Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, May 13, 2012

Bila Solat diabaikan


Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
"Barangsiapa yang mengabaikan solat maka Allah s.w.t akan mengenakan 12 azab ke atasnya."

Tiga azab semasa di dunia:

1. Allah s.w.t akan menghilangkan berkat dari usahanya dan begitu juga terhadap rezekinya.
2· Allah s.w.t mencabut nur orang-orang mukmin daripadanya.
3· Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.

Tiga azab ketika hampir mati:

1. Roh dicabut ketika dia di dalam keadaan yang sangat haus walaupun ia telah meminum seluruh air laut.
2· Dia akan merasa amat pedih ketika ruh dicabut keluar.
3· Dia akan hilang keimanannya.

Tiga azab dalam kubur:

1. Dia sukar menjawab pertanyaan malaikat mungkar dan nakir.
2. Kuburnya amat gelap.
3· Kuburnya menghimpit sehingga semua tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari).



Tiga azab menanti di hari kiamat:

1.Hisab ke atasnya menjadi sangat berat.
2· Allah s.w.t sangat murka kepadanya.
3· Allah s.w.t akan menyiksanya dengan api neraka.

Mahu Bertaubat

Kekadang kita tertanya
Apakah sebab rasa kecewa
Hidup serba tak kena
Walhal kita selalu lupa
Perkara yg tertinggal kelmarin
Sudah hilang dari kepala
Inikan pula yg bertahun lama
Tidak kan mampu segarkan minda
Dosa silam yg tertanam
Tidak bertunaskan ketaubatan
Itulah kelemahan insan
Selalulah panjatkan harapan
Moga Allah bukakan hidayah
Memahami segala hikmah
Memohon ampun dgn mudah




Bissmillahirrahmanirrahim. Dengan dengan nama Allah, Raz menulis.

Solat taubat ialah salah satu solat yang disyariatkan (diperintahkan) untuk orang yang mahu membersihkan dirinya daripada noda-noda dosa yang telah dilakukan pada masa lalu agar dapat mendekatkan diri kepada Allah. Orang-orang yang bergelumang dengan dosa akan berada jauh dari Allah dan orang yang sentiasa berusaha membersihkan dosa-dosanya akan kembali dekat dengan Allah SWT. Apakala dosa yang dilakukan tidak disertakan dengan ketaubatan, hidup akan sentiasa dihantui gelisah dan hanyut di dalam rasa tidak tenteram.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Tirmizi, al-Nasai, Baiqi dan Abu Daud yang bermaksud :
"Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, kemudian melakukan solat tidak kira dua raka'at atau empat raka'at, yang wajib atau tidak wajib dengan turut menyempurnakan rukuk dan sujudnya kemudian memohon keampunan, maka akan diampunkan dosanya."
Waktu solat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada waktu-waktu haram. Waktu-waktu yang diharamkan kita melakukan solat ialah  pada waktu syuruq (Semasa terbit matahari), waktu istiwak (Matahari tegak di atas kepala) dan waktu Ghurub (tatkala matahari tenggelam).

Ramai dari kita takut dan teragak-agak untuk melakukan solat taubat kerana kurang berilmu. Kadang-kadang kesangsian  tentang apakah taubat kita diterima dengan solat yang bakal kita lakukan menyebabkan kita tidak yakin untuk bertaubat. Jadi ramailah yang tidak bertaubat di atas dosa-dosa mereka. Banyak panduan-panduan menyatakan bacaan-bacaan yang tertentu dan jumlah-jumlah bacaan tertentu lalu menyebabkan kita makin tidak tahu cara untuk melakukan solat dan apakah penerimaan Allah itu terhadap usaha kita. Janganlah dibebankan diri sedemikian. Belajarlah jika kita mahu tetapi amalkanlah mengikut apa yang kita mampu.

