Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, November 30, 2012

Kifarat



Cebisan koyak yang terbuku ini
Terperlus dalam sekali
Tak mengharap dimengerti
Terbungkus tebal di hati

Walau rindu kian melusuh
Semarak kasih tak lulur jatuh

Hemm..., sejukkanlah jiwa
Mungkin ini calitan kifarat
Laluan kisah di denai-denai lama


Raz.R
01.12.2012
(12:30:00 AM)
Se^__^nyum

• Dari kalam-Nya:
→"Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, Maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang"(Surah Al-Maedah :55-56)
 

Tuesday, November 27, 2012

Pengorbanan Yang Dilupa



Wanita itu kurniaan Allah yang  terindah dan terpenting di dunia, tapi banyak perjuangan dan pengorbanan wanita kadang-kadang tidak di ketahui kebanyakan lelaki.

Justeru kerana mereka itu lelaki, tidak sama emosi dan nurani seperti wanita. Menjelaskan perasaan dengan kata sama sekali tidak akan sama dengan mengalami sesuatu perasaan. Semua orang bijak bercerita, tentang ini dan itu, begini dan begitu tetapi memahami dengan hati, mengerti dengan iman dan keikhlasan yang tulus, banyak yang gagal.

Antara pengorbanan wanita yang selalu dilupai lelaki:→

1. Ketika suami bernikah lagi, dan wanita sedaya upaya  berusaha menerima (di atas alasan kemampuan ekonomi, agama atau apa jua alasan pun), dia akan duduk bersendirian di setiap malam dalam gelap kamar saat suaminya tengah mendakap dan bercumbu mesra dengan seorang wanita lain di ranjang lain yang ternyata bukan dia. Dia mungkin saja akan menangis kerana terluka walaupun redha, tapi demi kasihnya kepada suami atau kebaikan anak-anak ia akan berusaha menerimanya dengan sabar.

Sedangkan lelaki, belum tentu akan dapat menerima kenyataan ketika keadaan yang sama melalui dirinya yakni membayangkan andai isterinya juga dicumbui lelaki yang lain selain dia. Pasti, si suami tidak tega menerimanya. Dan isteri memiliki kekuatan menghadapi kesakitan dengan pengorbanan yang sedemikian rupa.

2.Sebagai isteri adakalanya dia memendam segala impian dan rela mengorbankan impian-impiannya demi mengurus suami (yang kadang-kadang bersifat keanak-anakkan dan minta diurus) disamping anak-anak yang kian membesar dengan pelbagai karenah. Dia bersabar demi keduanya.

3.Ketika suami mengutuk tentang masakannya, dia akan bersusah payah belajar masak dari siapapun supaya dapat menghidangkan makanan dengan rasa terbaik pada suami dan anak-anaknya.

4. Dia bekerja 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Waktu kerjanya tidak berbatas. ia bangun ketika siapapun di rumah belum bangun, mulai bekerja, memasak,membersihkan rumah, mencuci pakaian, lalu mengurus suami sebelum pergi kerja, mengurus anak-anak untuk ke sekolah, ketika pakaian kering di jemuran ia akan mengangkatnya, dan menseterika dengan rapi.

5. Kemudian setelah begitu letih mengurus rumah tangga, malam giliran memenuhi segala hasrat suaminya. Mulianya seorang isteri adalah: tukang masak, tukang cuci, tukang jahit, babu, kilang anak dan wanita penghibur digabung jadi satu.

6. Bilamana suaminya ingin memiliki anak 4,5,6 atau 9 orang,  dia sebagai isteri  harus bersedia menderita mengandung anak dan bertarung nyawa melahirkan anak-anak suaminya. Suami mungkin tidak terlalu faham penderitaan dan kesakitan sebegini kerana mereka tidak mengalaminya.

7. Walaupun lelaki jarang memahami akan hal yang dirasai wanita , tapi Allah Maha Pencipta Maha Mengerti, sebab itulah DIA menyediakan ganjaran pada pengorbanan wanita. Bagi yang meninggal kerana melahirkan anak, Allah terus sahaja memberinya syurga tanpa dihisab. Bagi isteri yang setia bekerja mengurus rumah tangganya, dengan sabar dan ikhlas, maka Allah mempersilakan dia memasuki syurga dari mana-mana saja pintu yang dia suka.

