Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, September 30, 2011

Pernah Terasa Tak?


"Setiap kecemasan, kegundahan, kesedihan, keresahan, kelaparan, kefakiran, kesakitan, terlilit oleh hutang dan segala musibah yang lain, di sisinya ada ganjaran daripada Allah swt bagi kita yang bersabar dan menanti pertolongan Allah."



Pernah terasa hati tak?

Ada waktu, kita berusaha untuk membuatkan hidup kita gembira. Kita gembirakan orang sekeliling kita, tapi malang kita tetap ditimpa kecewa. Mereka masih tidak gembira dengan kita. Kita disangka bermuka-muka. Kata mereka, kita berpura-pura. Padahal, di hati kita, tiada sekelumit buruk sangka. Niat kita satu sahaja, "Jika kamu gembira, aku gembira."

Tak mengapa.. biarkan sahaja sangsi mereka menjelma. Diamlah kita bersama ikhlas yang tertulis "Lillahita'ala" di dalam sukma. Usah gelisah atau kecewa.
Sudah resam manusia, begitulah caranya. SABAR.

Ada waktu, kita menegur dan kata berbau jujur. Tidak kita mahu mereka terlanjur. Bukanlah niat kita mahu menghukum atau mengukur. Kita berlembut menyampai hemah agar tiada yang tersalah. Tidak mereka jatuh tersungkur. Niat kita hanya satu sahaja, "Jika kamu berjaya, aku tumpang gembira." Pun begitu, masih juga kita disangka mempamerkan bijaksana yang tidak seberapa.

Tak mengapa.. biarkan sahaja kita di hina. Diamlah kita dengan ikhlas di jiwa. Tuliskan lagi barisan, "Lillahita'ala.". Usah dirundung duka.
Begitulah resam manusia. SABAR.

Ada waktu, kita membantu, kita menolong sekadar mampu. Tidak sanggup melihat beban di galas. Meringankan apa yang kita rasakan perlu. Niat kita hanya satu, "Jika bebanmu, ringan, aku turut merasa ringan." Sayang sekali budi yang diberi dilihat sedikit. Disangkanya kita melepaskan batuk di tangga. Menolong ala-ala kadar sahaja. Lebih menyedihkan, bila bantuan kita dipergunakan sebagai mainan. Diminta-minta selalu, dibayar kita tidak perlu. Kita pula menanggung beban, sedang mereka bersenang-lenang melihat kita ditertawakan kebodohan.

Tidak mengapa.. biarkan sahaja kita dibeban sementara. Namun berhentilah kita menganiaya diri. Melayurkan diri di dalam rugi. Diamlah kita dengan ikhlas "Lillahita'ala." Usah dirundung nestapa. Kepada Allah kita mohon hati yang hitam disinarkan semula.
Begitulah resam manusia. SABAR.

Ada waktu pula, kita menyayangi sesama saudara. Mengharapkan silaturrahim berkembang sejahtera. Niat kita hanya satu, " Jika kamu seagama, kita bersaudara." Kita tidak meminta musuh. Namun masih tetap yang ingin menimbulkan permusuhan. Disangkanya kita menggoda-goda, berebut sesama kita. Kononnya ingin mengejar popular, menaikkan nama, atau menguji 'saham diri' agar nampak ranggi.

Tidak mengapa.. biarkan sahaja kita disangka gila nama. Diamlah kita dengan ikhlas "Lillahita'ala." Usah dirundung kelam di dada. Ingatlah, satu sahabat yang buruk melangkah pergi, sepuluh sahabat baik datang mencari. InsyaAllah.
Begitulah resam manusia. SABAR.

Ada waktu, kita telah berusaha memainkan peranan untuk membina sesuatu yang baik di dalam sesuatu kerja. Telah kita bertungkus lumus menggilapkan usaha. Niat kita cuma satu, "Jika kerjaku berjaya, kita semua juga berjaya." Tapi masih ada dengki dan iri. Melihat kita sebagai kaki makan puji atau bagai kadok naik junjung, mahu menjulang kuasa. Padahal bukan itu yang kita rasa.

Tidak mengapa.. biarkan sahaja fitnah itu. diamlah kita dengan bahasa ikhlas di jiwa, "Lillahita'ala." Usah dibuai sedih dan goyah. Rezeki dan anugerah itu milik Allah.
Begitulah adatnya sikap manusia. SABAR.


Akar yang dibajai dengan baik dan disirami dengan keikhlasan "Lillahita'ala" yang tidak berputusan akan menjadikan pokok kehidupan kita rendang dengan buah-buah kemuliaan. Mungkin ia mengambil masa yang lama untuk kita menanti musim buahnya tetapi apabila sampai waktu, nikmat yang kita akan rasa itu tidak akan dapat ditulis dengan kata-kata.

Wallahua'lam bissowab.


Salam kasih "Lillahita'ala."
MMuaahks..! Senyum ya.. dan sabarlah..

Raz.R
30.09.2011

Sekadar Puisi : Kuning Rerama

Petang..
ketika pulang,
lintas halamanku
terpandang makhluk kecil
kuning bersayap yang terbang
lembut, ringan, santun menyentuh kehijauan
terpalis selembar senyuman
mata ini terus di situ
melihatnya menyentuh bunga delima
satu persatu hinggap senyap
bagai menghidu kuntuman itu
kelopak tiada jejas
bunga tidak meluruh
dan ranting tiada goyangan




Wahai si kuning rerama
lembutnya budimu
gemalainya tingkahmu
kagum aku memuji santunmu
cantiknya dirimu
Aduhai.. izinkan aku
mengekori jejakmu



Salam petang dengan kelembutan kasih sayang
Assalamulaikum.. Mmmuahks!
Senyum.. indahkan hati, lembut mengasah akal.

Raz.R
30.09.2011

Jumaat Yang Tersimpul Indah




Assalamualaikum wbt.
Jumaat kembali lagi. Panjatkan sebanyak-banyak doa untuk diri, untuk Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, orang tua kita dan untuk sesiapa yang kita mahu doakan. Sesungguhnya Jumaat adalah hari yang bermakna.

Raz sayangkan hari Jumaat. Ia seperti hari bagi Raz memulakan sesuatu perkara dengan penuh rasa bahagia. Penghulu hari yang memberikan Raz secebis harapan dan keyakinan bahawa setiap impian dan doa akan dimakbulkan. InsyaAllah.

Terdapat enam perkara yang menjadikan Jumaat itu indah dan tersendiri.

1. Berlakunya hari kiamat.

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam satu hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari syurga.

Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”

3. Penghulu segala hari.

Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain.

Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.

Menurut Nabi SAW, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.”

Jadi, sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah ini.

5. Kebaikan dengan memotong kuku.

Peliharalah kebersihan kita. Kalau boleh, lebihkan keutamaan tersebut pada hari Jumaat. Cantikkan diri. Wangi-wangikan diri kita. Tetapi, janganlah sampai menyumbat lubang hidung pula ya? Carilah wangian yang lembut yang selesa pada diri dan sekeliling. Mana yang dah lama tak potong rambut, maka potonglah. Kemaskan diri kita. Jika kita nampak kuku kita sudah agak panjang, eloklah kita potongkan ia.

Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

Cantik sungguh. Jika kita mahu mengurangkan penyakit pada diri. Marilah kita sama-sama amalkan perkara yang baik ini.


Gambar di atas adalah cara memotong kuku mengikut sunnah. Jangan simpan kuku panjang ya? Disebalik kuku panjang yang disangka cantik itu, ada perkara yang tidak cantik tau.

6. Makbulnya doa di antara dua khutbah.

Yang ini pun kita dah selalu dengar. Daripada zaman sekolah lagi mungkin ramai yang telah diberitahu akan perkara ini. Baca doa ketika imam sedang duduk antara dua khutbah selalunya makbul doanya.

Banyak ulamak yang berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Dan rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.

Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

Bertuah sungguh para lelaki Muslim yang mampu menunaikan solat Jumaat. Kepada sahabat-sahabat lelaki yang ke masjid hari ini, Raz ingin mengucapkan syabas dan tahniah bersama sekuntum senyuman dari Raz sebagai hadiah. Tolong doakan Raz juga ya?

