Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, August 31, 2012

Tiada Lagi Suara

Lelah menyusun rasa
Bongkah iman runtuh jua
Rebah dipukul hampa
Carik diguris kecewa
Tidak terucap kata-kata
Tiada lagi suara
Yang basah menyubur jiwa
Cinta melahirkan makna
dan makna itu adalah bahasa
Mana mungkin terlafaz kata
Pabila makna meninggalkan dirinya..

Raz.R


Tuesday, August 28, 2012

Genggam, usahlah lepas!


Bismillahirrahmanirrahim..
Angin..
Meniupkan diriku seribu ingin
Sukma dihangatkan rasa dingin
Membakar kebekuan rindu
Semakin hari dilanjut sayu
Memeluk resahku pilu
Berdebar tidak menentu
Ilahi, Robbi.. Hanya Engkaulah Yang Tahu.

Mendoakanmu..
Di dalam sembah solatku
Walau jauh beribu batu
Jarak tidak mempertemu
Melodi kata-kata membisu
Bukanlah alasan bagiku
Segar mekar munajat rinduku
Setulus hati ku sebut namamu
Kerana Allah ia bersatu
Tanpa ragu, malu dan silu
Menghadap aku dengan cintaku
Ilahi, Robbi.. Jangan jauhi daku

Ku hamparkan nota kasihku
Atas sumpah "Hablumminnass"
Genggam ikatan, usahlah lepas
Walau berat beban digalas
Jikapun hati diusik malas
Lumpuhkan dendam berbalas
Datanglah..! Taman hati ku hias ikhlas


Jujur..
Lurus taburan rasa
Terus dari jiwa
Bukan kerana kecewa
Jauh sekali berduka
Genggamlah janji yang di kata
Sebagaimana yang harus di kota
Jangan lemas, sesak dihanyutkan dusta
Menggamit panas kemurkaan-Nya
Untuk apa, menempa dosa?
Fahamilah nukilan jiwa
InsyaAllah, akan tercipta bahagia!


Andai mahu memahami, genggamlah tekad di hati. Usah pergi dengan penjelasan yang sunyi.

Salam kasih kerana Allah Taala.
Raz.R sepenuhnya.





Monday, August 27, 2012

Tak Perlu Bertanya Lagi


Acapkali kutanyakan Ilahi
"Tuhan, kenapa hatiku terbuka?"
Lalu di jawab pada kalam-Nya yang ku buka
Siapa aku untuk menidakkan kehendak-Nya?
 
Pernah juga hati berkeluh
"Apakah aku ini terlalu keji, Ya Tuhan?"
Dan jawapan ku dapati di kala malam
Sunyi alam berhujan di mata
Qalbu mengalun kata tenang bersuara
"Wahai diri, kerana kejilah engkau mengenal rendah diri."
Menunduk di depan Ilahi
Mencari peribadi, mengubah hati
 
Seketika jiwa meronta marah
"Kenapa terlalu cepat situasi berubah?"
Jawapan ku dapat dari hujan yang mencurah
Tanpa diolah dan berubah
Tiada yang segar dan indah..
 
Subhanallah.. Alhamdulillah.. La ilahaillallah..Allahuakhbar
Akulah yang alpa dan terlupa
Segala urusanMu adalah benar!
Cukuplah, tak perlu kutanyakan lagi.
 
Salam kasih kerana Ilahi
Raz.R
11:53:00 AM


"Dalam sunyi dan ratap, engkau tetap hadir dalam doa dan harap"
 


Sunday, August 26, 2012

Usah Membisu. Suarakanlah!


Bismillahirrahmanirrahim.
Takdir menentukan suami isteri dijodohkan, diakadkan lalu berjanji memegang cita dan tanggungjawab keduanya atas dasar cinta "Lillahita'ala". Samada pertemuan tersebut atas dasar cinta atau tidak dirancangkan, rumah-tangga adalah sebuah masjid yang suci pemberian Ilahi. Masjid kecil cinta yang dihuni oleh Imam dan makmumnya. Di situlah bergeraknya simbol sebuah masyarakat yang teguh atau pincang.