Dan Allah juga Maha Tahu bahawa tidak ramai lelaki yang mampu memahami wanita sebaik-baiknya kerana itu Allah juga memberi ganjaran kepada mana-mana lelaki yang berjaya menjadikan dirinya berlemah-lembut dan bersikap yang paling baik kepada isteri dan keluarganya.

Renung-renungkanlah. Terlalu berkira akan kepentingan diri akan banyak mencacatkan keindahan hidup rumah-tangga yang sebenarnya. Sepakat dan muzakarah antara keluarga, masyarakat, teman atau juga di tempat kerja. Itulah yang mampu membina keteguhan ummah yang sebenar-benarnya.
Wallhua'lam.


~Raz.R~
27.11.2012
Hanya berkongsi
Ilmu adalah hak milik semesta yang perlu diterokai bersama,
bukan untuk individu yang menggunakan ilmu demi kepentingan nama, kepuasan dan harta.
Se ^__^nyum.





Saturday, November 17, 2012

Rindu Itu Tarbiah



Acapkali hati diuji rindu
Tertanya kenapalah ia begitu
 
Sangat benar rupanya
Bila kasih bercambah
Memori menjadi harta terindah
 
Di mata sering berulang-tayang
Di hati doa melayang-layang
Berjauhan bukan alasan
Walau tidak tertulis suratan
Segalanya takdir Tuhan
 
Diantara diri dan Ilahi
Rindu meluruh lagi
Panas, dingin dan hujan
Bagai musim berganti
Datang dan pergi
Fitrah azali insani
 
Rindu itu juga wasilah
Tarbiah dari ujian Allah
 

Raz.R
Se ^__^nyum
17.11.2012

~" Saat terjadi hal-hal yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta, jangan kecewa, marah apalagi mencemuh pada kejadian. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala ujian. Allah tidak pernah menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting."~ 

Wednesday, November 14, 2012

Senja Pergi, Sejarah Berganti

Bissmillahirrahmanirrahim..

Senja itu berlalu tanpa menantiku
Surut ditelan kekuning mega
Mentari pun mula menutup mata
Bagai melambai jauh
Menjanjikan kembali?
Tidak!
Bukanlah mentari senja itu kaya kuasa

Sehari sejarah telah tercipta
Esok, tak tentu muncul semula
Mungkin saja, aku telah tiada
Mentari senja menutup kitabnya
Menulis sejarah cinta dan taat setia
Kepada Sang Perkasa, Yang Maha Esa
Begitulah tahun, begitulah usia
Senja yang pergi, sejarah berganti

Tahun baru..
Awal dan akhir sebuah cinta
Ketika ayah mengimamkan doa
Dan ibu setia menadah tangannya
Sang puteri-puteri berteleku hiba
Menyambut 'Ameen' di hujung kalimah
Senandung Hati Al-Furqan bergema
Sujud sembah dalam jemaah
Sejarah baru tercipta
Babak pertama bermula bahagia
Semoga Allah mengampunkan dosa
Sepertimana berlalunya senja

Ameen Ya Robbal Alamin


~Raz.R~
Salam Ma'al Hijrah 1434H

29 Zulhijjah 1433H (14.11.2012)
~"Hiduplah seperti Muhammad dan matilah juga seperti Muhammad (s.a.w)"~
Se^__^nyum.

Pengembara Rindu

Bismillahirrahmanirrahim.. "A beautiful morning indeed! Woke up with smile and joy."

Setiap langkah dan detik kita dalam kehidupan ini adalah satu pengembaraan menuju Allah s.w.t.  Janganlah biarkan diri memburu esok yang tidak pasti kerana ia hanyalah fatamorgana yang menipu. Jangan juga sesali hari semalam dan meratap dendam kisahnya, kerana dengannya kita akan lemah dan tidak berani berdiri untuk mengindahkan hari ini dengan sebaik-baiknya! Jadikan hari ini kilauan yang sebenar-benarnya!

