Salam kasih Kerana Allah
Saturday, January 31, 2009
USIA
Dua hari yang lalu, ditahun 2009 usia saya berubah tempat lagi. Semakin meningkat.Alhamdulillah saya masih bernafas. Masih juga sihat menjalani hari-hari saya seperti biasa. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberikan petunjuk kepada saya supaya tidak lupa bahawa apa yang saya miliki hingga saat ini adalah pinjaman. Nafas yang ada dijasad ini Allah pinjamkan untuk saya untuk mengikuti setiap perintah-Nya. Astaghfirullahalazim. Berapa kerapkah saya mengingati semua itu?
Di usia hari ini, mengingatkan saya kepada kedua ibu bapa saya. Melihatkan wajah tua mereka, saya merasai sedikit gelisah di jiwa. Suatu hari nanti saat getir usia itu akan saya rasai juga. MasyaAllah, Allah telah mengurniakan saya ibu bapa yang sangat mulia. Saya bersyukur. Namun dalam pada masa yang sama, saya mulai takut akan kehilangan mereka. Usia mereka telah mereka habiskan untuk saya dan yang lain di dalam keluarga. Bakti mereka begitu besar dan tidak terbalas dengan harta dunia. Ya Allah, berikanlah syurga-Mu kepada kedua orang tuaku. Sesungguhnya mereka adalah permata yang amat berharga.Terima kasih Ya Rahman, kerana menjadikan aku sebahagian daripada mereka. Panjangkanlah usia mereka, rahmati mereka dengan kasih-Mu setiap masa dan ampunkanlah segala dosa-dosa mereka, Ya Kekasihku. Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sedari sehari usiaku. Amin.
Seringkah kita bertanya pada diri sendiri, apa yang kita penuhkan untuk usia kita sehingga hari ini? Ke arah mana usia kita pergi? Rugi atau untungkah kita?
Saya tidak ingin melihat kekurangan orang lain kerana diri saya sendiri cukup kurang di dalam mengendalikan usia saya selama ini. Tatkala memandang diri di pantulan cermin, terasa betapa daifnya diri sendiri. Lemahnya iman saya selama ini. Tahun-tahun yang saya bazirkan dengan pelbagai penantian, pengharapan dan usaha-usaha yang hasilnya mengecewakan. Urusan yang melebihkan kalah dari menang. Astaghfirullah, saya mengeluh? Ya, sering juga kerana itulah fitrahnya saya sebagai hamba yang baharu, yang lemah.
Allahuakhbar! Sebenarnya itulah ujian yang baik bagi kehidupan kita. Ujian demi ujian yang meletakkan kita ke arah meneguhkan peribadi diri dari dalam dan luar. Ilmu yang Allah adakan pada setiap manusia mengikut daya upaya kemampuan manusia itu sendiri. Namun, kita ini selalunya mudah sangat melatah. Justeru itu kita semakin menghilangkan kemampuan kita dengan sendirinya tanpa menempatkan sabar, tawakkal dan usaha sebagai asasnya. Itulah kelemahan kita. Kita sering leka dengan apa yang kita lalui tanpa memandang di bawah dan disekeliling kita. Alam semesta yang Allah ciptakan untuk manusia sudah cukup untuk kita mengambil ikhtibar. Pun, kita masih menzalimi diri kita sendiri. Kenapa? Secara tidak langsungnya, kita sedang mengusahakan sesuatu yang bernama PENTINGKAN DIRI SENDIRI. Nauzubillah..
Hari ini, di usia baru, saya mendoakan agar Allah memberikan kekuatan yang berpanjangan dan tidak mematikan hati nurani saya untuk berjuang memerangi nafsu- nafsi yang mencabar keteguhan iman serta membuatkan kita terkandas di zon hasutan syaitan. Saya mendoakan sahabat dan keluarga saya juga diberi hidayah itu. Jutaan terima kasih saya kepada mereka yang ingin dan selalu mengingatkan saya akan kebenaran hidup di dunia dan apakah tugas manusia yang sebenar untuk usia yang diberikan. Amin.
Ditulis oleh :~Raz.R~
Wednesday, January 28, 2009
TANGISAN
Apa yang saya ingin tuliskan di sini hari ini ya?