Dalam masjid kecil ini ada persatuan dan nilai persahabatan yang murni. Tetapi ramai yang tidak mengambil ia sebagai kepentingan. Suami adalah sahabat bagi isteri dan begitu juga isteri adalah sahabat bagi suami. Hairan sekali, kenapa memilih orang lain sebagai sahabat sedangkan kita telah mempunyai "Sahabat Hati" yang mengenali dengan amat terperinci. Seorang isteri boleh menjadi sahabat kepada suaminya, tetapi seorang sahabat yang baik tidak boleh menjadi isteri. Begitulah juga sebaliknya, seorang isteri tidak akan boleh menjadikan sahabatnya sebagai suami.

Plastiknya manusia. Justeru, apakah tujuan sebenar pernikahan yang telah kita ambil. Adakah kerana memenuhi lampiasan nafsu kerana zuriat dan keturunan semata-mata?
Sedangkan kucing yang kita pelihara dapat memahami bahasa tubuh kita dan kita dapat memahami kehendak kucing kita. Plastiknya kita apabila lebih memahami orang lain daripada suami atau isteri sendiri. Kita letakkan 'hadangan' antara suami-isteri tetapi boleh pula kita luahkan segala keintiman dan keinginan kita kepada orang lain yang kita tidak sebenarnya kenal. Boleh pula kita bermesej dan berkomunikasi dengan selain yang halal yang tidak membawa keuntungan kepada kita sehingga hanya menimbulkan keresahan jiwa. Pelik sungguh kita ya. Bahasa kucing yang kita pelihara kita dapat kenal, tetapi pasangan kita yang boleh bersuara asyik pula bersengketa. Fikir-fikirkanlah..

Kasih-sayang perlu disuarakan. Ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w.  Sepertimana suatu ketika Baginda pernah diberitahu akan rasa sayangnya terhadap sahabat yang lain, lalu Baginda bertanya apakah dia telah menyatakan sahabatnya itu tentang rasa kasihnya dan sahabat belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah bersabda yang bermaksud,
"Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya."

Belajarlah dari kata-kata Rasulullah ini. Sedangkan persahabatan perlu diluahkan kasih, inikan pula ikatan cinta yang sah, suci lagi murni. Luahkanlah kasih kita sesama melalui suara dan sikap. Allah berikan kita suara, bukan untuk yang sia-sia. Malangnya kita pula tersilap menggunakan ego sebagai penutup untuk menyuarakan kasih. Padahal ego itu adalah pakaian Allah. Hanya-sa-nya Dia-lah sahaja yang layak untuk menggunakan ego tersebut kerana Allah-lah Pemilik Seluruh kejadian. Sedangkan siapakah kita untuk menggegak-gempitakan ego kita sedangkan lalat seekor pun tidak dapat kita berikan nyawa?

Jangan.. jangan sesekali kita puas beranggapan bahawa cukuplah rasa sayang dan cinta yang bersemi di dalam hati dan doa yang diam tanpa bersuara pada yang berhak menerimanya dan tidak perlu diluahkan lagi. Inilah kesalahan yang banyak dari kita gagal mengesannya. Bukan kita tidak tahu, tetapi kita sengaja abaikan kerana kononnya 'malu' maruah diri jatuh. Malu itu pakaian akhlak yang baik tetapi malu perlu dipakai sesuai pada tempatnya. Jangan kita menggunakan 'malu' ditempat yang bodoh. Jangan biarkan kebisuan kita menjadi retak menanti belah. Sudah jatuh baru tergadah.

Sebutir kalimat yang baik, boleh membaikkan seluruh jalan kehidupan. Disamping kalimat, buktikan cinta dan kasih-sayang itu dengan perbuatan dan tindakkan. Jangan kaku seperti kayu, tuli seperti batu.