Tiap kali ingatan mengintai
Lintasan-lintasan usang semalam
Hati dituntun gersang kerinduan

Walau hanya bingkisan khayalan
Tiada bernama, berwarna atau berjasad
Rangkap-rangkap cerita
Memerah lembapan tangisan
Bercambah keriutan sayu

Hati terus menyusun untaian doa
Dalam sulam duka mahupun duka
Sedia mengizinkan bahagia
Untuk sesiapa yang tertambat di sukma
Detik kembara semakin pendek
Nyawa yang dikandung hanyalah membawa kasih
Membuang jauh segala selisih
Menjadi mukmin yang bersih

Ameen Ya Robbal Alamin


~Raz.R~
14.11.2012
08:08 pagi yang indah
Se^__^nyum

Sunday, November 11, 2012

Beginilah Hatiku


Hati yang cantik itu ibarat pembukaan mula sebuah gerbang yang terhias indah menyambut dan menerima segalanya dengan keikhlasan yang paling suci kepada Allah SWT. Ameen.

Bissmillahirrahmanirrahim

Menyusur di denai hijau
Menyegar subur sang rerumput
Bayu harum menyambut
Taman indah mempersilakan
Hati yang tega seikhlas pameran
Sesedap mata memandang
Selazat jiwa merasa

Beginilah hati yang ku doa
Dambaan sehayat yang ada
Membuka gerbang sentuhan harmoni
Tadahan luas silaturrahim
Menerima suka dan duka
Dengan jiwa 'kamilah'
Sepenuhnya 'rububiyah'
dan dunia tidak bisa
menempatkan hatiku punah

Ameen, Ya Allah!

~Raz.R~
11.11.2012
Firman Allah di dalam surah-Nya Al- Isra' di ayat 72 :
"Dan barangsiapa yang buta hatinya di dunia ini,
niscaya di akhirat ia akan lebih buta pula dan lebih tersesat dari jalan yang benar."
Se^__^nyum

Saturday, November 10, 2012

Sakit Cinta

"Ketika dia tidak endah untuk melukai kejujuranmu, maka pasti ada yang lain yang tidak teragak-agak untuk melukainya juga. Jangan bimbang akan tiba masanya, 'What you give, You get back!' "

Hati bila sudah terlekat dengan seketat cinta. Mana mungkin dapat dicungkil rasa semudah kata. Orang cakap, "Susah, wa cakap lu!".  Kita sudah terbiasa mengucap sayang, dibuai harapan dan menyayangi bukan sekadar dengan kata tetapi dengan jiwa. Sulit untuk membuangnya begitu sahaja. Sekalipun mungkin kebencian terbit daripada kesakitan akibat sebab-sebab perpisahan, ia tidak mudah hilang dari ingatan bagai menyapu sampah di halaman. Atau, ibarat hujan yang sekali datang, mengalirkan pergi segalanya dengan sepintas masa sahaja. Rasanya ramai yang setuju dengan pendapat ini.

Apatahan lagi, bila janji telah terikat dan perancangan telah dibuat. Sudah tentu perpisahan itu adalah hakikat sedih yang amat berat. Walau kisah telah hilang, namun memori akan sentiasa di bayangan kenangan. Bicara manis terngiang-ngiang di gegendangan. Pasti, ada alat yang akan menyentuh nostalgia mengingatkan kita kepada orang yang pernah kita cinta, bukan? Hendak-hendak jika orang yang kita kenal itu amat menepati ciri-ciri insan yang kita impikan. Perit untuk membuangnya dari kelopak jiwa.

Tidak mengapa. Tidak mengapa wahai kita yang pernah terluka, kecewa dan yang pernah berpisah. Allah SWT menurunkan penyakit bersama ubatnya. Termasuk dengan 'Sakit Cinta'. InsyaAllah, ubatnya adalah masa dan usia. Mungkin juga ubatnya adalah iktibar dari pengalaman yang kita terima. Allah sendiri telah berpesan awal-awal kepada kita, sesuatu yang kita temui baik pada sangkaan kita, belum tentu baik untuk kehidupan kita yang sebenar. Tiada siapa yang tahu bagaimana hidup kita di masa hadapan. Ajal maut, jodoh, pertemuan, perpisahan dan rezeki adalah di dalam rahsia Allah. Bukan sekadar itu sahaja, malah seluruh kehidupan ini adalah rahsianya. Kita tidak akan tahu apa-apa, melainkan semuanya adalah di dalam pegangan-Nya. DIA-lah yang Maha Mengetahui, Maha Ariff untuk apa sahaja jalan kehidupan kita.

