Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, March 29, 2013

Hati Yang Sederhana



Bissmillahirrahmanirrahim
      Menyusup sepi di dada malam dengan sedikit rasa kegundahan. Dia mengenang kembali perasaan dan hasratnya sendiri. Telah lama impiannya tertutup kerana memperjudikan kudratnya bagi memenuhi impian mereka yang disayanginya. Tiada matlamat yang tertumpu pada persoalan apa atau bagaimana keperluan hidupnya seharian atau bagaimana kisah masa hadapannya nanti. Segalanya telah lama dikorbankan demi untuk membuka ruang impian orang lain tercapai.

    Sedikit kegagalan dari gumpalan pengorbanannya malam ini membuatkan air matanya melerai jatuh. Rabak, sayu dan pilu. Sisa-sisa hidup yang berbaki terasa lelah dan tidak keruan ketika hasrat untuk melihat kejayaan orang yang disayanginya lumpuh di tengah jalan. Dia mula mengira titis-titis peluhnya yang jatuh namun tidak ada harganya. Dia mula terasa usia dan  masa hidup yang pernah dikorbankannya bertukar menjadi sia-sia.
Dia mula bertanya di dalam dirinya sendiri, "Sampai bilakah harus aku begini?" dan yang lebih sedih di sanubarinya sendiri,"Apakah tidak layak diriku mengecapi bahagia, teruji sepanjang masa?"

Kecilnya hati. Terkilannya jiwa. Harapan yang menggunung runtuh bagai digegar gempa. Ranap ditimbus kecewa. Parah melayani usikan lara. "Allahu Robbi! Kenapa keterlaluan wahai hati?" Jemarinya menyentuh lembut dada yang sesak. 

 “…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).

Bila saja dia merenung Firman Allah tersebut, dia mendoakan pengertian untuk hikmah yang terlindung. Dia memaksa dirinya bertafakkur. Dia memaksa hatinya kembali sederhana. Diucapnya kalimah "Aku berlindung daripada syaitan yang direjam" berkali-kali.

Kita banyak meredah pelbagai kesulitan semata-mata untuk memenuhkan ruang kosong yang kita sangka dapat kita isi dengan bahagia yang ingin kita ukir dengan segenap angan-angan yang indah-indah belaka tetapi sebenarnya makin cuba kita isi, makin ia terasa hanyut di dalam lautan tandus dan gersang.

Sedang 'BAHAGIA' itu yang kita harapkan itu ada dalam 'KESEDERHANAAN'. Hati kita sangat sederhana. Tidak ia dapat menerima yang terlalu berat. Tidak juga dapat ia menimbang hal yang amat ringan.

Apabila kita bersedia dan berupaya menerima segala hal yang diberikan kehidupan kita ini dengan ikhlas dan bertindak ikhlas dalam segala urusan, itulah bahagia yang sejati. Tidak perlu kita terlalu menekan kehendak diri. Sederhanakan hati. Jujurlah dalam kesederhanaan dan redha akan bertunas dengan subur. Insya Allah, selepas itu kita akan 'terbiasa' dengan 'ALHAMDULILLAH, ALLAH!'



~Raz.R~
♥ Sederhanakan Hati
Maaf.  Izinkan diri untuk Se^__^nyum dan Senyap seketika.






Sunday, March 17, 2013

"Cukup! Jangan Fikir Lagi."


Bismillahirrahmanirrahim..
Sayup matanya meniti gulungan ombak, menyaksikan lembut air yang menari. Termanggu sendiri. Dagunya ditongkat jemari. Diam mengikat lidah. Lelah menyingkir serabutnya benak.

"Ya Allah, tetapkanlah hatiku untuk tetap taat kepada-Mu. Buatkan aku mengerti ujian-Mu, Ya Robbana."


Bisikan itulah yang terlantun berkali-kali.
Dia lebih banyak bermonolog sendiri. Selalu diingatkan hati, "Orang yang baik selalu diuji." Diulangnya lagi dan lagi. Semoga segala kehendak diri dan hati tidak melumpurkan imannya dengan noda dari bisikan-bisikan syaitan.

Ya, ketika kita terlalu banyak sangat berfikir itu dan ini, kita akan diganggu bisikan syaitan. Semasa akal dan hati sibuk mencari jawapan untuk sesuatu persoalan, syaitan juga sibuk menyucuk dengan jawapan-jawapannya yang menjuruskan kita ke arah melemahkan iman. Sesekali, bila ada soalan yang tidak dapat kita temui jawapan, hentikanlah dahulu membuat andaian atau merimaskan fikiran dengan memaksa berfikir dan terus berfikir. Cantas dahulu sebentar. Lakukanlah hal yang lain tanpa membazirkan masa memikirkan akan hal yang sama yang tiada jawapannya. InsyaAllah, kekadang jawapan untuk suatu persoalan datang dengan sendirinya.

Bila dia berfikir sedemikian, dikembalikannya segalanya kepada Yang Mentakdirkan segala persoalan. "Cukup! Jangan fikir lagi!", katanya. Dia kembali tenang. 

Raz.R
Se^_^nyum sejujur hati.