Usah kita bazirkan Jumaat yang kita miliki hari ini dengan perkara-perkara yang menyumbangkan kemudaratan. Sama-samalah kita isikan ia dengan kebersihan hati, kecantikan akhlak dan perbanyakkan senyum manis yang ikhlas hari ini ya?

Raz mendoakan agar Allah SWT memakbulkan segala impian kita dan merahmati kita semua di dalam keberkatan dan kerahmatan-Nya sentiasa. Amin.


Sembah kasih, salam kudus, tulus dan mulus.
dari Raz.R
30.09.2011

Thursday, September 29, 2011

Sekadar Puisi : Di kejauhan Ini



Sayang...
Di kejauhan ini
Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia

Kuusap air matamu yang jernih
Dengannya kusulam rasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela

Sayang,
Di kejauhan ini
Kusapa salam setiamu
Kusambut senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Takkan menghalang bicara
rasa kita berdua.

Sayang, sayang, sayang
Semakin berpisah
Cinta kita semakin indah
Semakin jauh
Kasih kita semakin kukuh.

Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!

[Puisi oleh : Ustaz Pahrol Mohd.Juoi]


Raz amat sukakan puisi di atas. Tulisannya amat terkesan di hati. Sama-samalah kita hayati rasa di sebalik keindahan kata-katanya. Salam kasih dengan senyuman semua! Moga kita memperolehi setiap impian yang kita ingin kecapi. Amin..


Raz.R
"Tiada kata Secantik Bahasa.."
29.09.2011

Wednesday, September 28, 2011

Batas Rasa




Sudah lama Raz tidak mencoretkan luahan Raz di sini. Sebenarnya Raz bimbang, jika kata-kata yang Raz tulis di sini akan menimbulkan penafsiran yang mengganggu dan mengecewakan sesetengah pihak terutama sahabat-sahabat Raz yang setia membaca pendapat Raz (Terima kasih). Sedangkan di hati Raz ini hanya berusaha berkongsi sekecil ilham, sekelumit ilmu dan setitik pengalaman. Justeru, Raz ingin mendahulukan ampun dan maaf seandainya tulisan Raz ini mengundang pelbagai ketidakselesaaan. Moga Allah menjauhkan kita dari keburukan dan sentiasa mendorongi kita ke arah pedoman yang tulus terus kepada-Nya semata. Amin.

Tidak ada seorang insan pun yang mengharapkan dirinya dirembes pengalaman pahit dalam hidupnya.Tidak ada seorang pun dari kita yang berminat untuk memilih duka melebihi gembira. Itu sudah pasti. Kalau boleh, kita mahukan Allah menjadikan dunia ini seindah Firdaus-Nya tanpa ada apa-apa hal-hal yang menyusahkan langsung. Sudah tentu mustahil, kerana Allah telah memberitahu kita bahawa sememangnya kita dihidupkan di dalam dunia ini adalah untuk menerima ujian-Nya samada dalam bentuk buruk atau baik. Jadi, tugas kita sebagai hamba-Nya adalah akur dengan penuh kesetiaan.

Kadang-kadang kita dibisik oleh usikkan seolah kehidupan sedang mentertawakan kita. Apa sahaja yang kita perbuat menjadi serba tidak kena. Kita terhukum dengan bayangan rasa aib yang melintas. Kita mula terjunam dalam rasa dungu dan bodoh. Kita dihujani dengan perbandingan antara kehidupan kita yang kita lalui dan dengan kehidupan yang dimiliki orang lain. Mulalah kita berkata, "Siapalah aku berbanding mereka." Lalu kita dipengaruhi rasa rendah dan membatukan diri.

Sebenarnya, apa yang dirasakan orang lain belum tentu benar seperti apa yang telah kita rasai dan apa yang kita dirasai tentang orang lain juga belum tentu benar seperti anggapan kita. Rencah hidup ini adalah "teka-teki" dan jawapannya disimpan oleh Allah Ta'ala hingga terbuka. Tiada pakar yang benar-benar pakar melainkan Allah.

Biar apa jua yang kita rasa dan lalui di dalam hidup kita, jangan kita sulam dengan kezaliman atau penganiayaan. Baik terhadap diri sendiri atau orang lain. Samada ia berbentuk fizikal mahupun mental. Berbuat baiklah pada diri sendiri dan terhadap orang lain juga sebagaimana yang telah dipesan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Qasas ayat 28:77 yang berbunyi :-

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (kenikmatan)duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." Amin...

Apabila kita persoalkan tentang bencana hidup masa lalu, masa sekarang atau masa hadapan,sebaiknya, janganlah kita terlalu bermain dengan rasa. Apabila kita terlalu mengikut rasa, banyak perkara dalam hidup kita akan dibawa binasa. Kadang-kadang, rasa itu hanya sekadar rasa yang penghujungnya tidak memberi apa-apa pun imbuhan.

Kita perlu berhati-hati. Ya! Itu benar!.Berhati-hati adalah keperluan hidup. Dengan berhati-hati, kita mungkin berdaya mengubah sesuatu yang kusut menjadi tenang. Pun begitu, terlalu teliti berhati-hati hingga membuatkan perasaan menjadi mati untuk mencuba sesuatu nikmat Allah adalah amat salah. Ia seolah-olah menunjukkan kita menafikan kebesaran Allah. Sepertinya kuasa rasa kita itu lebih tepat daripada kuasa Allah. Padahal Allah telah berjanji bahawa tiap perubahan yang mengganjakkan kita ke suatu tapak yang lain dikepilkan bersama perubahan itu kebaikan dan hikmah. Cubalah tanyakan pada diri kita, besar sangatkah kuasa kita sehingga kita mahu menolak kuasa Allah? Alahai..Janganlah begitu.

Sesungguhnya masa depan hidup kita ini tidak ditentukan oleh tempat dan waktu, tetapi oleh keimanan, kualiti ketaatan sebagai orang yang benar-benar beragama dan faktor hati yang membenihkan akhlak diri sejati. Hati juga adalah tempat untuk melihat Tuhan. Apabila hati telah tertanam satu keyakinan yang padu terhadap Tuhan, maka ia akan menggerakkan roh merasai ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan jiwa walau apa pun kenyataan hidup yang kita terima pada waktu itu. Cubalah pula tanyakan pada diri kita, bagaimana keadaan hati kita sekarang? Kukuhkah keyakinan hati kita terhadap Tuhan? Percayalah, bahawa apabila roh kita menemui kesejatian tersebut, ia akan meluap singgah pada roh-roh yang lain yang berada berdekatan kita. Mereka juga akan turut mencontohi dan mahu mengenali apa yang kita miliki. InsyaAllah. Jadi, yang mengubah sekeliling kehidupan kita adalah dari pimpinan hati yang kita terbitkan dari dalam diri kita sendiri. Jarang ia berlaku dari luar diri kita.

Sama-samalah kita memperbaiki rasa dalaman kita ke arah yang tidak merosakkan cara hidup kita yang sebenar. Janganlah kita membiarkan rasa kita melampaui batas-batasnya. Kemudilah dan kendalikanlah rasa kita daripada digoda sakit pra-sangka. Bila jangkitan pra-sangka melanda maka kita akan melunturkan rasa percaya kita terhadap apa yang diberi oleh Allah Ta'ala dan hati kita dihembus rasa tidak bersedia dan tidak redha. Kita akan dibuai gelora rasa yang tidak indah belaka.

Wallahua'lam..



Salam seindah rasa.
Moga Allah memberikan kesejahteraan sentiasa.

Raz.R
29.09.2011

Tuesday, September 27, 2011

Sekadar Puisi : Selumbar Di Jiwa



Ya Allah..
Aku hadir di hadapan-Mu
dengan selumbar yang terbenam di jiwa...

Sesekali aku kalah menyusur hidupku
ku peluk diriku dalam pasrahku pada-MU
ku cari apa yang tidak ku tahu
dalam gelora jahil keliru
benarkah semua ini salahku?
Ampunilah aku,
kerdilnya aku menerima kehendak-MU

Ya Allah..
Sekecil ujian ini
telah kaku untuk langkahku berjalan
tidak ku tahu apa yang harus ku lakukan
takutnya aku pada kehilangan
resahnya aku meniti kegusaran
sedang Engkau telah tetapkan
takdir-MU tidak bergoncang
Janji-MU telah pun terbentang
dan aku?
masih kontang dalam kelelahan..

