiada.
Terus aku memanjakan geloranya,
dengan rindu meruntun dada,
Biarpun cintaku tak berbunga di dunia.
Ramai yang mengira aku gila,
Aku tak mengapa.
kerana apa yg ku fahami tentang CINTA,
difahami Allah Taala.
Aku percaya.
Apa yg aku CINTA, semuanya ADA.
Tak tersurat di bumi manusia,
Syurga, tempat tersimpan segala.
Semoga, Allah mengizinkanku,
walau kecil di hujung kaki-Nya.
Ameen...



Note : ▬Mungkin engkau tidak kenal bahawa aku juga manusia.


Allah..
MencariMu di dalam hatiku sendiri,
Pekatkah luhur cinta,
Dekatkah diriku dengan setia,
Segugus kasih, adakah ia membara?
Aku tahu jawapannya.

Allahu..

Tuesday, January 19, 2016

Aku Terpaksa


Bisu,
dalam susah payahku.


Mengharung gundah gulanaku
menebas rasa yang tumbuh meninggi
untuk keputusanmu.

Aku terpaksa menikam 
seluruh keinginanku
demi mahligaimu.

Tiada yang melihatku

Aku terpaksa...
membaluti jiwaku
dengan selimut berduri,
meracuni fitrahku sendiri.

Bisu..
Aku terpaksa menongkat batinku 
nan rapuh,
demi mengikat hatiku
mampir kepadamu

Aku terpaksa akur 
kepada dunia yang hanyir dan berlumpur