Sunday, March 10, 2013

Sabar Di dalam Sabar


Betapa aku melihat dia cekal menghadapi kutukan dan celaan. Jikalau dia mahu, dia boleh membuktikan dengan senang bahawa kata-kata mereka itu salah terhadap dirinya. Pun didiamkan sahaja. Bila ditanya mengapa tidak saja dibalas kata-kata keji maki yang diterima? Jawapan yang diberi hanya senyum dan diam. Setidaknya dia boleh membalas dengan hal yang seimbang. Biar pengumpat atau pengeji itu sedar yang mereka sebenarnya adalah manusia yang busuk dan punya hati yang sakit dan hanyir!

Malah, kulihat dia tetap terus baik terhadap musuh-musuhnya. Bahkan dia tidak cemas untuk membantu di dalam hal-hal yang mereka tidak mampu tanpa bersungut tentang kata-kata hina dan kesat yang pernah dilemparkan kepadanya. Bagai tiada dendam yang disimpan, tiada benci yang diperam. Dia tidak malu untuk memberi seadanya diri. Dia juga tidak lokek untuk menyapa dan memberi salam walau tiada yang teringin untuk menyambut salamnya. Aku lihat dia seperti memperbodohkan dirinya. Dia menghulur diri kepada musuh-musuhnya sendiri! Aku juga turut sakit hati dengan keletahnya. Bukan benci, tetapi marah. Kenapa tidak dia biarkan sahaja mereka itu di dalam kesusahan, sedangkan ketika dulu dia menghadapi penderitaannya tiada yang datang mendampingi. Tidak sedikit pun dibalasnya dengan kata-kata marah. Tidak dia memenangkan dirinya saat dia tahu dia mampu menang. Dia tetap mengalah.

Suatu hari, ketika di sisinya aku cuba bertanya kenapa dia menganiaya dirinya sendiri. Dia menggelengkan kepala sambil tersenyum dan katanya,

"Bukan menzalimi diri. Sekadar memperbaiki kelemahan diri. Manusia yang baik itu, bukanlah semata-mata melakukan perkara-perkara yang baik di dalam hidupnya. Ada masanya kita tidak perlu membalas apa jua kata-kata nista orang, cukuplah dengan memaafkan. Sebab dari kata-kata nista orang itulah Allah mengajar kita tentang sabar yang sebenar. Bukanlah juga orang yang baik itu seharusnya berada di tempat-tempat yang baik, malah yang menjadikan dirinya sebenar-benar baik adalah dia tetap mampu dan boleh menjadi manusia yang baik sekalipun berada di dalam suasana yang tidak baik. Saya sekadar berusaha untuk menjadi manusia yang dipelihara oleh Allah Ta'ala. Jika saya berjaya, Alhamdulillah. Jika tidak, mudah-mudahan, Allah berikan saya taufiq dan hidayah-Nya untuk terus berusaha lagi."

Lalu dia menghulurkan aku sebuah nota yang ditulis di dalam buku catatan hariannya. Sesuatu yang membuatkan diriku terpesona. Subhanallah! Dia telah benar-benar berjaya! Semoga Allah mengabulkan doa-doanya. Amin. Dalam catatan tersebut tertulis,
 
→"Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur. (Imam Syafi'e)"

→"Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya. (Imam Syafi'e)

Aku ingin mencontohi apa yang telah dicontohinya. Sesungguhnya dia memiliki kesabaran yang besar. Di dalam sabar yang dipegangnya, terkepil satu lagi lapisan sabar yang membuatkan dia berani menghadapi segalanya tanpa gentar! Astaghfirullah. La ilaha illallah! Muhammadurrasulullah!


~Raz.R~
Se^__^nyum
Sekadar bercerita, mencipta vitamin jiwa.
Sabar di dalam sabar.

Friday, March 8, 2013

Sedarkan Diri!


Kita banyak melihat dan menuduh tetapi kita jarang sangat memahami dan mendekati. Tidak banyak hati-hati yang benar-benar akur di atas kehendak hidup. Tidak banyak hati yang lebih suka menyedarkan diri sendiri namun sangat banyak hati yang suka melihat kesalahan dan gembira mencari kegagalan hidup orang lain sebagai bahan menyeronokkan dan perencah hilai tawa. 

Sedarkah kita bahawa hati kita terlalu banyak menyimpan hasad? Sehingga kita lupa menoleh keburukan diri sendiri tetapi enak menganggap dan menjatuhkan hukuman ke atas keburukan orang lain.
Kenapa tidak kita mula menilai pengorbanan dan usaha kita terlebih dahulu sebelum kita mabuk menilai yang lain. Ketahuilah, kita tidak akan dapat mengubah sesuatu yang kita lihat buruk selagi kita sendiri tidak memulakan langkah untuk membuat sesuatu hal itu menjadi baik.

Sedar-sedarkanlah diri terlebih dahulu sebelum singgah menyedarkan suasana yang lain. Tafakkur itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah!

~Raz.R~
Senyum di hari yang amat sibuk!
Tenang meniti gelagat.. InsyaAllah..Dengan Nama Allah, diri berserah!