Ampuni aku, wahai Tuhan Sekelian Alam..
Berikanlah aku jalan-Mu
tetapkanlah aku terus di situ
singkirkanlah ragu dan sangsiku
sentuhlah aku dengan kasih-MU
iringkan aku ketenangan-Mu
biarkan aku bersama qanaahku
menyambut segalanya demi redha-MU

Amin Ya Robbal Alamin.. Subhanallah, Walhamdulillah, Walailaha, Ilallah, Wallahuakhbar!


Sentuhan hina hati
dalam doa ini
ada kasih
sekujur diri
Raz.R
27.09.2011

Tuesday, September 20, 2011

Sekadar Puisi : Ketika "I Love You" Ku Sebut



Ketika "I LOVE YOU" ku sebut...
dan jantungku bergendang kencang
naluri berendul nyaman senang
kedidi hati berkicauan terbang
mengiring tiupan kasih sayang
Usahlah ragu, usahlah bimbang
kerana hatiku milikmu seorang

Ketika "I LOVE YOU" ku sebut...
tidak ia kata-kata sengaja
membisik manis ayat menggoda
bermain lidah bertulang tiada
melorek lakar suara dusta
jiwa ini...
telah ku tanam sepohon cinta..



Raz.R
20.09.2011
Kuntum keikhlasan yang berkembang..

Sunday, September 18, 2011

Sekadar Puisi : Cukuplah Engkau Bagiku




Ku sembahkan puisi cintaku untuk-Mu, Tuhan
dengan sendu dan tangisan teramat dalam
bersama seluruh pujianku pada-Mu
Engkaulah yang memiliki seluruh Kebesaran
dan aku hanya sekecil dan sekerdil insan
dalam aku tidak punya pilihan
ku perhambakan diriku tulus pasrahku
pada-Mu ku buahkan segala harapan

Kiranya inilah yang Engkau tumpahkan padaku
persaksikan duri banir sebagai dugaan
menebus hilangnya imanku yang silam
hingga aku berdiri di tengah persimpangan
hanyut bersama hirisan kebuntuan
ke mana langkah harusku mulakan
ku pohon peri kasihan-Mu, Tuhan
tunjukkan aku haluan, bukakan aku jalan....

Wahai Pemilik Aku, Wahai Pencipta Alam
takdirku di tangan-Mu, Engkaulah yang faham
hidupku untuk kehendak-Mu aku serahkan
sekujur diri, nyawa jasad dan badan
tanpa sekatan dan tanpa sempadan
uruskanlah aku, hidupku, matiku
mengikut kehendak-Mu, paksi-Mu
izikan aku menempa namaku di sisi-Mu, Tuhanku
dengan sesuci sebersih pengampunan-Mu

Aku tidak mahu meminta yang lebih lagi
Wahai Tuhan yang aku cintai
cukuplah dunia ini memberikan sengsara
cukuplah apa yang telah Engkau cukupkan padaku
cukuplah Engkau bagiku..

Allahuakhbar.. Allahuakhbar.. Allahuakhbar!



Raz.R
18.09.2011
Senyum yang terbelah.

Dialog Luka Wanita : Dilema Rindu Dahulu




"Bayu rindu yang dahulu
walau datang bertalu-talu
bagai kompang dipalu
menjentik kalbu
merisik kembali kenangan dulu
hembuslah jauh.. tidak ku mahu.."

Begitulah rasa hati Su ketika ini. Ketika dia sedang berperang dengan takdir yang tidak pernah diketahuinya. Ketika dia sedang cuba mendaki hidupnya untuk ke puncak semula. Ketika dia meraut-raut kekuatan diri agar tajam dan bisa menembusi hidup yang baru. Terharu naluri insan yang ada pada diri Raz melihatkan Su yang bersusah-payah mengawal diri untuk bangun dari rebahnya.

Kami bertemu lagi dengan cerita baru. Nampaknya Su perlu menggagahi diri berdepan dengan jati dirinya lagi. Su memberitahu Raz bahawa 'kenangannya' kembali menuntut rindu dan kasih setelah sekian lama membiarkan Su perih dan tersisih. Su dihantui dilema.

"Dia mahu Su kembali padanya, Kak Raz!"

"Habis tu? Su mahu kah?"

Su membisu kelu. Jauh dibawa matanya ke arah pohon kekabu di hadapan rumah Raz yang berbuah putik. Su melurut-lurut lengan kerusi yang didudukinya. Raz menyambung kata, "Setelah apa yang Su lalui selama ini? Setelah Su melalui siksa yang lama?"

Baru seketika, dia melangkah meninggalkan masa silamnya. Tiba-tiba dia digoda dengan kedatangan lagenda yang mengusik lukanya semula.

"Su.. hidup kita ini singkat. Takkanlah Su nak patah balik ditempat yang lama yang Su telah tahu apa kesannya nanti?"

Raz tidak berniat untuk mengapi-apikan rasanya. Naluri Raz membaca wajah Su yang memimikkan dilema. Raz dapat rasakan yang Su masih terubang-ambing dalam menimbang perasaannya waktu itu. Wanita dan perasaannya. Jikalau boleh, biarlah Su tidak tersilap langkah lagi. Andai benar lelaki itu menyayangi Su, kenapa tidak dari dulu dia menjadi berani dengan keputusan "lelakinya?". Raz tertanya-tanya apakah niat yang terlindung di sebalik 'mahu' kembalinya dia. Benarkah dia datang lagi untuk berhenti menyakiti Su atau kembali kerana sesuatu yang diingininya dari Su?

Su adalah adalah seorang wanita yang mudah bersimpati, berkorban dan mudah menyayangi. Hati Raz mula sangsi melayani benak yang berkocak. Raz sayangkan Su. Ya Allah! Engkau berikanlah hidayah-Mu pada hati Su dengan jalan yang terbaik dari-Mu, Ya Robb.

Su nampak runsing dan pusing. Raz jadi gundah. Raz tahu Su sedang menggelabah resah.
Situasi ini sebenarnya tidaklah susah jika dengan azam yang tidak goyah dan tidak mengalah. Kata orang "Azam, mampu meremukkan besi waja." Namun, kadang-kadang cinta juga mampu meleburkan rasa sakit walaupun lama deritanya. Raz jadi makin bimbang.

"Su..., kak Raz rasa Su kena balik kepada Allah dalam hal ni. Kak Raz dah tidak tahu apa yang perlu kak Raz kata pada Su lagi. Apakata kalau Su solat istikhorah dan mohon pertolongan dari Allah. Tapi, sebelum tu.. buatlah solat taubat dulu. Mohonlah keampunan Allah. Mungkin ada perkara yang Allah mahu Su mengerti. Bersihkan hati Su dengan mohon ampun dari-Nya. Kemudian mintalah petunjuk-Nya dengan istikhorah. InsyaAllah, dengan izin-Nya Su akan ditemukan cara bagaimana untuk melalui ini semua."

Su mengangguk perlahan. Berat mulutnya tidak terluah apa jua kata-kata. Seberat dilema yang dirasakannya. Hati Raz ini rasa terkilan sekali dengan sikap pihak yang suka bermain 'tarik tali' dengan perasaan wanita. Masalah memang akan melanda sesiapa sahaja dan ragam masalah akan muncul di dalam pelbagai perkara, namun tidak bermakna kita perlu memperkotak-katikkan kesetiaan mereka yang menyayangi kita sewenang-wenangnya. Andai bijak berjanji, bijaklah menepati. Untuk apa kita perlu bersikap "sekejab pergi, sekejab mari?". Pelik sungguh ragam manusia ya?

Walaubagaimanapun, itulah resamnya manusia. Jika dia tidak mampu memimpin hatinya, tidak kuat untuk tetap pada keputusan yang baik pada nafas jiwanya dan menyimpan nawaitu yang palsu dan berdusta, maka jelas sekali hidupnya akan sia-sia. Dia tidak akan dapat menyelami nikmat kasih-sayang yang diberi Allah SWT sebenar-benarnya.

