Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, February 25, 2009

JOM ZIKIR?



Alhamdulillah...Saya kutip pesanan ini untuk ingatan saya dan semua kita muslimin dan muslimat sebagai salah satu ilmu yang perlu kita tahu.Mudah-mudahan kita tidak menzalimi diri, hati dan akal kita dengan melebih-lebihkan sesuatu yang selain dari Allah:-

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.


Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik.

Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan
kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi kita yang masih memandang remeh kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Jom, zikir nak?

Thursday, February 12, 2009

YANG CANTIK ITU..



Pandang cermin. Keronyokkkan kedua-dua belah pipi. Pandang kanan, pusing kiri.
“Adui, awatlah aku tak cantik ya?.”

Tiba-tiba muncul rasa merendah diri. Bukan saya sahaja yang merasakan diri saya ini tidak cantik, malah ibu saya sendiri pernah berkata begitu.

“Cuba senyum sikit bila buat kerja tu? Dahlah tak comey, muncung ja, macam hantu!”

Pernah pada suatu hari ibu saya berkata begitu. Kepalang bingit telinga ini. Merah. Kalau digoreskan mancis pada cuping telinga saya waktu itu, dah menyala dah. Pendek kata begitulah perasaannya.
Kah!Kah!Kah!

Fitrah semula jadi manusia ini selalu memandang pada kecantikan. Bahkan Allah juga mencintai kecantikan dan keindahahan. Islam yang diturunkan Allah juga indah. Keindahannya secocok, sekata dengan fitrah manusia. Malah sifat Allah juga indah lagi cantik, paling sempurna dan Maha Agung. Lihatlah pada lautan biru, langit berbulan dengan kilauan bintang ciptaan-Nya, sungguh indah. MasyaAllah. Semuanya dijadikan kepada kita manusia untuk memikirkannya.

Apa halnya dengan saya yang merasakan diri saya ini tidak cantik pula ya? Begini, ketika itu saya lupa diri. Saya lemah. Saya bodoh.
Inginkan kecantikan dan suka pada kecantikan itu bukanlah satu kesalahan. Cuma kita ini sebenarnya tidak sedar dan lupa bahawa tidak ada wanita itu hodoh, hanya kecantikan yang berbeza. Kalau tidak masakan timbul ungkapan kata “Beauty is in the eye of the beholder”. Tak gitu? Cuba kita perhatikan, kekadang kita melihat ada wanita montel berpasangan dengan lelaki lampai dan kacak. Mata kita membulat hairan. Astaghfirullah, lidah pun membelitkan umpatan, “Isk..isk..tak padanlah, buta perutkah si suami tu?”.
(Dilarang meniru kata-kata itu, sekadar contoh sahaja)

Wanita itu sudah tentunya cantik kerana terhasil dari ciptaan Allah s.w.t juga. Kecantikan itu sebenarnya bukan hanya terletak pada rupa paras dan bentuk fizikal tubuh sahaja. Ada orang melihat cantik pada hidung, ada pula pada mata dan sebagainya. Pendek kata sesetengah dari kita beranggapan kecantikan itu sangat relatif sifatnya. “Lain padang, lain belalang”- citarasa tentang kecantikan itu berbeza mengikut pendapat masing-masing.

Itu semua kecantikan zahiriah dari pandangan mata kita. Jika kecantikan itu hanya terlihat pada wajah, wajah itu lambat laun akan dimamah usia. Bila usia meningkat kedutan-kedutan akan mula muncul, muda cantik tadi akan mula hilang. Apakah ukuran kecantikan yang seperti itu? Ia hanya bersifat sementara. Kita tidak akan berdaya mengubah usia, hanya mungkin dapat menangguhkan proses ketuaan itu sahaja melalui kepakaran kosmetik atau sebagainya. Pasti, selepas itu kita akan tetap melalui usia tua kita.

Dimanakah kecantikan original,hakiki, abadi dan kekal?
Jika mata menilai kecantikan pada rupa. Akal pula menilai kebijaksanaan fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Hati pula menilai pada akhlak dan budi. Indahnya Islam meminta kita menilai pada kecantikan akhlak seperti kata Rasulullah s.a.w : “Mukmin yang terbaik adalah yang terbaik pada akhlaknya”. Ianya akan kekal melebihi usia.
Malahan kecantikan budi pekerti dan akhlak ini akan disukai segenap lapisan kita manusia.
Ruang lingkup akhlak ini merangkumi banyak tatacaranya. Tidak perlulah lagi kita yang merasakan diri kita ini hodoh apabila tidak dipuji cantik dari luar malu dengan apa yang Allah ciptakan untuk kita. Ini kerana Allah telah menciptakan kita dengan kelebihan-kelebihan yang tertertentu yang tidak kurang sama cantiknya dengan mereka yang merasakan diri mereka cantik. Kita mungkin tidak boleh mengubah wajah kita, tetapi kita boleh mengubah kelakuan, yakni akhlak kita. Dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik. Itulah kecantikan yang kita perlu pegang.

Berapa ramai ramai orang yang cantik pada mulanya, tetapi bila kita mula bergaul dengannya, dia mula bersikap ego, kasar dan celupar , kita tidak lagi mengkagumi kecantikannya?. Kecantikannya tenggelam dek keburukan pekertinya.

Berapa ramai pula yang kita tidak nampak cantik pada wajahnya, bila kita kita serasi berbual, mendekati sikap sederhananya, lembut tutur kata, semakin hari semakin rasa bertambah menawannya dia. Makin kita sayang dan makin kita suka padanya. Terlindung kekurangannya dek akhlaknya yang baik, kan?.

