Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, August 31, 2011

Dialog Luka Wanita : "Hari Ini Adalah Cermin Hari Depan."



"Su tak teringin ka nak berkawan dengan orang lain sekarang ni? Lupakan semua perkara silam, cuba buka hati untuk sesuatu yang baru."

Tersenyum tawar bila dia mendengar cadangan Raz. Raz tahu dia tidak marah.

"Dah cuba,kak. Berkali-kali Su cuba mengenali orang lain selain dia. Su cuba untuk memahami lelaki lain. Tapi, entahlah! Keserasian tu tak ada."

"Hawat pulak.. tak semua lelaki itu sama sifatnya, Su?"

"Betul, kak.. Tak semua lelaki itu sama. Ada yang baik, ada yang sekadar suka-suka dan ada pula tu, hanya ingin mengambil kesempatan atas kelemahan Su."

"Ish.. takkanlah takdak satu pun yang hang rasa sesuai dengan jiwa hang Su?"

Su tersenyum lagi. Sesuatu yang Raz sendiri tidak faham sedang bermain dibenaknya. dari gerak badan dan lenggoknya, Raz menduga mungkin Su melalui banyak pengalaman tentang kehadiran lelaki dalam hidupnya.

"Malaslah, kak! Depa ni susah nak difahami. Bila dah kita jumpa yang kita boleh terima, lain pulak jadinya. Serba tidak kena belaka. Banyak pengorbanan dan kesabaran yang perlu kita lalui untuk mengenali mereka, kak."

"Alahai, memang begitu adatnya, Su. Kasih-sayang sentiasa memerlukan kita mengorbankan sesuatu sekalipun perkara yang paling kita perlu, demi menjaga keseimbangan talian perhubungan antara dua belah pihak. Kita tidak boleh mementingkan perasaan kita sendiri."

Raz direnung tajam dan dalam oleh Su. Raz kehairanan kenapa Su berlaku demikian. Su tiba-tiba mencuit hidung Raz dan ketawa berdekah-dekah.

"Kak Raz ni kan.. pandai nasihat orang tau.. ! Kak Raz sendiri macam mana?"

Terasa hangat merah wajah Raz.

"Haramak! Terkena getah la pulak!" Gurau Raz. Kami sama-sama ketawa kecil. Kesimpulannya beitulah dalam hidup ini. Adakalanya kita petah berbicara mengenai apa yang orang lain perlu lakukan. Namun, kadang-kadang di dalam hal diri kita sendiri terkecundang jua. Namun, semua itu tidak menjadi masalah kerana setiap kali kita menasihatkan orang lain, secara sendirinya kita sedang menasihati diri sendiri untuk mengotakan apa yang kita katakan. Perkataan-perkataan yang baik itu merupakan doa. Setiap apa yang kita berikan walaupun hanya dengan lisan yang tidak bertulang, InsyaAllah kebaikan itu akan tetap dikembalikan kepada kita akhirnya.

"Kak.. Su dah penat untuk lalui semua tu lagi. Cukuplah buat sementara waktu ini Su berehat dari memikirkan tentang hal jodoh ni lagi."

"Hemm.. tak apalah Su, Kak Raz yakin dan percaya kuasa Allah SWT itu mengatasi segalanya. Sampai masa, bila Allah membuka jalan-Nya yang mulia untuk kita, tidak akan daya kita menolak kehendak-Nya. Apa yang penting sekarang, sentiasalah kita memperindahkan diri kita sendiri dengan kebaikan-kebaikan yang diperintah-Nya. InsyaAllah, kita akan tersenyum puas, lega, tenang, lapang dan bahagia nanti, Su. Ilmu Allah itu luas, Su. Dia ajarkan seperkara demi seperkara setiap hari di dalam ujian yang kita tempuhi dan DIA selalu ingin kita kenali DIA sebelum kita mengenali yang lain. InsyaAllah.. selepas kita mengenali-Nya, DIA akan kenalkan kita dengan perkara-perkara yang lain yang telah diciptakan untuk kita. Kita tidak perlu susah hati, Su. Akan ada jalan-Nya yang baik, sekiranya kita tetap berada di jalan yang telah dipilihkan-Nya untuk kita."


Hati Raz yakin untuk meyakinkan Su bahawa apa yang Allah telah takdirkan untuk kehidupan kita hari ini adalah kesinambungan dari apa yang akan berlaku pada masa hadapan kita nanti. InsyaAllah. Hari ini adalah cermin hari depan.

Salam kasih
Moga bahagia dan dirahmati Allah sentiasa hendaknya. Amin..

Senyum tidak meminta sebarang harga. Senyumlah bila-bila masa yang disuka ya.

Raz.R
31.08.2011




Akal Dan Hati



Akal yang mencongak bakal tersalah
kadang meneroka tidak tentu arah
antara usaha dan pasrah berserah
atau diam, sepi, undur dan mengalah

Hati yang bercebis-cebis tenat
kekadang stabil kekadang penat
berjuang mencungkil erti manfaat
di lubuk baik, di sarang jahat

dan kesimpulannya

Akal dan hati bagai berjudi
meneka dalam samar, mengagak dalam undi
yang tersurat belum tentu menjadi
yang tersirat, imanlah yang perlu berbudi



Raz.R
Syawal ke dua
merdeka hati , merdeka akal.
31.08.2011

Tuesday, August 30, 2011

Pusara Rindu Aidilfitri



Agak lebih seminggu hujan membasahi bumi kelahiran Raz tanpa henti. Kekadang hujan datang bersama angin kuat dan ribut. Sesetengah tempat dinaiki banjir. Tiba-tiba hari ini, hari yang penuh berkah Allah Subhanahuata'ala telah memunculkan mentari yang indah sekali. Hujan telah berhenti dengan sendirinya! Wah! Alhamdulillah, Maha Suci dan Hebat keajaiban Allah.

Raz dan saudara-saudara muslimin dan muslimat yang lain dapat menikmati Aidilfitri dengan selesa, sempurna dan keindahannya dapat dirasa di dalam jiwa yang sederhana.

Di pusara arwah nenek dan adik selepas solat sunat Aidilfitri, Raz terkesan dengan kecantikan yang Allah telah munculkan tiba-tiba itu. Lama betul Raz tidak menziarahi pusara adik dan hari ini air mata Raz bagai tidak dapat dibendung, merindui kehadirannya kembali dalam hidup Raz. Teramat-amat rindu sekali.

"Alhamdulillah..suatu hari nanti kakak juga akan tertimbus disitu bersamamu, adikku sayang. Kakak rindu.. amat rindu. Selamat hari raya, dik. Maafkan kakak jika dulu kasih sayang kakak padamu tidak sehebat hari ini ketika ketiadaanmu."

Maaf, Raz hanya ingin menangis di dalam. Sekadar membuang luahan yang terkunci dengan rantai sayu di hati.

Monday, August 29, 2011

Dialog Luka Wanita : Kemaafan Selalunya Menggembirakan.




"Su, InsyaAllah.. esok kita raya. Kak Raz nak minta maaf, minta ampun di atas semua kesilapan kak Raz pada Su, ya?"

Su tersenyum. Warna cerah kristal keikhlasan jelas terpampang di wajahnya.

"Yalah kak Raz, Su pun sama. Jika selama ini Su selalu menyusahkan kak Raz, tolong maafkan ya? Ampunkan Su dari hujung rambut ke hujung kaki."

