Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, January 29, 2020

Harga Sehampar Kasih


Selasa, 5 Muharam 1394 

Selalu percaya, Allah susun segalanya.
Selalu yakin bahawa usaha itu adalah dengan izin rahmatNya.
Kita bertemu dan dipertemukan dengan rahsia. 
Nilai sehampar pertemuan dan selayang kehilangan adalah benar ketentuan.

Kita mengharungi hidup. Siapa tahu tentang kita? Samada dalam gelap atau dalam cerah, cuma kita dan Allah. Pahit atau manis, senang atau susah, hari tetap berlalu seperti izinNya.

Apapun, hargai dan syukuri.
Paling penting harga sehampar kasih yang Allah kurniakan kita peluk dengan perjuangan. Kita usaha  dengan menjaga siapapun dan apapun yang hadir dengan bersungguh-sungguh. Jangan kita abaikan begitu sahaja sebab di sebalik apa yang kita rasa tiada itu, ada. Ada penjalinan antara kita dan Allah. Ada nilai yang terlalu bererti. Jangan beri alasan kerana kekurangan yang sedikit. Jangan kalah jikapun kita lemah. 

Kasih itu kekuatan!
Nilainya adalah perjuangan menghadapi rintangan!

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad. Semoga baik-baik segala perkara hingga pertemuan kita dengan Allah. Amin.




Tuesday, January 28, 2020

BETUL yang tidak betul


Prinsipku, lebih baik selalu rasa salah daripada selalu rasa diriku betul walaupun kadang-kadang yang betul mungkin aku.
Menjadi seorang yang sentiasa betul adalah impian manusia biasa yang ego. Memang semua manusia itu akan rasa gembira dan lazat dalam hati apabila pendapat atau keputusannya sentiasa betul. Namun, yang betul sebenarnya tidak seindah ayat yang kita sebut.

Berani kerana betul.
Jelasnya tak semua keberanian benar. Kadang-kadang sasarannya salah. Kita berani mengatakan kita betul walhal ada banyak perkara yang kita salah. Itulah perkara yang menakutkan apabila dianggap betul.

Betul kerana Allah dan agamaNya, itu wajar dan wajib. Yang menjadi persoalan kini, membetulkan rasa  dan membalutnya dengan agama. Itu betul yang sangat bahaya.

Rasa salah akan buat kita rasa rendah. Tidaklah rendah hingga boleh berada di bawah pijakkan kaki orang lain.  Maksudku disini rendah yang tidak menzalimi diri.
Rasa salah akan buat kita rasa berdosa.
Itu baik sebenarnya. Baik dari segi penyesalan untuk suatu perubahan supaya kita lekas bertaubat dan menyusun peribadi kembali memperbaiki diri.

Rasa betul, seringkali menjerumuskan kita di takat hati yang sombong. Bila selalu betul, kita tak pandai mengalah. Malah, kita takut menghadapi kejatuhan. Bila kita takut akan jatuh, kadang-kadang kita berusaha walaupun dengan cara yang salah untuk menegakkan benang yang basah. Yang tidak betul kita cuba tegakkan agar ia dirasakan betul.

Biasakan yang betul. Betulkan yang biasa. Jangan betulkan hal yang sememangnya nyata tidak betul.

Hihi... faham tak tu?
Moga Allah fahamkan. Amin...


Saturday, January 25, 2020

Terima kasih untuk segala pemberian

Buku yang dihadiahkan pada 10hb Januari 2020
Memang aku telah dipesan untuk tidak berterima kasih kepadanya, yang telah memberi.
Katanya dia ikhlas dan gembira bila dia dapat memberikan sesuatu kepada sesiapa. Itu membuatkan dia gembira. Alhamdulillah. Tiada timbal balas yang dapat menggantikan kebaikan. Aku hanya berdaya mendoakan kebahagiaan untuk hamba-hamba Allah yang baik ini.

Cuma, aku nak letak di sini sebagai ingatan untukku agar aku juga ikhlas berterima kasih dan mensyukuri adanya pemberian.
Takut-takut kalau nanti aku lupa. Usia semakin tua. Ingatan bukannya boleh kekal sangat. Sekurangnya di ruang ini tempat kegemaranku. Tempat aku menulis. Yang mungkin suatu masa nanti menjadi kenangan dan sejarah.
Pemberian 26 November 2018


Setiap pemberian adalah anugerah Allah. Setiap orang yang hadir dalam hidup kita adalah wasilah yang tetap mengajarkan sesuatu. Yang pasti, sesuatu yang seharusnya tetap mengingatkan kita kepada Allah.