Allah berfirman di dalam surah-Nya. al-Muzammil di ayat 20 yang bermaksud :
 "Maka bacalah apa-apa yang memudahkan bagimu daripada al-Quran."
Selagi kita mampu baca dengan baik sekalipun ayat-ayat yang ringkas, kita sedar dan kita ikhlas untuk mendekati Allah, silakan meneruskannya tanpa was-was. Allah mencintai hamba-Nya yang mahu bertaubat dan berusaha mendekatinya. Jangan takut untuk datang rapat kepada Allah.

Rasulullah SAW telah meramalkan di dalam hadis baginda bahawa di akhir zaman wujud kalangan umat yang begini bunyinya :
"Mereka akan berkata perkara yang mereka tidak lakukan dan mereka melakukan perkara-perkara yang tidak diperintahkan."
Agama Allah itu mudah, maka mudahkanlah diri untuk mencintai Allah seadanya kemampuan diri tersebut. Sebagaimana kata Rasulullah SAW lagi, "Agama ini mudah dan jangan disulitkan."

Cara-cara melakukan solat taubat secara asasnya adalah:-
  1. Niat di dalam hati dengan berkata, "Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta'ala."
  2. Takbir
  3. Baca doa iftitah
  4. Baca Ta'awudz yakni Auzubillahimishaitonirrajim
  5. Baca surah al-Fatihah
  6. Baca apa-apa surah yang dipilih
  7. Takbir dan rukuk
  8. Iktidal dan bacaannya
  9. Sujud dan bacaannya
  10. Duduk dan bacaannya
  11. Sujud dan bacaannya
  12. Bangun rakaat kedua dengan takbir
  13. Di rakaat kedua baca surah al-Fatihah
  14. Bacalah surah apa-apa yang dipilih
  15. Takbir dan rukuk
  16. Iktidal dan bacaannya
  17. Sujud dan bacaannya
  18. Duduk dan bacaannya
  19. Sujud sesudah membaca bacaannya maka ucapkanlah taubat kita dengan sepenuh keikhlasan.
  20. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
  21. Salam penutup
Merujuk kepada apa yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW, solat taubat boleh dilakukan khusus antara dua hingga empat raka'at.

Kadang-kadang paksaaan untuk diri melakukan kebaikan terhadap diri sendiri kerana keredhaan Allah itu adalah amat perlu. Jika kita tidak memaksa dan melatih diri kita mencintai Allah dan menyesali akan keburukan diri, sampai bila pun kita tidak akan mampu tenang dan mengenali Allah. Begitu juga di dalam memaksa diri untuk menjauhi keburukan yang kita lakukan. Memaksa diri untuk menjauhi keburukan adalah suatu kewajiban.

Mungkin pada awal kita akan terasa sukar untuk melaksanakan sesuatu usaha ke arah kebaikan, namun jika kita bertekad, kuatkan hati dan terus membuat latihan ke atas diri sendiri, InsyaAllah yang mudah itu akan menyusul. Ameen.

Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengamalkan walaupun sedikit amalan agar Allah suka dan mudah  untuk memberikan hidayah dan taufik-Nya supaya hidup kita sentiasa berada di dalam kelapangan dari segi mental dan batin. InsyaAllah. Subhanallah. Wallhua'lam. Ameen.

Salam kasih kerana Allah.

Saturday, May 12, 2012

Hanya Satu

Dialah itu
Walau ditukar ganti
Hanya satu
Mustahil dicari


Di hati tanpa henti


Ya Allah, Ada suaraku untuknya. Biarlah Engkau sahaja Yang Mengerti. Ameen.


Friday, May 11, 2012

Tajrid

Sedikit nota ilmu untuk pengetahuan bersama.

Tajrid secara bahasa adalah mengosongkan sesuatu daripada yang lain. Maksud tajrid dalam pemahaman tasawuf bahawa jika kita sedang menghadap Allah, maka penuhkanlah perhatian hanya kepada Allah dan kosongkan perhatian daripada yang lain. Demikianlah juga jika kita mengerjakan sesuatu maka penuhkanlah perhatian kepada pebuatan tersebut dengan niat kepada Allah dan kosongkan daripada yang lain.