Raz mendoakan Su teguh pada kehidupan yang telah dipilihkan Allah untuknya. Untuk Su..

"Wahai hati yang direnggut kesedihan, melangkahlah dengan perlahan. Di ufuk sana telahpun tersedia jalan keluar dan ada sunnah baku dan benar yang akan memberi keringanan. Wahai mata yang selalu digenangi air mata, hentikanlah limpahan air mata itu dan berilah ketenangan pada kedua bola matamu. Tenanglah, kerana kamu berhak mendapat perlindungan dari Yang Maha Pemelihara dan dari kebijaksanaan-Nya. Qada sudah selesai, Allah Maha Mengetahui apa yang telah dirancangkan-Nya bagi kita yang menetapkan usaha. Tenanglah, kerana akhir perjalanan hidup yang dibaluti dengan zat Allah itu adalah kebaikan, hasilnya kesenangan dan penutupnya kemuliaan.. InsyaAllah.." Wallhua'lam.

Bersemangatlah!


Salam kasih, salam sayang.
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita tetapkan hati dan kepada Allah jualah kita berserah diri. Aamiin.
MMuahks!

Raz.R
18.09.2011

Wednesday, September 14, 2011

Sekadar Puisi : Tak Mengapa, Hingga Izin-Nya







Denai kecil yang memanggil
mengajakku menemani lembutnya ombak
bersahabat dengan pasir dan laut
bercerita pada camar terbang berganding
turut jua..
awan petang cemoret putih kebiruan
dan senja ikut bersama membawa jingga
dengan semaraknya... kasih Allah Ta'ala
Aku mendepang dada menghirup rasa-Nya
Berdiri di kaki pantai di gigi ombak

Menyedut lega..
Tak mengapa andai diri dibiarkan.
Tak mengapa andai hati kesepian.
Aku masih berdiri dan berjalan.
Aku masih melangkah walau perlahan.
Aku tetap tidak rapuh menapak dan bertahan
dunia masih luas kelihatan
terima kasihku Tuhan..
ku hadiahkan laut sebuah senyuman

Walau dipeluk lega..
Api rindu, sesekali menyala jua
Rindu itulah yang menggamit aku
merenung hamparan laut
cuba ku tembusi dasarnya
jelas masih tidak bergambar
andai tidak berani direnang
atau tidak berani di selam...
bijaknya rahsia-Mu Tuhan..
Tak mengapa.. Rahsia-Mu
milik-Mu jua hingga
ada izin-Nya..


Raz.R
14.09.2011
06:30 petang..
Moga dicintai Allah SWT.
MMuahks..

Panca-Rasa : Penjana Kasih Sayang




"Hati berisi cinta
Hati rela terluka
Hati bekorban saja
Hati terus bersedia
Hati terima apa sahaja
Hati yang kuat dan redha"


Salam kasih wahai semua. Raz dukungkan bingkisan Raz dengan permulaan pujian kepada-Nya yang telah memberikan kita nafas dan kehidupan ini dan kepada Rasul-Nya yang telah memperjuangkan agama-Nya dengan hebat sekali. Al-Fatihah kepada junjungan kita, Muhammad Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda yang tercinta. Selawat serta salam bersama-samalah kita hadirkan. Amin..

Assalamulaikum w.b.t..

"Harga sebuah kasih-sayang, tidak terletak pada ringgit dan harta."

Inilah pendapat yang Raz pegang dari kecil hingga dewasa. Raz juga selalu memupuk kata-kata Raz ini di kalangan mereka yang Raz sayangi. Kasih-sayang adalah pelaris ketenangan yang terbaik di dalam kehidupan kita. Tanpanya, hidup kita akan dibendung gelisah, gundah malah kadang-kadang hidup kita mungkin akan menjadi parah.

Ramai yang menyangka, jika kita kaya.. kasih-sayang datang kepada kita dengan mudahnya. Mungkin juga pendapat mereka itu benar, tetapi apakah itu yang kita mahukan?
Kasih ketika kaya dan sayang ketika berada?
Berapa lamakah pula ia akan bertahan?

Kasih-sayang adalah lembah rasa yang sangat luas. Airnya cukup jernih dan boleh digunakan untuk apa sahaja. Ia adalah air yang mempunyai keajaiban untuk apa sahaja. APA SAHAJA tentang naluri hati dan jiwa. Ia adalah sebahagian dari rasa yang mencukupkan rasa cinta. Cinta pula adalah gabungan dari kasih-sayang yang AMAT-AMAT terperinci dalamnya. Anugerah Allah SWT dari kuasa-Nya yang tidak terjangkau oleh akal kita manusia biasa.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat, Dia menurunkan satu rahmat daripada-Nya untuk manusia, jin, serangga dan binatang. Dengan satu rahmat itu mereka saling berkasih sayang. Dengan satu rahmat itu binatang buas mengasihi anaknya. Dia menangguhkan lagi kurniaan sembilan puluh sembilan rahmat, dengan itu Dia akan merahmati hamba-Nya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Kasih-sayang"
Ia bukan kata-kata.
Ia adalah panca-rasa.
Ia adalah rahmat Allah.
tapi ia perlu sentiasa diberikan cahaya.

Jika kita sekadar berkata, "Aku sayang padamu", itu belum menjadikan kata-kata itu kasih-sayang. Itu hanyalah sekadar tajuk dari sebuah cerita. Untuk memiliki kasih-sayang itu, kita perlu mempunyai karangan hidup yang mengandungi pelbagai isi yang memadatkan banyak tindakkan kasih-sayang itu dengan sebenar-benarnya.

Di dalam "air" kasih-sayang ada penjana yang memberikan kasih-sayang itu 'cas' yang luar biasa.

Biar Raz sebut serba sedikit penjana-penjananya.
Yang pertama adalah "Keimanan". Punca kasih-sayang adalah dari Allah SWT. Tiada siapa yang dapat menafikan hal ini. Kita perlu mencari cahaya keimanan. Kita perlu bersungguh-sungguh mempercayai-Nya. Kita perlu akur dan patuh kepada-Nya. Kita perlu letakkan Allah SWT itu sebagai YANG PERTAMA dalam setiap perkara yang ingin kita mula. Kita perlu sujud kepada-Nya. Kita perlu yakin dan mengakui bahawa kita ini milik-Nya.

Yang kedua adalah "Keikhlasan." Maksudnya, memberi dan menerima tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan. Tanpa keikhlasan, keimanan yang kita cuba cari juga tidak akan dapat diasah dan diberikan cahaya yang sempurna. Keikhlasan itu sinonim dengan ketulusan dan keluhuran. Bila kita memberi, berilah kerana-Nya dan bila kita menerima sesuatu, terimalah kerana-Nya. Tiada rasa ragu atau pra-sangka terhadap apa yang telah ditakdirkan Allah untuk kita.

Yang ketiga pula adalah "Keperihatinan.". Ini adalah sumber keselamatan nurani dan naluri. Ia mencangkupi rasa simpati, ambil berat dan kasihan. Kita perlu jaga apa yang kita miliki. Mustahil rasa kasih-sayang kita akan sempurna tanpa keperihatinan. Tanpa keperihatinan, kita seperti membina kezaliman rohani. Bolehlah ia digambarkan seperti memberi harapan terhadap orang yang sakit, tetapi tidak memberinya ubat bagi menyembuhkan penyakit.

Raz letakkan "Kesediaan" sebagai perkara keempat. Pasang surut kehidupan sentiasa ada. Sesekali, kita akan dipukul ombak dan kita mungkin akan berada di putaran bawah yang membuatkan kita dipijak dugaan. Dunia ini penuh dengan fitnah dan pancaroba. Kesediaan diri kita secara mental dan fizikal amat diperlukan. Menghadapankan keberanian menerima segalanya dengan penuh kesediaan. Bila jatuh, kita berupaya bangun dan bila kita di puncak bahagia, kita mampu seimbangkannya. Kesediaan kita menerima kekurangan dan kelebihan kehidupan dan diri dengan bijaksana adalah penting. Dalam kata lain, kita perlu bersiap-siaga membiasakan diri dengan apa sahaja dugaan dalam kasih-sayang.

