Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, January 11, 2019

Jangan Jahat Hati

JAHAT HATI itu bagaimana?
Ia bermula dari niat yang salah kerana nafsu. Kita tidak senang hati melihat orang lain bahagia, selesa, gembira. Pada kita, kita yang sepatutnya punya hak bahagia melebihi orang lain. 
Di situ bermulalah jarum-jarum kata berunsur kebencian, dendam dan fitnah. Kekadang, sedar tak sedar, kita cuba mempengaruhi minda orang lain supaya saling berantakkan. Kita mula ceritakan keaiban seseorang dengan megah dan puas hatinya. Malah kita sanggup mengaibkan diri kita demi untuk membuatkan kebencian orang lain bergabung dengan persepsi kita.

Jahat hati sering bermula dengan rasa hampa, merana, terganggu sakit jiwa dan kecewa. Marah dengan sikap orang lain yang tidak memenuhi harapan kita. Puncanya, kekadang bukan daripada diri kita sendiri, tetapi dari individu atau suasana yang mengundang kocakkan emosi. Seolah hidup kita dirampas orang-orang tertentu. Dari sayang kepada benci. Dari setia kepada curang. Dari baik kepada khianat. Dari tulus bertukar dendam. Halus, senyap menyelinap ke dalam hati kita. Lantas kita mula bawa hati kita ke jalan fitnah. Akhirnya silaturrahim orang lain menjadi penuh dengan rasa sangsi dan buruk-sangka. Yang rapat menjadi renggang. Yang ikhlas, hilang percaya.Yang manis menjadi pahit.

Demi merebut sesuatu, kita mula bercerita agar cerita kita menjadi sesuatu yang padat dengan kesayuan yang terselit hasad. Kita cipta kesedihan agar orang yang menjadi target, menjadi percaya dan simpati lalu turut melekatkan rasa marah dan benci terhadap orang lain yang mungkin menjadi 'alat' pelepas geram dan cemburu kita.

Jangan jahat hati.
Hidup kita bukanlah di dunia semata.
Setiap saat perlakuan kita diperhatikan oleh malaikat-malaikat Allah. Tercatat segala perbuatan zahir dan batin kita. Kita akan kembali kepada Allah dan akan dibalas segala kejahatan tersebut dengan sesakit dan sedahsyat azab.

Jangan jahat hati.
Dosa kita mungkin tidak berbau di dunia namun, ada masa jika orang yang terkilan dan terasa hati dengan kita berdoa selaku hamba yang teraniaya, maka akan terbalas juga perlakuan kita itu 'tunai' di dunia ini.

Terima hakikat.
Kadang-kadang usaha kita, tidak tertakdir dengan kejayaan terhadap apa yang kita impikan. Terimalah hakikat bahawa Allah telah aturkan segala percaturan alam ini mengikut iradatNya. DIA Maha Bijaksana. jadikanlah diri kita hamba yang bakal kembali dengan hati yang bersih, suci dan mulia di sisiNya.

Kepada kita yang menjadi penyebab kepada dukalara dan sakit hati orang lain, berhati-hatilah dalam membuat sesuatu keputusan. Usah biar tindakkan kita membuatkan orang lain berasa dirinya dihampakan. Setiap ujian yang kita lalui sebenarnya berpunca daripada kelalaian kita sendiri. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Kitalah yang sering tersilap langkah dalam membuat pilihan atau keputusan.
Mendengar, biar terbuka dua telinga. Melihat biar diterangi tiga mata. Mata zahir dan mata rohani. Jangan kerana pentingkan diri kita sendiri, ada orang lain menjadi korban daripada kesilapan kita.

Sesungguhnya tempat kekal kita adalah akhirat. Oleh yang demikian, hati janganlah jahat.💖

Nauzubillahiminzalik.
Moga dipelihara hasutan syaitan yang direjam. Amin
Allahuma solli'ala sayyidina Muhammad. Lahawlawalaquwwataillabillah.