Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, July 31, 2012

Hina


Meninjau jati diri
Kalah dimamah rasa
Rendah dan terluka
Berulang kali dipersenda
Bila wajah diukur jiwa
Warna hati dilihat pada jelita
Jelik hodoh dikira rugi
Sedang itu diberi Ilahi
Kenapa perlu ia dicaci
Jika pilihan diberi
Pasti bukan itu diingini
Redha anugerah Ilahi
Hakikat wajah disyukuri
Hingga hujung hayat ini..


Biar dihina manusia; Jangan dihina Ilahi
Aku tak peduli, bagaimana wajahku ini.

Sunday, July 29, 2012

Solat Sunat Witir (Ganjil)

Langit mana tidak bergulung mendung dan mengurai hujan.
Jiwa mana tidak tersadung dan rebah dilambung payah.
Hidup mana tidak diusik musibah.
Iman, kadang tergugat dan naluri kadang diuji penat dan serba tidak kena.

Ketika kegusaran ini, apakah yang perlu kita miliki? Jawapannya adalah KASIH SAYANG ILAHI.
Mungkin saja hidup silam kita dirundung pelbagai dosa yang menempelkan hati dipenuhi tutupan daripada menerima cahaya. Inilah masanya kita perlu mencari cahaya tersebut. Yakni memperbanyakkan amalan-amalan tambahan melengkapi ibadah-ibadah kita yang usang dan compang.

Lakukanlah solat sunat Witir. Solat sunat Witir adalah satu-satunya solat yang keseluruhan rakaatnya berjumlah ganjil (Satu, Tiga, Lima, tujuh, sembilan atau sebelas).

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Wahai Ahli Quran, lakukanlah solat witir, sesungguhnya Allah itu witir (ganjil) dan Dia suka kepada solat witir." [ Riwayat Ahmad & Tarmizi]

Sesiapa yang melakukan solat ini akan mudah memperolehi kasih-sayang Allah kerana Allah SWT suka kepada orang yang melakukan solat witir.
Waktunya adalah antara sesudah solat Isyak hinggalah ke waktu Subuh. Ini berdasarkan penetapan dari Rasulullah s.a.w yang sabdanya :

"Sesungguhnya Allah telah menambahkan untuk kamu solat iaitu solat witir, laksanakanlah solat witir antara sesudah solat Isyak hingga solat Subuh" [Riwayat Ahmad]

Rasulullah s.a.w menetapkan rakaat solat witir tidak boleh kurang daripada satu rakaat dan tidak boleh lebih daripada sebelas rakaat, dijumlahkan secara keseluruhan dengan jumlah ganjil. Boleh ia dilakukan kesemuanya dengan satu salam atau dilakukan dengan dua rakaat dan yang terakhir dilakukan satu rakaat.

Rasulullah s.a.w berkata lagi :
"Solat witir itu adalah benar, sesiapa yang mahu melakukan lima rakaat maka lakukanlah. Sesiapa yang mahu melakukan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang melakukan satu rakaat maka lakukanlah."
(Riwayat Lima Ahli Sunan)

Laksanakanlah solat witir semampu yang boleh dan sebaiknya lagi jangan ditinggalkan. Ramai ulamak menyatakan bahawa solat witir adalah solat yang sangat-sangat dituntut kerana Rasulullah s.a.w dikatakan tidak pernah meninggalkan solat witir kecuali sekali, lantas baginda menqadakannya sesudah Subuh.
Kita yang melakukan solat witir walaupun satu rakaat sesudah Isyak akan tetap mendapatkan pahala solat malam.

Namun demikian para ulamak telah memberitahu beberapa usul mengenai cara-cara melakukan solat witir ini. Solat witir ini adalah dikatakan seumpama solat penutup.

Pertama.
Orang yang berniat mahu melakukan solat malam disarankan agar tidak melakukan solat witir pada awal malam. Apabila dia bangun malam, setelah selesai solat Tahajjud barulah dia menutup solatnya pada waktu itu dengan solat Witir. Cara ini sesuai diamalkan bagi orang yang kuat bangun melaksanakan solat malam.

