Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, October 31, 2017

Rindu Yang Memecah

Begitulah dikatakan hati.

Bila rindu menggamit,
Sayu menyiat pedih.
ada kalanya sendu merintih-rintih.


Seharusnya engkau tahu bersyukur,
kerana rindumu singgah kepada apa yg engkau miliki.
Sesiapa yang engkau rindu selalu hadir di depan matamu.


Ada, yang merindu 
Rindunya ibarat bayang²,
ada dalam tiada.


Engkau bahagia dgn rindumu,
Dia,hanya mengepil rindunya disudut
kalimah sebaknya di perenggan doa...
Pada saat rindunya mengetuk, kalbunya pecah!

Monday, October 30, 2017

Bagus Juga Bila Hati Terluka



Bagus juga bila terluka.

Kita mula kenal siapa diri kita di mata orang, di mata sendiri dan di pandangan Ilahi.
Aku tidak marahkan Allah, bila takdirku tidak seperti yang aku angan-angankan. Namun aku sangat marahkan manusia bila ada yang mensia-siakan kurniaan Allah sewenang-wenangnya. Takdir Allahkah itu? Allah berikan kita akal untuk memilih jalan takdir mereka sebelum menerima takdir sepenuhnya. Malangnya manusia mempergunakan Allah dan takdir untuk kepentingannya.

Apa nak buat. Nama pun manusia. Kekadang manusia boleh jadi malaikat atau lebih baik daripada malaikat dan kekadang juga boleh sahaja jadi iblis malah lebih jahat daripada iblis.

Hatiku menangis sebenarnya.
Cukup menangis kerana cuba memahami hakikat sifat manusia. Malah sikapku sendiri juga, seringkali aku hairankan. Allahu. Allah.

Subhanallah. 30.10.2017. Sengaja kucatatkan tarikh ini agar aku tidak lupa bahawa penghujung Oktober adalah saat dimana aku telah tamatkan semua rasa.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”(Al-Ra'd: 11)


Apa yang kita faham tentang takdir? Terus, cuba kita fahami firman yang Allah sebutkan di atas.




~Raz.R~
30.10.2017
(Sekadar cacatan senja yang tidak ada makna bagimu)



Wednesday, October 25, 2017

JUJUR itu indah❤

بسم الله الر حمن الر حيم

Bila berkata jujur, percayalah orang yang nak marah pun, tak jadi marahnya. Berbeza dengan sering berbohong. Makin kita berbohong, makin orang marah dan benci.


Kata mak, "Kalau nak kahwin, eloklah pastikan suami kita nanti bukan jenis yang suka "Auta". Kaki pembelit, kaki berbohong, kaki penipu. Bimbang kita tak boleh jadi isteri yang membahagiakan suami. Tak ada sakinah, mawaddah, rahmah dalam rumah-tangga. Sebab, kita akan selalu bersangka-sangka buruk terhadap suami kita. Orang perempuan, bila mula sedih dan pilu, berkemungkinan sampai hujung nyawa si suami pun, dia tetap mengungkit-ungkit. "

Benar juga seperti pesanan. Semuanya bermula daripada sikap pemimpin rumah-tangga. Bila kepala sudah senget, macamanalah badan nak betul. Jangan salahkan sesiapa nanti bila rumah-tangga tidak bahagia. Memaafkan itu mudah, tetapi untuk kembali percaya 100% setelah tertipu, bukan mudah. Kita kena hadap dan telan kata-kata sinis yang melukakan hati kita sendiri nanti.

Firman Allah SWT :

يـاَيـُّهَا الَّذِيـْنَ امَنُوا اتَّـقُوا اللهَ وَ قُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيـْدًا. يُصْلِحْ لَكُمْ اَعْمَالَكُمْ وَ يَغْفِرْلَكُمْ ذُنـُوْبَكُمْ، وَ مَنْ يُّـطِعِ اللهَ وَ رَسُوْلَه فَـقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا. الاحزاب:70-71

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. [Al-Ahzab : 70 – 71]

Perintah Allah ini juga melambangkan betapa beratnya tanggung-jawab kita melatih diri menjadi jujur. Kalau jujur ini bukan suatu kebaikan yang membawa keindahan dalam hidup dan peribadi kita, masakan Allah menyebutnya. Kita sahaja yang degil, yang merasakan jujur itu bukanlah keperluan. 