Meh kita sembang pasal lelaki nak? Marah orang lelaki pada saya nanti. Tak adalah saya nak mengumpat, cuma mengata sikit-sikit sahaja.
Kadang-kadang saya terfikir tentang saya dan lelaki. Ibarat sebuah penulisan.
Pendapat saya, wanita menulis dengan ulas-ulas perasaan manakala lelaki selalunya menulis dengan logika akal. Eh, jangan sangka saya merendahkan wanita pula ya?
Yang sebenarnya itulah kelebihan Allah yang menciptakan hambanya dari bentuk-bentuk dan rasa sedemikian rupa. Alhamdulillah. Cintailah kita kepada-Nya selalu.
Ibarat seni ukiran, lelaki itu berbentuk ketetapan reka cipta dan wanita itu pula berbentuk kecantikan dan keelokan. Sebuah jalinan yang lengkap dan sempurna apabila digabungkan bersama. Apa yang membuatkan pincangnya sebuah ukiran sebenarnya adalah apabila salah satunya tidak ada. Asyik mereka cipta sahaja, cantiknya tidak ada, masakan ukiran nak menjadi? Tak begitu? Begitulah juga halnya dengan cantik, pakai make-up punyalah meriah dengan warna warni, tetiba selendang yang dipakai ‘peot-peot’ tidak dibentuk dengan sempurna, yang cantik tadi tenggelam entah ke mana. Sudahlah muka tidak cantik (macam saya ni ha), tidak mahu pula nak bercantik-cantik, manalah serinya nak timbul?
Kita ini sering menyalahkan pihak itu dan pihak ini apabila keadaan menjadi tidak tenteram, gagal atau sebagainya yang berkaitan dengan kesulitan. Betul, kita akan selalu kata, bercakap memang mudah tetapi melaksanakan perbuatan adalah sesuatu yang cukup rumit. Kerana itulah Rasulullah s.a.w memesan dan terus berpesan menerusi sahabat-sahabatnya juga agar kita semua tidak putus asa untuk belajar dan terus belajar. Hidup ini diibaratkan seperti sebuah sekolah yangmana guru-guru atau matapelajarannya berlandaskan dugaan, cabaran, kebaikan, keburukan dan segalanya yang kita lalui setiap waktu atau selagi masih ada nafas dan roh pada jasad kita.
Pelajaran tentang lelaki sebenarnya sebenarnya wajib dipelajari wanita. Lelaki juga begitu, wajib mempelajari tentang wanita. Ikatan sesebuah perhubungan tidak akan menjadi indah sekiranya kita malas untuk belajar dan memahami bersama. Malas itulah yang membuatkan wanita menangis meratap nasib, lelaki menangis meronta di dalam jiwa mereka mencari-cari kesempurnaan luar yang sebenarnya ada di hadapan mata.
Jika kita mahu bekorban sikap dengki, ego, cemburu, marah, syak wasangka dan semua sikap mazmumah yang berkaitan yang telah lama melekat di dalam diri kita ini, InsyaAllah Allah akan berikan kita petunjuk bagaimana caranya mempelajari ilmu wanita dan lelaki ini. Bulatkan hati kepada Allah dan bersabarlah kerana kita yang menang di dalam bersabar adalah manusia yang benar-benar berjaya memperbaiki akhlaknya.
Kata pepatah bijak pandai, walau bagaimana gelap pun suasana malam itu, sebatang lilin boleh meneranginya. InsyaAllah.
Saya masih mencari ilmu itu dan melaluinya dengan berbagai-bagai dugaan. Banyak juga baldi yang saya penuhkan dengan tangisan kerana gagal menemui jalan tetapi InsyaAllah saya masih mahu terus belajar. Sebab tangisan itu juga sebenarnya sebuah matapelajaran.
Wallahua'lam.
Ditulis oleh : ~Raz.R~
Labels:
Airmata ibarat hujan bagi wanita
Tuesday, January 27, 2009
SIAPA YANG KITA PERCAYA?