Kedua.
Setelah selesai solat sunat sesudah Isyak, teruskan sahaja solat Witirnya. Misalnya setelah selesai solat Tarawih ditutup dengan solat Witir. Kemudian apabila waktu malam, setelah selesai solat Tahajjud, ditutup lagi dengan Witir. Dengan cara tersebut, dia telah menepati suruhan Rasulullah s.a.w agar dijadikan setiap akhir solatnya, solat Witir.

Ketiga
Apabila bangun pada waktu tengah malam, dibatalkan Witir yang dilakukan pada awal malam dengan melakukan satu rakaat dengan niat Witir. Soalt Witir akan menjadi batal apabila jumlah rakaat keseluruhannya menjadi genap. Sesudah itu barulah dia lakukan solat Tahajjudnya dan akhirnya ditutup solat Tahajjud dengan solat Witir.

Keempat.
Memandangkan solat Witir itu jumlah rakaat yang paling banyak adalah sebelas, maka dapatlah kita lakukan solat Witir itu pada awal malam, tatkala bangun malam pula ia dapat disambung lagi. Jika pada awal malamnya dilakukan 3rakaat, maka pada waktu malamnya ditambah dengan 2rakaat menjadikan ia 5rakaat. Atau boleh juga ditambah 4rakaat lagi menjadikan jumlah keseluruhannya 7rakaat. Tambahan tersebut mestilah keseluruhannya berjumlah ganjil dan tidak melebihi 11 rakaat.

Jadi kita boleh sahaja memilih salah satu cara daripada empat cara ini untuk melaksanakannya.
Bila kita melaksanakan solat Witir pada tengah malam hari tetap akan dikira sebagai solat malam atau solat Tahajjud. Ia diajarkan oleh Mazhab Syafie (Kitab al-Majnu, Jil 3 ms 539)

CARA-CARANYA
Pada rakaat pertama :-
1. Niat dalam hati dengan berkata. "Sahaja aku solat Witir dua rakaat kerana Allah."
2. Takbir.
3. Baca doa Iftitah (Allahuakhbarkatshira..)
4. Baca Ta'awwudz (Azubillah..)
5. Baca surah al-Fatihah.
6. Baca apa-apa saja surah yang diketahui
7. Takbir dan rukuk
8. Iktidal dan bacaannya
9. Sujud dan bacaannya
10. Duduk dan bacaannya
11. Sujud dan bacaannya
12. Bangun rakaat kedua dengan takbir

Pada rakaat kedua
1. Baca surah al-Fatihah.

2. Baca apa-apa saja surah yang diketahui
3. Takbir dan rukuk
4. Iktidal dan bacaannya
5. Sujud dan bacaannya
6. Duduk dan bacaannya
7. Sujud dan bacaannya dan bolehlah berdoa apa sahaja.
8. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
9. Salam penutup

Bagi yang mahu melakukan solat witir sebanyak tiga rakaat, maka seterusnya ditambahkan dengan satu rakaat lagi. Bagi yang mahu melakukan 5,7,9 atau 11, maka ditambah 2rakaat- 2rakaat kemudian yang terakhir baru dibuat 1 rakaat.

Rakaat berikutnya :
1. Niat dalam hati dengan berkata. "Sahaja aku solat Witir satu rakaat kerana Allah."

2. Takbir.
3. Baca surah al-Fatihah.
4. Baca al- ikhlas atau apa-apa saja surah yang diketahui
5. Takbir dan rukuk
6. Iktidal dan bacaannya
7. Sujud dan bacaannya
8. Duduk dan bacaannya
9. Sujud dan bacaannya, maka berdoalah apa sahaja
10. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
11. Salam penutup

Wallahua'lam. Selamat beramal dan semoga kita dapat mengecapi kenikmatan dari kasih sayang Allah di dalam tiap ibadah kita. Ameen.

Salam sayang kerana Allah.



Izinkan hati itu tenang dengan kasih-sayang Ilahi selalu.