Yang kelima adalah "Kepercayaan dan keyakinan." Bila jalan yang kita lalui dalam hidup ini, sudah kita rasakan berada di landasan yang benar dan diredhai Ilahi, bulatkanlah keyakinan kita di situ. Tebalkanlah kepercayaan kita kepada apa yang telah ditetapkan Allah dan percayalah pada diri kita sendiri. Cubalah untuk perkasa dengan keyakinan kita. Percaya pada doa kita. Yakin terus pada Kuasa Yang Maha Esa.

Puncak segala penjana untuk kasih-sayang yang indah adalah yang keenam ini, iaitu "Kesabaran." Kesabaran sukar digenggam dan dilaksanakan oleh kita jika kita tidak tekad dan bersungguh. Sebab itu Allah berikan pahala yang amat besar bagi kita yang mampu melaksanakan kesabaran. Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tentang kelemahan hamba-Nya yang bernama manusia. Sehingga pahala sabar itu, hanya Dialah yang Maha Berhak memutuskan sebanyak mana yang mahu diberi-Nya kepada kita yang bersabar. Untuk mencantikkan dan memperkukuhkan semua penjana kasih-sayang tersebut, melatih-tubi kesabaran adalah akar tunjang yang dapat menghakimi kejayaan kita di dalam segala tujuan. Bersabarlah kita dengan sepejalnya agar kita berjaya memperolehi kasih-sayang yang sejati malah beroleh kemuliaan yang disertakan kasih-sayang Allah SWT jua.

Ketujuh ialah "Kegembiraan." Carilah kegembiraan yang mampu mencetuskan kasih-sayang yang ceria. Ada tawa, senda dan ada ceria. Inilah bonus kasih-sayang yang indah. Jika tidak kasih-sayang yang cuba kita bina menjadi pucat dan pudar seri. Berikanlah sulaman yang bertalikan kegembiraan. Perindahkannya tanpa ada rasa pura-pura.

Kita perlu cari dan kaji kekurangan-kekurangan kita setiap masa mengikut kemampuan kita. Lalu kita tampungkan diruang-ruang kosong yang terbiar agar kasih-sayang kita dilebihkan dengan cahaya yang menyuluh seluruh kehidupan kita dan kehidupan mereka yang kita kasihi.

Sekadar pendapat dari sekecil pengalaman Raz. Wallua'lam.



Salam kasih, salam sayang dengan senyuman yang manis.



Raz.R
25.09.2011
“Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintai tandingan-tandingan Allah itu seperti mereka mencintai Allah, sedangkan orang yang beriman amat sangat kuat cintanya kepada Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 165)

Monday, September 12, 2011

Sekadar Puisi : Dalam Rindu Ku Berdoa



Mendayu rindu yang bertangkup di hujung kalbu
Resah ini membiaskan sendu yang beribu
tidak terbendung rasa hatiku memanggilmu
meskipun telah kudengar senandung kasihmu
semalam.. kasih bersahutan
kita sambut pelangi kegembiraan
Rindu..
masih mengetuk lagi
bagai setahun telah pergi
bergetar sayang, bergema biduk cinta

Tidak puas.. rindu itu masih terasa
dalam rindu ku berdoa..

Tuhan.. ku seru nama-Mu rendah sayu
biarkan rindu ini bersambut kerana-Mu
di titis embun-Mu semilir bayu-Mu
pada awan yang bergerak
pada langit yang membiru
dari suluh mentari-Mu
malam dengan bulan dan bintang-Mu
seluruh semesta-Mu
izinkan sekeliannya mendoakan
aku dan dia erat kerana-Mu
hingga nafas terhenti..



Raz.R
12.09.2011
Rindu Setebal Rasa.

Sunday, September 11, 2011

Dialog Luka Wanita : Allah Mahu Kita Tabah





"Kak, cuba tengok ni.. cantik tak?"

Su menunjukkan Raz sebuah kotak kecil berbentuk hati berwarna biru. Di dalamnya ada sebentuk cincin permata yang comel. Raz kehairanan.

"Eh.. cincin?! Cantik! Hai, Su.. takkanlah hang bertunang tak bagi tau akak kut?"

Su ketawa. Dia membiarkan Raz berteka-teki. Raz cuba menyarungkan cincin itu ke jari manis Raz. Agak longgar.

"Cincin yang Su simpan bertahun lamanya, Kak. Tidak pernah Su pakai. Cincin impian Su. Pemberian dia, tanda ikatan kami dulu."

Raz mengerutkan dahi. Dalam hati kecil Raz berkerut sekali. Rupanya ada sisa yang berbaki yang mengingatkan Su kepada kenangannya. Raz mendengus perlahan. Raz lihat wajah Su kelihatan biasa dan tenang. Dia merenung cincin tersebut bagai membaca cerita lalu di situ.

"Kenapa Su masih simpan? Kenapa tidak bagi balik saja? Su masih mengharap apa-apa lagi ka?"

Su tersenyum dan menggelengkan kepalanya perlahan. Senyumnya suram bagai awan berarak mendung.

"Memang Su pernah cuba memulangkannya, kak. Tapi, katanya, itu hak Su. Dia tidak mahu. Su pernah cuba untuk membuangnya ke laut, tetapi tak mampu, kak. Su cuba menjualnya, tapi tak jadi. Jadi, Su simpan tanpa pernah memakainya. Kadang-kadang Su genggam dan bawa bersama Su ke mana saja atas harapan Su boleh membuangnya di mana-mana. Su sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi kak. Cuma, Su tak tahu apa nak buat dengan cincin ni."

"Hemm.." Raz mengeluh. Akal berlegar-legar namun bertemu kebuntuan dan tidak temui jalan untuk membantu Su kali ini.

"Macam nilah Su.. Anggap saja cincin tu cincin biasa yang tidak ada apa-apa makna. Su pakailah kalau Su teringin nak pakai atau simpan ja buat hiasan lama. Jangan diingat lagi cerita Su tentang cincin ni. Kalau Su mampu menghadapi kewujudan cincin ini sudah tidak memberi makna pada Su, InsyaAllah.. Su sudah berjaya melawan ujian! Yang sudah tu, sudahkanlah Su.. Cuba fikir tentang kehidupan baru."

Su tersenyum lagi.

"Kehidupan baru, ya kak? Hemm.. baru-baru ini Su ada cuba terima seseorang, kak tau?"

Raz terpesona. Terkejut pun ada.

"Iya ka? Habeh tu? Apa cerita? Menjadi ka? Ce-citer, Ce-citer."
Desak Raz tidak sabar. Berita gembira yang mahu Raz dengar dari Su yang cuba melerai dan melepaskan kisah silamnya yang berdebu duka.

"Entahlah kak Raz. Terasa macam takut dikecewakan lagi. Nak terima, takut. Kalau tidak terima, sampai bila pula nak terus begini. Seram la kak Raz. Susah betul Su nak letak rasa percaya Su pada cinta lagi. Asyik rasa was-was sahaja. Macamana Su nak teruskan hubungan dengan perasaan yang sekejab mahu dan sekejab pula tak mahu nih?"

Raz mengangguk faham. Ya! Raz benar-benar faham. Bukan mudah bagi sebuah hati yang pernah kecewa dan terluka disia-siakan itu untuk melalui hidup barunya tanpa rasa pra-sangka. Raz sendiri pernah di tapak yang sama. Pengalaman mengajar kita belajar berhati-hati. Namun, dalam kita berhati-hati, kita takut dikejutkan dengan perasaan hancur yang berulang. Jadi, kita akan takut pada cubaan-cubaan yang kita cuba untuk memulihkan kehidupan kita. Natijah dari perasaan cinta sesama manusia yang banyak kekurangan. Jika berjaya, kebahagiaan dan nikmatnya amat selesa. Alhamdulillah. Apakala gagal penderitaannya berbekas untuk masa yang agak lama. Hati akan dibawa ngilu dan singkil dan bukan mudah untuk bertahan.