Seorang sahabat berkata, "Kita perlu mempercayai sahabat untuk berkongsi cerita." Maksudnya jelas sekali menunjukkan yang fitrah manusia anjabi di dunia ini memerlukan pertolongan baik dari segi mental dan fizikal. Alhamdulillah, ia tidak saya sangkalkan dan ianya benar. Kenyataannya, segenap lapisan insan di dunia ini mememerlukan penggantungan antara satu sama lain. Samalah bila Allah menciptakan Adam a.s, diturunkan Hawa untuk menemani Adam a.s sebagai penghibur, teman kongsi dan pelengkap bagi menjadi penawar kegelisahan dan kesepian. Allah tunaikan doa hati Sang Adam kerana Allah Itu Maha Memahami Apa Yang diciptakan oleh-Nya. Tetap, kepada Allah jugalah Nabi Adam a.s memohon. Tujuan Allah itu Maha Hebat sehingga merantaikan salasilah keturunan kita hingga kini sebagai bukti dan pengajaran bagi kita yang diberi akal dan hati nurani.
Siapakah yang Adam a.s percaya untuk meredakan kegelisahannya?. Allahuakhbar.Kepada siapakah Adam a.s memohon pertolongan? Ar-Rahman. Firman Allah SWT : " Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah lah yang mencukupkan keperluannya."
"Dan Dialah (Allah s.w.t) memberikan kepada kamu dari setiap apa yang kamu minta kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tentulah kamu tidak akan mampu menghitungnya."-Surah Ibrahim:34.
Tidak salah mengharap kepada sahabat memahami dan berkongsi apa yang terpendam di jiwa kita. Tidak mustahil juga ada segelintir sahabat yang mahu berjuang bersama kita meringankan keperitan dan kesakitan yang kita alami. Mungkin mereka mampu memberikan keajaiban dari semangat dan kata-kata nasihat. Rasulullah S.A.W juga sewaktu memperjuangkan Islam memerlukan sahabat-sahabat yang berani berjuang bersama baginda. Syukur Alhamdulillah jika di zaman ini kita di beri Allah sahabat-sahabat sebegitu. Berjihad dengan nama Allah. Kukuh dan tahan menerima kezaliman musuh bersama-sama sahabat.
Subhanallah. Masih adakah sahabat yang sedemikan rupa?. Masih adakah sahabat yang mahu bersama kita kerana Allah semata? Hanya kepada Allah kita harus percaya dan berdoa. Berdoalah agar kita dianugerahi sahabat yang ikhlas kerana Allah. Berdoalah mereka jujur kerana Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui yang tersimpan di luar akal dan di dalam hati nurani manusia.
Moga Allah membahagiakan sahabat-sahabat yang sentiasa bersama saya selama ini. Saya membulatkan harapan terus kepada Allah semata agar kekuatan yang mereka berikan selama ini dibalas dengan yang paling baik oleh-Nya. Segalanya adalah kurniaan Allah dan saya sebenarnya amat bersyukur. Amin.
Ditulis oleh: Raz.R
Monday, January 26, 2009
Hanya Meluahkan Rasa
Adakalanya saya rasa kemampuan saya untuk menulis disini tidak ada. Saya bukanlah seorang penulis yang hebat. Bijak pandai berkata berkarya itu banyak faedahnya. Ia boleh membuka minda dan jiwa. Jadi saya sekadar mencuba. Kita semua berhak memberi pendapat tentang sesuatu. Apabila kita tidak terdaya untuk menyuarakan apa yang terbuku di hati melalui suara, mungkin inilah caranya, dengan tinta dan pena. Diam berkata, berfikir dan menterjemahkan apa yang ada dijiwa. Mungkin juga ada yang seangkatan dengan saya yang suka menyimpan rasa dan emosi sendiri.
Jauh disudut hati, manusia berahsia ada sebabnya.Hidup di atas dunia yang sementara ini berdasarkan kemungkinan demi kemungkinan. Manakala yang kekal di akhirat adalah ketepan yang nyata. Sesungguhnya tidak ada apa pun bentuk meterial di dunia ini yang boleh di bawa ke akhirat kerana semua yang ada diibaratkan seperti pemetaan yang berdasarkan kemungkinan dan angan-angan.
Saya ingin menasihati diri sendiri bahawa apa yang saya kasihi di dunia ini tidak pernah menjadi hak milik saya walau sebesar hama. Bilamana yang terlepas dari tangan, jatuh hancur, maka ia tetap akan hancur. Yang terkecuali hanyalah ibadah kita kepada Allah S.W.T.
Wallahua'lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)