Bagaimana kita dapat melupakan orang yang pernah memberi sinar kepada kita tersebut? Tak perlu melupakannya. Cukuplah sekadar menganggapnya sebagai pesanan Allah bahawa apa sahaja dalam hidup ini tidak pernah kekal. Sementara cuma. Jika tidak berpisah dalam keadaan hidup, ia akan terpisah juga nanti di dalam suasana mati. Atau anggap sahaja, kita ini bukanlah terbaik untuk hidup seseorang yang kita cinta itu atau dia bukanlah yang Allah takdirkan layak untuk disatukan dengan kita. Sebaik, semulia, sehebat mana pun manusia yang kita cinta itu, dia hanyalah manusia yang PASTI ada kelemahan yang masih belum tertonjol pada mata kita kerana kebutaan rasa yang kita pelihara  atau selindung tanpa sedar saat perhubungan kita dengannya.

Andai kata, yang memisahkan kita itu adalah dari kelemahan kita, anggap sahaja ia ikhtibar untuk kita mengasah akhlak diri agar lebih berhati-hati dan lebih baik untuk dipasangkan dengan yang lebih baik. Andai kata kelemahan itu daripada orang yang kita cinta, juga ambilkan ia ikhtibar, mungkin Allah cuba melindungi kita daripada anasir-anasir yang lebih buruk di kemudian hari. Bukankah Allah Maha Menyayangi lebih daripada kasih sayang ibu kita sendiri? Akurlah kita kepada kebijaksanaan Allah terhadap segala aturan-Nya untuk kita. Apakah yang terlebih baik dan cantik daripada pilihan-Nya?

Melupakan seseorang yang kita amat sayang di dalam masa terdekat, sukar. Berilah peluang kepada diri perlahan-lahan. Bertenang, ingat Allah setiap masa. Maafkanlah situasi atau tragedi yang terjadi. Maafkanlah orang yang menyakiti seikhlas hati. Bila kita maafkan segalanya, bermakna kita memaafkan segala ujian yang Allah beri. Makin kita memaafkan, makin akan kita faham bahawa Allah berhak mentarbiyah dan melatih kita menjadi hamba yang mendekati, memahami segala hikmah dalam ilmu-Nya. InsyaAllah. Di samping itu, kaji dan selidik serta perbaikilah amalan-amalan kita terhadap-Nya.

Sibukkanlah diri dengan mengenali kelemahan diri kita. Sibukkan diri dengan mengingat-ingat kebaikan Allah. Sibukkan diri juga dengan memaksa diri menambahkan ilmu pengetahuan agama. InsyaAllah, kita bukan sahaja akan lupa pada segala kecewa dan himpitan sakit cinta yang kita rasa, malahan kita akan mensyukuri kekecewaan yang kita lalui. Ameen. Wallahu'alam.


Salam kasih dengan senyuman
~Raz.R~
"Pahit jangan dibuang, manis jangan berlebihan."
~Se^__^nyum~

Friday, November 9, 2012

Damai Itu



Bila cinta kepada Allah itu bersemi di hati dengan jiwa yang tulus dan ikhlas, kekayaan akan diterima berupa kekayaan hati.


Bissmillahirrahmanirrahim..
Damai itu tidak dapat dikorek dalam timbunan harta.
Tidak juga dapat dibeli dengan drama yang penuh pura-pura.
Tidak akan tertulis dengan pujangga madah berbunga-bunga
Tidak berhimpun di lakaran kanvas gambar-gambar para jelita
Tidak hadir di kemeriahan pesta bercahaya
Tidak bersemi bagai dongeng cinta puteri dan puteranya

Jikapun ada seketika cuma, dan setelahnya itu kembali hampa
Hilang setelah tidak terpandang, ghaib setelah tak tersentuh
 
Damai itu...
Batin yang dipeluk aman
Hati yang dirangkul kekusyukkan
Jiwa nan sentosa tenteram mutmainnah
Suara yang rendah menyulam redha
Pancaindera yang bertingkah pasrah
Sujud, doa, amal tak terhenti 
Menyemai siddiq, amanah, tabliq, fathonah.
Kalimah yang bertitah sekata langkah yang bertapak
Di bumi dia hanyalah hamba, di langit dia dipuja
Dirinya bagai pohon subur syahadah
Tumbuhnya rendang, di pukul tak tumbang
Terbaik dan enak buahnya
Berisikan ranum kasih dan cinta
Hanya kepada Penguasa Alam Semesta, Tuan segala raja!
 