Kosongkan daripada yang lain dan hanya menghadapkan diri kepada Allah itulah yang dimaksudkan dalam kalimat : “ iyyaka na’budu wa iyyaka nastain “ dalam surah al fatihah.. Dalam ayat ini dipakai kalimat “Iyaaka” bukan “Ilaika”. Iyyaka artinya adalah hanya kepadaMu Ya Allah, dan tidak kepada yang lain sedikitpun sedang ilaika “ kepadaMu “; berarti dalam kalimat ‘iyyaka “ tersembunyi makna “tajrid” dan “tafrid”.


Tajrid mengosongkan diri daripada segala sesuatu sedangkan tafrid hanya menuju kepada Allah Yang Esa, sebab kalimat tafrid berasal dari “fardun “, yang bermakna tunggal, satu, tidak ada yang lain. Ulama menyatakan “ tajrid “ dalam ibadah sedangkan “tafrid “ dalam ubudiyah. “Tajrid” dari hamba kepada Allah sedangkan tafrid terdapat pada Dzat Allah.

Ada kumpulan yang mengatakan bahwa tajrid adalah mengosongkan dunia dari kehidupan sehingga kehidupan hanya untuk beribadah kepada Allah, padahal tajrid dalam amal ibadah tidak dapat dilakukan dengan meninggalkan amal soleh, sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Athaillah dalam kitab al Hikam :

“ Keinginan anda untuk tajrid padahal Allah menempatkan anda pada asbab, maka hal itu termasuk syahwat yang tersembunyi. Sebaliknya jika melakukan “asbab” padahal Allah menempatkan anda pada kedudukan tajrid, maka hal itu berarti kemerosotan daripada himmah yang luhur “.

Said Hawa menjelaskan bahwa tajrid disini maksudnya adalah meninggalkan pekerjaan duniawi, sehingga seakan-akan maksud Ibnu Athaillah adalah : “ Jika anda ditempatkan Allah pada kedudukan untuk melakukan ikhtiar dengan sebab-sebab sedangkan hatimu menginginkan tajrid, maka itu bererti akibat pengaruh syahwat yang tersembunyi “.

Disini Imam Athaillah menyatakan bahwa “tajrid” tidak bererti menghilangkan “asbab”. Sikap “Tajrid” adalah sikap hati yakin hanya Allah menentukan segala sesuatu tetapi keyakinan tersebut tidak boleh mengurangi amal terhadap sebab-sebab dalam berikhtiar. Tetapi dalam beramal, dalam melakukan sebab, maka hati tidak boleh pula tergantung kepada perbuatan tersebut, tetapi selayaknya hati hanya tetap bergantung kepada Allah.

Ibnu Athaillah berkata : Daripada sebahagian tanda ketergantungan kepada amal perbuatan adalah kurangnya harapan ketika terjadi suatu kesalahan “. Setiap muslim diwajibkan untuk beramal, berbuat sesuatu ikhtiar, tetapi diwaktu yang sama dia juga diwajibkan untuk tidak bersandar kepada amal perbuatannya tersebut, tetapi bersandar kepada Allah, hal ini dimaksudkan agar dalam melakukan amal, tujuannya adalah mencari keredhaan Allah, bukan natijah daripada amal perbuatan tersebut.

Ibnu Ajibah menjelaskan bahwa ‘” Tanda Allah menempatkan seseorang dalam “asbab” ialah dengan berjalan terus menerus dan nampak buahnya, maksudnya ketika sibuk dengan ikhtiar maka ikhtiar itu tidak menganggu agamanya, tidak membuatnya tamak kepada milik orang lain, tetap dalam niat yang baik, selalu menjalin hubungan silaturahim dengan yang lain, dan menolong orang yang lain sehingga amal perbuatannya dapat memberikan manfaat kepada dirinya, hidupnya, manusia yang lain, alam sekitarnya, dan kehidupannya di akhirat kelak. Sedangkan jika Allah memberikan kepadanya “Tajrid”, maka hatinya tetap kepada Allah walau dalam keadaan dan kesibukan melakukan asbab, dan mendapatkan ketenangan jiwa dalam beramal, kebersihan hati, dan hanya tergantung kepada Allah, tidak terpengaruh kepada natijah, tetapi tujuan melakukan asbab hanya mencari keredhaan Allah “.

