"Indah hati, indahlah kata".
Tersirat maksudnya.
Hati bila dijaga sebaiknya, sudah tentu akan lahir banyak kebaikan. Itu sudah pasti.
Namun, itu tidak melabelkan bahawa orang yang berkata buruk itu, hatinya tidak indah. Sebab kita kita tidak dapat menilai hati orang. Baik-buruk yang ada di dalam hati hanya Allah dan empunya diri saja yang kenal. Insya Allah. Kekadang yang empunya diri pun masih belum kenal dirinya sendiri.
Kadang-kadang, orang yang lidahnya agak pedas dan runcing itu tidak juga sepatutnya digelar 'jahat'. Mungkin dia cuma tidak suka melihat kejahatan. Justeru itulah lidahnya sedikit beracun. Dia lebih telus bersuara. Lebih jernih dan lantang. Kitalah yang perlu bijak menilainya dari persepsi hati yang baik agar hal yang kita nampak buruk itu menjadi kebaikan secara logika.
Namun, yang tetap baik dan nampak santun dan berhemah itu adalah dari sikap dan kata-kata yg baik. Ia merupakan latihan dan amalan untuk diri berusaha menjadi baik.
'Alah bisa, tegal biasa.' Kita, apabila membiasakan sesuatu yang baik, lama kelamaan kebaikan itu akan menjadi peribadi. Apabila menjadi peribadi, maka beratlah kita untuk mengubahnya menjadi yang sebaliknya. Spontan kita akan menjadi 'tidak pandai' lagi untuk menjurus ke arah yang tidak baik. Insya Allah, ameen.
Kadang-kadang pula, orang yang lidahnya manis, memuji dan memuja belum tentu memiliki hati yang baik. Sebabnya, dia menutup kejahatan hatinya. Padahal niat sebenar adalah menagih populariti atau menyindir atau juga punya kepentingan diri yang lain.
Apa-apa pun kesimpulan bagi setiap perkara adalah, yang dapat mengimbangkan diri seseorang manusia itu tetap pada niat, keikhlasan hatinya bila menilai sesuatu hal dan akalnya yang mencorakkan segalanya yang dilihat, didengar, disentuh menjadi acuan yang bagaimana.
Jika tidak menjadi kesilapan(Betulkan jika Raz salah), Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabatnya berpura-pura yang maksudnya.."Menangislah kalian dari rasa takut kepada Allah, kalau kalian tidak bisa menangis maka berpura-puralah kalian menangis!”
Baginda menyuruh kita berpura-pura menangis ketika membaca al-Qur'an. Kenapa? Untuk menimbulkan kebaikan dan kesungguhan kepada hati agar menjadi baik. Bersikap baik itu amat perlu sekalipun kita harus menggunakannya secara berpura-pura. Tetapi janganlah pula digunakan sikap pura-pura itu kepada orang lain dengan tujuan yang zalim. Ya, itu sudah menjadi amalan syaitan. Berpura-puralah menjadi baik itu untuk diri sendiri.
Kita manusia biasa yang hanya sekadar hamba-Nya dan sebagai hamba yang ingin membuktikan ketaatan kepada-Nya, memang wajarnya terus berusaha menyempurnakan diri ke arah yang lebih baik dari sebelumnya walau apa cara untuk mengindahkan hati sebagaimana kata.
Wallahu'alam. Salam kasih kerana Allah. Moga berbahagia selalu. Ameen.
Senyum..Terima kasih kerana sudi membaca catatan yang tidak seindahnya.