Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, November 26, 2023

Berdoa Jangan Berduka.

Selalu kesedihan menarik hati kepada penulisan. Apalah puncanya. Tak tahulah...

Mungkin segala gumam emosi tersebut menyemarakkan idea di hati, kerana diam bersedih membuatkan jiwa menjadi dramatik, sensitif dan lebih memahami diri.

Ya, sedih.

Sama seperti titik-titik hujan saat ini. Renyai. Dingin. Cuma terasa amat retak apabila air mata tidak dapat menitis. Menakung menunggu pecah umpama empangan yang sarat dengan lebihan air bah!

Kadang-kadang hati tertanya. "Kenapa sedih? Allah sedang melihat. Allah Maha Tahu apa yang sesuai untukmu." Benar, cuma kita ini sangat lemah. Mungkin sedih inilah yang sedang mengecas semangat kita untuk bangkit. Bangun semula meneruskan apa yang wajar kita istiqamahkan untuk masa yang berbaki pada diri.

Syukur sahaja pada kesedihan yang dirasa. Ia adalah sentuhan Allah Taala jua. Berfikir. Bertenang. Kembalikan diri kepadaNya. Syukur sebab Allah izinkan hati yang ada sekarang ini tidak dilalaikan dengan dunia sorak ria yang menghadang akal daripada hidayahNya.

Bidalan selalu merujuk kepada usah membandingkan hidup kita dengan orang lain. Lapan puluh peratus tepat. Namun selebihnya itu ada baiknya juga bila kita buat perbandingan. Tentang betapa bertuahnya diri kita yang dilebihkan sesuatu daripada orang lain yang serba dhaif. Bandingan yang menjadi iktibar kepada kita. Apalah sangat kesedihan diri kita berbanding dengan ujian orang lain yang lebih dahsyat.

Okay. Dahlah! Tak baik bersedih lama.

Syukur sahaja kepada Allah untuk segala perkara. 

Semoga kehidupan kita yang penuh rahsia Allah ini disempurnakan dengan keindahan yang akan Allah kurniakan nanti.... 

Berdoa jangan Berduka.



Wednesday, November 22, 2023

Banyaknya Harapan

 Bismillahitawakkal tu alallah.

Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.

Sebagaimana pagi bersama terbitnya matahari yang cerah dan jendela dibuka mengizinkan suamnya meresap di mata terus ke dalam sukma, begitulah setiap hari ketika nafas diizinkan bangun lagi.

Entah berapa lama lagi nafas ini mengalir namun pengharapan terus menjambak mekar. Lagi dan lagi.

Banyak!

Terlalu banyak hati berharap.

Kepada Allah yang Maha Berkuasa Yang Mempunyai segalanya tentunya!

Pertama-tama sekali, harapan besar untuk diri sendiri. Seribu satu macam permintaan mendepa di dalam jiwa. Seterusnya terhadap orang-orang yang dikasihi untuk mereka ditadahkan segala yang baik. Kesihatan, rezeki, kebahagiaan dan ketenangan semuanya berkumpul di dalam.

Teruntuk untuk Masjidil Al-Aqsa, Palestine yang kini direbut hujan peluru, doa itu untuk kebebasan mereka Ya Allah! Sembuhkanlah mereka yang telah dikorbankan oleh makhluk-makhluk iblis yang terlupa kan nyawa mereka di genggaman yang Esa. Rakus dan zalim menjadikan alasan perang sebagai penebus maruah yang hilang. Betapa terlalu salah mereka itu.

Semoga ketabahan dan tauhid mereka tidak lumpuh dan semoga Allah sertakan kemenangan kepada mereka sepenuhnya. Ya Allah, bantulah.

Amin Ya Robbal Alamin...