Syaitan selalu menggoda manusia dalam tajrid dan ikhtiar. Jika manusia sedang berikhtiar, maka dia mengoda dengan mengatakan bahwa keadaanmu ini adalah hina sebab engkau meninggalkan ibadah kepada Allah, maka sebaiknya engkau tinggalkan ikhtiar dan bergantunglah kepada Allah tanpa berikhtiar.

Syaitan berkata : “ Andai engkau meninggalkan ikhtiar, dan kamu tajrid beribadah kepada Allah, maka nanti hatimu akan bersinat dan mendapat kedudukan yang tinggi disisi Allah sebagaimana si fulan dan si fulan “. Akhirnya orang tadi akan meninggalkan ikhtiar, padahal Allah mewajibkannya berikhtiar.

Demikian juga syaitan akan menggoda orang yang sedang khusyu’ beribadah kepada Allah (tajrid), dan berkata “Mengapa engkau sibuk dengan ibadah kepada Allah, padahal dunia itu diberikan kepadamu, maka sebab engkau meninggalkan ikhtiar, maka lihat orang lain telah menjadi kaya, mendapat dunia maka segera tinggalkan ibadahmu dan berikhtiarlah , dan carilah dunia “. Tujuan syaitan adalah agar manusia yang sedang melakukan ibadah atau yang sedang melakukan ikhtiar terpesong, antara ibadah dan ikhtiar, padahal ikhtiar dilakukan dengan niat ibadah dan keyakinan kepada Allah merupakan cara untuk mendapatkan keredhaan Allah, tetapi sebab terputusnya ibadah disebabkan ikhtiar atau terputusnya ikhtiar disebabkan ibadah menjadi penyebab tidak mendapat redha Allah. Ikhitar dan ibadah, tak dapat dipisahkan sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Atahillah : “ Amal-amal itu adalah badan yang berdiri, sedangkan rohnya adalah ketergantungan hati dan keikhlasan kepada Alah “.

Dalam hadis disebutkan bahwa :

“ Sesungguhnya Allah sangat suka kepada seorang hamba jika dia melakukan suatu perbuatan maka dia melakukannya dengan penuh kesungguhan “. ( Terjemahan hadits riwayat Abu Ya’li dan al askari )

“ Andaikata kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal maka Dia akan memberikan kepadamu rezeki sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung, di pagi hari burung itu keluar dari sarangnya mencari makan, dan di petang hari dia kembali ke sarangnya dalam keadaan perut yang kenyang “ ( Terjemahan hadits riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah).

Hadis ini menjelaskan bahwa tawakkal kepada Tuhan tidak menafikan ikhtiar, sebab Allah memberikan rezeki kepada burung sesudah burung itu terbang mencari rezeki, bukan menunggu di dalam sangkar. Tetapi dalam berikhtiar maka hati tetap bergantung dan bertawakkal kepada Allah.

Tajrid menghajatkan kepada “uzlah” dan inqitha’. Uzlah (menyendiri ) bukanlah semata-mata menyendiri di salah satu sudut masjid atau bilik, tetapi suasana hati yang tetap ingat Allah dari satu waktu kepada waktu yang lain, tidak terpengaruh dengan segala godaan dan suasana dalam beramal dan berikhtiar. Sedangkan “inqitha’, adalah mengumpulkan segala potensi , semangat dan waktu untuk melakukan ikhtiar, dengan hati tetap bergantung kepada Allah, sehingga kata Ibnu Ataillah : “ Adalah kebodohan orang yang meninggalkan apa yang suidah dimilikinya kerana hendak mencari sesuatu yang baru, padahal Allah telah memilih baginya pada waktu itu “.