Raz mahu Su tidak takut untuk mencuba. Di dalam masa yang sama juga Raz tidak mahu Su gagal di dalam cubaannya. Jika Su gagal lagi, bermakna akan hitamlah seluruh kepercayaannya pada kehidupan. Jika Su gagal lagi, pegangannya terhadap diri sendiri akan mudah lumpuh. Tidak mudah bagi seorang wanita 'biasa' yang pernah menderita memulihkan kekuatannya dengan masa yang singkat melainkan dia benar-benar memiliki iman yang kuat. Untuk mendapatkan iman yang kuat juga memerlukan persediaan diri menangkis ujian yang juga kuat. Teringat Raz pada seorang kawan lama berbangsa asing yang membunuh dirinya kerana gagal dalam bercinta. Alahai, meremang bulu roma Raz ini. Bangkit rasa syukur di hati Raz mengenangkan Raz dan Su adalah muslimah. Sekurang-kurangnya agama menjadi pemangkin hati kami. Walau iman ini senipis kulit bawang, namun kembali pada Allah Subhanahuwata'ala masih tetap menjadi pilihan.

"Macam ni lah Su.. Kak Raz nak bercakap tentang hal ni lebih-lebih pun, siapalah Kak Raz ini untuk meramal masa hadapan sesiapa. Sedang kehidupan Kak Raz ini pun belum tentu baiknya. Apakata jika kita tawakkal saja pada Allah SWT? Memanglah kita takut untuk terima luka lagi lagi, tapi cuba Su fikir la kan.. kegagalan, kekecewaan, kesakitan dan penderitaan itu telah buat kita bertahan sampai sekarang. Mungkin, Allah sedang melatih kita, Su. Kak Raz lihat kawan-kawan Kak Raz yang telah mendirikan rumah-tangga pun lebih hebat dugaan mereka. Kita dilatih menerima semua rasa sulit dan susah ini, mungkin untuk menghadapi masa hadapan yang mungkin lebih sulit, Su. Kita perlu cuba. Kita perlu terus bertahan. Kita perlu terus tabah. Demi untuk mengubah diri kita yang banyak kelemahan ini. Anggap sahaja semua yang telah kita lalui adalah ilmu hidup yang cuba menjadikan kita insan yang diinginkan Tuhan. InsyaAllah. Mencuba untuk berubah, lebih baik dari diam, takut untuk berubah. Akhirnya hidup makin musnah dan Allah pun marah."

Su mengeluh dan Raz juga mengeluh. Astaghfirullahalazim..

"Macamana kalau kita tak kuat dan terpedaya lagi dengan semua ini, Kak Raz?"

Raz merenung mata Su, dalam dan tajam memberi sedikit harapan.

"Su, sayang.. Allah tidak zalim untuk terus membiarkan diri kita dizalami berkali-kali. Lebih-lebih lagi kalau kita serahkan kesungguhan hati kita pada-Nya. Kita terus baik pada-Nya. DIA akan LEBIH baik kepada kita. Dia beri, kita terima dengan redha. InsyaAllah, Su.. InsyaAllah."

Raz memberinya senyuman berbalut keyakinan walau di dalam hati Raz ada sedikit gangguan kegoyahan. Namun, Raz cuba kuatkan perkataan yang bermain di dalam hati agar terus teguh. "Untuk memberi kekuatan kepada orang lain, kita sendiri terlebih dahulu perlu kuat! Ya Allah! Kuatkan aku demi secebis kekuatan-Mu.. Amin.."





Raz.R
12.09.2011
Salam kasih, Salam kuat kerana Allah.
Sesungguhnya Allah Mahu Hamba-Nya tabah menghadapi musibah. Ingat, jika kita mengeratkan persahabatan kita dengan Allah, siapakah musuh kita yang berani cuba untuk mendekat? .. Senyum ya.. MMuahks.. !

Wednesday, September 7, 2011

Lidah Yang Tergigit .. Keruh Yang Terbuang



Bissmillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum.

"Sedangkan Lidah Lagi Tergigit."
Pepatah dari Allahyarham Seniman Agong P.Ramlee. Raz percaya ramai yang menyukai bidalan manis kata beliau. Benar, di dalam filemnya beliau mengkhususkan kisah rumah tangga. Namun ayat yang dibuahkan yang tidak lapok dek zaman itu berguna di dalam apa sahaja perhubungan. Beliau cuba memberitahu bahawa kita ini insan, yakni manusia biasa. Diceruk mana pun kita berada, kita tetap manusia yang bermisterikan kelemahan dan kekurangan. Penuh dengan kesilapan dan kealpaan.

"Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih."
Sebaris lagi pepatah beliau yang sering berkumandang. Ianya indah mengingatkan kita betapa perlunya kejernihan hati di dalam sesuatu jalinan kemanusiaan. Jalinan silaturahim. Atas sebab kelemahan dan kekurangan itulah maka kita perlu belajar mengenali erti kemaafaan. Boleh jadi hari ini, kita tidak bersalah. Adakah kita pasti yang kita akan terus tidak bersalah? Entah esok, entah lusa kita mungkin akan menjadi pesalah yang sebesarnya, kan? Kita tidak akan dapat meramal itu semua. Kita tidak akan pernah tahu ujian apa yang akan menimpa kita di masa akan datang. Justeru kita perlu bersedia untuk menerima kekeruhan dengan kemaafan dan mengembalikan kejernihan dengan segera bermaafan. Cantik sekali.

Petang tadi, Raz berbual dengan seorang sahabat Raz yang sangat baik, sangat Raz kasihi. Sedikit ilmu telah Raz perolehi daripadanya. Alhamdulillah, dia mengizinkan Raz kongsikan ilmunya diruangan kecil ini. Niat yang baik akan tetap menjadi baik. Mudah-mudahan apa yang disampaikan ini akan terus sampai ke hati kita semua sebagai halwa jiwa dalam membangunkan SILATURAHIM sesama kita. Amin. Moga Allah merahmati sahabat Raz itu dengan kebaikan yang banyak. Amin.

Katanya....

Terkadang..sebagai insan biasa, kita tak lepas dari salah dan silap,baik sengaja atau pun tidak,ada juga yang terluka dan ada yang gembira dan ada yang suka memendam rasa.

"Memaafkan adalah cara yang amat efektif bagi memelihara SIRATULRAHIM"

Kemaafan adalah tanda awal kasih kepada diri sendiri lalu berpautan terhadap individu,keluarga seterusnya masyarakat sekeliling.

Seorang Pak tua pernah berkata,

"Kita ini mesti berani memaafkan seseorang, sekalipun jika dalam masa yang sama dia masih mengulangi kesalahan yang sama, kita harus tetap memaafkannya."

"Hek-Eleh! Habis tu berapa kali kita nak kena memaafkan ni? Bukankah biasanya orang akan memaafkan sampai tiga kali saja? Jika dah lebih dari tiga kali buat salah?...alamat tiada maaf bagimu lah...!"kihkihkih (Alahai kesiannya)

Sebenarnya jika difikir- fikirkan kembali, apa yang Pak Tua katakan tadi ada benarnya! Untuk mampu kasih mengasihi, kita perlu mempunyai kemampuan untuk memaafkan yang lain. Tanyalah diri sendiri, adakah kita memiliki kemampuan tersebut?

Rasa kasih adalah "tindakan keputusan" dan memaafkan juga merupakan keputusan yang secara sedar dan bebas, ia perlu terus diamalkan supaya ikatan SIRATULRAHIM terus tumbuh. Jadi, sebaiknya latihlah diri kita untuk berani dan ikhlaskanlah hati!! Kita harus berani meMAAFkan. Rasa benci jangan sekali disimpan!!!

Jikalau mahu membuktikan keberanian kita, mulakanlah dengan cuba berani memaafkan.

Cubalah berusaha, berkorban dan berdoalah demi sebuah keMAAFan sekalipun kita mungkin memerlukan waktu,tenaga,kesabaran dan pengorbanan yang tidak sedikit. Sesungguhnya saat kita memutuskan untuk memaafkan seseorang, kita juga bebas dari emosi negatif. Ia juga adalah saat yang paling indah penuh kemuliaan.