Kami bersalaman. Lalu disambung dengan berpelukkan erat, kemas, mesra dan kejab. Biarlah rasa kemaafan itu meresap terus ke dalam hati tanpa ada apa-apa penghalang lagi. Moga Allah mendengar perasaan itu dan segaligus memadamkan catatan kesilapan yang tertulis. Ya Allah! Ampunilah kami.

"Kak Raz, apa tema raya kak Raz kali ini? Berapa pasang baju kak Raz tempah?"
Su menyambung kata dan Raz tersenyum diselikan ketawa kecil bersahaja.

"Tema apa pulaknya hang nih?.. Ada-ada ja lah! Kak Raz tak sediakan apa-apa pun untuk diri kak Raz kali ini tau. Hujan-hujan macam ni mana dan (sempat) nak bertema-tema dah haih. Buat kuyup dek hujan ja lah!"

"Alah, kak Raz ni selalu macam ni tau! Tahun lepas pun kak Raz cakap gini."

Raz ketawa. Su pula mengerling manja dan comel.

"Betul Su.. Kak Raz tak buat apa-apa untuk diri sendiri pun. Cuma untuk keluarga ja serba sikit. Sederhana ja. Yang penting depa 'happy'. Selebihnya tu, apa yang menggembirakan keluarga kak Raz, itulah juga yang akan menggembirakan akak."

Su tunduk. Melihat jauh ke dalam tanah. Rasa hati Raz, bukan cacing atau mikrob tanah yang dilihatnya tetapi sesuatu yang jauh diusik kenangan. Tiba-tiba dia mengulangi sedikit kata-kata Raz.

"Hem..yang menggembirakan.."

Raz mula mengerti. Apa yang lebih menggembirakan hati kecil wanita itu melainkan nostalgia lamanya.

"Raya kali ni, Su tak rasa gembira, kak. Kalau dulu Su akan gembira bila Su dapat berkongsi rasa gembira Su bercerita tentang perancangan raya dengannya. Kami saling memohon maaf. Saling bertanya itu dan ini. Sekarang.. tiada lagi,kak. Sepinya rasa hati. Dulu, dia selalu hantarkan Su daun palas yang dicarinya sendiri untuk dibuat ketupat. Sekarang.. tanya khabar Su pun tidak ada lagi.."

Aduhai, sayunya rasa hati Raz mendengar kata hati Su. Terkelu lidah Raz untuk menyambung kata. Raz biarkan Su melayani rasa hatinya dengan tepukkan lembut di bahunya. Begitulah jika seorang wanita menyayangi seseorang sepenuh hatinya. Walau sedikit pemberian yang diterima oleh orang yang disayangi mereka, berbekas sebagai penghargaan dalam ingatan jiwa selamanya.

"Tapi tak apalah, kak.. Biarlah semua tu!" Katanya tiba-tiba memeranjatkan Raz. Raz membulatkan mata Raz dan mengangkat kening sebagai isyarat kepastian.

"Dia ada dalam doa Su sentiasa, kak. Jika perpisahan ini membahagiakan dia, Su redha. Moga Tuhan menggembirakan dia walau di mana dan walau apa yang dilaluinya sekarang. Moga Allah tetapkan hidupnya di dalam hidayah yang lurus. Moga dia gembira, kak! Moga dia gembira! Itu saja yang Su mahukan.."

"Aaamiin.."

Itu sahaja yang Raz mampu jawab ketika sebak melihat mimik wajah Su yang mendoakan insan yang pernah melukakan hatinya dahulu dengan begitu robek sekali. Ternyata Su telah memaafkan kesakitan silam yang dilaluinya. Walau dalam susah, walau rasa payah.. kemenangan apakah yang mampu mengubah hidup seseorang insan itu melainkan kemaafan yang ikhlas?

Hujan semakin lebat mencurah. Tanah basah dan menakung air yang banyak. Sepertimana kelopak mata Su yang bergelinang dengan air yang berkaca. Air mata redha. Air mata rela. Subhanallah! Moga Su terus tabah Ya, Allah! Engkau Maha Kuat, tolonglah Engkau kuatkan hamba-Mu itu!

Selamat hari raya, Su.
Selamat hari raya untuk Raz, dan...
selamat hari raya untuk semua yang sudi membaca pengalaman hati yang tidak seberapa.
Semoga Aidilfitri kali ini bertakbirkan takdir yang baik dari Allah SWT kepada kita semua. Mohon maaf, zahir dan batin. Maafkanlah.. Apakah yang lebih menggembirakan hati, segembira apabila memaafkan yang lain?..
Moga gembira, senyum seindahnya! Amin..


Salam kasih,
Raz.R
Sehari sebelum Aidilfitri.
29.08.2011

Sunday, August 28, 2011

Sekadar Puisi : Sudah Biasa



Sudah biasa..
meredah sakit, melawan perit
menggilap sabar bukan sedikit
banyak luka dijahit-jahit
yang patah kembali bangkit
makin ringan memori sulit

Sudah biasa..
memasong diri kerana kasih
menagih rintih menjauh sisih
hanyutkan aib dibuai sedih
hingga diri tidak terpilih
pun kecewa tetap kan pulih

Sudah biasa..
dipekup tajam nista dan hina
tiap usaha serba tak kena
bagai wujud tiada guna
menular panjang rasa merana
namun yang busuk tidak kemana

Sudah biasa..
madu dikalung, racun dibalas
tanpa ehsan, tanpa belas
dendam dan iri tidak dibalas
nurani mulia dipegang kemas
hati tetap jelas, senyum masih ikhlas

Sudah biasa..
membiasakan hidup luar biasa..


Raz.R
28.08.2011
Tika hujan dikamar
Salam kasih kerana Allah. Senyum ya!

Friday, August 26, 2011

Sekadar Puisi : Sirah-Mu


Sirah-Mu

Rindu dingin hening..
ayat-ayat-Mu kudamba..
tika kuiramakan huruf-hurufnya..
ada bahagia bergema..
berjuta tinta dijilid..
tiadalah kata seindah kitab-Mu..
Aku rindu .. dan rinduku dijerut sendu..
menatap sirah-Mu.. aku sayu
mampukah ku bawa bersamaku nanti
apabila rohku dikembali?



Raz.R
25.08.2011
Kala larut malam mendiam
Tiadalah aku jatuh.. melainkan Allah yang menentukannya..
Tiadalah aku bimbang.. selagi Allah tempatku sandang..
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Walaailahaillallah.. Wallhuakhbar!

Sekadar Puisi : Hujan


HUJAN

"Titis gerimis nan halus..
meniti dicelahan cahaya neon yang menyuluh..
garis-garis air halus rapat menyentuh bumi..
basah, membanjirkan dingin..
disebalik kaca kurenung tajam keluar...
awan masih menebal dan hujan meluruh lagi..."


Walaupun hujan masih belum berhenti. Namun, rahsia Allah hanya diketahui oleh-Nya. Dia Maha Tahu apa yang perlu dilakukan-Nya. Nantikankah kita keajaiban yang tersimpan disebalik setiap kejadian semesta alam.