Dalam uzlah Ibnu Ataillah juga berkata :

“ Tidak ada sesuatu yang bermanfaat untuk hati sebagaimana uzlah, sebab lewat pintu uzlah hati dapat memasuki medan fikir “.

“ Bagaimana mungkin hati akan bersinar, sementara gambaran dunia terlukis di cerminnya “.

“ Bagaimana mungkin seseorang itu menuju Allah, padahal hatinya terpasung oleh syahwatnya “.


Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang terjemahannya kurang lebih demikian:

“ Fitnah-fitnah itu dilekatkan di hati bagaikan tikar,sehelai demi sehelai. Maka hati yang dapat dimasukinya tertitik satu noda hitam padanya. Adapun hati yang mengingkarinya maka tertitislah padanya titik putih. Sehingga hati ada dua macam : Hati yang putih laksana batu karang yang tak dapat digoyang oleh fitnah selama ada langit dan bumi; dan hati yang hitam laksana periuk yang terbalik, tidak mengenal kebaikan dan tidak mengingkari kemungkaran, hatinya penuh dengan hawa nafsu yang telah masuk ke dalamnya “ (Terj. hadits riwayat Muslim ).

“Tajrid” dan asbab adalah bergantung kepada rububiyah dan melaksnaakan ubudiyah dalam setiap kehidupan, bagaikan dua sisi matawang yang tidak dapat dipisahkan, dan pada waktu yang sama kita meyakini “tafrid” yaitu meyakini hanya Allah bermula segala sesuatu dan hanya kepadanya berakhir, sebaagimana dikatakan oleh Ibnu Atailah : “ Bergantunglah kamu kepada sifat-sifat rububiyah Allah, dan laksanakanlah dengan sungguh-sungguh sifat-sifat ubudiyahmu kepadaNya “.

Hati manusia selalu dalam proses ujian, apakah dapat melakukan tajrid , sehingga bersih daripada nafsu, keinginan dan goresan-goresan dunia, mereka yang dapat melakukan “ tajrid” inilah yang disebutkan oleh Al Quran bahwa : “ Mereka itu adalah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertaqwa ‘ ( Terj. Al Qur'an Surah al hujurat : 3 ).

Semoga hati kita tetap tajrid dan tafrid kepada Allah dengan tetap melaksanakan ikhtiar dengan penuh kesungguhan dengan tujuan mendapatkan keredhaan Allah.

Thursday, May 10, 2012

Suka dan Tak Suka

Kita suka untuk menyapa
Tapi ada orang tak suka
Sapaan kita mungkin mengganggu sahaja
Itu tidak mengapa..
Jangan lihat apa kata yang tak suka
Lihatlah niat kita di mana

Kita suka untuk tersenyum
Tapi ada yang tak suka
Senyum kita mungkin tak kena waktunya
Itu tidak mengapa..
Jangan disalah wajah yang mencuka
Senyumlah dari niat ikhlas di jiwa
Jika baik, itulah pahala

Kita suka untuk bersifat mulia
Tapi ada yang tidak suka
Rengsa kerana dengki dan buruk sangka
Itu tidak mengapa..
Jangan peduli fitnah dan domba
Biarkan sahaja Allah menilainya
Yang Maha Tahu Hanyalah DIA..

Suka dan Tidak Suka
Terpulang kepada kesucian hati manusia

Semoga ada hidayah dan taufik Allah mendorong hati ke arah memutihkan iman. Ameen.


Assalamulaikum wbt


Tuesday, May 8, 2012

Buat Baik Berpada-pada

Sedikit mutiara kata dari Raz di kala senja bercampur seulas senyum seperti 'baby' dalam foto di bawah ini.