Saturday, January 18, 2020

Fokus Untuk Bersihkan Hati ♥


Cantik kan gambar ni?
Nampak damai dan indah.
Benar, salah satu cara untuk kita mencernakan ketenangan adalah dengan memandang dan mensyukuri alam pemberian Allah. Mensyukuri nikmat pandangan mata yang Allah anugerahkan. Dengan melihat penciptaanNya bermakna, Dia-lah yang memberikan mata yang magis boleh melihat apa sahaja yang dicipta-Nya sekali gus menyatakan bahawa DIIRINYA ITU TERWUJUD DENGAN SEDIA ADA.
Cuma, kita manusia yang dijadikan serba-serbi lemah ini, kadang-kadang lupa, kadang-kadang lalai dengan perasaan yang kita rasa ia hadir dengan kehendak kita sendiri, dengan urusan kita sendiri. Sebab itu, kita sering gelisah dan tidak tenang. Menyatakan suasana diri, akibat dan rentak hidup kerana rasa yang kita rasa ia berlaku kerana apa yang berlaku di sekeliling adalah punca kita 'down'.

Rupa-rupanya, ketenangan diri itu tidak ada kena mengena pun dengan faktor keadaan sekeliling atau mungkin kemewahan hidup yang kita rasa kita perlu gapai. Ketenangan adalah keupayaan naluri untuk kita tidak berlebihan, sentiasa besederhana, menjaga minda dan hati.
Kita perlu mengawal dan melakarkan dengan aman apa yang ada di dalam hati dan minda. Apa jua keadaan, kita fokus kepada membersihkan akal dan hati kita daripada segala sesuatu yang mengotorkan atau mencemarkan jiwa.

Belajar bersabar ketika marah.
Belajar memaafkan ketika dilukai.
Belajar menyayangi pada saat hati melihat keburukan.
Belajar menghormati mengasihani setiap hina cercaan kerana boleh jadi yang hina itu kita sendiri.
Belajar melupakan ketika tidak dihargai.
Belajar untuk tidak peduli ketika ada yang membenci.
Belajar untuk melepaskan bilamana kita tahu sesuatu yang kita usahakan itu ternyata bukan untuk kita.
Belajar menjadi baik hati, rendah diri, ketikamana semua orang memandang kita lemah.
Belajar berdiam, bila tiada keperluan untuk berkata-kata.
Belajar menasihati dengan hati bersumberkan niat yang ikhlas dan menyejukkan hati yang lain.
Belajar jujur sekalipun kita tahu ia menyakitkan dan payah.
Belajar menjauhi apabila kita rasa sesuatu itu menjadi natijah yang buruk kepada semua.
Belajar tersenyum dan bersedekah sekalipun susah.
Belajar menggembirakan yang sedang bersedih atau terluka.

Belajar bahagia dengan apa adanya.
PALING PENTING, BELAJAR MENTAATI DAN MENCINTAI SEGALA SURUHAN ALLAH DAN MENJAUHI APA YANG DIBENCI-NYA.

Semua kita semua tenang. Amin. Sollahu'ala Sayyidina Muhammad Wa'ala Alisayyidina Muhammad.

Friday, January 17, 2020

Muhasabah Dan Berubah

Allahumma Solli'ala Sayyidina Muhammad.


Kehidupan ini tidak menjanjikan yang indah dan gembira sentiasa.
Kehidupan ini juga tidak membuatkan diri kita sentiasa berlaku baik.
Kadang-kadang kita beriman, dan kadang-kadang kita berdosa.
Namun, selagi Allah berikan nafas dan kudrat untuk kita memperbetulkan apa yang perlu, maka kita usahakanlah yang terbaik.

Fokuskan pada hal-hal yang terbaik yang kita rasa kita perlu lakukan hari ini.
Sekalipun kesedihan melanda, jangan biarkan ia menjadi penyakit dalam hati kita. Cuba cari bahagia dengan tidak membiarkan diri kita dipengaruhi suasana negatif yang cuba menjatuhkan kita.
Apa yang wajar kita lupa, maka padamkan dan lupakanlah. 
Apa yang wajar kita perbaiki, maka kita hadapi segala yang perlu diperbaiki itu sebaik mungkin.
Fokus kepada cinta!
Cintai diri kerana Allah.
Allah uji kita dengan kesilapan bukan untuk menjadikan kita ahli neraka. Kesilapan dan dosa adalah untuk kita lebih kenal pasti kasih-sayang Allah. Seberapa besarpun kesalahan dan dosa, Allah nak kita tahu bahawa Dia Maha Penyayang dan Pengampun. Muhasabah dan berubah!