Saban hari kita meniti ranjau hidup ini. Usia semakin meniti senja. Jasad turut menua. Semakin angka bertambah, semakin daya upaya menjadi lemah. Ada masa tidak berdaya. Mahu berehat sahaja, tidak ingin langsung fikirkan apa-apa. Tidak mahu lalui keserabutan harian yang sudah tentu mempengaruhi emosi.
Namun zaman semakin cergas mengatasi apa yang kita harapkan. Dahulu zaman kita, sekarang sudah jadi zaman generasi lain. Suasana sekeliling makin mencabar. Dugaan makin membesar.
Itulah kitaran hidup.
Selama mana masih ada nyawa, teruskan sahaja.
Kesimpulannya ada perkara yang melangkau kemampuan kita sebagai manusia. Kita hanya mampu berusaha sedaya diri namun segala keputusan nanti mungkin di luar keinginan dan kudrat kita. Semuanya adalah di dalam genggaman yang lebih BESAR daripada kuasa-Nya.
Harapan terhujung adalah doa yang penuh runcing di kalbu namun kemakbulanNya hanyalah penantian yang perlu digaul dengan sabar dan redha kiranya ia tidak menepati hasrat yang disasarkan.
Redha?
Tidak mudah juga. Sebab kita lemah. Kita sering diruntun emosi. Terkadang larut juga dengan aliran rasa yang menyentuh hati. Untuk tenang menerima segala yang tidak kita ingini dengan redha memaksa kita mengatasi jiwa yang lemah sedaya upaya.
Dengan bantuan Allah, pastinya. Dengan tidak berputus-asa akan rahmat dan hikmah di sebalik setiap agenda-Nya yang telah disusun-atur.
Contoh ketika kita dikurniakan sesuatu yang kita rasa pasti akan menjadi milik kita. Kita bahagia dan bersyukur dengan kurniaan tersebut, tup-tup ia hilang sekelip mata dan kita tidak dapat lagi meraihnya. Sengsara itu pasti. Pahit sudah tentu terasa, namun, mahu atau tidak, kembalilah kita kepada apa yang asas yang kita telah lama yakin dan percaya. Redha kepada takdirNya sekalipun kecewa dan sedih tanpa terlafaz kata. Lahawlawala quwwata illa billah.
~ "Rindu sangat. Ya Allah. Aku Redha..." ~