Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, August 7, 2020

Apakah Layak Kita Menyombong?

Allah yang memberikan kita jasad dan roh.
Allah yang memberikan kita nafas.

Kita mengambil apa yang Allah berikan lalu kita berikan pula kepada orang lain.

Hak siapa?

Bukan hak kita pun segala sesuatu. Apakah layak kita untuk sombong?

Ya Allah, jadikan hatiku lembut dan tidak mendahului diriku di dalam sesuatu kerana Engkaulah Yang Maha Memberi Yang Maha Melindungi. Amin... Sollu AlaNabi.


Thursday, August 6, 2020

Cari Salah Sendiri, Jangan Menunding Jari

 

Cari Salah SendiriLahawlawala quwwata illa billahil aliyyil adziem...Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.

Berhujan di hati, tiada yang mengerti.
Beban digalas terasa berat sekali, siapa yang peduli?
Orang... Jika orang yang kita fikirkan, adakah benar dia memikirkan kita sebagaimana yang kita fikirkan?
Ada waktu, apa yang kita lalui, seringkali yang berat-berat, kita akan cuba buatkan hati tenang dan selesa dengan menyalahkan orang lain. Sebab, hal itu lebih mudah, dan itu boleh membuatkan kita rasa lega. 
Kita nampak kesalahan orang sebagai sesuatu yang meringankan beban diri kita tetapi sebenarnya terlalu banyak kesalahan diri kita yang perlu kita rungkaikan dan beban itu lebih ringan sekiranya kesalahan kita sendiri yang kita perbetulkan.


Kita dan Allah.
Tak dapat kita berbohong denganNya. Salah-silap, baik- buruk, aib kita semuanya tersimpan di dalam aturanNya. Hanyasanya kita sahaja yang menafikan sebanyaknya atas maksud untuk melindungi salah diri dan mengakui diri adalah yang terbaik. Walhal terlalu banyak yang sewajarnya kita akui, kita salah dan kita berdosa.

Kita akan berjumpa dengan Allah, nanti suatu masa, pasti Insha-Allah. Apa yang kita selindungkan selama ini, akan Allah londehkan satu persatu. Allah tidak akan buka kesalahan orang lain di hadapan kita tetapi Allah akan siapkan bukti-bukti kesalahan kita di hadapanNya. 

Keperluan apa untuk kita selalu menunding jari kepada orang lain, ketika mungkin salah-silap sesuatu perkara bertitik dari apa yang kita mulakan?

Wallahu'alambossowab..

Wednesday, August 5, 2020

Baik-baik menjaga kata

Bila melawat orang-orang sakit, jangan asyik ulang banyak kali bahawa sakit itu penghapus dosa kerana ayat penyata itu sebenarnya adalah peringatan untuk diri sendiri bukan untuk orang lain. Kena ingat, orang yang sedang sakit, emosinya tak stabil. Berikan kata kata yang menyenangkan hatinya, katakan sakit itu ujian Allah, itu tandanya Allah sayang dia dan doakan agar dia cepat sembuh. Kita pun jangan ingat diri kita ini tak akan sakit. Belajar dari ibrah yang diperlihatkan Allah.


Bila lawat kenalan ditimpa bencana, jangan cakap itu semua kifarah di atas dosa dia yang lepas, seolah kita yang tak ditimpa bencana tak ada dosa. Katakan semua tu ujian Allah, pasti ada hikmah di sebaliknya.


Bila jumpa pasangan yang dah lama berkahwin tapi tak punya cahayamata, jangan tanya bila nak dapat anak, jangan tanya merancang ke, sebab kita tak tahu betapa mereka mahukan anak tapi belum diizinkan Tuhan. Katakan bahawa Allah nak berikan yang terbaik untuk mereka. Jangan pula membangga-banggakan diri dengan anak-anak yang kita lahirkan kerana belum tentu anak itu akan bersama kita selamanya. Allah Maha Berkuasa.


Bila nampak orang yang dibenci ditimpa kesusahan, jangan kata padan muka sebab dulu buat aku, sebab mungkin dia dah sedar lama akan kesilapannya.


Jika nampak orang berlaku kejam, jangan kata tunggulah kifarah, apa kau buat hari ini, akan dibalas satu hari nanti sebab kita tak tahu apa punca dia berlaku sedemikian. Doakan agar dia berubah.