Daripada kita tinggal berdendam dan menyalahkan orang lain demi untuk membela diri sendiri, ia hanya akan mengundang jalan pintas yang menyesatkan diri kita dengan orang yang disekeliling.

Majoritinya, sikap kita adalah susah atau sukar untuk meminta maaf. Ini adalah salah satu lambang kegoan diri.

Keegoan membuatkan kita cenderung untuk membela diri dan mempertahankan "harga diri" oleh itu tindakan minta maaf sering diiimejkan sama dengan merendahkan diri, memalukan atau mengakui kelemahan diri sendiri. Padahal,meminta maaf itu sangat penting dan sangat mulia. Apabila kita sudah melukakan orang lain, dengan kemaafan segera, luka yang sakit itu akan cepat sembuh. Jadi, kita yang melukai, kita jugalah yang perlu menyembuhkan.

Kebanyakan kita cuma menyesali perbuatan salahnya di dalam hati. Kesal di dalam hati mungkin baik, InsyaAllah.. tetapi, kata maaf yang diluahkan dari lidah yang ikhlas akan lebih Hebat andai kita berani mengucapkan ayat keramat "MAAFKAN SAYA". Pasti setidak- tidaknya kata maaf itu akan menyentuh naluri orang pernah kita sakiti. Jikapun ada sedikit kemarahan, tidak mustahil ada sedikit juga kelembutan hati untuk memaafkan.

Jadi, beranilah kita untuk memberanikan diri memohon maaf dan memberi kemaafan.

"Mai kita cuba..try..test?" Bermula dari sekarang belajar untuk memaafkan orang lain. Dengan cara itu, bekas luka batin dalam diri sendiri kita juga akan tertutup dan emosi kita pun akan mudah terkendali. Memaafkan orang lain, bererti kita juga memaafkan diri sendiri.

Tersenyum dan damailah buat kita yang berjaya setulus hati berkata, "Aku memaafkanmu... Sekalipun lidah tergigit, bersabarlah dan maafkanlah. Andai terasa yang keruh masih pekat, heningkanlah dan jernihkanlah ia dengan "MAAF" demi kebaikan silaturrahim sesama kita. WAllahu A’lamu bissowab

Janganlah sombong, janganlah ego kerana yang layak memiliki sombong dan ego itu hanya Allah SWT yang menciptakan dan memiliki apa yang kita rasa kita sedang memilikinya sekarang. Malulah pada Allah dan bersatulah kerana Allah.

Firman Allah SWT :
"Sesungguhnya kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya dan kepada kamilah mereka akan dikembalikan" [Surah Maryam ayat: 40]
Kita ini hanya hamba.. jadilah hamba yang sedar dirinya hamba.


Salam kasih, salam maaf, salam silaturrahim,

Raz.R
07.09.2011
Terima kasih sahabat.
Maafkanlah Raz andai
kehadiran Raz mengundang kesakitan.

Monday, September 5, 2011

Keajaiban Rasa




Bismillahirrahmanirrahmanirrahim..
Ya Allah! Sesekali rasa ini cukup indah.. terbawa hingga ke malam bagai titisan zam-zam yang membasahi tekak dengan segala kemujarabannya. Allahuakhbar!

Pada mulanya, Raz tidak ingin menulis tentang pengalaman yang Raz lalui hari ini. Raz ingin simpan sendiri. Biar ia menjadi kenangan peribadi dan disimpan untuk muhasabah diri. Namun, entah mengapa Raz bagai dijengah suruhan hati untuk memahatnya di sini sebagai sehelai lembaran sejarah hari ini yang mungkin boleh di baca oleh anak cucu Raz nanti sebagai 'mutiara jiwa' yang tidak seberapa tapi tersirat makna kecil terhadap hidup Raz. Sehari selembar kata, tidak mustahil suatu hari yang diizinkan nanti sebuku sejarah. Jikapun Raz mungkin tidak berpeluang memiliki anak cucu, tetapi InsyaAllah, sesungguhnya kuasa Allah akan membentur jalan yang berliku menjadi benar. Allah berkuasa atas segala-galanya.

Ketika Raz menaip barisan ayat ini, ketahuilah yang nafas Raz sedang setenang bayu laut yang nipis bersahaja bersama segaris senyuman beralas aman. MasyaAllah! Air mata yang tadi telah berhenti, kembali lagi. Air mata asyik! Air mata syukur.

Awal petang tadi, seperti biasa Raz melakukan tugasan luar pejabat. Melalui hari ini sebagaimana hari-hari bekerja yang biasa. Bertemu kalangan mereka yang biasa berhubung dengan tugas Raz.

Raz terpandang sebuah senyuman dari seseorang yang tidaklah seerat mana Raz kenali. Raz suka padanya. Raz selalu perhatikan kecantikan Allah yang ada pada dirinya. Raz singgah pada si pemilik senyuman itu dan memberikan dia senyuman Raz seperti biasa. Dia membalasnya. Raz renung senyumannya kali ini, sambil mengucapkan salam Aidilfitri dan kemaafan. Pelik! Senyumannya tidak seperti senyuman yang selalunya dilemparkan kepada Raz. Raz tergetus membaca senyumannya. Hati Raz berkata sendiri, " Senyum itu, senyum yang penuh keliru!"
Namun Raz diamkan saja. Melepasi Si pemilik senyuman tawar tadi dengan membuang wasangka. " Biarlah!" dan Raz pun berlalu meninggalkannya.

Malang sekali, langkah Raz terasa berat. Secara spontan Raz menulis secebis doa di sistem pesanan ringkas telefon bimbit dan terus menghantar pada si pemilik senyuman tadi. Secara sendirinya ia terjadi. Tapi Raz tahu, Allah bersama Raz. Dialah yang menggerakkannya.

Selang beberapa minit, satu deringan telefon dari si pemilik senyuman tadi menghubungi Raz dan katanya sambil menangis, "Macam mana Kak Raz tahu? Boleh saya jumpa dan peluk kak Raz sekarang?"

Dengan hati yang lapang dan penuh kesediaan Raz menerima pelawaannya. Sebenarnya Raz agak terkejut apabila dia berkata begitu. Namun, ada nikmat yang tidak dapat Raz bayangkan dengan kata-kata di situ. SILATURAHIM. Raz segera temui dia kembali dan kami berpelukkan tanpa silu walaupun agak ramai orang yang memandang.

Dia mula bercerita dan Raz menyediakan telinga dan hati mendengar keluh kesahnya. Walaupun sebelum ini kami tidaklah begitu mengenali antara satu sama lain. Saat Raz mendengar keluhannya, tercipta satu rasa indah. Mungkin itulah rasa yang muncul dari keajaiban rasa untuk membahagiakan orang lain tanpa meminta apa-apa. Subhanallah!

Diakhir perbualan kami, satu kata termaktub untuk silaturahim yang terjalin.. "Semua ini kerana Allah, kan kak Raz?" dan kata Raz.. "Ya, semua ni kerana Allah."

Alhamdulillah.. dari keajaiban rasa senyuman, sekalipun senyuman itu senyuman kekeliruan ia tetap menjalinkan sesuatu yang baik dan indah. Hati Raz mendoakan kelapangannya. Moga Allah memberinya lebih kekuatan menghadapi segala keresahan yang dilalui kini dengan pasrah dan tawakkal yang mendalam disamping berusaha memperbaiki apa yang harus dia perbaiki. Dia wanita solehah kerana itu Allah SWT menduganya begitu. Amin..

InsyaAllah, moga silaturahim kami makin tebal selepas ini. Amin.

Jangan lupa senyum ya? Dalam senyuman ada keajaiban!!!!


Salam kasih, salam sayang.
Raz.R
05.09.2011
MMuahks!

Sunday, September 4, 2011

Ahad Yang Penuh Cinta

Hari ini Raz bersendirian menjelajah ke beberapa tempat di daerah tanah kelahiran Raz. Melihat keajaiban indah dari alam ciptaan Ilahi. Raz jatuh cinta! Raz jatuh hati pada alam-Nya. Alhamdulillah. Raz tampalkan pandangan mata Raz untuk dikongsikan bersama semua.

