Apa kata anda semua tentang cinta dan rindu? Saya sering menyusuri makalah-makalah cinta, mendengar, melihat dan mengalami situasi cinta dari sahabat handai, rakan taulan dan orang-orang terdekat dengan saya. Malah suatu ketika, saya pernah menyangka yang saya sedang merasai cinta dan rindu. Saya pernah percaya bahawa apa yang saya alami itu adalah kebahagiaan dan keperitan cinta. Sebagai manusia normal, saya bersyukur kerana pernah berpeluang melaluinya. Mudah benar saya telah melafazkan “I love You”, “I Miss You”, “Sayang” dan lain-lain lagi yang sering disebut semua pencinta-pencinta lelaki dan wanita. Cinta itu ditaksirkan maha hebat sehingga sesetengah dari kita mencari motivasi untuk memahami ertinya dan memegang cinta itu agar terus kekal miliknya. Ada juga yang mengakui kepakaran mereka dan menebarkan ilmu mereka tentang cinta. Alhamdulillah… Hebat sungguh anugerah Allah itu.
Suatu pagi selepas solat subuh, saya terfikir apakah benar yang dialami saya itu cinta?
Lucunya saya telah menghukum sebahagian kegagalan silam saya itu sebagai satu musibah dan kebodohan saya. Saya melurut jari menadah doa lalu bertanya kepada Yang Maha Pengasih, “ Ya Rabb, apakah ertinya semua dugaan-Mu ini?” Sesudah itu saya bersujud mengucup bumi menghenyak kepala dan akal saya ini ditempat yang paling bawah sekali, di tempat di mana kaki menapak. Tiba-tiba saya bertanya kepada hati sendiri. “ Aku bersujud ditempat yang paling bawah ini, kenapa aku masih belum berkata “I Love You, Allah?”. Aku minta dan terus meminta dari-Nya, kenapa aku tidak tulus ikhlas memberi pada-Nya dengan rasa cintaku?”
Begitu jelas sekali perumpamaan yang Allah beri melalui ibadah itu yang selama ini tidak terlintas diakal jahil saya ini.
Cinta, rindu, kasih, sayang, tanggungjawab dan segala yang baik yang berkaitan dengan cinta adalah pakej ibadah yang MISTERI. Itu pendapat saya. Selagi kita masih belum mampu melaksanakannya dengan penuh kesempurnaan lahiriah dan batiniah, usahlah cuba-cuba kita menyangka yang kita sedang bercinta. Lafaz cinta dan rindu dari lidah sahaja belumlah bermakna cinta. Mata yang memandang dan hati yang terpaut bilamana bertemu itu belumlah bernama cinta. Itu sekadar rasa terpikat zahir, keinginan dan impian dari fitrah jiwa manusia. Perlaksanaan cinta bukan sesuatu perkara yang mudah. Tidak juga perkara yang boleh diukur dengan kata-kata. Ia adalah pertalian terus yang berkaitan dengan segala perbuatan, pengorbanan, hak penyerahan,keikhlasan, kesetiaan, ketetapan, kejituan, pengabdian, pengjiwaan, keredhaan, kebijaksananaan, ketabahan, pengindahan dan seterusnya memurnikannya dengan kesempurnaan sebenar yang dapat kita nikmati dengan penghargaan dari Allah. Membenihkan pahala. Itulah cinta pada pendapat saya. Apabila kita menilai cinta yang sedemikian, kita tidak mudah melatah bilamana menghadapi dugaan-dugaan yang kekadang meruntuhkan jiwa sendiri. Kita akan sentiasa beringat dan kenal bahawa apa sahaja yang kita dapati, hakikatnya bukan kita yang empunya.
Sebagaimana sukarnya kita menunaikan kewajiban beribadah seperti solat yang dijiwai dengan khusyuk kerana Allah, begitulah perkaitan cinta. Apabila kita dapat menjiwai ibadah dengan sesungguhnya, begitulah mudahnya kita mendapatkan cinta. Itulah misterinya cinta. Ia adalah sebahagian daripada ibadah yang tertib yang menggaulkan pelbagai keputusan.Pada akhirnya, lebih baik menunggu orang yang kita inginkan, daripada memilih apa yang ada. Memberikannya pada yang HAK dari membuta tuli menagih rasa.Tetap lebih baik menunggu orang yang kita cintai, daripada memuaskan diri dengan apa yang ada. Tetap juga lebih baik menunggu orang yang tepat, kerana hidup ini terlampau singkat untuk dilewatkan bersama pilihan yang salah, kerana menunggu mempunyai tujuan yang mulia dan misterius.
Ar-Rahman, dalam segala hikmat-Nya, meminta kita menunggu, kerana alasan yang penting. Usah mudah melafazkan cinta selagi kita belum mampu menggendong ibadah yang tersirat disebaliknya.
Semua itu sekadar pendapat dari saya. Selebihnya, pertimbangkanlah mengikut kebijaksanaan sendiri. Hanya jauhari yang dapat mengenal maknikam.
Ditulis oleh: Raz.R