Kepada para suami, jangan suka-suki bergurau tentang kahwin lain, berhasrat untuk beristeri muda dan tunjuk hebat hak lelaki kepada isteri, apa lagi di hadapan orang lain. Isteri akan senyum kerana menjaga airmuka suami tapi siapa tahu hatinya tersentak, terguris. Suami akan berdosa kerana tidak menjaga hati isteri kerana menjaga hati adalah sebahagian daripada nafkah batin yang dipertanggung-jawabkan oleh suami.


Kepada para isteri, jangan kata boleh hidup tanpa suami kerana ada pendapatan sendiri kerana suamilah yang memegang restu ke atas isterinya.


Bila berjumpa dengan kenalan atau sesiapa yang masih belum berkahwin walaupun usia sudah lanjut, janganlah berkata mahupun sekadar gurauan tentang kelewatan perkahwinannya, seolah dia tak mahu berkahwin. Kita tak tahu bagaimana ikhtiarnya,mungkin bekali-kali gagal yang belum diizinkan Allah dan kita tak tahu bahawa entah berapa kali dia menangis setiap kali melihat kawan sebaya sudah bahagia bersama keluarga sendiri dan anak anak sedangkan dia masih menyendiri. Jangan cuba mempertikaikan dirinya dan membandingkan dia dan kita.Ingatlah bahawa, jodoh pertemuan adalah kuasa Allah. Boleh jadi Allah telah sediakan sesuatu yang lebih mulia untuknya yang tidak kita tahu.


Bila nampak orang kaya tapi tak mahu bersedekah, jangan kata dia kedekut sebab kita tak tahu mungkin dia bersedekah lebih dari kita tapi dia lebih suka membuatnya dalam keadaan yang orang tak nampak.


Bila nampak orang yang bekerja keras tapi duit tak pernah cukup, jangan kata rezekinya tak berkat kerana kita tak tahu betapa dia menjaga keberkatan rezeki dan pekerjaannya. Ingatlah, hanya Allah yg tahu rahsia segala rezeki dan keberkatan setiap hambaNya.


Bila nampak orang gemuk, janganlah bertanya samada dia tak diet ke, tak jaga makan ke, tak pandai jaga badan ke sebab dia mungkin tak berkesempatan untuk menjaga dirinya sendiri kerana sibuk menjaga keluarganya. Tak ada orang yang tak mahukan badan yang cantik. Katakan padanya jaga diri elok-elok, tak mengapa bertubuh besar asalkan dia sihat tanpa penyakit dan biarlah dia gembira tanpa susahkan orang lain.


Bila ada anak teman kita yang mendapat keputusan yang kurang elok, janganlah ditanya tak tuisyen ke, tak belajar ke, tak pantau anak kat rumah ke, sebab kita tak tahu suasana keluarganya. Tak ada ibu bapa yang nak lihat anaknya gagal. Katakan padanya tak pandai belajar tak semestinya tak pandai dalam kehidupan. Ingatkan padanya bahawa ramai orang yang terkenal dan berjaya hari ini adalah orang yang dulunya seringkali gagal dalam pelajaran.


Bila nampak orang tua yang diabaikan anak-anak, jangan pula kita kata dia tak didik anak anaknya dengan baik sebab kita tak tahu apa yang dah berlaku sebenarnya.


Bila nampak anak yang meninggalkan ibu-bapanya di rumah orang tua, janganlah kata itu anak yang derhaka sebab kita tak tahu mungkin itu adalah yang terbaik supaya ibubapa tidak terabai tatkala anak pergi bekerja.


Semua kata kata itu adalah untuk peringatan diri kita sendiri, bukan untuk dilemparkan kepada insan lain. Jangan sesekali samakan diri kita dengan orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jangan mengeji kerana kita tak duduk di tempat orang yang dikeji. Tak ada insan yang tak mahu hidupnya sempurna. Segalanya dengan izin Allah.


Jagalah lidah. kalau nak cakap, biar yang yang memberi kesan yang baik di dalam hati orang lain. Jangan berbawang atau bercili. Kalau tahu lidah kita tidak ada insurance, eloklah kita diam dan senyum sahaja.


Credit fb : Saiful Bahari