Biarlah ditekankan lagi, janganlah kita menjadi insan plastik yang apabila diberi peluang namun masih mensia-siakan peluang. Ramai yang mengimpikan pernikahan tetapi tidak mahu bermuhasabah dan mensyukuri nikmat disebalik ikatan tersebut. Kehidupan insan tidak boleh disamakan dengan barang, apabila buruk terus dibuang sebaliknya yang buruk dan usang perlu diperbaiki!

Hari esok adalah hari esok yang tidak pernah kita tahu samada ia akan muncul atau tidak. Justeru, hari inilah kita wajar memperbaiki segala urusan terutama soal hati diantara suami- isteri. Janganlah menunggu hari esok yang mungkin akan terlambat mengubah segalanya.

Andai kita mahu memilih gembira di dalam rumah tangga, suarakanlah segera! Permudahkan kata-kata. Mungkin awalnya kita akan mengolah pertengkaran dan rasa sakit hati sesamanya namun, kejujuran di dalam kata-katalah yang mampu mengubah hujung kehidupan kita sekalipun ia bergaul dengan kepahitan. Jangan biarkan kebisuan menghancurkan impian awal yang kita tanam menjadi kontang! Bajai, sirami dan hidupkanlah ia agar tumbuh semula pokok bahagia!

Putaran kehidupan itu memang meletihkan. Kadangkala jemu menjengah perasaan. Namun, usah biarkan tawar dan hambar itu mempengaruhi kasih-sayang. Bertindaklah sebelum keadaan menjadi parah. Bawalah diri kepada Allah. Ubahlah jiwa, pemikiran dan perasaan kita.  Mungkin kita tidak mampu mengubah situasi luar diri, tetapi kita ternyata mampu mengubah apa yang ada di dalam diri kita jika kita benar-benar berusaha!



Nikah itu mahal, mahalkanlah ia sampai ke akhirat. (Upah juru gambar tu takyah lerr.. pakai henpon jer)

Wallahua'lam.
Salam kasih kerana Allah dari Raz.R
Senyum..

Monday, August 20, 2012

Idul Fitri 1433 H (2012)




Kalau kapas tidak selalu memutih,
Dihembusi debu dan kotor
Justeru, apalah dapat kutahan hatiku

Kalau langit tidak selalu cerah,
Mendung, ribut sesekali bertandang
Apatah lagi hidupku

Kalau jalan tidak semuanya lurus
Bersimpang dan berlopak jarak
Begitulah langkahku, sesekali sesat memandu rasa

Kalau imam melafaz salah
Terlupa dimana sabdu dimana shaddah
Inikan aku, si makmum  longgar ilmu

Hati seribu lemah
Jiwa seribu salah
Tunduk menyusun maaf
Mengakui khilaf yang tidak terarah
Memanjatkan doa agar terampun
Tiap noda dosa yang bertitik

Jika Allah memanggil pulang
Izinkan kepulanganku tenang.
Maaf, Zahir dan Batin


Taqobalallahu minna wa minkum
Al-Fatihah untuk semua
Selamat hari raya idul fitri 1433 H
Setulus Hati Raz.R

Sunday, August 12, 2012

Kejadian ADAM -Bapa segala manusia


Mari kita baca betapa sukarnya Bumi hendak memberi tanahnya utk dijadikan Nabi Adam. Bumi takut Adam akan jadi maksiat di atasnya. Sedangkan manusia sekarang sewenang-wenang melakukan maksiat di buminya. Jadi, berselawatlah selalu sebelum memijak bumi ini.. Teruskan membaca bagaimana bumi bermain tarik tali ketika malaikat cuba untuk mengambil sedikit tanah darinya untuk mencipta Nabi Adam AS.


Kita selalu mendengar kisah Nabi Adam AS.Dan kita juga terlalu tahu tentang TERCIPTANYA manusia itu adalah dari tanah. Tetapi apakah kita tahu APA tanahnya ?

