Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, June 28, 2012

Ayah

Wahai ayah..
Subhanallah
Selaksana tuahku mewarnai
Cantik bagai deretan pelangi
Disampingmu akulah puteri
Hayatku magis sekali
Dimanjai bagai bidadari
Duniawi dibimbing ukhrawi

Wahai ayah..
Alhamdulillah
Dunia mengaut harta
Kau beri aku yang tiada
Pun aku masih didulang kaya
Nuraniku mekar diembuni sentosa
Jauhari jiwa dirantaikan budi mulia

Wahai ayah..
Allahuakhbar
Jasamu tak tertembus dasar lautan
Kasihmu tak tertebus selangit intan
Doamu mengalah pedang yang tajam
Akulah puteri penuh keuntungan

Ya, Robbana..
Engkaulah Pemberi Yang Maha Mengasihani
Berikan syurga-Mu bila tiba masa
Bersihkan ayahku dari lumutan dosa
Sungguh, dia paling sempurna
Lanjutkan usia, sejahterakan dia
Saujanakan jiwanya, bahagiakan dia
Jauhi dia dari perit yang tersisa
Galang-gantikan aku segala deritanya..


Raz.R- Senyum dalam tangis yang tragis - Ameen,Ya Allah.

Taufan Rindu

Rindu bagai sembilu
Resah menaufani jiwa
Aduhai tertanya-tanya
kenapa begini getarnya
Didiam melemah sukma
Diluah malunya rasa

Ya Ilahi..
Bantulah hamba menyeru angin
Tiuplah hatinya disentuhi dingin
Harum rinduku jernih nan tulen

Basah rindu meruap-ruah
Walau bergunung harta melimpah
Masakan terbeli rindu nan indah

(Raz.R dengan senyumannya-Rindu yang tak habis)


Sunday, June 17, 2012

Cinta Billah

Jangan..
Jangan meminta aku menjauhi Pemilikku
Aku tidak mampu
Jangan merayu aku kembali ke alammu
Aku tidak mahu
Jangan dipertikai cintaku kepada-Nya
Aku  mengerti nurani jujurku
Bila engganmu mencintai jalan pilihanku
Pergilah kemana mahumu
Jangan diseret aku bersamamu
Cintaku tak mungkin berpaling
Biar dunia buatku terasing,
Ku kecapi alam sejati indah
Cinta Billah!

Raz.R
Salam Cinta Kerana Cinta-Nya
لا حول ولاقوة إلا بالله

Bersolawatlah Selalu


Nabi Muhammad s.a.w. bersabda :

"Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali)  [Riwayat Al Baihaqi]



Salam kasih kerana Allah bersama senyum dan doa
di hari mulia 27Rejab-Isra' Mikraj

Sunday, June 10, 2012

Solat : Makna Bacaan ketika I'tidal



Sesungguhnya Allah Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya
Wahai Tuhan kami, sesungguhnya untuk-Mulah segala pujian itu




Solat : Bacaan ketika duduk di antara dua sujud


Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
Kayakan daku,
Angkatlah darjatku,
Rezekikan daku,
Berilah aku hidayah,
Sihatkanlah daku dan
Maafkanlah akan daku.

Solat : Makna Doa Iftitah


Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,Ibadahku, Hidupku, Matiku
Adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari golongan orang Islam.

Solat : Makna Tahiyyat Akhir


Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.
Selamat sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu
Selamat sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu

Jika matlamatmu Allah



Bismillahirrahmanirrahim..
Sebutlah Allah di mana-mana, walau dengan sependek "Allah". Itu melambangkan kita masih mengingati-Nya. Mengingati Allah itu adalah zikir dan zikir itu adalah kewajiban yang perlu di amalkan bagi setiap manusia  yang mengakui bahawa dirinya itu beragama Islam.

Apabila kita meletakkan matlamat hidup kita itu adalah Allah, tidak ada apa-apa lagi yang perlu kita gundahkan. Teruskan lakukan tanggung-jawab kita sebagai manusia yang meminjam bumi-Nya untuk kembali kepada-Nya dengan dipenuhi penerimaan dan keredhaan-Nya. InsyaAllah, segala urusan yang kita usahakan akan menjadi baik-baik sahaja walau berapa banyak ujian yang kita terima.

Ingatan ini, Raz mujahadahkan untuk diri Raz sendiri sebagai ingatan disamping berkongsi sebagai pengetahuan bagi kita yang mungkin sedang lupa atau masih belum tahu.

"Sesungguhnya setiap kewajiban yang diperintahkan oleh Allah s.w.t terhadap hamba-hamba-Nya ada batasannya. Bagi mereka yang uzur, dimaafkan oleh-Nya. Namun tidak bagi zikrullah (mengingati Allah). Tidak ada batas dan uzur dapat diterima untuk keringanan daripada zikir kecuali apabila akal seseorang itu berubah menjadi gila." [ Ibnu Abbas]

Ramai dari kita terlanjur leka di dalam ketandusan harapan yang jatuh di dalam kekecewaan. Kebanyakan sebab utama dari kejadian itu bukan saja kerana kelalian diri disuntik dunia yang asyik tetapi sebenarnya kerana kita langsung tidak mengingati-Nya dalam hidup dan dalam diri kita. Kerana itu, bilamana kita tidak menerima hidayah dan hati kita seolah beku dari mudah menyelesaikan sesuatu kegusaran hidup, silalah telitikan dengan menyoal diri, "Adakah kita ini selalu mengingati Allah?"