Pun begitu alangkah hebatnya lagi sekiranya mereka yang cantik itu, beriringan dengan akhlak yang baik. Satu bonus yang hebat. Alhamdulillah. Bersyukurlah dan peliharalah dan gunakanlah ia sebaik mungkin.

Justeru, wahai hati, baik-baiklah…jangan resah jika dikata tidak cantik kerana penilaian Allah itu Maha Adil dan Saksama. Kita semua sama hebat, sama cantik. Carilah keimanan agar kita berlebih cantik di sisi Ilahi. Saya juga mendoakan yang sama pada diri saya. Mudah-mudahan kita semua mendapat kecantikan dunia dan akhirat. Amin.

Saturday, February 7, 2009

GELISAH



Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi-Mu, Ya Allah, Tuhan Sekelian Alam.

Sebenarnya fikiran saya buntu dan kematu hari ini. Hah! Negatif. Mungkin anda semua pernah rasa dan faham erti kebuntuan itu apabila anda melaluinya pada saat-saat tertentu. Kita rasa macam tidak tahu apa yang kita perlu buat dan di mana kita harus mulakan, betul tak? Sesekali atau dua kali, atau tiga kali akan terasa seperti kekosongan yang teramat. Malah, tiba-tiba sahaja semangat kita seolah dicuri dan dibawa lari oleh sesuatu. Timbul perkataan 'bosan' dilidah. Jiwa diselang-selikan dengan perasaan yang tidak ada tujuan dan tidak keruan. Akal mulai sempit dengan soalan-soalan yang tidak terjawab. Di suatu sudut di dalam dada kita terasa ketat dan kesal akan sesuatu. Hanya kita dan Allah yang tahu apakah itu? Malahan juga acapkali kita sendiri tidak mengerti dari mana datangnya pergolakkan rohaniah ini.

Astaghfirullahalazim.. Dasyatnya tikaman syaitan terhadap kehidupan kita. Tengok? Bukan senang untuk menyembunyikan diri dari usikkan syaitan. Serangan makhluk ini selalunya bermula dengan tapak yang kita sangka betul arahnya, perlahan-lahan menyerong dan meyerong. Nauzubillah. Matlamat asal kita tiba-tiba kabur dek gangguan dan bisikkan mereka.



"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." -Surah az-Zumar:10

Bersabarlah wahai hati. Jangan terlalu banyak mengeluh dan gelisah kerana itu menjadikan kita bersifat lemah, tidak bermaya dan malas. Kata cendekiawan,yang paling buruk adalah sentiasa merasa gelisah dan takut. Benarlah itu.

Ketakutan dan gelisah itulah yang sering membuatkan kita gagal mengawal kebanyakkan emosi kita.
Saya dengan rasa jahil dan rendah diri mahu berkongsi pengalaman saya sendiri mengenai dua perasaan ini. Biasanya orang Kedah panggil "Gabra". Saya lebelkan ia "Gabra" sebab sebutannya agak hangat di pasaran masa kini. Senyumlah. Sesekali bergurau apalah salahnya.

Suatu ketika saya pernah melalui ketakutan dan kegelisahan yang teramat sangat. Gabra yang tidak dapat dilakarkan dengan kata-kata. Tafsirannya pendek kata beginilah : Sewaktu hati masih sayang, sebulat rasa tulus dan ikhlas dicurahkan dan selautan perhatian serta tumpuan tersalur di situ tiba-tiba dikejutkan dengan kehilangan yang besar. Apa yang berlaku pada diri saya waktu itu ibarat kata seperti berkecai roh dari tubuh setika waktu. Jantung saya berdegup tidak lagi mengikut rentak. Peluh di badan mencurah tanpa melakukan aktiviti lasak. Minda saya berkocak namun fungsinya entah di mana. Tumpuan saya hilang. Tubuh menjadi goyah dan lemah. Keyakinan diri gugur. Soal iman usah dibicarakan lagi, yang tipis semakin melayang. Campuran rasa yang beraduk. Campuran rojak memang enak tetapi kalau campuran perasaan, memang senak!

Lalu berdiskusilah saya dengan perasaan sendiri. Yalah, ingin berkongsi tetapi takut dikatakan membuka pekong di dada. Ingin juga memohon nasihat, gentar dilihat sebagai insan yang tidak kuat. Akhirnya, Alhamdulillah saya memilih menceritakan hal ini dengan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Yang Terhebat! Untuk melawan perasaan gabra bukanlah sesuatu yang mudah seperti mengeluarkan kata-kata. Ia memerlukan sepenuh kekuatan, keupayaan dan keinginan. Allahuakhbar. Apapun dugaan yang berlaku dalam hidup, apabila kita balik kepada Allah, pasti segalanya akan jadi baik-baik belaka. Kerana setiap yang tidak baik yang berlaku pada diri kita sebenarnya adalah satu kebaikan yang terlindung. Indahnya Islam. Baik atau buruk sesuatu, umatnya disuruh bersabar dan berikhtiar melaluinya.

Apabila kita tauhidkan diri kita kepada Allah, sesusah mana kehidupan ini ada nikmatnya. Apabila kita merasai akan kenikmatannya, percayalah hati kita akan berkata, "Ya Allah, seandainya dugaan ini sentiasa mengingatkan aku pada-Mu, dugalah aku selalu."

Itulah rahsia gabra, resah atau gelisah pada kita melalui pandangan saya. Selebihnya hanya Allah yang Tahu.

Waahua'lam.

Ditulis oleh: ~Raz.R~