 
Raz.R
09.11.2012
~Se^__^nyum~
"Salam kasih di Jumaat yang indah
Solawat dan Salam kepada Kekasih Allah, Ya Rasulullah s.a.w
Semoga Allah membawa kita dalam pimpinan kasih-sayang-Nya sentiasa.
Ameen."



Monday, November 5, 2012

Sahabatku Sayang

Seharusnya kita sentiasa mencari dimana sudut redha dalam hati sendiri
La hawlawala quwwataillabillahiladzhiem

Sahabatku sayang,
Aku juga sepertimu
Kadang-kadang dibungkam perasaan.
Hidup tidak selalu dikejar keindahan.
Senyum tidak juga selalu berwangikan keriangan.
Iman tidak selalu penuh dengan ketenangan.
Sudah tentu, kekadang kering dan kontang
Fitrah kita insan biasa
Pahit getir diredah jua
Kesilapan pasti tercipta
Kelemahan di mana-mana

Sahabatku sayang,
Lingkaran itu sementara cuma
Termaktub di kalimah Allah Ta'ala
Kita hanya hamba
Sudah itu suratan-Nya
Tercipta dengan kepayahan
Tidaklah DIA mendera kita
Susah payah itulah cinta-Nya
Keperitan itulah pengenalan
Pengetahuan hamba tentang Tuhan

Sahabatku sayang,
Allah tidak berjanji, hamba-Nya tidak teruji
Namun, DIA telah berjanji akan terus di sisi
Selagi hamba-Nya mengingati
Dalam kesulitan, jalan dan hikmah diberi
Iman yang kukuh di hati
Akan lebih dicintai
Didikkan-Nya Maha Luas
Bagi kita yang bersabar dan mengerti

Sahabatku sayang,
Allah sentiasa membuka jalan
Bagi hamba yang memilih kebenaran



~Raz.R~
05.11.2012
'Dengan nama Allah Maha Pencipta Yang Maha Mengetahui yang tiada sesuatu pun seumpama-Nya dan DIA Maha Pembuka dan Maha Mengetahui.'
Se^__^nyum.

Saturday, November 3, 2012

Kepada-Mu sahaja




Tersedu-sedan
Mata merayap tiap tulisan
Menghayati tiap perkataan
Mukasurat imbauan silam
Tumpah menjurai linangan demi linangan

Bukanlah menyeru kekesalan
Bongkah dada disumbat terkilan
Sesekali datang seribu soalan
Dikendong berat tiada jawapan
Apakah itu kezaliman insan
Atau itu latih uji pilihan Tuhan?

Biarlah tangisan membasuh kenangan
Menyuci sekelian khilaf kedunguan
Kembali kepada-Nya menagih keampunan

Kepada-Mu sahaja, Ya Allah!
Kepada-Mu sahaja, Ya Robbi!


~Raz.R~
"Hiris bawang"

Se^__^nyum.
03.11.2012
(10:10 malam)

Thursday, November 1, 2012

Rindu Masih Bertandang

"Selitlah keindahan rindu di dalam sembah doamu. InsyaAllah lebih indah begitu."

Bissmillahirrahmanirrahim.
Entah mengapa
Rindu masih bertandang di dada
Di kocak pesona mimpi semalam
Muncul ibarat mainan
Dihujani wangian aman
Memendam perasaan
Sayup-sayup kejauhan
Gurau tawamu kedengaran
Entah mengapa
Amarah tidak pernah datang
Walau jiwa dilibas kehampaan
Janji terpatri kecundang
Kata diucap lakonan
Hati masih dibungkus kerinduan
Kemas, cantik, keasyikan
Rindu masih segar bertandang
Entah mengapa
Dalam setiap ucapan sujud
Nama itu terungkap senyap
Restu dan kasih diharap
Bertasbih di lapis-lapis doa
Moga yang dirindu bahagia
Sejahteralah kamu hendaknya


~Raz.R~
Sen^__^nyum
"Mungkin kerana cinta di dalam cinta-Nya"
Subhanallahiwabihamdih
Subhanallahiladziem 
01.11.2012