Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, May 21, 2013

Kalau Aku Mati



Kalau aku mati
Apakah aku mati dipuji
ataukah aku mati dikeji?

Kalau aku mati
Siapa yang datang memberi
Sedekah tulus dari hati
Mendoakan dengan murni
Al-fatihah ikhlas nan suci
Ataukah hanya memerhati?
dengan kepuraan simpati

Kalau aku mati
Akankah aku diingati?
Atau aku terus saja dilupai
Bagaikan bangkai yang sunyi
Tiada rindu mengintai insani

Kalau aku mati
Berat manakah bekalku nanti
Amalkah yang mengisi
atau dosa yang memenuhi
Layakkah aku diampuni?
Redhakah diri di sisi Ilahi

Kalau aku mati...
Kalau aku mati...
Kalau aku mati...
Ah! Dimanakah rohku nanti??


Daripada Abu Qatadah bin Rabi' ra menceritakan bahawa suatu ketika, satu jenazah lalu di hadapan Rasulullah s.a.w lalu Baginda bersabda, "Senang dan menyenangkan." Lalu, para sahabat bertanya, "Apakah maksud ucapan tuan itu ya Rasulullah?" dan jawab Baginda, "Apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka dia telah senang (istirehat) dari kesusahan dunia. Dan apabila seorang jahat yang meninggal, maka dia menyenangkan (mengistirehatkan) seluruh hamba Allah, seluruh negeri, pohon-pohon dan binatang daripada kejahatannya."- Riwayat Bukhari.

Senyum dengan air mata..

Thursday, May 16, 2013

Apalah Salahnya Berangan-angan?


Raz percaya...
Semua orang ada angan-angan. Malah orang gila pun ada angan-angan dan orang sakit pun punya angan-angan! 
Walau mungkin angan-angan itu bagai bahan ketawa sesetengah orang yang mungkin menganggap ia adalah kosong dan khayal, cuba selami di sebalik angan-angan itu ada apa? Bukankah disebalik angan-angan itu ada harapan, kesabaran, kekuatan hati dan impian? 

Bila ada yang bercerita tentang angan-angannya kepada Raz, simpul senyum singgah di bibir. Tidak langsung Raz mengutuk atau memandang hina, tetapi Raz lebih suka mendoakan angan-angannya menjadi kenyataan. Apabila seseorang itu berangan, Insya Allah, dia akan cuba mengumpul usaha.
Yang silapnya tentang angan-angan hanyalah apabila ia bersenandung tanpa berikhtiar apa-apa. Itu kosong.

Ada orang, di dalam diam dia berangan-angan ingin menjadi kaya. Apa salahnya? Itu harapannya untuk menjanakan usaha. Lain orang pula berangan-angan untuk menjadi seorang puteri. Tidak juga mustahil kan? Sebab, mungkin saja dia berusaha melaksanakan sesuatu sehingga dia menjadi 'Puteri' di mata orang-orang tertentu. Ingat, "Tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia nampak di usaha."

Kebanyakan orang pula mengangankan sebuah cinta yang sempurna. Pun, apalah salahnya? Manalah tahu suatu hari, dengan izin Allah Ta'ala, dia dipertemukan oleh cinta yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa. Walau cinta itu tidak sempurna di mata orang lain, jika ianya cukup sempurna di hatinya sendiri, sempurnalah juga namanya. Jodoh, rezeki, ajal dan maut itu kehendak Allah di dalam perancangan-Nya yang bijaksana. Beranganlah! Silakan! Tetapi dengan usaha yang tidak putus, hati yang tidak diragut putus asa dan doa yang tidak pernah mati! Insya Allah, Allah Maha mengasihi. Allah juga Maha Pemberi. Ameen..

Salam sayang berulaskan senyuman. Jaga diri ingat Allah selalu!

Sunday, May 5, 2013

Kelemahan Itu Kekuatan


Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan sebingkai harapan dan doa, semoga kita semua tidak kira siapa dan dimana sahaja berada, semoga di bawah payung perlindungan Allah dengan keimanan yang kukuh hingga bercerai jasad dan nyawa. Ameen, Subhanallah, ameen Ya Robbal 'Alamin.

Senyum untuk semua yang singgah membaca. Selingan syukur dan terima kasih. Walau tenaga terasa kurang dan cuaca diri diragut gering, namun Raz terasa rindu ingin merakamkan leteran Raz di sini. Alhamdulillah, kudrat yang diberi Allah diizinkan jua.
Sakit itu indah. Sakit itu sentuhan kasih-sayang Allah. Walau sakit itu sebahagian daripada ujian manusia tetapi dengan sakitlah kita melalui ilmu mengenali ajal yang hampir kepada kita setiap saat tanpa kita tahu. Moga sakit itu lebih memberi kehebatan kepada kita menajamkan iman di dalam jiwa. Insya Allah. Ameen.