Tahukah kita bagaimana proses kejadian PENCIPTAAN BAPA KITA YG INDAH ITU? SUKARNYA MALAIKAT-MALAIKAT MEMINTA TANAH DARI BUMI UNTUK NABI ADAM AS (ABUL BASYAR / Bapa segala manusia)

Pada suatu ketika, Allah SWT menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam. Akan tetapi, apabila beliau sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi kuathir Adam akan menjadi maksiat kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar mendengar sumpah bumi.

Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail. Jawapan bumi masih sama lalu Allah memerintahkan malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak.

Masing-masing kembali dengan jawapan yang hampa.Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi.Kata Allah:

" Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas namaKu."

Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah,kembalilah ia ke hadrat Allah.

Lalu Allah berfirman:
"Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak akan kutugaskan engkau mencabut roh manusia."

Maka khuatirlah Izrail kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia.Lalu Allah berfirman lagi:
"Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya.


JENIS TANAH YANG DIGUNAKAN:

1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal DIDIRIKAN Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah(Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah syurga
12. Tanah Tha'if

Menurut Ibnu Abbas:
1. Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana disitulah berada otak manusia,dan disitulah tempatnya akal.

2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.

3. Dahinya dari tanah Iraq, kerana disitu tempat sujud kepada Allah.

4. Mukanya dari tanah Aden, kerana disitu tempat berhias dan tempat kecantikan.

5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.

6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.

7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah,untuk mencari nafkah dan kerjasama,sesama manusia.

8. Tangan kirinya dari tanah Paris,tempat beristinjak.

9. Perutnya dari tanah Babylon. Disitulah tempat seks(berahi) dan tipudaya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.

10.Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.

11.Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.

12.Hatinya dari tanah syurga Firdaus,kerana disitulah iman, keyakinan,ilmu, kemahuan dan sebagainya.

13.Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap Syahadat, bersyukur dan berdoakan kepada Tuhan.


PROSESNYA KEJADIANNYA:

1. Ketika Allah jadikan Adam, tanah itu dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam "sifat".

2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan didalam "Alam Malakut".

3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah, dan dirasmikan dengan air hujan "Barul Uluhiyah".

4.Kemudian tubuh itu dibenamkan didalam air "Kudral-Izzah- Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal".Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.

5.Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk kedalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk.Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit manusia. Kerana Adam telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam,tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan.

Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang dikepala,dan dua buah liang di bawah badan letaknya.

Tujuh buah letaknya adalah di:
1. Kepala : Dua liang mata, Dua liang telinga, Dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
2. Dibawah: Sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima buah pancaindera:
1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Setelah Roh masuk kedalam tubuh Adam :
Lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam.

Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri, ke kanan dan kebawah dimana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras.

Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan.

Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya kehadrat Allah. Lalu Allah berkata :"Yarhamukallah" yang membawa erti: "Semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika
orang bersin, menjadi sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat pula mengucapkan "Yarhamukallah" .

Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Disini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:

"Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa" .(Al-Israk: II)

Maka ketika roh itu sampai dibahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.

Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah kelangit tujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.

Sesungguhnya Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Pencipta sekian alam dan Pencipta setiap kejadian. Bertaqwalah kita kepadaNya, kerana pada AllahLah kita akan dikembalikan.

(Dipetik dari buku HIMPUNAN KISAH-KISAH MALAIKAT disusun oleh Muhammad Isa Selamat)

Tuesday, August 7, 2012

Syair Imam Ghazali



"Jika mahu  mengikut petunjuk para imam, kuatkanlah dirimu, sanggup menerima segala musibah dengan hati yang sabar di kala menghadapi setiap kegetiran.

Dan hati yang sabar terdampar di dalam dada, lisan dikunci, matamu dikendalikan, rahsiamu disembunyikan, hanya Allah SWT yang melihatnya dan janganlah orang mengenal siapa kamu.

Tutuplah pintu, senyumlah, perut terasa lapar, hatimu luka, perniagaan lengang, pangkatmu tenggelam, kebaikanmu tersohor dan setiap hari menelan kepahitan akibat zaman dan kawan, sedangkan hatimu tetap patuh.