Oleh itu, marilah sama-sama kita "Ingat Allah Selalu, Jangan Sekali Jemu.".

Wallhua'lam.

~Raz.R~
Salam kasih kerana Allah.
Senyum dengan nama-Nya.

Saturday, June 9, 2012

Ilham

Hidayah atau ilham dari Allah itu kadang-kadang datang kepada seseorang di dalam bentuk pengalaman buruknya. Mungkin saja seseorang itu amat jahat pada mulanya, tetapi dengan kesulitan, penderitaan atau kesengsaraan yang diterimanya sebagai kifarah daripada Allah SWT, dia akhirnya menjadi seseorang yang terbaik di dalam hidupnya dan Allah mengampuninya.

Allah itu Maha Baik. Dia Berkuasa memberikan ilham-Nya kepada sesiapa yang Dia mahukan.
Sebagaimana firman-Nya di dalam surah Ash-Shams ayat 8.


Raz ingin menyeru kepada diri sendiri dan kepada yang lain agar bersedia menerima keburukan yang kita lalui sebagai satu pengalaman yang dapat membina kehidupan kita dan memperbaharuinya ke jalan yang sebenar. Ameen Ya Robbal 'Alamin.


~Raz.R~
"Adikku yang ku kenali,
Walau cantik dan kacak rupa yang engkau bawa
Walau hebat tipu daya yang engkau jayakan
engkau tetap wanita biasa
dan hamba kepada Dia..baliklah ke pangkal jalan".


Jemaah Halal

~"Bersatulah di dalam halal
Berpisahlah dalam halal
Bertemu kembali pun dalam halal

Kemelut ujian akan bertandang
Datangnya dengan cinta yang redha
Bercahaya rahmah-Nya
Jemaah harmoni emas duniawi
Bersadurkan permata ukhrawi
Terjanji Ilahi.. pasti..

Yang termulia itu
Yang bahagia itu
menghalalkan cara
berkongsi jiwa dengan nama-Nya"~


~Raz.R~
Bahagiakanlah dirimu, berkongsilah rasa bahagia itu.
(Senyum Bersama lebih bermakna)


Friday, June 8, 2012

Ikatanmu Dusta


~"Senyap tidak dirindu
Hilang tidak dicari
Pergi tidak dinanti
Rajuk tidak ditemani
Marah tidak diteguri
Wujud tidak dipeduli
Kamukah itu sahabat sejati?"

Kasih seorang sahabat
Bukan hanya pada ikatan yang terikat
Tidak juga pada nama yang dipahat

Ukhwah memikat hanya pada kata
Manis memuji di kala suka
Mengeji  di kala sengketa
Memuja kepada rupa
Menabik kerana nama
Memilih kerana jantina
Jika itulah ikatan yang direka
Sungguh, ikatanmu dusta.."~


~Raz.R~
"Senyum.Bersahabat biar jelas.. usah beralas-alas"


"Jujur Dalam Prasangka"



Raz tersenyum dengan telatah semut di dalam gambar yang Raz sertakan bersama ini. Tersirat dan tersurat. Janggal tetapi hebat. Inilah yang dikatakan ilmullah. Kita lihat dan kita belajar (Alhamdulillah, kerana diizinkan boleh melihat). Begitu juga, kita dengar dan kita belajar. Sesungguhnya tiap apa saja di dalam dunia ini adalah untuk kita manusia mengambil iktibar dan belajar. Tidak layak untuk kita bermegah kerana seluas manapun ilmu kita, yang bernama pelajar itu tetaplah kita sehingga akhir masa.

Di pagi Jumaat yang mulia ini.. bersyukur Raz kepada Ilahi, ada satu ilmu yang menjamah rohani Raz sendiri. Pendapat kecil yang Raz mahu kongsi. Jika ada kebaikan dari tulisan Raz, Alhamdulillah, ia tetap bukan dari Raz, ia adalah milik Allah yg Raz kongsikan sahaja sebagai muhasabah untuk ingatan Raz sendiri juga. Jika ada keburukan, mohon dimaafkan kekhilafan Raz sebagai hamba yang tersangat lemah dan tidak terlepas dari silap dan salah. Ampunkan Raz.