Teringat setiap kali saya kena marah dengan Boss, saya selalu cakap jujur bila saya terlupa. Mula-mula memang dia panas, tapi, panasnya tak lama. Dia akan terdiam bila saya cakap yang benar. Saya manusia biasa. Dari situ saya mula belajar walau macam mana keadaan pun, beranilah untuk jujur. Ikut kata yang Allah beri. Yakin kepada Allah. Insha-Allah, Allah bantu. Sama-samalah kita mengamalkannya ya. Tak guna baca Al-Qur'an hari-hari tetapi kandungannya kita abaikan.
Saya ingatkan diri saya terlebih dahulu dalam hal ini.


Sekian, 😊 tetiba mood untuk menulis datang. Hihihi...

Semoga Allah rahmati hidup kita sekelian dengan barokah cinta-Nya dan semoga Rasulullah SAW sebut nama kita untuk bersama baginda di alam sana nanti. 

Amin.

Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.

Tuesday, October 24, 2017

Akhirnya... begitulah tempatku.

Aku sudah letih mengheret tanggapan.
Amat berat kau tinggalkan.
Fitnah dan ancaman kutelan,
engkau tidak datang menggendongkan beban.
Semuanya kuhadap sendirian.
Dengan nafas yang Tuhan berikan,
sesekali timbul, adakalanya tenggelam.

Akhirnya... begitulah tempatku.
Jauh darimu.
Ingin atau tidak, begitulah aku, begitulah kamu.
Kau pedulikan aku?.... Tidak!
Kau kisahkan kesakitanku?.... Juga tidak!

Akhirnya..., begitulah tempatku.
Tempat yang tidak kau pentingkan.
Aku bukan tanggung-jawabmu.
Benarkah begitu?
Tanyalah hatimu.

Aku ketawa besar dengan setia.
Aku tatang kesetiaan bagai harta.
Kutakwilkan setiaku untuk apa.
Semakin lemah aku mendukungnya.
Sumbing sungguh hatiku.
Sudah tentu... begitulah tempatku.

Tempat yang engkau tidak pernah tahu.



(Raz.R)
24.10.2017
Sekadar mewarnakan kata, di dada usang laman usia.

Monday, October 23, 2017

Nasihat ku kepada hatiku sendiri



Bissmillahirrahmanirrohim..
Kita, jangan beri harapan indah. Bimbang nanti ada hati akan menderita musnah.
Kita, jangan terlajak melayan rasa, tak akan lama segala perkara di dalam dunia.
Kita, jangan cepat menghulur hati, kerana hati itu mahal sekali. Bila hati terluka, cukup sukar mengubatinya.

Begitulah... pengalaman membuatkan banyak perkara perlu kita perhalusi dengan hati-hati. Memang husnuzon itu perlu. Jangan bersangka buruk atas sesuatu yang kita tidak tahu. Namun tetap, berhati-hati itu perlu. Bersangka baik terhadap pencuri, maka kita yang akan rugi. Habis semua milik kita akan dicuri, termasuklah hati. Yang tinggal pada kita nanti hanya jasad yang mati.

Kita, sangsi rasa, biarlah sederhana sahaja. Hidup orang lain, jangan kita korek, jangan kita teka. Bukan kita yang menguruskan hidup orang lain tetapi Allah. Tidak percaya kepada Allah, bermakna kita mensyirikkan Allah. Jangan, itu dosa besar. 

Kita, jagalah hati sendiri. Itu dituntut Ilahi. Jangan hati itu dibuai kegilaan hasrat kita. Turutilah takdir Allah jua. Niat hati juga perlu dijaga, jangan kita membuta rasa. Bimbang, terlajak rasa, fitnah jadinya. 

Berusaha memang perlu, berdoa wajib selalu.
Bersabar itu sakit, namun pada akhirnya sabar itulah yang menjadi perawat kalbu.

Kita, mahukan Allah memberikan syurga tetapi malang sekali tindakkan kita selalu menyimpang ke gaung neraka. 

Tafakkurlah, fikirkan salah silap diri. Jangan kita hidup dengan menjahati sikap sendiri. Berusahalah memperbaiki apa yang belum putih di hati sendiri. Kuatlah hati ke arah yang Allah suka.

Semoga Allah golongkan kita di kalangan orang-orang yang benar-benar menjaga iman dan diredhai Allah. Amin.
Allahumma solli'ala Sayyidina Muhammad.

Sekian,
He He He... Nasihat hatiku sendiri.