Salam kasih
Raz.R
25.08.2011
Ketika berpeleseran .. :)

Tuesday, August 23, 2011

Dialog Luka wanita : Tidak Lagi Berpaling



Kata Su hari ini, dia sudah tidak kisah lagi. Dia sudah tidak ingin apa-apa lagi. Dia sudah tidak mahu menanti. Malah, dia juga tidak mahu meletakkan rasa cintanya kepada sesiapa lagi. Dia sudah benar-benar putus asa. Dia sudah tidak lagi yakin dan percaya. Dia sudah takut untuk memahat batu bersurat untuk membina sejarah dan memori baru. Dia mula benci pada setia. Dia sudah letih mendengar, mengikut dan menerima. Dia mula memagarkan dirinya, membedil jauh panggilan-panggilan asyik yang mengorak hidupnya ke arah kecewa. Dia tidak lagi membuka hatinya. Telah dibuang jauh kunci hati ke dasar lautan hitam kehidupan. Tidak betah lagi untuk dia berpaling memperbetulkan genting yang bocor. Biarlah lubang itu tidak tertampung. Katanya, biar diri di mamah usang namun kembali mewarnakan kasih, mungkin telah sampai ke hujungnya. Dia bukan lagi Su yang dahulu.

Raz percaya, semua kata-kata Su itu bersungguh dan sungguh wanita itu telah bertekad. Walaubagaimanapun, ia adalah sebuah letusan rasa yang sementara. Apabila terluka, naluri akan memberontak memperjuangkan apa yang dirasa dengan campuran sakit dan merana. Hingga hilang sembuh lukanya, dan dengan kuasa Allah Taala Raz pasti dia akan kembali seperti biasa. Ujian Allah, begitulah rupa. Setiap penyakit ada ubatnya dan masa seringkali menyembuhkan banyak agenda.

Baguslah jika Su tidak ingin berpaling lagi pada masa silamnya. Di dalam hati Raz tetap berdoa agar tidaklah Su terlalu tebal menutup dunia cintanya. Raz pasti suatu hari nanti, apabila Su telah berjaya menangani luka dan rasa sakitnya, Su akan berdiri hebat sebagai seorang wanita yang luar biasa jiwanya. Moga Su tetap terus bertahan mengharungi alun, ombak dan badai kehidupan dengan ketenangan dan keharmonian cinta Tuhan.

Salam kasih untuk Su
Salam sayang untuk Raz
Salam cinta untuk semua.. Lillahita'ala.
Moga bahagia.. moga gembira.

Raz.R
23.08.2011

Sunday, August 21, 2011

Sekadar Puisi : Resmi Insan



Bila hati sudah bercantum
belai kasih berbau harum
lalu sayang mekar menguntum
dan rindu mula mengaum
didiklah cinta nilai yang ranum...

Jujur dalam berkata
tepis semua dusta
tangkis berpura nista
berdalih bawa sengketa
menyisih undang derita


Ikutlah resmi perhubungan insan
semakin hari semakin berdekatan
Suburkan setia, usirlah alasan



Sayang selasih hamba lurutkan:-
Raz. R
21.08.2011



Saturday, August 20, 2011

Sekadar Puisi : Getar



"Dap"
degup pertama gemanya suka
"Dip"
degup kedua gemanya rindu
"Dup"
degup ketiga gemanya sayang

Dap, dip, dup - suka, rindu, sayang
Dup, dip, dap - sayang, rindu, suka

"Dup-dup" .. "Dup-dup" .. "Dup-dup"
Allah! ... Allah!... Allah..!

Saat getarnya bergendang
menyusup debar bergoncang
lenggoknya bertari kencang
bangkitlah melodi sayang
kasih mula datang bertandang

Allah...
degup yang tidak berhenti
mengalir simpulan kasih di hati
buih-buih segar kembali meniti
terawang riang cinta sejati
di bawa hingga akhir nanti...


Allah...
Berikan aku khabar-Mu
perjelaskan aku, rahsia getarku....


Salam kasih,
20.08.2011
Raz.R



Bagaimana Rasamu Tentang 'Cinta' ?



Raz petik artikel di bawah untuk tatapan diri Raz. InsyaAllah, mungkin ia juga boleh dijadikan pedoman untuk mana-mana yang ingin berkongsi bersama Raz :-

Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?"



Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.


Mudah-mudahan ada jalan Cinta yang terbaik dari Allah untuk kita semua. Amin..

Raz.R
20.08.2011
di kamar putih.
Salam kasih dan Assalamualaikum.
Moga dicintai Allah semuanya..

Friday, August 19, 2011

Bila Mercun Berdentum



Tiap tahun, menjelang hari raya kes yang sering muncul sudah tentu MERCUN. Raz tidak gemar mengutuk atau mencela. Namun, tidak adil rasanya kita terus membiarkan perkara ini dipandang biasa.

Bingit betul telinga Raz mendengar letupan mercun yang dibunyikan oleh anak-anak jiran. Muzik yang keluar dari letupan mercun bukanlah nada yang sedap didengari. Ia amat menganggu hati dan akal Raz. Apalah yang menjadi penyebab mereka 'gila' untuk bermain mercun dan mengganggu ketenteraman ibadah orang lain di bulan Ramadhan yang mulia ini? Sedih sungguh bila melihatkan anak-anak Islam ini terjejas akhlaknya.

Hairan sungguh, bila ibu bapa mengizinkan anak-anak membahayakan diri anak-anak mereka dengan dentuman-dentuman mercun tersebut. Sepertinya mereka ini mahu membunuh anak-anak mereka. Budaya apa yang mereka ambil? Bukankah menganggu ketenteraman orang lain itu, budaya syaitan?

Aduhai sekelian yang suka pada mercun..
Belajarlah menghormati bulan Allah. Belajarlah menikmati ibadah. Belajarlah menghormati mereka yang di sekeliling kita kerana suatu hari nanti mereka inilah yang akan membantu mengusung jenazah kita ke pusara. Usahlah pentingkan apa yang kita mahu bila berada di dalam masyarakat. Kita memerlukan masyarakat, jadi hindarkanlah dari menjadi penyebab masyarakat membenci dan menghindari kita.

Lihatlah dengan hati, fikirlah dengan jiwa dan akal yang tidak dirundung kejahilan.
Lakukan sesuatu yang meringankan orang lain, bukan menambahkan bebanan kepada orang lain dengan menambahkan kesakitan perasaan.

Kita tidak tahu masalah yang dialami orang lain. Jangan sekali menganggap kehidupan orang lain itu tidak sepenting kehidupan kita, padahal suatu hari nanti kita akan tahu bahawa orang lain juga akan memberikan peranan yang perlu di dalam hidup kita.

Telah diajarkan Allah tentang kasih sayang sesama manusia. Didiklah seluruh dan seisi keluarga, kampung atau daerah kita bagi mengenali kasih sayang Allah itu.
Kenapa kita perlu meniru haluan dan tradisi sumbang oleh golongan-golongan yang cuba mempengaruhi kita agar berpecah-belah sesama kita?

Ayuh! Belajarlah menghormati kehidupan yang lain, jika kita inginkan kehidupan kita turut dihormati.

Salam geram tapi sabar.
Raz.R
19.08.2011



Sekadar Puisi : Aku Tidak Mahu



Aku tidak mahu
manis terima kasihmu

Aku tidak perlu
tertib kata puji-pujianmu

Aku tidak ingin
ungkit pemberian silamku

Aku tidak kisah
tiada aku di matamu

Andai kau terus mahu
jujurlah pada kasihmu
usah menanti balasku
ikhlaskan tiap pujianmu
terus pada Tuhanmu
berilah tanpa ragu
penuh akan redhamu

Pandanglah aku dengan mata insan
yang mengakui diri hamba Tuhan
Terimalah tiap kekurangan
tanpa sangsi, tanpa sesalan...