Siang, kamu sibukkan diri dengan mengislahkan orang tanpa mengungkit. Malam, kamu merindui Tuhanmu, senyap dalam pandangan.

Ambillah kesempatan malam itu. Jadikanlah ia jalan dan persiapan untuk hari Qiamat yang hanya amat sedikit mencarinya."

Monday, August 6, 2012

Tak Perlu Menjadi Lilin


Lilin itu menyinar, berkorban memberi cahaya kepada yang lain sedang dirinya dibiar musnah terbakar. Mengajak orang kepada kebaikan, tetapi membiarkan diri musnah tanpa kebaikan yang sama bukanlah yang diseru sunnah. Kita harus sama-sama bersinar sebelum memberikan sinar.
Lilinlah yang tidak sedar ketika sibuk menghasilkan cahaya, dirinya sendiri menuju gelita, fana dan binasa..


Ingat pesanan Rasulullah Sollallaahu ‘alayhi wa sallam, agar jangan sewenang-wenangnya kita mahu menjadi lilin:-


“Perumpamaan orang yang mengajar orang ramai kebaikan tetapi melupakan dirinya sendiri adalah seperti lilin yang memberikan cahaya ke atas orang lain dan (dalam masa yang sama) membiarkan dirinya terbakar”



Tajuk Tidak Sama Cerita




Jika sangsikan dia, tanyalah dia
Supaya ia merungkai rasa sangsi mu


Jika ada berita buruk tentangnya, selidikilah
Supaya hati mu tidak salah menghukumnya


Jika ada berita baik tentangnya, senyumlah
Sebagai tanda syukur terhadap kesenangannya


Jika dia lebih dari kita, gembirakan diri untuknya
Itulah kasih sayang sesama


Jika dia benar-benar bersalah, doakan dia agar diampunkan
Agar lidah tidak mengata dan menyulam umpat dan kata


Jika kita bersalah dengannya, mohonkan maaf
Itulah ajaran Rasullullah s.a.w kepada ummatnya


Jika dia bersalah dengan kita, maafkan dia
Nanti lembut hatinya untuk memohon maaf dari kita

Jika dia berdiam diri, kita tanya-tanyalah khabarnya
Agar tidak putus silaturrahim di hati


Jika dia jarang bersama mu, atau jarang bertanyakan kesusahanmu, ingatlah dia pasti ada kesusahan yang mungkin lebih hebat dari mu, hingga menghalangnya untuk bersama selalu


Jika dia bermusuh denganmu, berbuat baiklah kepadanya,
Supaya lembut hatinya nanti InsyaAllah


Jika dia jelas menolak Mursyidnya, doakanlah dia peroleh kebenaran, agar dia kembali menerima Gurunya yang memimpinnya


Jika dia adalah aku, terimalah aku seadanya,
Sesungguhnya aku bukan insan sempurna


Jika dia adalah kamu, InsyaAllah tiada yg terselit di hatiku terhadap mu, agar tiada tersekat hubunganku dengan mu kerana Allah...


Jika dia yang kamu yakini tidak akan berubah langsung pada hemat kamu, doakan terus perubahan dirinya atau kematian untuknya jika itu baik baginya dihadapan ALLAH, Agar dosa-dosanya tidak berpanjangan...


Agar tidak berterusan menderhakai TUHAN
Dan tidak berlanjutan menyakiti KAWAN.

Thursday, August 2, 2012

Tanpa DIA


Hayat ini
Takdir ini
Apa jua yang kumiliki
Titis-titis yang tersirat di hati
Impian yang kepingin kujiwai
Hasrat kudoa tiap rasa yang dicitai
Tidak akan bernyawa
Tanpa DIA yang Maha Memiliki
Aku dimiliki-Nya
Hatiku jua
Hidupku seluruhnya
Tiada daya... Tanpa DIA

Pahit atau sakit
Manis atau indah
Ku kembalikan kepada-Nya

Aku memiliki kosong
Tanpa DIA ... aku tiada..