Thursday, July 19, 2012

Menulis

Menulis
Bukan dahaga nama
Tidak menagih puja

Menulis
Ringan bebanan jiwa
Tenang serabut dada

Menulis
Cerminan gembira
Perkongsian rasa
Kembara ilmu seluasnya

Menulis
Titik asal sejarah
Hidup yang berkisah
Teratur segala hikmah

Menulis
Makna dan dimaknai
Bukan urusan lagi
Hati di dalam urusan Ilahi

Sunday, July 15, 2012

Cantik

Wahai wanita..
Jangan sekadar suka mengindahkan wajah
Usah leka mengelokkan tubuh
Perindahkanlah hati dan jiwamu
Elokkanlah ia dengan ilmu
Justeru kecantikanmu tidak akan berakhir
Ketika wajahmu tidak lagi dapat di pamer


Kata Hati Muhasabah jiwa"♥"
Raz.R with Smile

Rela Bersunyi

Tak ingin ditemani..
Rela diri bersunyi
Mendengar tetapak berbunyi
Kicau burung bernyanyi
Bunga wangi menari
Kocak air tenang menanti
Memerhati meneladani
Dengan senyum nan murni
Bersama zikir di hati..."♥"
Alhamdulillah, tulus mencintai
Subhanallah, jernih menyayangi..

Telah Begitu Asalnya Diri

Tak suka untukku membenci
Tak gemar untukku memarahi
Tak hampir jika tak sudi
Tak undur jika dikasihi

Mengalah memang digemari
Biar tidak memiliki
Asal tiada sengkata di hati
Telah begitu asalnya diri
Walau perit di uji


Tulus senyum
~Raz.R~


Saturday, July 14, 2012

Kita Saling Perlu

Tiada manusia yang mampu berdiri dengan sendirinya di dunia ini. Itulah sebabnya Allah menjadikan dunia dipenuhi pelbagai jenis makhluk dari pelbagai bangsa dan warna. Semuanya saling berkaitan dan saling berhubungan sesamanya. Sesungguhnya, Allah sedang memberitahu kita bahawa hanya DIA-LAH yang berupaya berdiri dengan sendirinya tanpa sebarang penggantungan. Kita sebagai manusia dari makhluk yang paling istimewa mengatasi segala makhluk yang lain tidak boleh angkuh bahawa kita tidak perlukan sesiapa untuk kehidupan kita sedang Allah telah mentakdirkan bahawa manusia sentiasa akan tetap bergantungan sesamanya sehinggalah ke liang lahad. Penggantungan di dunia tetap memberi makna kepada kehidupan kita di akhirat kelak bagi kita yang mahu berfikir.


Angan-angan

Setiap dari kita mempunyai harapan ke atas sesuatu. Seringkali harapan terbit dari mulanya angan-angan. Kadang-kadang, angan-angan bertukar menjadi impian dan bagi yang bernasib baik dan berusaha, InsyaAllah, ia menjadi suatu cita-cita yang berjaya.

Namun, kekadang angan-angan tidak menghasilkan cita-cita. Ini kerana, kadang-kadang ia berkait rapat dengan perasaan hati individu lain. Sebab setiap individu memiliki cita-cita yang mungkin sama, tetapi kebanyakannya berlainan cara dan jalan mencapainya. Soal gabungan angan-angan menjadi sebuah cita-cita yang sama tidaklah semudah apa yang kita harap atau doakan. Kita tidak mungkin dapat menyamakan apa yang kita ingini dengan apa yang individu lain cita-citakan. Soal angan dan cita-cita tidak pernah boleh dipaksa. Insan, fizikalnya kebanyakannya sama tetapi harapan yang terselit di dalam hati seringkali berbeza.

Jadi, janganlah kita menjadikan angan-angan kita sesuatu yang asyik dan mengkhayalkan. Berlamaan di dalam angan-angan hanya akan menjadikan diri kita 'sepi dan tandus' di dalam penantian. Ibarat pungguk yang rindukan bulan; bulan tidak akan hampir dan pungguk jua tidak pernah dapat terbang hinggap padanya.

Jangan berhenti berharap, berusaha dan berdoa, tetapi hentikanlah angan-angan yang panjang.

~"Salah satu penyebab utama lupanya manusia bersyukur kepada Allah adalah; lantaran dirinya lebih banyak berangan-angan pada apa yang diharapkannya dari Allah daripada apa yang sesungguhnya telah diberikan Allah kepada-Nya. Bahkan ia sendiri lupa, bahwa setiap tarikan nafasnya adalah anugerah Allah kepadanya."~