Aku tidak mahu
segala yang mungkin dimahukan
Cukuplah DIA menyediakan segalanya.


Raz.R
Salam kasih..
19.08.2011

Ramadhan Kian Pergi



Salam subuh..Sehening subuh yang indah. Warna titis embun dirumput yang berkaca. Langit sedang dilingkar mega. Alangkah cantiknya!

Hidup Raz ini ringkas!
Seringkas masakan Raz di sahur pagi ini(Kangkong goreng, ikan goreng, telur dadar dan sambal ulaman). Cukuplah, apa yang telah dicukupkan oleh Allah SWT untuk Raz dan keluarga. Ringkas tetapi bahagia, Alhamdulillah.

Sebelas hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita pergi. Sayup sayu terasa di hati. Apa yang telah kita bekalkan sepanjang Ramadhan ini ya? Adakah tentang juadah harian kita yang pelbagai limpahnya? Atau rasa lelah yang kita layan kerana kelaparan? Kita sibok dan kalut tentang pakaian dan hiasan yang diperlukan untuk menyambut Aidilfitri nanti. Cukupkah itu semua untuk menampung kehidupan kita di akhirat nanti?
Sudah cukupkah kita memperingati diri menghargai apa yang Allah beri?

Maaf, tidaklah tujuan tulisan ini untuk menyangkal kemeriahan menyambut kehadiran Syawal. Sekadar luahan hati Raz yang sedih dengan kekurangan diri. Terlalu ringkas rasanya apa yang Raz beri pada Ilahi. Sedang Allah berikan Raz padat sekali kurniaan-Nya.

Ahh.. maaf, Raz tidak mampu teruskan lagi. Air mata ini mengalir bagai hujan pagi. Tidak tertahan dipanggil emosi. Setakat ini sajalah yang dapat dikongsi. Moga Allah mengampuni.

Salam kasih
Salam pagi.
Assalamualaikum..


Raz.R


Thursday, August 18, 2011

Aduhai Kekasihku



Aduhai Kekasihku...
Bagaimana aku ini mampu
apakah perlu aku mahu
mencintai yang lain selain dari-Mu?

Aduhai Kekasihku...
Mungkinkah aku boleh
apakah perlunya aku
merindui yang lain selain dari-Mu?

Aduhai Kekasihku...
Perlukah aku bagikan rasa
sedang rasa ini untuk-Mu
membahagikan hati ini tuk selain dari-Mu?

Aduhai Kekasihku..
Jika yang muncul itu adalah dari-Mu
Lebihkanlah kasih dan cintaku pada-Mu
Lindungi aku dari mengkhianati-Mu
Tetapkanlah harap dan pasrahku pada-Mu
gentarkan dan takutkanlah aku dengan dosaku pada-Mu
Izinkan aku..
Mencintai yang lain kerana CINTA-MU...

Aduhai Kekasihku..
Jangan tinggalkan aku sendiri
menyelami kasih yang lain tanpa kasih-Mu
Tolonglah aku wahai Kekasihku
Hanya Engkau yang aku mahu
Peluklah aku terus dalam CINTA-MU...
sungguh aku takut..
cintaku yang lain kan memudarkan
warna cintaku pada-Mu..


Salam Cinta
Raz.R
18.08.2011

Wednesday, August 17, 2011

"Kamu Istimewa"




Hampir Subuh, setelah 17hari berpuasa.

Alhamdulillah.. Masih boleh meneruskan ibadah dengan bertenaga. Ya Allah, rahmati kami dengan keberkatan Ramadhan-Mu.

Bunyi SiJalak melaungkan melodi subuhnya. Cengkerik masih menyanyi riuh. Raz tersenyum sendiri. "Masih boleh mendengar", kata hati Raz. Bersyukurlah pada Ilahi wahai diri.

Mengingati seseorang tiba-tiba membuatkan Raz ingin meluah kata lagi di sini. Seseorang yang telah membangkitkan keyakinan Raz terhadap diri Raz sendiri. Seseorang yang membuatkan Raz ketawa dan merasakan diri Raz juga di kalangan yang istimewa. Seseorang yang telah membuatkan kisah silam Raz makin berbalam-balam hilang digantikan dengan sejarah baru yang tenang.. Alhamdulillah..

Sedikit puisi tentangnya mahu Raz meteraikan di sini .....

Tidak pernah ku tahu dari mana munculmu
tetapi aku selesa bila kau ada

Tidak pernah ku sangka engkau tiba-tiba ada
tetapi kerana Allah aku percaya

Tidak pernah ku tahu untuk apa hadirmu
Tetapi datangmu bersama gembira

Tidak pernah ku tahu siapa sebenarnya kamu
tetapi bagai telah lama kita menyapa

Tidak pernah ku jangka begini jadinya
tetapi aku redha Lillahi Ta'ala

Benar seperti di rasa
Engkau Istimewa..
tetap teruslah istimewa selamanya!

Moga Allah anugerahkan dia kehidupan dunia dan akhirat yang sebaik-baiknya. Amin....
Orang yang membahagiakan orang lain akan dibahagiakan Allah. Moga kamu bahagia.. Terima kasih PPK! KAMU ISTIMEWA.

Raz tidak memiliki harta bernilai untuk disediakan bagi menghargai kehadirannya, hanya secarik bingkisan doa dari hamba Allah yang biasa sahaja.


Salam kasih seluas sayang, mmuuuuahks. Good morning!

Raz.R
Seawal pagi 17.08.2011

Tuesday, August 16, 2011

Sekadar Puisi : Kita Tak Pernah Sama



Ku perhatikan kerenah bicaramu
jauh nan kesayupan dalam diam
ada sesuatu tergetus di hatiku
bagaimana rupa kesejatianmu?
ku ingin tahu ingin kenal
malang, fikirmu bertandang suram
tentangku...

dan aku tidak ingin menyapa
biarkan diam ini terus tertutup tirainya
malas kurisik khabar dan tanya
bimbang nanti sangkamu apa-apa saja
kita mungkin serupa
tapi kita tidak akan pernah sama

Engkau serikandi hebat bangsawan
Aku hanya anak desa dipinggir hutan
ku undur diri mengikut layak haluan
mustahil ada raksi padanan..

Kita tak pernah sama...



Seraut kasih seutas sayang,
Raz.R
16.08.2011

Untuk Apa Memilih Sihir?



Salam penuh kasih dengan doa semoga Allah gemerlapkan kehidupan kita dengan cinta dan perlindungan-Nya. Amin...

Assalamualaikum w.b.t

Sebuah senyuman yang lemah tapi manis semanisnya Raz berikan sambil menulis di ruangan yang tidak seberapa ini. Singgah lagi meluahkan rasa.
Hari ini, kesihatan Raz tidak sebugar biasa. Tidaklah keterlaluan sakitnya, hanya dicetus letih dan tidak selesa. Alhamdulillah, masih dipinjamkan nafas ini dan masih belum terhenti.

Raz yakin, kemelesetan kesihatan Raz ini adalah dari kealpaan Raz sendiri. Kesilapan sendiri. Selebihnya adalah ujian dari Allah SWT semampu yang Raz boleh terima. Sakit itu juga sebahagian daripada ibadah insan, InsyaAllah. Mudah-mudahan sakit itu dapat membersihkan dosa-dosa kita. Amin..

