Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, March 21, 2021

Perli-memerli

Adat lidah berbahasa, bila sakit dijiwa. Tikam dengan kata-kata. Sindir menyindir, perli-memerli puaskan lega di hati. 

Benarlah lidah tidak tajam tapi boleh membawa mati. Mati kerana memendam rasa. 

Tiru orang berilmu, dilambung tinggi tidak membuatkan dia bangga diri. Dipuji harum kembang mewangi, tidak langsung mengharapkan dirinya perlu dinobatkan dengan dijulang, puji dan puja.

Bimbang Allah murka, mulut dikunci, lidah digari...

Astaghfirullah... Semoga kita sabar dan santun dalam berbicara. 

Rasulullah SAW orang yang paling berbudi lembut dalam kata-kata. Sesakit manapun hati kita, jangan kita pantulkan kembali sakit itu sebagai dendam kepada sesiapa.

Sayangi takdir akhirat kita.

Akan Berakhir Jua



Saat kita mengharungi sesuatu ujian, keperitan itu akan terasa sangat pahit dan menghiris. Pegang pada satu ini..,"Yang ini pun sementara sahaja.  Segala perkara akan berakhir jua"

Sabarlah. 

Tuesday, March 16, 2021

Masa Untuk Diri

 Kita ini manusia yang banyak lemahnya. 

Allahuma solliála sayyidina Muhammad. Waála ālissaiyyidina Muhammad.

Tipulah, jika kita tersenyum dan dalam hati tiada apa-apa yang kita rasa. 

Mungkin saat tersenyum itulah saat lara yang kita sembunyikan. Mungkin senyum itu jugalah ikhtiar kita untuk menghapuskan sisa-sisa kecundang yang kita pernah lalui.

Semua itu rahsia kita dengan Allah.


Masa.
Allah bahagikan masa untuk kita  dalam kadar yang sangat cantik. Alhamdulillah.
Pastinya dalam pembahagian masa itu, semuanya untuk kita merasai kebesaranNya.
Pada ruang masa yang Allah beri, kita perlu ambil sedikit untuk diri sendiri.
Sibuk dengan urusan dunia yang sentiasa mengalir. 
Selagi mana sihat, selagi mana mampu urusan dunia tak mampu kita habiskan.
Apakah kualiti masa yang kita habiskan itu bernilai?

Begitulah.
Takut-takut, bila tenaga sudah tiada, kesihatan diambil Allah kembali, masa untuk mengaut saat-saat bersama Allah tak lagi dapat dikecapi. 

Kita dan Allah adalah kita sendiri yang sebenar-benarnya.
Masa untuk diri.
Masa untuk tenang.

Semoga Allah izinkan masa kita berawal dengan rahmatNya, berakhir pun dengan redha dan barokahNya. Amin. 





MAK▬ ♥ Kekasih ayah

 


Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang.
Setiap kali aku meluahkan kata-kata berkaitan ayah atau mak, dadaku ini berdegup. Hati terasa terusik.
Jiwa sentiasa meranum dengan harapan dan doa.


Aku cuma ada mak.
Jika aku ada kuasa magis, hal yang pertama ingin aku lakukan, memberikan kesihatan dan kebahagiaan hati kepada mak. Lahawlawaquwwataillabillah.. Hanya Allah yang menggerakkan segala urusan semesta ini.


Mak adalah harta allahyarham ayah. Kekasih ayah.
Dari ayah mak belajar solat dan menghafal segala doá. Dia tidak pernah bersekolah. Tak pernah tahu membaca. Tapi, dia lancar mengingati semua yang ayah ajarkan. Segala zikir, segala ayat Al-Quran, ayahlah yang bertungkus lumus mempersiapkan mak. Alhamdulillah demikian dengan izin Allah . Ayahlah gurunya.
Jodoh adalah cerminan diri.
Jika seorang lelaki meninggalkan isteri yang solehah, Tabarakallah! Betapa bertuahnya dia.
Jika seorang suami membentuk isteri menjadi mulia, pahalanya sentiasa mengalir asbab dari kemuliaan dan keikhlasan doá dan cinta isterinya.
Rahmat  saliran cinta. Dari Allah jua segalanya. 

Aku lihat dengan mataku.
Aku rasa dengan hatiku. 

Selepas pemergian ayah, tumpuan aku dan adik-adik adalah mak. Amanat ayah. Ayah pernah berpesan untuk menjaga mak dengan sebaik-baiknya. Semasa ayah ada, beliau jaga mak seperti permaisuri. 
Aku tak mungkin dapat melaksanakannya sebagaimana ayah, namun aku berdoa agar aku dapat sedaya upaya membahagikan mak semampu diri. Moga Allah permudahkan untukku. Amin.

Senyuman mak adalah senyumanku.

Allahumma solliála sayyidina Muhammad Waála ãlisayyidina Muhammad
Semoga Allah rahmati sekelian ibu-bapa dgn kebahagiaan dunia dan akhirat. Āmīn...
Wallahua'lam bissowab.