Sudah namanya kita ini manusia insani sebagai makhluk terpilih dan terbaik, pasti hidup insan akan disulami dengan makalah ujian atau dugaan yang silih berganti. Setiap individu dicabar Allah SWT dengan pelbagai cara yang berbeza ragamnya. Malahan para Rasul, Nabi, Ambia' dan ulamak juga tidak terlepas daripada ujian. Ujian mereka ini lebih hebat daripada kita. Namun mereka menjadikan ujian dan dugaan sebagai alasan untuk terus taat dan setia kepada Allah sambil menagih redha-Nya, sedang kita banyak mengeluh dan menjadikan ujian sebagai bebanan sehingga kita lupa dan ingkar. Na'uzubillahiminzalik.

Sifat lemah serta serba kekurangan yang ada dalam diri kita tidak sepatutnya dijadikan batu tanda untuk kita membungkam mematikan hasrat tanpa berbuat sesuatu untuk memperbaiki diri. Kita sering cepat mengalah sebelum berjuang dengan menyalahgunakan dalil, bahawa kelemahan kejadian manusia itu menjadi punca kepada kejatuhan diri untuk memperjuangkan hidup. Malah kita membiarkan diri kita lemah daripada yakin dan percaya kepada Agama dan kuasa Allah SWT.

Yang sebenarnya, kerana sebab kelemahan insan inilah yang menjadi tunggak atau akar atau senjata diri supaya kita memahami ketidaksempurnaan diri dan bersedia dengan kekuatan Allah Ta'ala melalui doa tanpa ragu. Namun kita telah tersilap mengolah lemah itu sebagai lemah semata-mata, walhal kerana lemahlah maka seseorang insan itu merusaha mengenal di mana letaknya kuat. Subhanallah..!

Yakinlah kita bahawa setiap sesuatu yang berlaku yang ditakdirkan oleh Ilahi itu telah dibukakan sumber-sumber hikmah dan hidayah. Tidak perlulah kita mempersoalkan tindakan Allah SWT dalam setiap aturan-Nya. Setiap dugaan yang kita rasa membuntukan pasti akan diselitkan jalan yang terbuka untuk kita hampir kepada suatu keputusan yang baik, Insya Allah. Ada anugerah-Nya di celah-celah segala dugaan.
Siapakah yang paling kenal mengenai kita (hamba-Nya) melainkan Maha Pencipta? Jawapannya tidak lain hanyalah ALLAH!

Raz berpesan kepada diri sendiri yang juga lemah dan tidak berdaya sebagaimana manusia yang lain di bumi, bahawasanya dugaan yang kita harungi bersama mengasah iman sebagai bekal serta penyerahan tawakkal yang bulat kepada Allah itu pasti di hujungnya membuahkan hasil yang berharga. 

Tidaklah manusia sesama manusia biasa layak untuk mengadili tahap kesempurnaan dan kekuatan hati melainkan semuanya adalah hak-milik Allah semata.

Lepaskan segala yang sulit dan dhaif yang tidak terdaya kita sebagai insan untuk harungi itu kepada Allah Yang Maha Bijaksana dan Berkuasa. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah berusaha sejauh yang terdaya, lalu bersabar dengan setebalnya serta manfaatkan zat doa yang dibekalkan oleh Allah melalui lidah Rasul-Nya dengan sebaik-baik cara. Insya Allah, segalanya akan baik-baik sahaja. Ameen.

Ingatkan diri bahawa, kelemahan itulah sebenar-benarnya kekuatan!

Salam kasih dengan senyum dari Raz kerana Allah Ta'ala. Moga sejahteralah Muslimin dan Muslimat di bumi Allah ini. Ameen. Wallahu a'lam bissowab.


~Raz.R~
05.05.2013- Hari Mengundi
Senyummmm...Undilah ke arah kemuliaan nurani.

Nota untuk adik tersayang : "Kakak Kuat Untuk Adik!"

Saturday, May 4, 2013

Lahar Kasih

Ketika terasa jiwa dalam kesukaran, ulangilah doa ini sebanyak mungkin.

Meringkuk di kepulauan rasa
Antara tangis dan tawa
Hati galak melayani belahan jiwa
Waraskah diri di buahan nikmat
Asyikkah angan mengarang hikayat
Memercik letusan cinta
Lahar kasih membuak di dada
Gilakah hati mengenderai ingin
Tak kendur digoncang ujian
Tak tegang disentap lara
Lembah kalbu melimpah hasrat
Tika tinta memuntahkan isi 
Berombak luahan sepi menipiskan jati
Ilahi Robbi.. 
Paterikan semangat ini bermaya kembali..

"... Allah, Dia-lah yang menciptakan kamu  daripada keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan kamu sesudah lemah itu menjadi kuat, kemudian dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu menjadi lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Perkasa..." [ Surah ar-Rum:54]

~Raz.R~
03:13:00 petang
Senyum.. Jangan terbawa susah hati.