Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, November 26, 2015

Lawan Kecewa

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Kecewa...
Ya, kecewa sangat!
Sangat-sangat kecewa.


Gelodak hati yang mengganggu jiwa. Saya pernah melaluinya. Tak dapat dirungkai maksud sakitnya dengan kata-kata. Nak disebut pun tak akan mampu terluah.


Apa yang saya buat untuk mengubatnya?
Bukan senang..., tapi Insha-Allah semuanya boleh diajar dengan mengasah hati dengan melawan semua emosi tidak seimbang itu dengan memperbanyakkan tarbiah diri.


Bila saya baca kata-kata ini....,

"Dunia dan akhirat itu laksana timur dan barat. Apabila kita mendekati yang satu, maka pasti bertambah jauh dari yang lain. Atau seumpama bekas, yang satu penuh dan yang lainnya kosong. Sebanyak mana yang diambil dari yang berisi untuk dituangkan ke dalam yang kosong sampai penuh, maka demikianlah akan menjadi kosong yang berisi tadi."

Kemudian, saya terfikir, apakah pilihan saya? Dimana yang saya mahu penuhkan?

Kita kena lawan!

Lawan peranan syaitan yang tak jemu cuba menjerumuskan kita ke arah yang menjauhi Tuhan.

Ya, adakalanya kita sangat lemah, itu fitrah kita manusia. Bila 'down' sahaja, rasa macam dah taknak lagi buat apa-apa. Rasa macam hidup sudah tidak bermakna.

Tapi bangkitkan ayat tanya banyak-banyak di dalam hati sendiri.

"Kalau aku macam ni, apa yang aku dapat?"

"Kalau aku 'down', ada orang lain peduli. Ada orang kisah? Siapa yang teruk?"


Ingat kubur. Ingat ibadah kita yang masih belum cukup. Ingat amalan kita yang masih umpama dangau yang menanti roboh. Kalau kita kecewa dengan harta, ia tidak pun akan kita bawa bersama untuk kita bersenang-lenang di akhirat kelak. Begitu juga kalau kita kecewa dengan manusia, mereka pun tidak akan menemani kita bila kita bergelap di liang lahad.

Dah! Sudah-sudahlah membazir air mata dan masa berangan dengan sesuatu yang tidak pun kekal bersama kita.


Cari Allah!
Allah akan datang tersangat dekat!









26.11.2015
Raz.R.
Tulus menyayangi, redha seadanya.

Monday, November 9, 2015

KELEBIHAN MEMILIKI ANAK PEREMPUAN...


بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Suka untuk saya kongsikan nota ini untuk tatapan bersama, agar masyarakat sentiasa memelihara wanita atau anak-anak perempuan kita dengan sebaik-baiknya. Janganlah mereka dipersia-siakan atau dipergunakan demi sesuatu kepentingan samada nafsu atau harta dunia. Sesungguhnya mereka lebih tinggi nilainya di sisi Allah Ta'ala. Sempurnakanlah tanggung-jawab kita sebagai khalifah Allah yang diwajibkan memimpin semuanya ke jalan kebaikan. 

Ajarkanlah setiap lelaki menghormati hak dan melindungi wanita dan anak-anak perempuan dengan penuh ketaqwaan.



Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud,
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,
lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”


Seorang lelaki bertanya,
“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda,
“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata,
“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab,
“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)


Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)


Daripada Aisyah r.a.,
dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)


Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa.
Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud,
“Takutlah kamu kepada Allah s.w.t dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita.”

Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan mereka dan juga isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah s.w.t.

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua,?
menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan?
Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja.
Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya.
Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.
Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar,
tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka,
Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.