Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, June 17, 2025

Harta Dunia



اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Surut masa untuk menjengah di jurnal ini. Tidak diizinkan aktif menulis. Sibuk! Asyik sibuk dengan urusan dunia sehari-hari. Kadang tertanya entah apa yang disibukkan pun tak tahulah?

Hari ini rasa nak bercerita sikit. Baru-baru ini aku ada menziarahi kematian saudara terdekat. Mata terpancing dengan kisah dunia yang rakus dengan haloba dan tamak. Pelik dengan manusia ni, kan? Moga Allah lindungi kita daripada sikap mazmumah hendaknya. Aamiin.

Harta dunia direbut-rebut berdasarkan syariat al-kononnya. Semua yang ada sangkutan atas dasar ahli keluarga hadir menonjolkan muka berziarah. Alhamdulillah. Namun, ada yang menggerutu di jiwa ini. Geram mencubit rasa.

Mana taknya, sanak-saudara ini, waktu kita sakit, perlukan bantuan, pertolongan dan perhatian tidak ada yang sudi meluangkan waktu. Tidak ada pula yang nak mengaku bertanggung-jawab untuk ambil berat ketika kita sakit. Bila mati, jenazah sudah dikuburkan, hah mulalah yang datang menebalkan muka mengaku diri berhak menjadi tuan punya kepada sebahagian harta dunia yang arwah tinggalkan. Lebih mengecewakan apabila ada yang bergaduh-gaduh soal siapa yang berhak. Muak dan benci hatiku melihat drama-drama sedemikian.

Logiknya, sewaktu hidup perlu sepakat, saling membantu dan ambil tanggung-jawab menjaga si mati. Bukan hanya menagih harta ketika arwah telah tiada. Malu sungguh dengan sikap orang Islam yang macam ini. Ilmu diambil di bahagian yang dia perlukan. Sedangkan pada bahagian lain dipandang remeh dan ditinggalkan dengan sambil lewa sahaja. Memang muka tidak malu betul orang-orang yang macam tu kan?

Bila aku lalui pengalaman tersebut hati dirundung sedih sangat. Berdoa agar suatu masa ketika aku diambil Allah, biarlah harta-hartaku Allah takdirkan bagi urusan akhiratku. Semoga ada yang ikhlas mengambil tanggung-jawab menjadikan ia sumber untuk ku bawa sebagai suntikan pahala di akhirat kelak bagi meringankan azabku sebagai hamba yang banyak dosa ini. Harta si mati sepatutnyalah disedekahkan bagi si mati mendapat rahmat Allah. Astaghfirullah. Bantulah aku Ya Allah. Semoga kematianku husnulkhotimah. Kematian kalian juga. Aamiin.

Lahawlawalaquwwata illa billahil alliyil adziem..

Harta dunia memanglah penting untuk kelangsungan hidup, namun biarlah dipertimbangkan dengan jiwa yang penuh iman apakah kita ini layak menjilat harta orang lain setelah pemergian sekalipun kita ini ada pertalian. Lihat kepada usaha kita menjaga pertalian dengan arwah. Barulah muka kita yang kebulur harta itu tidak jatuh ke lembah busuk ketika menadah tangan menerima hak daripada orang lain. Usahlah tamak sehingga tidak lagi memandang kebaikan sehingga lupa diri.




Wallahu'alambissowab.

Jariah lebih utama.