Bicaraku pada air yang sedang mengalir
sopan lembut menyusur batu-batuan tenang
kataku, aku ingin selembut kesabaranmu
merempuh segala sampah dan reba
tanpa sebarang kata terus ke hulunya

Bicaraku pada laut yang menghempas pantai
syahdu berombak terus bertemu tanpa jemu
dan pantai tidak menangis dihempasmu
kataku, aku ingin setabahmu
biar dihempas jutaan kali
kamu tetap di situ menerima ombak
tanpa mengadu bidasan sakit ombakmu

Bicaraku pada sawah yang kehijauan
sejuk hati terlerai gundah dikesuraman
hijaumu kekadang berubah keemasan
namun masih menyediakan kebaikan
aku ingin sebaikmu memberi indah pada mata
memberi suapan pada insan
ulang dan berulang....


Salam kasih
Raz R
04.09.2011 @ 6 Syawal 1432
Ketika cintanya berlabuh pada alam
cinta itu kesampaian.

Assalamulaikum.. senyum ya?














Lakukan Yang Terbaik Hari Ini



Sungguh benar dalam hidup ini, kita tidak pernah tahu apa yang mungkin akan ditempah untuk masa hadapan kita. Tiada siapa yang tahu kecuali Yang Maha Mengetahui.

Kita mungkin telah merancang banyak perkara. Kita mungkin sedang cuba bina istana. Kita mungkin sedang rentangkan permaidani merah untuk hidup masa depan yang kita anggar kitalah yang bakal memijak langkahnya. Tapi, nyatanya kita tidak pernah tahu apakah kitalah itu yang akan menjadi pemunya terhadap apa yang kita cipta.

Selamat pagi burung!
Selamat pagi pokok!
Selamat pagi langit!
Selamat pagi angin!
Selamat pagi nafas!
Selamat pagi insan!
Selamat pagi senyum!

Hari ini, jika kita masih mampu melihat alam.. Bersyukurlah! SEBAB... Kita tak akan pernah tahu apa yang kita lihat hari ini dan adakah saat ini akan masih kelihatan pada keesokan harinya.

Untuk S.E.B.A.B inilah, buatlah.. buatlah apa yang kita rasa ingin kita buat hari ini sebaiknya. Buatlah! Buatlah sebesar perkara yang kita mampu melaluinya hari ini tanpa berlengah lagi dan dengan sesungguhnya... Hap! Jangan buat perkara yang buruk sudah ya? S.E.B.A.B, kita akan hidup sekali lagi suatu masa nanti setelah kita mati dan hidup disana tidak akan berganti mati lagi. Tidak akan dapat kita ulang untuk hidup lagi dan mengubah perkara buruk yang kita lakukan tau! Hidup kita akan berterusan di situ mengikut apa yang telah kita lakukan hari ini di bumi ini.

Nyatakan keinginan apa yang kita impikan hari ini dan usahakan sedaya yang kita berdaya.

Andai kita mempunyai hasrat untuk menyampaikan rasa kasih kita kepada seseorang yang kita sayang.. katakannya hari ini!! Cepat! SEBAB.. belum tentu dapat kita melafazkannya untuk hari esok.

Raz juga ingin lafazkan rasa kasih Raz hari ini.
untuk sahabat-sahabat Raz yang mengenali Raz, ketahuilah tiada sepicing dari hati Raz ini untuk menjurangkan persahabatan kita. Di manapun kalian berada, Raz sayangkan persahabatan kita. Hari ini, kesempatan yang Allah beri.. sembah dan doa Raz sentiasa berbunga untuk kalian. Jikapun esok tidak menjadi milik Raz, kasih sayang ini tetap milik kalian.. "I LOVE YOU" and "it's so much!"

Lakukan segalanya dengan usaha yang terbaik hari ini ya? Apa jua keadaan yang dilalui hari ini, jangan lupa Allah Subhanahuwata'ala ya?

Salam kasih, salam sayang dengan senyuman yang tiada tepian. Assalamulaikum. wbt.
MMuahhks!

Raz.R
04.09.2011
Subuh yang hening
hati yang bening kejernihan

Saturday, September 3, 2011

Sekadar Puisi : Bisik Marah Mengusik



Kala bisik marah mengusik..

Yang terlipat di dalam hati kadang sakit
banyak benar antagonis mengigit
sungguhpun yang ditelan terasa pahit
didaksinya ada nanah pedih terpalit
tenang, senyum dan diam usah mengungkit
ceritera beracun elakkan berjangkit

Kala bisik marah mengusik..

Kemudikan jiwa.. layarlah ke mana saja
dahulukan keyakinan, paculah taqwa
biar mansuh dendam yang cuba meraja
sejukkan marah, tenanglah bersahaja
semboyankan bidalan lama pujangga...

katanya..

“Janganlah marah jika orang lain tidak berubah
sebagaimana kita ingin dia berubah namun
marahlah dirimu yang masih belum berubah.”


lalu katanya lagi..

"Peganglah peribadi sendiri, lalu dunia berupaya dipegangmu."

Selongkarlah kemuliaan dalam kebaikan
nyahkan keburukan dalam lingkar kemanisan
carilah kebenaran dalam kebenaran
amalkan berterusan tak dijentik kepayahan
Biarlah diri tumbang..
tapi tumbangmu sebagai insan sebenar insan



Raz.R
Marah-marah Sabar..
Senyum ya? Salam kasih..

Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِى يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksud: Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergusti, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mengawal diri mereka ketika marah. (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 5, hlm. 2267, no. hadith: 5763)




Friday, September 2, 2011

Memapahmu Dengan Doa



Wahai sahabat..
Aku ini hanya sekerdil manusia
semiskin insan berkelana
tidak kumiliki sesuatu apa




Namun..


Kamu sering kuperhatikan
dalam kelu tidak bersuara
menyelami apa yang dirasa
dan saat ku fahami kamu berduka
aku hadir senyap memapahmu dengan doa..
agar rebahmu dibangunkan Allah semula.


Aku tidak berkuasa..
tapi
Aku ada Allah Yang Maha Kuasa!!!
Dengan-Nya boleh kupohon apa sahaja.




Raz.R
02.09.2011
Makna persahabatan
bukan dari kata yang diperhebatkan
tapi DOA yang berterusan hebatnya.
Senyumlah ya.. usah dipamit duka berlarutan.

Thursday, September 1, 2011

Sekadar Puisi : Rindukah Ini?



Lemah-lembut menghias hati
Kuncup gemalai semangat jati
ku tidak mengerti.. Rindukah ini?

Kata orang bila rindu datang
ada meronta bersarang-sarang
jiwa bagai mahu berperang.. Rindukah ini?

Andai benar ia rindu..
Ku suka rinduku itu..

Dalam rindu
telah teratur belaian sabar
terbalut resah yang mencabar
lidah berpautan nama-Mu Tuhan
menitis peluh rinduku dalam sebutanku..

"Tuhan,
jika inilah rindu..
izinkan rinduku terselit nama-Mu
agar dia juga begitu..
merindui aku kerana-Mu."

Rindukah ini?
dan.. rinduku ini juga milik-Mu

"Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata :'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' " -[Surah Al-Baqarah:155-156]

Ajaibnya..
Jika inilah rinduku..
Syukur..Rinduku telah berbalas..



Salam Rindu.
Raz.R
01.09.2011
La hawlawala Quwwatta illa billahh...





Sekadar Puisi : Bila Resah




Kenapa perlu bingung
apabila Allah tempatmu bergantung
Kenapa pula perlu resah
apabila Allah jua tempatmu berserah


Relakan ujian itu datang
dengan hati yang penuh pasrah
kesedihan tidak akan menjadi pengubah
terimalah kesulitan dan musibah
bagai nikmat untuk muhasabah


Kata Allah :
"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai di sisi Tuhanmu." [Surah : Al-Fajr: 27-28]


Lenyapkanlah bisikan goyah
meracun hidup menjadi payah
bertenanglah, sabarlah di kala susah
bila resah.. punca timbulnya barah
hidup akan sesak bertambah parah

Bergembiralah sedaya bolehmu
berhenti takut..
kerana takutmu kebanyakannya.. palsu.

Raz.R
01.09.2011