Adakalanya kita mahu berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada orang lain. Kalau boleh kita mahu kegembiraan berpihak kepada semua di atas segala keputusan dan tindakkan kita. Kita berikhtiar sehabis tenaga, kata dan ketulusan dari jiwa. Sehingga sampai suatu saat kita mulai letih dan tidak lagi berdaya menggendong semuanya di dalam satu masa. Alhamdulillah, akhlak sebegitu sememangnya terpuji dan mulia. Baguslah jika kita terdaya mengamalkan sepanjang masa.

Namun, harus kita ingat, kita tidak akan mampu memuaskan kehendak semua orang di sekeliling kita walau bagaimana sempurna pun perancangan yang kita usahakan. Hati manusia tidak pernah sama. Mungkin nampak sama warna, tetapi hakikatnya 'warna batin' yang menyelaputi tidak pernah sama. Malah sering berubah-rubah mengikut sesuatu agenda.

Walau kita pakar dan bijaksana, kita hanyalah manusia hamba. Ruangkan waktu untuk rehatkan minda dan lepaslah seketika beban di dada walau seketika. Kita amat memerlukan kerehatan. Ikutlah resmi yang Rasulullah SAW telah ajarkan kepada kita melalui sunnahnya yakni "Bersederhana" di dalam segala perkara.
Agih-agihkanlah kepentingan sesuatu kehendak agar kita tidak terjebak di dalam rasa sesak.

Nilaikan keperluan dari manakah yang perlu di dahulukan, dan yang mana pula harus dikemudiankan. Buat baik berpada-pada, perlu tepat dengan cara.

Salam sayang kerana Allah. Wallahua'lam. Jaga diri, jaga hati dan berehatlah dengan setenangnya. Senyum.

Friday, May 4, 2012

Kekurangan Diri Perlu Dicari



Sudah menjadi lumrah manusia, seringkali dapat melihat debu di mata orang lain, sementara bukit di matanya sendiri tidak pula nampak baginya.

Apabila Allah SWT mahukan kebaikan bagi hamba-Nya, Allah akan menunjukkan kepada kita tentang cacat-cela yang terdapat pada diri sendiri dengan 'caraNya'. Kita yang disuluh oleh pengelihatan mata hati yang cukup tajam, akan sentiasa menghisab (bermuhasabah dan bermujahadah) tentang kekurangan diri dan akan mengenali kelemahan diri. Bilamana kita mengetahuinya, perlulah selalu kita basuh dan sucikan ia agar hilang dan terus hilang supaya titik-titik putih dihati dapat menempatkan lakarannya pula dan menyikirkan titik hitam sedaya upaya, InsyaAllah.

"..dan sesungguh beruntunglah bagi sesiapa yang mensucikan jiwa itu.." [Surah Asy-Syams: 9]
".. dan sungguh rugilah bagi sesiapa yang  mengotorinya.." [As-Syams:10]

Terdapat empat cara bagaimana kita dapat mengenali kekurangan diri kita :-

1) Mencari guru yang mursyid dan arif di dalam soal kecacatan jiwa, disamping memiliki pengetahuan tentang penyakit-penyaikt hati yang tersembunyi. Disitu bolehlah kita mengendalikan diri dengan mengizinkan guru tersebut memperbetulkan dan memberi tunjuk ajar serta mengenali ilmullah yang berupaya membawa kita ke jalan yang sebenar. Guru tersebutlah yang bakal menjadi pelintas dengan mengetahui, memerhati dan menasihati akan kekurangan-kekurangan diri yang sewajarnya kita ubah. Namun, jarang sekali dapat kita temui seorang tokoh yang sedemikian di zaman ini.

2) Mencari teman atau sahabat yang tulus dan arif serta amat menjaga segala aturan agama dengan sebaik-baiknya. Sahabat sedemikian boleh menjadi tulang belakang atau pengawas diri kita sehingga setiap kali dia melihat sesuatu tentang diri kita yang bakal merosakkan akidah, dia pasti akan menegur dengan berhemah.
Sebagaimana di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda memiliki teman yang sentiasa ikhlas jujur menegur dan membahas sesuatu sehingga keadaan menjadi lebih baik diantara mereka. Sesiapa sahaja yang lebih bijak akalnya sekalipun mempunyai kedudukan yang tinggi tetapi sentiasa mencurigai kecacatan diri dan bertanyakan sahabatnya tentang kelemahan-kelemahan yang perlu diubahnya, dialah insan yang mengenal diri demi mengenali Tuhan-Nya.