Allahuakhbar.
Di dalam tulisan-tulisan Raz yang lalu, Raz selalu menyebut, kita hanya manusia hamba. Kebolehan kita terbatas oleh ilmu, iman dan emosi. Adakalanya kita ingin melakukan perkara yang paling canggih dan paling baik namun keterbatasan kita tetap ada. Kita ingin jadi manusia yang baik, yang tidak bersangka buruk terhadap apa yang terjadi di dalam kehidupan kita seharian, namun desakkan pengalaman hidup akan tetap disentuh oleh rasa takut. Rasa takut itulah yang membuatkan prasangka mendahului hakikat. Sesekali, tekanan rasa dari hasutan syaitan membebankan dan mengalahkan kita jua. Itulah ujian yang sangat menyakitkan. Nauzubillahiminzalik.

Lazimnya, itulah sebenarnya fitrah manusia. Ada perkara yang kita mampu kita ubah, dan ada sesetengah perkara tidak. Bukan kerana kita tidak ingin ia berubah, tetapi kita perlu laluinya agar tertelap pengalaman yang indah melalui kesakitan-kesakitan yang kita lalui. Andai kita tidak lalui itu semua, tiadalah ilmu dan ajaran nurani yang kita bina.

Hati kita tidak selamanya putih dan tidak juga selamanya hitam. Ia perlu digilap setiap hari. Dengan apa? Dengan nasihat, teguran, kasih-sayang, pendapat dan petunjuk dari Allah semestinya. Hati tidak boleh dibiar pekat menghitam kerana jika dibiar begitu, hati akan menjadi batu pekat yang hitam. Bila ia hitam, tiadalah ketenangan. Astaghfirullah.

Sedikit mutiara kata dari nurani Raz sendiri... Senyum.. ("Bunyi macam doktor FALSAMPAH la pulorkk") Ianya untuk Raz dan Raz ingin tekapkan di sini sebagai sesuatu yang ingin Raz kongsi.

Pertama :-

~"Jujur dan bertanya akan memendekkan prasangka. Ia sangat berbeza daripada diam dan terus digulung prasangka sehingga memperbanyakkan prasangka lain pula melekat di jiwa."~

 Kedua :-

~"Bersangka bahawa yang lain sedang berburuk sangka terhadap kita juga adalah sejenis dari spesis buruk sangka."~ 

dan ketiga :-

~"Adalah lebih baik jujur bertanya dan mempersahihkan jawapan di atas setiap salah sangka yang kita rasa sebentar daripada diam dan membiarkan diri kita tidak berlaku jujur dan membohongi diri sendiri selamanya"~

Kita ini hanya manusia hamba yang mengenali diri daripada kejadian sendiri dan semesta yang dicipta oleh Allah Ta'ala disamping usul-usul dari manusia istimewa kekasih-Nya Rasulullah s.a.w.

Belajarlah dengan sabar. Bertahanlah ketika tercabar. Berkatalah yang benar.


Wallhua'lambissowab..

Salam kasih kerana Allah. Senyum.. MMMuuuah!
~Raz.R~




Juma'ah Mubarakh

Jumaat lagi, Ya Allah..
Alhamdulillahirobbil'alamin...
Kita masih bernafas dan memohon cinta-Nya hingga ke tarikh ini..
Hujan membasahi tanah kelahiran Raz pagi ini..Syukur Ya Allah.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

"Wahai hati yang berbolak-balik tentang rasa
Wahai lidah yang bersuara tentang jiwa
Tutuplah rasamu seketika, senyapkan jiwamu sekejap sahaja
Benamkan ia pasrah dan redha dalam kasih Allah Subhanahuwa Ta'ala
Usah berkelana mencatat terlalu banyak cerita
Yang resahnya tidak dipeduli sesiapa
Gundahnya hanya mencalar masa bahagia
Bertenanglah, buktikan kesetiaanmu kepada Allah
Berdoalah kepada-Nya, tiada Yang Maha Paling Pemurah
Dari Yang Asal kita datang, kepada Yang Asal juga kita pulang


Salam kasih dengan doa yang putih
dan hati tidak merintih pedih..
Moga Allah sentiasa kasih
Juma'ah Mubarakh.. La Ila ha Ilallah Muhammadurrasulullah..!"






~Raz.R~
Alhamdulillah dan senyum..
'Biar berbisa, Aku biasa'
'Biar bergelora, Aku bahagia'

Thursday, June 7, 2012

Lillahita'ala

Ketika ini ku warnakan hati
dengan warna cinta yang murni
Lafaznya berkalamkan "Bismillah"
Zatnya dibalut anugerah indah


Warna yang bagaimana?
Dilakar dengan kebesaran
Tidak mungkin kata dapat difilemkan
Ada cinta tetapi berbeza sentuhnya
Kata puitis bukanlah gambarannya...







~Raz.R~
Di bawah cinta Lillahita'la.

Sekecil Puisi Hati

"Tidak daya berhenti menulis
walau mata dan hati menangis
kembara coretan sedih yang manis
kisahnya indah walaupun tragis

Akulah itu pengharap
tiap doa terantai yang digarap
Qalbu menagih di dalam senyap
berangan mimpi memiliki sayap

Sekecil puisi hati
kasih ini bersemi
tidak terhenti
rinduku menjalar sanubari"

~Raz.R~
Santai pagi, senyum lagi