Biasanya jika Raz sakit, orang yang paling 'sakit' melihat Raz sakit adalah keluarga Raz. MasyaAllah, sehabis bimbang mereka luangkan untuk Raz. Bak kata pepatah 'cubit peha kiri, peha kanan terasa." Tetapi pada Raz pepatah itu tidak sesuai digunakan untuk mereka. Kita tukar pepatah baru, "Tercubit dilengan, satu badan terasa." Ha.. yang ini lebih sesuai. Sebabnya, kadang-kadang Raz rasa, sakit Raz ini tidaklah seberat mana. Tetapi, yang merasa lebih berat adalah keluarga Raz. Kerana Raz seorang yang sakit di rumah, habis semua dalam keluarga menjadi sakit. Alahai...

Kerisauan mereka membuatkan Raz terpaksa terus berusaha untuk tidak mahu sakit. Sebenarnya Raz tidaklah risau dengan terjejasnya kesihatan Raz. Raz lebih risaukan mereka ini. Adakalanya, Raz terpaksa berdiam ketika sakit, kerana tidak mahu yang lain turut sakit. Malangnya, siapalah Raz untuk menyekat kehendak Ilahi. Namun, Raz amat-amat bersyukur kepada-Nya melahirkan Raz di dalam keluarga ini.Keluarga yang kecil sederhana tetapi bahagia. Alhamdulillah...

Itulah kasih sayang Allah. Allah menyalurkan kasih sayang itu pada Raz melalui kehadiran mereka. Subhanallah! Maha Hebat Allah. Cukuplah, apa yang dicukupkan oleh-Nya.

Keadaan makin kelam kelabut apabila kesihatan Raz tiba-tiba dikaitkan dengan perlakuan sihir. Nauzubillahimnzalik.. Mohon dijauhi daripada sebarang penganiyaan manusia atau makhluk-makhluk Allah yang lain. Amin..

Walaupun, Raz tidaklah menjangkakan ini semua. Namun bila ia selalu disebut-sebut, ia sedikit sebanyak mencuit kebimbangan Raz. Tertanya-tanya juga, apa perlunya sihir itu dilemparkan kepada Raz? Mahu apakah mereka dari Raz yang tidak punya apa-apa ini?

Benar, kewujudan sihir itu telah ada semenjak zaman jahiliah lagi. Malah Rasulullah SAW pernah disihir musuh baginda. Inikan pula kita manusia biasa.

Harapan Raz jangkaan tentang sihir itu tidaklah benar. Jikapun ada tempiasnya, mohon Allah SWT berikan hidayah dan petunjuk kepada mereka yang ingin berpelakuan begitu agar tergerak untuk berada di jalan yang baik dan benar. Untuk apa sihir menyihir digunakan terhadap sesama kita? Bukankah itu amalan yang membawa kita kepada menyekutukan Allah? Berdosa besar. Malahan kita akan menjadi penderhaka Allah sebagaimana jin dan syaitan. Kenapa perlu mengikut jalan yang kufur?

Andaipun ada kebencian atau hasrat yang tidak tercapai, bersemukalah dengan keterangan yang jujur. Lalu berharaplah kepada Allah Taala. Sesungguhnya Allah itu mampu mengabulkan segala hasrat hamba-Nya yang bersungguh. Tidak perlulah bersungguh melalui sihir. Semua itu hanya akan mengundang kemurkaan Allah dan kemudaratan diri sendiri di masa yang akan datang. Berguru pada kejahatan maka kejahatanlah yang akan dikembalikan kepada kita. Sesungguhnya walau sejuta kejahatan yang diusahakan, kebaikan tetap akan menang samada di dunia mahupun di akhirat.

Kita diciptakan Allah di dunia ini bukan untuk bersengketa sesama kita. Kita diperintahkan menjadi khalifah-Nya yang sama-sama menjaga bumi ciptaan-Nya disamping menyempurnakan akhlak kita sebagai makhluk yang paling istimewa. Perlukah kita meniru dan menurut gaya makhluk lain yang tidak istimewa tersebut?

"Tepuklah hati, tanyalah iman".
Walau iman itu kurang, namun jauh disudutnya, ia masih ada di situ, di nurani kita semenjak kita dilahirkan bersih sebagai insan.

Wallua'lam.
Raz.R
16.08.2011
Moga kita semua dilindungi Allah Ta'ala dari kedurjanaan musuh-musuh-Nya. Amin..

"Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan daripada jenis manusia dan daripada jenis jenis jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia."
[Al-An'am :112]


Sekadar Puisi : Hanya Dengan Mu



Suara yang di dengar Tuhan
adalah doa yang penuh ketulusan
kasih yang tiada persyaratan
niat yang tiada hasutan
sangsi yang tidak kedengaran
bersih jiwa, hati dan iman
qanaah yang cantik kerna kesabaran

Tuhan....
Ya.. aku kepingin pulang kepada-Mu
tapi Ya.. aku juga takut dosaku pada-Mu
dan Ya.. ku miliki hasrat di bumi-Mu
menyempurnakan tiap zarah akhlakku
putih bersih lembaran khilafku
lalu diriku dipersembah bagai isyraq-Mu

Tuhan...
Hulurkan aku kekuatan berenang di badai dugaan
melangkah tanpa rebah dalam kehampaan
bergerak dengan nama-Mu sepejal keyakinan
beristiqamah kukuh dan teguh tanpa ketakutan

Hanya dengan-Mu..
kepasrahanku
ketaatanku
kecintaanku
kesetiaanku
dan...
seluruh diriku
ingin kulekat dan ku jalin
menjadi SATU



Salam kasih penuh senyuman...
Raz.R
"Dalam kesakitan"
16.08.2011

Monday, August 15, 2011

Sekadar Puisi : Hati Yang Sehelai



"Bersemilah lembaran hati yang sehelai
dari sentuhan kasih yang penuh gemalai
dilayur suara cinta beiringkan belai
tanpanya sedetik degup nadi pun longlai
tersimpan rindu mengusik langkah terkulai"


Raz.R
15.08.2011

Sunday, August 14, 2011

Qada dan puasa syawal serentak (Puasa Enam)



Malam ini Raz ingin kongsikan sedikit kebaikan ibadah sebagai ilmu untuk diri Raz sendiri dan untuk pengetahuan bersama. Sekalipun Syawal masih belum tiba, namun gemanya mula berkumandang di mana-mana. Ada yang pernah bertanya pada Raz, tentang puasa Qada dan puasa sunat "enam" di bulan Syawal yang dilakukan serentak. Adakah ia dibolehkan?

Sheikh Atiyyah Saqar, Pengurusi Majlis Fatwa, Al-Azhar, mesir memberitahu :

"Harus bagi mereka yang menanggung qada puasa Ramadhan berpuasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal, tetapi NIATNYA hendaklah niat qada. Jika diniatkan DAN dilakukan berasingan adalah lebih afdal, iaitu qada dan sunat pada hari-hari yang terpisah."

Katanya lagi : Ulama Syafie berpendapat pahala puasa sunat Syawal diperolehi secara automatik, apabila seseorang melakukan qada puasa "di dalam bulan Syawal" samada ia niat atau tidak diniatkan puasa sunat itu."


