Melalui detik-detik bersama mak saat ini, mencabar hati. Mak yang tersayang, sentiasa perlu diberi sepenuh perhatian. Bukan senang bagi seorang wanita yang kehilangan satu-satunya cinta hati yang berpuluh-puluh tahun hidup bersama. Melalui hidupnya di kala badai, hujan atau musim-musim indah kehidupan. Segalanya berubah 360 darjah. Mahu atau tidak, terpaksa dia harungi perjalanan hidup yang berbeza. Kini, hanya dengan anak-anak.
Subhanallah. Hikmah.
Hikmah yang Allah bawa ke dalam hidupku. Sering pernah aku memikirkan bagaimana saatnya nanti ketika aku terpaksa meredah kesendirianku di masa hadapan. Pernah aku rungsing, andaikata keadaanku tidak lagi berdaya, siapa yang akan sudi bersamaku, menjaga aku seperti aku menjaga mak dan ayah. Pernah orang bertanya, apakah patut aku terus hidup begini?
Aku tidak ada jawapan untuk soalan-soalanku sendiri malah soalan orang lain juga. Sebab jawapan itu bukan milikku. Namun, apa adanya aku kini, itulah aku yang aku yang sekarang. Redha dan aku terima sedemikian keputusan Allah untukku. PilihanNya adalah pilihanku.
Ada orang cakap, aku tidak cuba berusaha. Tak mahu mencuba. Itu kata orang dan aku sudah masak dengan setiap anggapan orang. Aku tidak marah. Aku tidak mengeluh dengan pandangan orang. Itu sikap mereka. Tiada kaitan dengan aku. Apa yang mereka rasa tentang pandangan mereka tentang diriku, itu adalah keadaan hati mereka sendiri.
Takaburlah namanya andai aku memberitahu semua orang betapa jatuh-bangun usahaku. Tidak! Aku tidak perlu berkongsi dengan orang lain tentang kisahku yang terang. Aku letakkkan cerita hidupku kepada Allah yang Maha Pengasih Yang lebih Maha Mengetahui siapa aku. Cerita tentang usahaku, caraku, impianku dan bagaimana perjalanannya, ada yang kusenyapkan di dalam kantung hati sahaja. Bukan aku jenis yang sombong. Cuma, pengalaman mengajar aku bahawa pendengar yang baik sangat kurang. Penghukum terlalu banyak. Aku tidak bersedia untuk dihukum kerana kisahku yang tidak siapa pun fahami.
Sepeninggalan ayah. Aku belajar untuk meletakkan diri dalam rasa cukup dengan apa adanya. Hidup ini tidak lebih daripada suatu penantian. Sementara menunggu mati. Itu sahaja. Walaupun banyak lagi yang kita perlu terokai, banyak yang kita rasa ingin miliki, tetap semuanya akan kita tinggalkan.
Nikmat hidup sepenuhnya itu akan bersemarak keluar melalui rasa syukur dengan apa yang telah Allah rezekikan. Rezeki yang sebenar-benar rezeki hanyalah di akhirat kelak. Dunia ini hanyalah tempat untuk kita tuai amalan dan bawa hasilnya di akhirat kelak.
Semoga penantian kita ini adalah penantian yang berbaloi dan kita mendapat tempat yang Allah kurniakan kebahagiaan yang sejati di akhirat nanti. Amin. Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.