Sedihnya, sahabat sedimikian juga amat sukar dipertemukan di zaman kita sekarang ini. Kebanyakan yang kita temui melebihkan sikap berpura-pura, malah hanya berminat untuk mencela, membuka aib dan berdengkian walaupun terhadap sahabatnya sendiri. Manusia zaman sekarang lebih suka jika dirinya dilebihkan manakala orang lain hanya diperlayakkan menerima apa-apa kebaikan yang secukupnya sahaja. Apatah lagi bila ada teguran yang disampaikan tentang kekurangan diri kita, tidak ramai yang mampu menerima dengan minda terbuka malah sahabat-sahabat yang sering menasihati mudah sahaja dipencilkan dan dibenci.

Akhlak buruk adalah ibarat ular dan kala jengking yang menyengat. Bayangkanlah jika ada orang yang terlihat kala jengking di dalam baju kita, tidakkah kita berasa senang dan sangat berterima kasih sekiranya dia memberitahu kita dan kita pula segera menyibukkan diri untuk membuang kala jengking tersebut jauh-jauh malah mematikannya juga?

Kita sepatutnya bermohon kepada Allah SWT agar diilhamkan kurnia-Nya memiliki pemikiran yang benar, membuka hati kita agar mengenali kecacatan diri dan berusaha mengubati kekurangan tersebut serta berdoa agar Allah memberi taufik bagi kita menerima dengan rasa syukur bilamana kita dikurniakan sahabat yang berani menegur dan memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik.

3) Ambillah iktibar dan manfaat melalui ucapan-ucapan daripada mereka yang membenci diri kita. Ada madah berkata, "Mata yang membenci menonjolkan segala keburukan". Sekalipun kebencian mereka itu tidak benar dan berunsur fitnah atau jahil, ambillah ia dan jadikan ia sebagai pedoman supaya menjadi penampan pada diri untuk mengelakkan keburukan tersebut menjajah diri. Mungkin saja, manfaat yang diambil dari musuh yang keras hati adalah lebih besar daripada teman yang bermanis mulut, memuji-muji tetapi dalam diam menyembunyikan kecacatan diri kita sehingga kita lebih terleka dan tersesat. Seseorang yang bijak dan berwaspada pasti tidak akan mengabaikan manfaat dari kejian musuh-musuhnya tentang kelemahan dirinya kerana di situ dia mampu memperbaiki dirinya agar lebih sempurna.

4) Bergaullah dengan masyarakat yang luas. Tabiat manusia sememangnya suka mengikuti hawa nafsu dan kebanyakan manusia itu adalah sama. Belajarlah dari apa yang kita lihat daripada situasi sekeliling kita. Seperti kata Nabi Isa a.s ketika dia pernah di tanya' " Siapakah yang telah mendidikmu?" Lalu dia menjawab, " Tidak seorang pun! tetapi aku selalu melihat bahawa kejahilan seorang yang jahil itu  adalah seuatu yang buruk , maka aku pun menjauhinya!"
Jangan pula kita melihat yang buruk lalu kita mendekati keburukan tersebut dan menjerumuskan diri ke arah memburukkan diri. Allah memberikan kita akal yang waras untuk berfikir dan hati yang berdegup untuk menimbang baik dan buruknya sesuatu keadaan, maka pergunakanlah ia sebaiknya.

Mudah-mudahan Allah sentiasa mendorong kita bagi memilih jalan-jalan yang mulia untuk keselamatan dunia dan akhirat. Ameen. Wallhua'lam..


Salam muhasabah dan mujahadah.
dengan senyuman yang indah.