Dalam al-Syarqawi ala al-Tahrir 1/127, sebuah kitab mahzab Syafi'ie menyatakan terjemahannya :

"Jika seseorang berpuasa qada, nazar atau apa jua puasa di dalam bulan Syawal, nescaya berhasil pahala puasa 6hari dalam bulan Syawal, kerana yang dikehendaki, hanya berpuasa di dalam bulan itu sahaja."

Pendapat ini bertepatan dengan hadis Abu Ayyub yang menyatakan kelebihan puasa enam hari dalam bulan Syawal itu tidak mengenakan sebarang syarat tambahan. Hadis hanya menyebutkan yang maksudnya : "Sesiapa berpuasa enam hari dalam bulan Syawal..."

Oleh itu wajar dikekalkan atas keterangan yang mutlak dan bebas, supaya apa jua puasa yang terkena dalam bulan Syawal. dikira memenuhi kehendak puasa enam hari di dalam bulan itu."



Kita digalakkan tidak melengah-lengahkan qada, justeru keistimewaan Syawal ini adalah juga menjadi simbol kepada menghargai atau sebagai tanda mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadhan yang penuh makna dan barakah kepada kita muslimin dan muslimat. Ia juga sebagai tanda kita menghormati dan tidak menganggap Ramadhan sebagai membosankan lalu kita lanjutkan kasih sayang kita pada Ramadhan itu dengan meneruskan puasa sehingga ke bulan Syawal.

Wallhua'lam..


Salam kasih kerana Allah Taala. Moga mendapat keberkatan selamanya. Amin..

Raz.R



Dialog Luka Wanita : Apa yang diberi ; Itulah yang diterima.




Su memeranjatkan Raz dari arah belakang. Dia menepuk bahu Raz. Raz terlatah dan terlompat kecil.

"Hai, kak Raz, pikiag panjang nampak?"

Raz tersenyum kecil.

"Hang ni kan.. kalau kak ada sakit jantung, saheh dah kojol kat sini tau?"

Su terkekek ketawa. Ada ilham nakal dalam nada suaranya. Namun Raz amat gembira melihatnya ketawa begitu.

"Hemmm... kak ni mesti ingat kat dia kan?"

"Uish! Hang ni! Dia mana pulork? Dak aih..Ada- ada saja hang ni kan.."

Su ketawa lagi. Rasanya dia cuba meneka apa yang sedang Raz lamunkan sebentar tadi.
Raz memalingkan wajah dan memandang tepat pada dua biji mata yang bersinar. Dalam benak Raz mengharapkan ketenangan pada mata itu.

"Su apa habag?" Soalan Raz pada Su buat Su tersenyum lagi. Kemudian dia bersuara lemah.

"Hidup perlu diteruskan.." Katanya mencemik nakal. Raz ketawa.

"Su baik-baik saja, kak. Alhamdulillah. Bulan puasa ni, agak tenang sikit. Tak ada sangat terganggu. Otak dah letih berfikir agaknya, kak. Cuma fikir untuk cukupkan apa yang terkurang antara Su dan Allah dan memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka yang menyayangi Su. Itu lebih baik, kan kak?"

Raz tersenyum lagi untuknya. Dalam hati Raz ada seluas syukur kepada Ilahi. Tuhan, moga kekuatan Su berterusan.

"Baguslah macam tu Su. Alhamdulillah. Mak ayah apa habag Su? "

"Alhamdulillah kak Raz.. Cuma tulah, kesihatan depa. Risau juga Su dibuatnya. Yalah kan, makin berumur ni, macam-macam keluhan yang Su dengar. Kesian kat depa. kak."

Wajah Su berubah murung. Perubahan itu juga mencengkam hati Raz kerana Raz amat faham keadaan itu.

"Sabaglah na, Su. Kita perbanyakkan doa yang betul-betul bersungguh kepada depa. Mudah-mudahan Allah pelihara depa daripada sebarang kemudaratan dan memberikan mereka sepenuh kurniaan-Nya. Moga Allah menjauhi mereka daripada sebarang kepayahan dan memberikan mereka sisa hidup yang penuh kebahagiaan dan usia yang penuh keberkatan. Amin."

"Aamiin.. Terima kasih, kak. Itulah yang Su harap-harapkan. Su ingin terus bersama depa kak."

"InsyaAllah Su.. Kita doakan mereka dipanjangkan usia dan tetap disejahterakan kesihatan."

Su mengangguk sambil meng-amin-kan kata-kata Raz.

"Akak ni, asyik dok tanya pasal Su saja. Akak apa habag? Su tengok akak macam susah hati saja?"

"Alahai Su, kak Raz biasa-biasa saja. Susah hati ada, tak susah hati pun ada. He!He! Namanya pun manusia. Mana ada yang tidak ada masalah kan? Cuma masalah kak Raz tak berat mana pun, Su. Ada yang lebih melalui masalah berat daripada kita tapi depa masih boleh terus menghadapinya, kan?"

Su mengangguk tetapi masih belum berpuas hati. Raz mengelakkan diri daripada ditembak dengan pelbagai soalan yang bersambung lagi.

"Hang macamana dengan 'Budak' tu?"

Wajah Su jadi suram dengan pertanyaan Raz tetapi Raz tahu dia tidak marah dengan soalan Raz itu.

"Hemmmm... Rasanya segalanya sudah benar-benar berakhir,kak. Kebelakangan ini Su banyak berfikir tentang hubungan kami. Su rasa semuanya itu mungkin berpunca daripada kesalahan Su sendiri. Mungkin semua ini hanya sebuah ujian untuk Su. Mungkin semua ini adalah petunjuk dari Allah. Allah tidak mengizinkan kami hidup bersama. Jodoh kami tiada. Mungkin juga 'hak' yang Su rasa diri Su berhak itu, bukanlah hak Su. Tak apalah, kak, jika itulah yang Allah beri pada Su... itulah juga yang Su perlu terima, kak."

Hati Raz diruntun rasa menyayat. Seolah mahu memeluknya dan mengucapkan tahniah Raz pada kekuatan yang telah Su bina di dalam dirinya sendiri. Namun, Raz tidak perlu lakukan begitu. Takut nanti, kami sama-sama tenggelam di dalam tangisan yang tidak perlu lagi ditangiskan.

"Betul tu Su, tidak ada paksaan untuk tiap perkara berkenaan perasaan hati, Su. Apa yang kita rasa di dalam hati terutama soal kasih, cinta dan suka adalah ilham dari Kebaikan dan Keagongan Allah. Dia mencetusnya terhadap hamba-hamba-Nya yang diingini. Jika benar jodoh itu ada, rasa itu akan tergerak dua hala dengan sendirinya. Jika ia tiada, beerti Allah sedang menguji keimanan kita. Sejauh mana kita menyayangi-Nya dan sedalam mana kita menyayangi hamba-Nya yang lain."

"Yalah kak.. memang Su rasa sayang tapi itu semua hak Allah. Kalau kita sayang orang lain, beerti kita harus menyayangi kebahagiaannya juga, kan kak? Sakit memang sakit, tapi sakit itu akan lebih pahit dan perit jika orang yang kita kasihi itu tidak mampu gembira bersama kita. Sekalipun seluas mana kasih kita padanya. Su rasa, biarlah dia bahagia dengan caranya dan tiada apa yang lebih baik dari itu pada Su. Jika dia bahagia, Su perlu gembira dengan kebahagiaannya, kak."

Raz terdiam. Sungguh, ada benarnya kata-kata Su. Untuk apa menangguk di air yang keruh lagi. Biarkan ia bertakung dan hening di situ. Tangguklah air itu perlahan-lahan agar kejernihannya tetap boleh di simpan...


Salam penuh kasih dari Raz.R
14.08.2011
MMuahks..[♥] Moga dikasihi Allah sentiasa hendaknya. Amin.







Thursday, August 11, 2011

Salah Sangka



Sesungguhnya kita ini, apabila berusaha untuk mendekatkan diri dengan kebaikan, akan sentiasa disambut dengan pelbagai kepayahan yang asasnya daripada gema bisikan syaitan. Jika hati tidak bertahan dengan keimanan dan kesabaran, sudah tentu nurani kita kepincangan.Na'uzubillahiminzalik.

Assalamulaikum, sahabat semua. Terima kasih sesangat kerana sudi membaca tulisan Raz yang tiada apa padanya..
Moga dirahmati Allah SWT di kesayupan Ramadhan yang amat mulia. Mudah-mudahan juga segala amalan yang kita bina, diterima Allah SWT dengan banyak ganjaran-NYa. Amin. Moga Islam dan kebenarannya terus gagah dan bersinar menembusi pemahaman di setiap hati manusia di dunia. Moga Islam terus ulung dan agong!

Raz singgah di sini pagi ini kerana perasaan Raz dihanyutkan rasa terkilan. Maklumlah, kelemahan Raz sebagai manusia biasa. Apalah daya. Sesekali, ada juga rasa tidak berdaya. Kekadang terusik rasa kecewa. Fitrahnya, begitulah.. "rasa-rasi manusiawi"

Kadang-kadang Raz mengeluh juga. "Aduhai, payahnya jika nak berbuat baik sesama manusia. Ada saja yang disalah-sangkakan."

Perasaan manusia sukar dijangka. Niat juga payah untuk diramalkan. Apabila kita ambil berat, disangka "Ada udang disebalik batu." Bila tidak mengambil berat pula disangka "Hidung tinggi." Serba tidak kena dibuatnya kita.

Tapi, semua itu tidak menjadi masalah jika niat asal kita adalah ikhlas dan benar. Biarlah apa sangka orang lain, asal sangkaan hati kita tetap ke arah yang baik. Yang lebih baik adalah apabila kita meletakkan segala usaha baik kita itu kerana Allah Taala. Jika manusia tidak menghargai kita sewajarnya, tidak perlulah kita khuatirkan. Cukuplah apabila Allah menghargai. Jika ada dikalangan insan tidak berpuas hati dengan usaha dan niat baik kita, tidak perlulah kita berbalik rasa tidak puas hati juga.

Biarkan segala yang kita lakukan itu mendapat 'label' hanya dari Allah semata. Sesungguhnya, tiap perkara yang wujud dikalangan kita ini, pencetusnya adalah Allah. Tanpa-Nya, apalah yang boleh kita lakukan..Jadi, sama-samalah kita usahakan agar hati kita ini tidak cepat bersangka-sangka. Sesungguhnya, kita yang suka bersalah sangka atas pemberian Allah adalah kita yang sombong dan angkuh dengan Hak-Nya. Nauzubillahiminzalik.

“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”. (Surah al-Hujurat ayat 12)



Baiklah, "let's by gone be by gone". Lupakan hantu-hantu yang mengganggu jiwa. Ingatlah Allah itu Maha Penenang Jiwa. Senyum dan bergembiralah!


Salam semanis dan sesihat kurma. :)
Raz.R
11/08/2011






Monday, August 8, 2011

Sekadar Puisi : Rinduku Rindumu



Aku rindu kamu
kamu rindu aku
pun..

masih diusik malu
diikat lidah nan kelu
Takut nanti terundang pilu

Biarlah rindu itu rahsia dahulu
Kamu,aku dan Allah yang tahu
Bukankah lebih indah begitu...

Rinduku, Rindumu


Raz.R
08.08.2011
Hik!Hik!Hik... Senyum

Sunday, August 7, 2011

Dialog Luka wanita : Serahkan Kepada-Nya



"Awat hang menangis pulak dah, Su? Cuba habag kat kak apa masalahnya?"

Esak tangis dicorong telefon bimbit semakin menjadi-jadi. Pilu bergelodak di jiwanya. Seolah dia menyimpan tekanan yang amat pahit. Terpaksalah Raz mendiamkan diri sebentar untuk memberikan laluan kepada Su menangis sepuas-puas hatinya. Raz diulit rasa serba salah dan gundah dengan pelbagai soalan yang berlegar di dalam akal. Ada suara sakit pada gema tangisannya. Sedihnya rasa hati Raz mendengar tangisan.

"Su telefon dia, kak! Su tak tahan.." Dia memberitahu Raz dengan nada yang tersekat-sekat. Raz mengeluh kecil. Hal itu lagi rupanya. Hati Raz faham.

"Bertenang Su. Tak apalah, nak buat lagu mana, dah teringat,kan? Habeh tu, apa katanya?"

"Semuanya tawar saja, kak. Seolah Su ini tak pernah wujud dalam hidupnya sebelum ini. Acuh tak acuh saja cara dia bercakap dengan Su. Geram hati Su ni, kak. Su, cuma mahu tahu macam mana keadaan hidupnya sekarang. Su risaukan dia,kak."

Raz mencari idea untuk tenangkan kepiluan Su. Lembut benar hati wanita apabila menyayangi seseorang dalam hidup mereka. Kasih sayang wanita bila telah bertakhta di dalam hati, begitulah jadinya. Walaupun hati ada rasa benci, namun bencinya tidak seberapa. Simpati akan tetap menyapa akhirnya.

"Nak risaukan apa lagi tentang dia Su. Tahulah dia menjaga hidupnya. Dia kan lelaki? Kalau Su bimbangkan keadaannya pun, apa yang Su dapat sekarang? Rasa geram ja kan? Jangan lemah sangat Su.. Kuatkan hati. Yang sudah lepas tu, lepaskanlah.. jangan dipaksa diri melalui keadaan sakit yang sama berulang kali. Sudahlah Su, biarkan dia dengan hidupnya. Kalau Su risaukan dia pun, untuk apa? Sedangkan dia tidak sedikitpun bimbangkan keadaan Su yang macam ni selalu. Sudahlah Su, jangan biar dia menindas perasaan Su. Jangan biar dia jadi hebat kerana Su jadi lemah di tangannya. Bersabarlah Su..Tetapkan keimanan."

"Akak tak faham jiwa Su..!" Dia menangis lagi. Aduhai, entah apa yang perlu Raz kata lagi padanya kali ini. Buntu benar rasanya.

"Kak Raz faham, sayang.. Faham sangat. Cuma Kak Raz nak Su fikirkan saja. Okay,Su dah "call" kan? Su nampak dan rasa apa reaksinya dekat Su, kan? Imbangkanlah akal dan hati Su. Cari makna disebalik sifat yang dia tunjuk pada Su. Jangan biarkan diri kita jadi tidak berharga, Su."

Su terdiam. Senyap seketika. Mungkin sedang membuat andaian terhadap kata-kata Raz sebantar tadi. Sedang Raz membuat andaian sendiri tentang lelaki yang dikasihi Su. Kalau mampu, Raz ingin menyelidik dan tahu kenapa tindakkannya begitu zalim terhadap wanita yang pernah membuat banyak pengorbanan di dalam hidupnya. Mungkin Su terlalu memaksa. Mungkin lelaki itu juga terpaksa tetap dengan keputusannya kerana cerita hidup yang ada disebalik kehidupan yang sebenarnya. Mungkin Su juga masih belum mengenali lelaki itu sepenuhnya. Mungkin lelaki itu juga tidak berdaya. Atau mungkin dia juga pengecut. Nauzubillah.. Banyaknya "mungkin" yang berturap difikiran Raz.

"Kalau Su tahu begini, Su tak akan hubunginya lagi. Pergi mampus dia dengan hidupnya!!" Tiba-tiba Su mendengus marah.

"Tak apalah Su, pengajaran agaknya tuhh.. Bagus jugak Su buat begitu, sekurang-kurangnya Su dah tahu kan bagaimana layanan yang akan Su terima jika Su terus menerus mengharapkan dia?? Tak gitu?.. Tapi Su, Kak Raz rasa, Su maafkanlah.. Memaafkan lebih memberikan kita kelapangan hati. Anggap saja tiada jodoh diantara Su dengan dia. Sesakit manapun kehidupan kita, itu pemberiaan Allah. Dia menguji. Dia mahu kita belajar. Dia mahu kita kembali pada hidayah-Nya dan tetap lurus di situ. Allah itu Maha Adil, Su. Suatu hari nanti, pembalasan-Nya akan datang juga."

"Dia terlalu angkuh dengan dirinya kak."

"Jangan cakap begitu, Su. Tak baik.. Biarlah dia nak angkuh setinggi mana pun. Allah lebih angkuh dan bila Allah menebarkan angkuh-Nya di dunia ini, manusia tidak akan dapat lari dari siksa-Nya yang berat, Su. Serahkan semua tu pada Allah ya.. Dia lebih faham apa yang kita tidak pernah faham."



Serahkan segala yang sulit kepada-Nya. Sesungguhnya hanya Dia Yang Mampu Menyelesaikan Segalanya!

Raz.R
Moga dirahmati Allah, semua! :-)

Saturday, August 6, 2011

Pedoman Hati : Istiqamahkan Usaha



Raz percaya....
Ramadhan sedang memulihkan kita mengikut hasrat hidup yang kita pilih. Andai bekal amalan yang kita guna di dalam bulan ini ditega dan dikukuhkan sehingga ke bulan yang lain, MasyaAllah, kitalah hamba yang berjaya.

Raz menerima satu ungkapan mesej dari seorang sahabat yang telah Raz kenal selama 21tahun. Begitu senang Raz membacanya. Biarlah Raz tekapkan diruangan ini juga untuk tatapan diri Raz sebagai sebuah pedoman yang perlu Raz pegang. Mungkin ia juga boleh mendidik kita bersama sebagai perkongsian yang bermakna. Terima kasih, sahabatku sayang. Moga kamu selalu sihat, bahagia dan disejahterakan kehidupanmu dari dunia hingga akhirat.

"SESEORANG YANG BERSABAR DAN BERISTIQAMAH MENGEKALKAN AMALAN SOLEH SELEPAS RAMADHAN, MEMBUKTIKAN PENERIMAAN ALLAH TERHADAP AMALANNYA. DAN JIKA DIA MEMILIH JALAN MAKSIAT SELEPAS RAMADHAN,MEMBUKTIKAN KEHINAAN DAN PENOLAKKAN ALLAH TERHADAP AMALANNYA."

"Wahai manusia, hendaklah kamu beramal sekadar mampumu, sesungguhnya Allah itu tidak akan jemu sehinggalah kamu yang menjadi jemu dan sesungguhnya sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah amalan yang konsisten sekalipun ia sedikit." [Hadis Riwayat Muslim:1863]


Semoga hati kita disucikan lalu kita pakaikan dengan pakaian istiqamah sehingga ke akhir hayat. Amin. Salam kasih di hari ke-6 Ramadhan. Moga Allah menyediakan kita seluas kasih sayang dan hidayah-Nya untuk meneruskan kehidupan ini.


Raz.R
MMuuuahks!

Tuesday, August 2, 2011

Sekadar Puisi : Sebelum Engkau Mengambilku

Tuhan..
Sesungguhnya aku masih ingin... memohon pada-Mu...

Izinkan aku memeluk semua yang setia bersamaku
dengan kasih, riang, gembira..
Izinkan aku curahkan baktiku seada daya
pada jasad-nyawa yang hampir
Sebelum Engkau mengambilku bersama-Mu

Tuhan...
Izinkan aku melukis senyumanku
pada setiap yang menghampiriku
pada semua yang menjauhiku
aku ingin senyumku terpahat
aku ingin mereka ingat
dari senyumku ada sayang
dari senyumku ada cinta
dari senyumku ada sentosa
Sebelum Engkau mengambilku bersama-Mu

Tuhan...
Izinkan aku sembahkan bakti tulusku
pada wira wirawati yang membawa kewujudanku di dunia-Mu
izinkan aku korbankan titis darah akhirku
izinkan aku sentuh belai mereka segenap kasihku
izinkan aku menghamba diri selagi izin-Mu
Izinkan daku..
Sebelum Engkau mengambilku bersama-Mu

Tuhan...
Izinkan aku menakhodai darah dagingku
membahterakan pimpinan wanitaku
mengajar mereka tentang sejati rasaku
memahami rasa susup luluh tanggungjawabku
Sebelum Engkau mengambilku bersama-Mu

Tuhan...
Izinkanlah aku menerima keizinan-Mu
untuk seluruh rayu permintaanku
Sebelum Engkau mengambilku bersama-Mu





Raz.R
Diufuk malam.
secebis gurindam

Monday, August 1, 2011

Diam



Diam,
mengajar aku tentang erti melepaskan
mendidik aku membuka ruang terkunci sekian lama
mengintai bahasa-bahasa indah yang tercipta
disebalik untai kata tanpa suara

Diam,
menghurai serabut sakit tali temali yang menjerat
lalu mengerti di dalam hati tentang takdir hakikat
Ketentuan Allah Ta'ala itu Maha Hebat
dalam diam diberi-Nya ubat.....

Diam,
ketika aku diam
ada perkara senyap yang kupendam
hadirkan perubahan dengan perlahan
dan akhirnya.. lenyap
tanpa jawapan..

Diamku biasa..
namun sepanjang hayat
tertinggal bisa!




Syhhhhhh....
Diam Raz.R Diam..
Diam dengan senyuman... Ahaks!
1.8.2011

Lelaki Hebat



Bissmillahirrahmanirrahim..
Hari ini 1Ramadhan.. Hari ini juga hari lahir ayahnda tercinta. "Boyfriend" Raz tu! Tiada "Boyfriend" yang sebaik dan semulia dia. Sudah tentu hari ini adalah hari yang cukup istimewa. Dalam hati ini ada doa yang luas untuknya. Semoga Allah perkenankan harapan dan doa Raz untuknya. Amin Ya Arhamrrahiminarhamna..

Keluarga tanpa kepimpinan seorang lelaki yang mengingati Allah SWT akan diselimuti oleh mendung kepincangan. Seorang lelaki yang sentiasa sabar memberikan kasih-sayangnya kerana Allah kepada keluarganya adalah lelaki sejati yang hebat. InsyaAllah. Walau dunia tidak mengenalinya, namun Allah mengenalinya.. Apa yang lebih H.E.B.A.T dari itu?
WALLAHUA'LAM.


Salam sayang setulus harapan dari Raz.R sekerdil insan.